Rabu, 19 November 2025

BERMUSAFIR DI HARAMAIN URUS SENDIRI


Masa saya kanak-kanak hinggalah saya menginjak usia dewasa seperti tidak pernah mendengar orang menunaikan ibadah umrah. Kalau ibadah haji biasalah dimana setiap lepas raya idil fitri akan diadakan kenduri selamat untuk orang kampung atau saudara mara yang bakal menunaikan fardhu haji. Masa itu orang pergi haji sangat "gah". Hanya orang yang super berkemampuan sahaja yang mampu menjadi tetamuNya.  

Lazimnya pada waktu itu mereka yang menunaikan fardhu haji akan bertukar nama. Katalah namanya Parjo bin Karto menjadi Haji Abd Samad bin Karto. Proses bertukar nama tidaklah diketahui, bagaimana dan di mana (Mekah atau Madinah) serta siapakah orang yang menukarkan nama mereka.

Status mereka yang menunaikan fardhu haji akan berubah bukan sahaja dengan membawa gelaran haji malah kedudukannya dalam majlis-majlis kenduri turut berubah.  Kalau dahulu sebelum haji akan duduk di tempat biasa nun dibelakang. Setelah bergelar haji akan ditempatkan di meja utama bersama pemimpin masyarakat seperti penghulu, ketua kampung dan imam. Dikira tidak sopan jika tidak disebut "haji" pada mereka yang telah menunaikan fardhu haji. 

Seiring dengan perubahan waktu dan gaya berfikir masyarakat, kini "haji" menjadi suatu perkara yang  biasa atau normal bukan untuk dibangga-banggakan kerana ia adalah kewajiban kepada semua orang islam yang berkemampuan dan cukup syarat-syaratnya.

Sebenarnya industri umrah mula berkembang pesat  dalam kalangan masyarakat islam di Malaysia pada  akhir tahun 1990an dan awal 2000an. Berduyun-duyun orang kita bercuti sambil melaksanakan ibadah umrah terutamanya pada musim cuti sekolah dan bulan ramadhan.  Semenjak itu pemain industri umrah di negara kita tumbuh bagaikan cendawan lepas hujan. Bila dah terlalu banyak  syarikat atau agensi yang menguruskan umrah lalu tidak mustahil ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menjadi "scammer".  Sebelum pendamik covid seperti setiap hari ada adegan atau episod yang terpapar di berita TV atau akhbar tentang wajah pakcik makcik  yang penuh mengharap terkandas di KLIA. 

Berdasarkan pengalaman saya melaksanakan ibadah umrah secara urus sendiri (DIY) semenjak tahun 2017 jadi sukalah saya menasihatkan agar tidak terpesona dan terpedaya jika ada mana-mana pihak yang menawarkan kos umrah yang murah  melampau dan kelihatan agak tidak munasabah, contohnya selepas pendamik kos dibawah RM8000.00 dengan pakej 12 hari 10 malam  dengan penerbangan bukan tambang murah dan kemudahan  penginapan di hotel bertaraf 5 bintang yang jaraknya dalam lingkungan 100 meter ke Masjidil Haram / Masjid Nabawi. 

Bertambah aneh dan perlu merasa curiga sekiranya kos yang ditawarkan sudahlah "murah gila"  kemudian ada tawaran tunai lumayan jika berjaya mendapatkan peserta / jemaah baru. 

Jalan yang terbaik pastikan  agansi yang dipilih berdaftar dengan pihak berkuasa terlebih dahulu. Tidak rugi berwaspada. Begitu juga untuk berjimat dan mahu yang murah jangan terpengaruh untuk mengikuti mana-mana individu yang mengiklankan umrah secara DIY di medsos. 

Sebenarnya melaksanakan umrah secara DIY tidaklah terlalu murah berbanding kaedah biasa melalui agensi. Secara peribadi, saya lebih cenderung melalui kaedah DIY kerana lebih bebas untuk "berlama-lamaan" beriktikaf , pilihan makan dan waktu pulang ke hotel. Kalau dengan agensi kita sentiasa terikat dengan itinerari, Sangat tidak berakhlak jika melalui agensi "ikut kepala sendiri" yang menyusahkan rakan-rakan jemaah lain. Juka mahu melaksanakan secara DIY  mesti sudah ada pengalaman menunaikan fardhu haji dan uruskan sendiri segala-galanya  "A-Z"  seperti tiket penerbangan, penginapan dan sebagainya tanpa melibatkan pihak ketiga. Demi perlindungan dan keselamatan dan keselesaan wajib ambil insuran yang bukan "pay and claim". Ambil yang mahal sedikit tidak mengapa asalkan  tidak keluar wang ribu riban dahulu  jika ditakdirkan masuk hospital 





Tiada ulasan: