Jumaat, 3 Januari 2020

Surah Al Mulk : Bersediakah kita bersendirian di alam kubur?

Sesiapa yang pernah terperangkap dalam lif bersendirian pasti akan trauma.  Keadaan yang gelap pekat makin lama makin panas, berpeluh-peluh dan terasa dada seperti terhimpit kerana oksigen semakin berkurangan akan membuat mangsa berasa cemas dan panik. Saya percaya sesiapa sahaja yang melalui situasi seperti itu akan menjadi desprade dan akan berusaha sedaya upaya dengan segala kudrat yang ada untuk segera keluar daripada belenggu yang menakutkan itu. Pengalaman saya, sementara sebelah tangan meraba-raba untuk mencari loceng kecemasan, tangan yang sebelah lagi digunakan untuk mengetuk-ngetuk dinding lif dan kaki pula menghentak-hentak pintu lif sekuat hati dengan dua harapan; pertama agar didengar oleh orang lain supaya bantuan segara diberikan dan yang kedua dengan kepercayaan manalah tau dengan "menggunakan kaki" pintu lif akan terbuka.  Ini baru secebis pengalaman terperangkap dalam lif rosak untuk beberapa minit sahaja yang memang ada harapan untuk diselamatkan. Bayangkanlah di dalam lahad yang 'ngam-ngam" saiz badan kita dengan keadaan gelap yang tidak terperi, meronta dan menjerit sekuat mana sekalipun tiada harapan untuk balik ke dunia. 

Jadi sebelum kita  berada dalam liang lahad yang sempit bersendirian yang tidak ketahui bila masanya eloklah bersiap sedia. Setiap orang beriman tidak boleh memandang ringan perihal di alam barzakh yang bakal mereka lalui satu masa nanti. .Persediaan itu wajib dilakukan. Jaga setiap tingkah laku serta pertuturan seharian kita supaya terhindar daripada mendapat pengakhiran yang buruk. Di dalam kubur, orang yang meninggal dunia akan didatangi malaikat azab bermula di kakinya untuk memberi hukuman.Antara azab kubur itu, didatangkan kepada manusia dua malaikat yang sangat bengis iaitu Munkar dan Nakir. Sekiranya manusia melihat wajah malaikat azab itu, mereka akan pengsan. Di tangannya ada besi penukul dan apabila dihayun tukul itu, nescaya akan hancur semua gunung yang ada di atas muka bumi ini.

Jika seseorang itu sudah menerima seksaan di alam barzakh, maka sudah pasti dia juga tidak akan selamat menghadapi kecelakaan lebih besar menunggunya selepas itu. Sebaliknya, jika seseorang itu selamat daripada seksaan di alam barzakh, dia juga selamat untuk menghadapi permulaan akhirat yang lebih besar dan dahsyat. Bagaimanapun, bagi mereka yang menjadikan Surah Al-Mulk sebagai bacaan harian, di kubur kelak ia akan menjadi penghalang pengamalnya daripada diseksa.
 
Maka, Nabi SAW mengajarkan kita beberapa cara untuk selamat dan selesa ketika berada di alam barzakh, antaranya membaca Surah Al-Mulk pada setiap malam. Sebelum tidur, pastikan kita ambil sedikit masa untuk membaca Surah Al-Mulk. Dengan harapan apabila biasa melazimi bacaan Surah Al-Mulk dan ditakdirkan kita meninggal dunia, Allah SWT akan mengampuni segala dosa serta mengharumkan perkuburan kita menjadi sebahagian taman daripada taman syurga.
Sebagaimana diriwayatkan oleh Jabir r.a bahawa sudah menjadi kebiasaan Rasulullah SAW tidak akan tidur selagi tidak membaca Tabarakallazi biyadihil Mulk dan Alim Lam Miim Sajadah. (HR: Ahmad, Tirmizi)
Kehebatan dan keampuhan Surah Al Mulk dijelaskan melalui hadis lain yang bermaksud “Al-Quran mengandungi satu surah terdiri daripada tiga puluh ayat yang akan mensyafaati pembacanya sehingga dia diampunkan iaitu Tabarakallazi biyadihil Mulk.” (HR: Abu Dawud, Ahmad, at-Tirmizi)

Ayoh sahabat-sahabat kita mulakan malam ini menjadikan amalan membaca dan berusaha menghafal Surah Al Mulk sebagai budaya kehidupan kita.

Semoga kita semua beroleh rahmat dan keredhaanNya

Sila klik pautan di bawah untuk bacaan Surah Al Mulk

Surah Al Mulk Surah 67



Tiada ulasan: