Khamis, 13 November 2025

NASIHAT UNTUK DIRI SENDIRI - SIRI 2

Doa Ketika Rukuk dan Sujud

اَلسَلامُ عَلَيْكُم وَرَحْمَةُ اَللهِ وَبَرَكاتُهُ
Sahabat-sahabat yang dikasihi,

Solat bukan sekadar pergerakan fizikal, tetapi juga pengabdian hati yang menghubungkan kita dengan Allah SWT. Setiap rukun dan bacaan dalam solat mengandungi hikmah serta keindahan tersendiri. Antara saat yang sangat istimewa dalam solat ialah ketika kita rukuk dan sujud adalah dua posisi yang melambangkan kehinaan dan penyerahan sepenuhnya kepada Allah.

Selepas bacaan tasbih dalam rukuk dan sujud, disunatkan kita membaca doa yang sering diamalkan oleh Rasulullah SAW. Doa ini sangat ringkas namun sarat dengan makna pengampunan dan pengiktirafan terhadap kebesaran Allah SWT.

سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ رَبَّنَا وَبِحَمْدِكَ، اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِيَ

Maksudnya: ‘Maha Suci Engkau, ya Allah Tuhan kami, dan segala puji bagi-Mu. Ya Allah, ampunilah aku.’

Dalil bagi doa ini diriwayatkan daripada Sayidatina Aisyah R.A yang berkata: “Nabi SAW sering membaca dalam rukuk dan sujudnya: سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ رَبَّنَا وَبِحَمْدِكَ، اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِيَ.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 794)

Hadis ini menunjukkan bahawa Rasulullah SAW sentiasa memohon keampunan walaupun baginda adalah manusia yang maksum, menjadi teladan buat kita agar tidak jemu memohon ampun kepada Allah di saat kita paling hampir denganNya  iaitu ketika sujud.

Rukuk dan sujud adalah saat terbaik untuk kita menzahirkan kehinaan diri serta mengharapkan rahmat Allah. Semoga amalan doa ini dapat memperindah solat kita dan menambahkan kekhusyukan dalam ibadah seharian.


Semoga bermanfaat.

Ikhlas daripada,
Mohd Zain Badui
Bandar Putra, Kulai, Johor
Khamis, 13/11/2025 / 22 Jamadil Awal 1447

Tiada ulasan: