Rabu, 1 Januari 2020

Tahun 2020 : Semoga tidak lagi menjadi sebahagian koleksi azam tahun baharu yang kecundang!!!

Sudah menjadi kelaziman setiap orang termasuk diri saya setiap kali menjelang tahun baharu masihi atau tahun baharu hijrah akan tersemat azam baharu yang ingin dilaksanakan. Bukan main berkobar-kobar. Akhirnya.....wal hasil balik asal.  Maka azam setiap tahun baharu menjadi koleksi azam kecundang.

Pada tahun 2020 ini marilah kita perbanyakan sedekah. Marilah kita insafi ayat 10 Surah Al Munafikun yang menganjurkan kita agar bersedeqah dan berinfaq.

وَأَنْفِقُوا مِنْ مَا رَزَقْنَاكُمْ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ فَيَقُولَ رَبِّ لَوْلَا أَخَّرْتَنِي إِلَىٰ أَجَلٍ قَرِيبٍ فَأَصَّدَّقَ وَأَكُنْ مِنَ الصَّالِحِينَ

Dan belanjakanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang kematian kepada salah seorang di antara kamu; lalu ia berkata: "Ya Rabbku, mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematian)ku sampai waktu yang dekat, yang menyebabkan aku dapat bersedekah dan aku termasuk orang-orang yang shaleh?"

Ruang lingkup bersedekah juga sangat luas, justeru hayati Sabda Junjungan Besar Nabi Muhamad SAW tentang sedekah yang diriwayatkan oleh Termizi yang bermaksud,

“Senyummu kepada saudaramu ialah sedekah bagimu; kamu memerintah kepada kebaikan dan melarang kemungkaran ialah sedekah; kamu memberi petunjuk kepada seseorang sesat di jalan ialah sedekah; kamu melihat kepada seseorang yang tidak dapat melihat dan menolongnya sedekah bagimu; kamu menghilangkan batu, duri dan tulang di jalan ialah sedekah bagimu dan kamu memasukkan air daripada timbamu ke timba saudaramu sedekah bagimu.” 


Mari kita perhatikan hadis lain tentang sedekah yang diriwiyatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud : “Tiada suatu pagi (hari) pun yang dilalui seorang hamba melainkan akan ada dua malaikat turun dan berdoa: Ya Allah! Berikan kepada pemberi sedekah ganti (sedekahnya). Malaikat satu lagi berdoa: Ya Allah! Berikan kepada orang yang menahan (sedekah dan kedekut) kemusnahan.” 

Apa yang membelenggu kita untuk bersedekah adalah perasaan takut akan ketidakcukupan. Ini adalah kerana berdasarkan pertimbangan logik perkiraan matematik, jika harta atau wang yang kita miliki diberikan sebahagiannya kepada orang lain maka ia akan mengurangi harta atau wang kita yang kita miliki. Contohnya, katalah saya memiliki RM10.00 jika saya sedekahkan RM2.00 bermakna duit saya telah berkurangan. Sebenarnya ia tidak sedemikian dalam pandangan dalam Islam kerana apa yang disedekahkan akan digantikan oleh Allah SWT dalam situasi
 dimurahkan rezeki, terhindar bala bencana, kesihatan yang baik, dipanjangkan umur, mencegah daripada kematian buruk atau dalam keadaan tidak beriman (su’ul khotimah). Malah amalan bersedekah membawa rahmat, selain menghapuskan sifat sombong, takbur serta menunjuk-nunjuk dengan pemberiannya.


Marilah sama-sama kita manfaatkan kesihatan, kelapangan dan usia kita dengan bersedekah kerana sedekah tidak semestinya dengan wang ringgit dan harta benda sahaja.  Sekiranya kita memiliki kemahiran memasak, bertukang, menjahit, membaiki kenderaan, mengurut, membaiki handphone lalu diajarkan kepada orang lain juga adalah sedekah.  Jika kita seorang aktivis yang menjalankan kerja-kerja dakwah dan kerja-kerja amal maka sebaik-baiknya kita pelawa atau ajak orang lain untuk bersama-sama  kita, mudah-mudahan menjadi sebahagian sedekah kita.

Sempena tahun baharu 2020 marilah kita budayakan amalan bersedekah dalam kehidupan harian kita. Allah SWT menyukai hambaNya yang melakukan amalan kebaikan secara berterusan walaupun sedikit. Ini diterangkan oleh Syaidatina Aisyah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda, 
“Wahai manusia lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Amalan yang paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.” (HR: Bukhari dan Muslim)

Tiada ulasan: