Media sosial hari ini memperlihatkan satu gejala yang wajar diberi perhatian serius: semakin ramai anak muda gagal mengurus perbezaan pandangan secara matang. Wacana awam dipenuhi sindiran, kecaman dan pelabelan, manakala hujah rasional semakin tenggelam dalam emosi dan kesetiaan politik secara melulu dansempit.
Fenomena ini bukan sekadar isu adab individu, tetapi mencerminkan kegagalan sistemik khususnya dalam pendidikan nilai dan budaya politik. Dalam sebuah sistem demokrasi yang sihat, perbezaan pandangan adalah perkara lumrah yang menjadi prasyarat kemajuan, bukan ancaman. Namun apabila perbezaan ideologi ditafsir sebagai permusuhan mutlak, demokrasi kehilangan makna substantifnya.
Hakikatnya, walaupun berbeza parti dan aliran pemikiran namun matlamat asas sepatutnya tetap sama iaitu demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara. Malangnya, realiti politik hari ini menunjukkan perbezaan sering dieksploitasi untuk memupuk kebencian, bukannya untuk memperkayakan perbahasan dasar secara sihat, terbuka dan matang.
Politik kebencian tidak lahir secara spontan. Ia dipupuk melalui naratif yang dibina secara berterusan oleh sebahagian elit politik yang lebih selesa bermain sentimen berbanding mengemukakan solusi. Politik idea dan perbahasan dasar digantikan dengan politik emosi, di mana agama dan kaum dijadikan alat untuk meraih sokongan. Hal ini sangat berbahaya jika dibiarkan terus berkembang umpama memasang bom jangka dalam rumah kediaman sendiri.
Dalam konteks ini, peranan pembangkang perlu dinilai secara lebih jujur dan kritikal. Pembangkang bukan sekadar berfungsi untuk menentang kerajaan semata-mata tetapi merupakan komponen penting dalam sistem semak dan imbang. Fungsi utama mereka ialah meneliti dasar, mengemukakan alternatif dan memastikan ketelusan kuasa. Apabila pembangkang gagal bersifat konstruktif dan memilih untuk menunggang sentimen agama atau perkauman, maka mereka turut menyumbang kepada kemerosotan kualiti demokrasi.
Kesan jangka panjang daripada budaya ini amat membimbangkan. Ia melahirkan penyokong yang taksub, di mana kesalahan dinilai bukan berdasarkan prinsip, tetapi berdasarkan siapa yang melakukannya. Rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan yang jelas bertentangan dengan nilai moral dan etika universal akan dirasionalisasikan atas nama perjuangan, agama atau bangsa.
Lebih berbahaya, agama dijadikan justifikasi untuk menghalalkan perbuatan yang jelas salah. Ini bukan sahaja mencemarkan agama itu sendiri, tetapi juga merosakkan asas moral masyarakat. Apabila nilai agama diperalatkan untuk menutup keburukan, kepercayaan awam terhadap institusi politik dan agama akan terhakis.
Di sinilah pendidikan sepatutnya memainkan peranan untuk membetulkan kepincangan. Pendidikan tidak boleh sekadar berfungsi sebagai mesin melahirkan graduan berkelayakan akademik semata-mata tetapi pada masa yang sama ia mampu melahirkan warga negara yang beraklak mulia, berfikiran kritis dan keupayaan mengurus perbezaan secara rasional dan matang. Tanpa komponen ini, masyarakat mudah dimanipulasi oleh naratif simplistik dan emosi politik.
Jika para politikus terus-menerus menyemai bibit-bibit kebencian dan sistem pendidikan pula gagal berfungsi melahirkan generasi yan berfikiran matang, terbuka dan rasional serta pemupukan nilai moral dikesampingkan maka akibatnya negara berisiko tidak mampu membina keharmonian, perpaduan dan kesepakatan dalam menghadapi pelabagai ujian dan persaingan dalam pelbagai bidang pada masa akan datang. Dalam jangka panjang, yang akan menanggung akibatnya bukan mana-mana parti politik tetapi rakyat sendiri. Pada ketika itu, penyesalan tidak lagi membawa makna kerana segala-galanya telah pun berlaku, bak kata orang-orang tua nasi sudah menjadi bubur.





