Rabu, 12 November 2025

NASIHAT UNTUK DIRI SENDIRI - SIRI 1

 

SYUKURI NIKMAT ALLAH

Setiap detik kehidupan yang kita lalui adalah anugerah daripada Allah SWT. Daripada nikmat kesihatan, rezeki, keluarga, hingga kepada udara yang kita hirup; semuanya datang daripada limpah kurniaNya yang tidak ternilai. Namun, sering kali kita terlupa untuk mensyukuri nikmat tersebut, seolah-olah ia datang dengan sendirinya.

Surah Ibrahim Ayat 7

وَاِذْ تَاَذَّنَ رَبُّكُمْ لَىِٕنْ شَكَرْتُمْ لَاَزِيْدَنَّكُمْ وَلَىِٕنْ كَفَرْتُمْ اِنَّ عَذَابِيْ لَشَدِيْدٌ ۝٧

(Ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, niscaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), sesungguhnya azabKu benar-benar sangat keras.”

Ayat ini menjadi peringatan besar buat kita semua bahawa rasa syukur bukan sekadar ucapan di bibir, tetapi suatu bentuk pengakuan dan tindakan hati yang mendekatkan diri kepada Allah SWT. Apabila kita mensyukuri nikmat-Nya, Allah menjanjikan penambahan nikmat dalam pelbagai bentuk seperti ketenangan hati, rezeki yang melimpah, kesihatan yang baik,dan keberkatan dalam kehidupan.

Sebaliknya, jika kita kufur atau lalai, maka azab Allah amat pedih. Oleh itu, marilah kita menjadikan syukur sebagai amalan harian, misalnya dengan berzikir, beribadah, berbuat kebaikan kepada sesama manusia, dan menggunakan setiap nikmat yang dikurniakan untuk jalan yang diredhaiNya.


Semoga kita tergolong dalam kalangan orang-orang yang sentiasa mensyukuri nikmatNya.

Ikhlas daripada
Mohd Zain Badui
Rabu 12/11/2025 / 21 Jamadil Awal 1447
Bandar Putra, Kulai

Tiada ulasan: