Ahad, 2 April 2023

BERKALI-KALI UMRAH DAN HAJI MANAKAH LEBIH UTAMA?

Bermusafir di Haramain bermakna bermusafir di dua tanah haram, iaitu melaksanakan ibadah umrah di Mekah dan melakukan ziarah di Masjid Nabawi di Madinah.  Hukum melaksanakan ibadah umrah dan haji hanya wajib sekali sahaja kepada yang berkemampuan dan cukup syarat-syaratnya. 

Antara dalilnya dalam surah Al Baqarah ayat 196 yang bermaksud "dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah Taala".  Dalam surah Al Imran ayat 97 pula bermaksud, "Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk." 

Kewajiban hanya sekali melakukan ibadah haji dan umrah adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang bermaksud,
“Kewajiban haji itu hanya sekali, barangsiapa menunaikannya lebih dari sekali maka dia telah tathawwu’ (melakukan amalan sunnah).”  Dalam hadis yang lain pula yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A  yang bermaksud “Umrah ke umrah menghapus dosa antara keduanya, dan tidak ada pahala bagi haji mabrur kecuali syurga.” Ini bermakna umrah dan haji hanya wajib sekali sahaja dan umrah kali ke dua dan seterusnya adalah sebagai penghapus dosa.

Nabi Muhamad SAW menunaikan sekali fardhu haji dan melaksanakan umrah sebanyak 4 kali seperti yang diriwiyatkan oleh Syaidina Anas RA, "Rasulullah SAW
 mengerjakan ibadah Haji sekali dan  'Umrah empat kali iaitu:
1.`Umrah dalam Bulan Zulqaidah 
2.`Umrah Hudaibiyah .
3 .`Umrah yang dikerjakan bersama ibadah haji (Haji Qiran) sebagai Haji Wada'.
4.`Umrah dari Ji`raanah (Jakronah) ketika membahagikan harta rampasan perang Hunain. 

Lazimnya bagi seseorang yang pernah menunaikan fardhu haji dan umrah pasti akan rasa rindu untuk hadir semula di bumi harmain. Yang berkemampuan yang punya banyak harta sanggup berhabis untuk berulang-ulang kali menunaikan umrah. Namun demikian kita semestinya berilmu supaya kita tidak silap meletakkan sesuatu yang lebih utama. Saya ambil contoh, katalah seseorang itu pernah menunaikan fardhu haji dan umrah adalah kurang wajar untuk dirinya  melakukan umrah buat kali kedua dengan perbelanjaan yang besar sedangkan sepatutnya wang tersebut digunakan untuk membayar yuran pengajian anak-anaknya di universiti.

Saya juga sangat tertarik dengan pandangan oleh Sheikh Dr Yusof Al Qardhawi yang menegaskan "adalah lebih utama bagi orang islam mengutamakan ibadah fardu kifayah seperti memberi makan kepada orang miskin, memberikan pendidikan, mengubati mereka yang sakit dan memberi perlindungan kepada gelandangan daripada mengeluarkan wang yang banyak untuk menunaikan haji atau umrah" Bayangkan pada waktu ini kos untuk melakukan ibadah umrah bukan pada waktu puncak (cuti sekolah atau bulan ramadhan) adalah antara RM8K - RM10K seorang untuk tempoh 11 atau 12 hari. Jika sepasang suami isteri  pasti akan mencecah kos hampir RM20K. Oleh itu pandangan oleh Dr Yusof Qardhawi wajar diinsafi agar kita semua tidak salah priority. Adalah sangat malang berulang alik umrah sebagai kebanggaan status sosial dan lebih parah lagi sebagai penghapus dosa tanpa berasa gerun melakukan dosa kerana selepas sahaja  berbuat dosa  akan ke Mekah untuk menghapuskan dosa. Pada pandangan saya secara peribadi, bagi yang telah pernah melaksanakan ibadah haji dan umrah adalah lebih utama dan lebih penting mengutamakan kaum kerabat, adik beradik atau jiran tetangga yang sedang dalam kesusahan. Malah lebih terpuji wang yang sepatutnya digunakan untuk umrah bukan kali yang pertama  disalurkan untuk tujuan membantu golongan asnaf seperti anak yatim, pendidikan, penyelidikan atau waqaf untuk kemudahan yang boleh dimanfaatkan oleh orang ramai.