Perkembangan wacana awam di media sosial kebelakangan ini menimbulkan kebimbangan yang wajar diberi perhatian serius. Perbincangan berkaitan isu politik dan sosial sering kali dijelmakan dalam nada emosional, bersifat konfrontasi dan memperlihatkan secara jelas ketidakmampuan meraikan perbezaan pandangan. Fenomena ini bukan sekadar isu komunikasi semata-mata tetapi mencerminkan cabaran yang lebih mendalam dalam pembinaan budaya berdialog dan membina pemikiran kritis dalam masyarakat.
Dalam sebuah sistem demokrasi, perbezaan ideologi dan pandangan politik merupakan perkara yang tidak dapat dielakkan. Namun, perbezaan tersebut seharusnya menjadi asas kepada perbincangan dasar yang matang dan berfokus kepada kepentingan awam. Apabila perbezaan pandangan dilihat semata-mata sebagai pertentangan mutlak dimana ruang dialog yang sihat menjadi semakin sempit dan terhakis.
Walaupun wujud kepelbagaian parti dan pendekatan politik, matlamat asas sepatutnya kekal sama, iaitu demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara. Dalam konteks ini, kualiti perbahasan awam menjadi penentu kepada sejauh mana demokrasi dapat berfungsi secara berkesan dan inklusif.
Perlu diakui bahawa naratif politik yang berlegar dalam ruang awam banyak mempengaruhi pola fikir masyarakat, khususnya golongan muda dalam membentuk pandangan mereka. Apabila perbincangan politik lebih menumpukan kepada sentimen berbanding hujah dasar, ia berpotensi menghakis keupayaan masyarakat untuk menilai isu secara rasional dan berimbang.
Peranan pembangkang dalam sistem demokrasi juga wajar dilihat secara menyeluruh. Pembangkang merupakan komponen penting dalam mekanisme semak dan imbang iaitu dengan tanggungjawab untuk meneliti dasar kerajaan, mengemukakan cadangan alternatif dan memastikan akauntabiliti kuasa. Keberkesanan peranan ini bergantung kepada sejauh mana kritikan yang dikemukakan berasaskan fakta, analisis dan kepentingan awam. Namun apa yang dikesalkan perkara itu tidak berlaku di negara kita malah jurang perbezaan pandangan semakin melebar
Dalam masa yang sama, penyokong politik perlu dilihat sebagai sebahagian daripada ekosistem demokrasi yang lebih besar. Apabila kesetiaan politik mengatasi pertimbangan prinsip bahawa kelangsungan dan kemajuan negara sebagai keutamaan maka risikonya isu-isu berkaitan integriti, tadbir urus dan etika awam dinilai secara selektif. Keadaan ini, jika dibiarkan berlarutan, boleh melemahkan kepercayaan masyarakat dan pelabur asing terhadap institusi politik dan pentadbiran negara kita.
Justeru hanya pendidikan yang mampu menjadi penawar dalam membentuk keupayaan masyarakat mengurus perbezaan secara matang. Pendidikan tidak seharusnya terhad kepada pencapaian akademik semata-mata, tetapi perlu memberi penekanan kepada pendidikan sivik, etika awam, literasi media dan pemikiran kritis. Kemahiran ini penting bagi memastikan warganegara mampu menilai maklumat, memahami konteks dan berinteraksi secara beradab dalam ruang awam.
Sekiranya wacana politik terus berkembang tanpa imbangan pendidikan nilai yang kukuh, masyarakat berdepan risiko polarisasi yang semakin mendalam. Dalam jangka panjang, keadaan ini bukan sahaja menjejaskan kualiti demokrasi, tetapi juga keharmonian sosial dan keupayaan negara untuk berdepan cabaran masa depan secara kolektif.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan