Sabtu, 4 Januari 2020

Berbuat Kebaikan dan Mengajak Orang Lain Turut Sama Berbual Kebaikan

Hari ini Sabtu 4 Januari 2020 bersamaan  7 Jamadil Awal 1441, saya akan membicarakan tentang mengajak orang lain untuk bersama-sama berbuat kebaikan. Andainya kita berperanan sebagai bapa maka ajaklah isteri (dan isteri-isteri) dan anak-anak berbuat kebaikan. Jika kita menjadi guru maka ajaklah anak-anak murid melakukan kebaikan. Begitu juga jika menjadi ketua maka ajaklah anak-anak buah atau kakitangan bawahan turut sama berbuat kebaikan.Jadi apa jua kedudukan atau peranan kita selagi hayat dikandung badan bermakna Allah SWT memberikan kita peluang untuk mengajak orang lain berbuat kebaikan. Renungkanlah adakah kita memanfaatkan peluang itu atau terus biarkan ia berlalu begitu sahaja. 

Ayuh mulai hari ini kita berazam berbuat kebaikan biarpun kecil dengan mengajak orang lain berbuat perkara yang sama, misalnya amalan solat sunat dhuha kita ajak isteri dan anak-anak bila hujung minggu atau masa cuti, kalau di tempat kerja masa waktu rehat ajak rakan sekerja untuk melakukan solat sunat dhuha. Kalaulah kita menjadi aktivis NGO untuk kerja-kerja amal maka ajaklah sahabat, jiran tetangga untuk turut serta.  Pendeknya apa jua yang tergolong sebagai kebaikan maka ajaklah orang lain dengan penuh hikmah untuk melakukan perkara yang sama. Ganjaran kepada orang yang mengajak atau menujukan kebaikan kepada orang lain sangat besar. Ini digambarkan melalui hadis Nabi Muhamad SAW,
Daripada Abu Mas'ud 'Uqbah bin Amriy Al-Anshori Al-Badriy, beliau berkata : Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang dapat menunjukkan suatu kebaikan (kemudian diikuti dan dilakukan kebaikan tersebut oleh seseorang yang lain) maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang melakukannya."  (HR:Muslim)

Intisari dari hadis tersebut
  1. Antara keutamaan dakwah ke jalan Allah SWT ialah menunjukkan kebaikan kepada orang lain sama ada untuk kebaikan di dunia atau di akhirat dan pelakunya akan mendapat ganjaran pahala.
  2. Amalan menunjukkan kepada kebaikan merupakan amalan yang boleh dirasai oleh orang lain  dan lebih besar manfaatnya berbanding amalan yang manfaatnya  hanya terbatas untuk diri sendiri.
  3. Amalan kebaikan yang boleh ditunjukkan merangkumi perbuatan, percakapan dan penulisan.  Inilah kelebihan dan anugerah besar daripada Allah SWT yang Maha Pemurah Lagi Maha Besar KurniaanNya.
  4. Ganjaran kebaikan akan mengalir kepada orang  yang menunjukkan kebaikan tanpa mengurangi pahala orang yang melakukan kebaikan. 
Akhir kalam, pada zaman kehidupan yang dilingkari oleh media sosia maka manfaatkan media sosial untuk mengajak sahabat media sosial kita berbuat kebaikan. Bayangkan sekiranya puluhan atau ratusan sahabat media sosial kita melakukan kebaikan maka setiap pahala mereka akan turut mengalir kepada kita tanpa mengurangi pahala mereka.
  
Semoga kita sentiasa mendapat rahmat dan keredhaanNya.

SAKSIKAN CERAMAH UST ADI HIDAYAT TENTANG MENUNJUKKAN KEBAIKAN

Tiada ulasan: