Selasa, 14 Januari 2020

Perrggghhhhh....Sedekah Subuh Yang Sangat Power : Jangan dibiarkan terlepas!!!

Hari ini Selasa 14 Januari 2020 bersamaan 17 Jamadil Awal 1441

                      بَلِّغُوا عَنِّى وَلَوْ آيَةً

“Sampaikanlah dariku walau hanya satu ayat” (HR: Bukhari)



Pagi tadi balik daripada solat subuh, bila saya buka hand phone saya mendapat kiriman video yang sarat dengan ilmu yang bermanfaat daripada bekas pelajar saya semasa saya mengajar di SMK Dato Mahmud Mat, Pekan, Pahang. Video syarahan oleh Sheikh Ali Jaber mantan imam Masjid Nabawi, Madinah yang fasih berbahasa Indonesia tentang kehebatan dan keistimewaan amalan bersedekah pada waktu subuh. Saya kongsikan video tersebut di sini dengan kepercayaan akan membawa manfaat kepada sesiapa jua yang menyaksikannya dan insha Allah akan memanjangkan pahala kepada bekas murid saya Puan Hasimah Kasim yang mengirimkan video tersebut kepada saya.  



Syarahan Sheikh Ali Jaber berkaitan dengan hadis berikut :
Dari Abu Hurairah RA sesungguhnya Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidak ada satu subuh pun yang dialami hamba-hamba Allah kecuali turun kepada mereka dua malaikat. Salah satu di antara keduanya berdoa: “Ya Allah, berilah ganti bagi orang yang berinfaq”, sedangkan yang satu lagi berdo’a “Ya Allah, berilah kerosakan bagi orang yang menahan (hartanya)” (HR : Bukhary)  

Jom sahabat-sahabat kita membudayakan amalan bersedekah pada waktu subuh secara istiqamah

Jutaan terima kasih diucapkan kepada Puan Hasimah Kasim atas titipan video tersebut. Titipan video tersebut telah mengusik hati ini mengimbau nostalgia zaman kanak-kanak. Tahun 1970an masa saya masih bersekolah rendah saya selalu berdoa agar hari khamis dan jumaat hujan selebat-lebatnya. Kenapa khamis dan jumaat? Ini kerana, kalaulah hari khamis hujan selebat-lebatnya maka pada hari jumaat menjadi hari yang sangat berbahagia, tidak perlu bangun awal ikut bapa menoreh getah. Keadaan yang sama pada hari sabtu kalau petang jumaat hujan lebat.  

Apa yang saya harapkan lain jadinya, memang ler tidak ke kebun getah kerana pokok getah basah tapi arwah bapa tetap kejutkan bangun awal diajak ke masjid untuk solat subuh berjemaah. Aduhhhhhhh!!!! Sebagai anak bongsu  dengan usia arwah bapa yang pada waktu itu sudah melewati 60an saya memiliki kuasa tawar menawar yang akan membuat arwah bapa terpaksa akur. Biasanya arwah bapa akan umpan 10 sen. Niali 10 sen besar pada waktu itu.   
  
Arwah bapa akan bagi dua keping coin 10 sen dengan pesanan 10 sen dimasukan dalam tabung masjid dan 10 sen lagi walaupun arwah bapa tidak cakap apa-apa tapi saya faham adalah untuk saya. Hmmm...saya kelepet semua !!! Tidak pernah pun dimasukkan tabung masjid sebagaimana yang diamanahkan. Arwah bapa main percaya jer tidak pernah bertanya. 

Dipendekan cerita, sampailah ketika saya sudah hampir jadi orang, masa "badhan" (istilah jawa merujuk kepada acara memohon maaf selepas solat sunat idil fitri) saya memohon maaf dengan menyenaraikan kesalahan-kesalahan lampau termasuk kelepet duit yang diamanahkan masuk tabung masjid masa subuh. Arwah bapa sebut "aku tau", "bapak dah maafkan".  Yang lebih meng"haru"kan apabila arwah bapa sebut bahawa beliau mengetahui perbuatan saya meng"kelepet" dan berbagai-bagai akal saya yang lain. Beliau menambah, "kan dalam quran dah sebut yang anak-anak adalah menjadi cubaan". Saya percaya beliau merujuk ayat 15 Surah At Taghabun yang bermaksud, "Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah cubaan bagimu, dan disisi Allah  pahala yang besar".  

Menurutnya lagi, "bapak kena ganda-gandakan "tirakat" (bermaksud berdoa dengan diiringi amalan-amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah seperti puasa sunat, membaca Al quran, berzikir, solat hajat, qiamulail dsbnya) supaya satu hari nanti Allah bukakan hati anak bapak".  Ayat yang bikin bertambah sentap, "bapak kena redha Allah bagi bapak anak yang  "mbedik" (bermaksud nakal); bila bapak redha dan sabar bapak dapat pahala", seterusnya ada hikmahnya,  Allah nak bapak banyak berdoa". Allahu.....
Terima kasih bapak didik dan asuh amalan bersedekah pada waktu subuh sejak saya kanak-kanak lagi walaupun tidak pernah diterangkan fadhilatnya dengan sokongan dalil-dalil.....

Semoga  roh Allahyarham Haji Badui @ Mohamad bin Hj Nawawi dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solehin.                                                                

  

Tiada ulasan: