Ahad, 8 Mei 2016

Sebuah impian yang direalisasikan oleh orang lain

Setiap orang di dunia ini pasti mempunyai keinginan dalam kehidupannya yang disebut sebagai impian. Aku juga seperti orang lain, aku memiliki impianku sendiri. Mungkin sama dengan orang lain dan mungkin juga tidak. Sebagai muslim segala urusan yang berkaitan kehidupan hinggalah kematian adalah terpandu berdasarkan peraturan yang ditetapkan oleh Al Khaliq yang melangkaui zaman dan batas sempadan. Islam is the way of life, justeru cita-cita, harapan, keinginan dan impian kita janganlah sampai tersasar bertentangan dengan fitrah hingga mengundang kemurkaanNya. Prioritinya adalah untuk mendapat keredhaanNya. Kalau ditanya apakah impianku, maka jawabannya aku punya banyak impian mengikut amanah dan tanggungjawabku.

Jika ditanya apakah impianku sebagai seorang yang sudah memanjat usia  52 tahun? Yang pertama dan utama impianku adalah nikmat kesihatan yang baik sebelum dan seleas persaraanku. Aku ada berbaki 8 tahun lagi bersara wajib. Hanya kesihatan yang baik sahaja yang mampu bagi diriku melaksanakan tugas, amanah dan tanggungjawab sebagai kapten di tempat kerjaku dengan baik dan sempurna. Sudah tentu selepas aku bersara Allah SWT masih memberikan kepada nikmat kesihatan yang baik agar aku dapat terus berbakti kepada orang lain melalui kerja-kerja amal, bermusafir dan seterusnya meningkatkan amal ibadah sebagai bekalan pulang ke negeri abadi.

Impianku yang kedua, aku ingin memiliki sendiri madrasah tahfiz moden untuk anak-anak yatim dimana aku menjadi mudirnya sebagai mengisi masa yang terluang selepas bersara sambil menantikan aku dipanggil pulang. Tambahan pula menyantuni anak yatim adalah amalan sangat mulia dan terpuji yang ganjarannya adalah syurga dengan berdampingan dengan Rasulullah SAW  umpama jari telunjuk dan jari hantu sebagaimana yang digambarkan oleh hadis yang sahih dan mashur.

Sama seperti semua orang islam yang lain, aku juga mengimpikan agar diriku sentiasa mendapat petunjuk dan hidayahNya, pengakhiran yang baik iaitu husnul khatimah, beroleh keselamatan dan kebahagiaan di dunia hingga ke akhirat.

Seterusnya aku berharap agar aku seperti kedua ibubapaku yang tidak menjadi beban dan ujian kepada orang lain terutamanya anak-anak. Arwah bapaku meninggal dunia pada 8 Februari 1999 ketika hendak menunaikan solat fardhu asar. Ibuku pula kembali menghadap penciptanya 2 minggu sebelum aku berangkat menunaikan fardhu haji iaitu pada 30 November 2005 selepas selesai menunaikan solat fardhu isyak. Pengakhiran yang mudah seperti kedua ibubapaku adalah  impian peribadiku yang terakhir yang sentiasa aku bawa dalam doa-doaku.

Jika ditanya apakah impianku sebagai seorang pengarah institusi yang bertanggungjawab melahirkan bakal-bakal guru? Tentu sekali impianku adalah melahirkan guru yang “berwatak al Quran dan Sunah” iaitu bertaqwa dan beriman, berakhlak terpuji bersesuaian sebagai murabi, penyayang terhadap semua makhluk ciptaanNya tanpa batasan sempadan geografi, bangsa, warna kulit dan agama, pendokong kepada aktiviti kesukarelawanan dan kemanusiaan, penggiat kepada kelestarian alam, inovatif dan kreatif,  “all rounder” dan “multitasking”, “marketable” dan berketrampilan menjadi agen dakwah islam walau apapun pengkhususan latihan perguruan mereka.

Sebagai seorang bapa aku bersyukur kerana Allah SWT menitipkan kepadaku 3 orang anak lelaki dan seorang anak perempuan. Ramai di luar sana yang telah bernikah belasan atau puluhan tahun tetapi masih dalam penantian dan pengharapan. Jadi wajib atas diriku untuk mensyukurinya atas nikmat dan rezeki yang aku terima. Benar aku pernah merasai kecewa dan hampa kerana impianku untuk memiliki seorang zuriat lelaki yang menjadi hafiz dan bergelar ustadz tidak kesampaian. Sejujurnya aku mengakui bahawa aku begitu cemburu melihat orang lain yang memiliki anak lelaki menjadi hafiz dan ustadz. Bertambah cemburu apabila menyaksikan urusan perjalanan terakhir sahabat handai atau saudara mara dipimpin oleh anak lelaki yang bergelar hafiz atau ustadz. Terdetik dihati, aku pun teringin agar urusan perjalanan terakhirku nanti seperti memandi, mengkafankan, mensolatkan hinggalah selesai jenazahku disemadikan dipimpin oleh anak lelakiku yang bergelar ustadz.

Kuliah-kuliah maghrib dan subuh yang aku sering ikuti di masjid  terutamanya yang berkaitan dengan peri pentingnya pengajian al Quran kepada anak-anak yang boleh memberi syafaat kepada kedua ibubapanya daripada terhumban ke neraka sebagaimana yang digambarkan oleh hadis yang diriwayatkan daripada Syaidatina Aisyah R.A begitu kuat mempengaruhi pemikiranku. Lalu sandaran harapanku adalah kepada anak lelakiku yang ketiga. Namun demikian harapanku tidak kesampaian. Tipu dan bohong jika aku tidak kecewa. Lama juga aku memujuk hati ini agar berlapang dada melalui kaedah bermuhasabah diri supaya menerima hakikat betapa kemampuanku sekadar merancang semata-mata, tidak lebih daripada itu.  Sebaik-baik perancangan adalah perancangan yang Maha Esa sebagaimana yang digambarkan dalam surah Al Imran ayat 54.

“Susah-susah ko bagi ewan (panggilan untuk anak ketiga) kat aku jer,biar aku bela.  Allah tak bagi ewan jadi ustadz sebab Allah nak suruh ko lahirkan lagi ramai ustadz. Jadi tak payahlah nak marah-marah budak tu” . Itulah ungkapan kata-kata Tuan Haji Tormadi  seorang rakan pensyarah yang sangat senior pada satu pagi sekitar tahun 2003 semasa kami “ngeteh” di sebuah warong di Jeti Tanjung Leman semetara menantikan bot yang akan membawa kami ke Pulau Sibu tiba.  Walaupun nadanya seakan-akan berseloroh tapi amat berbisa dan mengesankan serta mencabar mindaku berfikir.

Sesungguhnya aku sangat terhutang budi kepada Tuan Haji Tormadi  @ Abang Torm yang banyak menasihati dan menegur tentang kesilapanku. "Janganlah ko bersedih, sentiasalah berlapang dada dan bersangka baik kepadaNya", juga antara kata-kata nasihat Abang Torm yang sering diucapkan kepadaku. Alhamdulillah ewan kini sudah berada dalam tahun dua pengajiannya di UIA. Apapun pilihan anak-anak semuanya sudah tertulis sejak azali. Jadi apalah upayaku hendak menongkah arus melawan takdirNya. “Allah nak suruh ko lahirkan lagi ramai ustadz”  merupakan ayat Abang Torm yang paling “win” yang mendorongku untuk sentiasa mencari peluang melahirkan seramai mungkin hafiz, hafizah, ustadz dan ustazah. 

Kesempatan aku bertugas di sini mulai Disember 2012 aku manfaatkan bersama rakan-rakan dari semenanjung melahirkan seramai mungkin ustadz dan ustazah dalam kalangan anak tempatan dengan membuka kelas mengaji dan mendirikan dua buah madrasah tahfiz.  Aku juga turut mengambil seorang anak angkat lelaki yang sedang belajar di salah sebuah sekolah Tahfiz di Tawau. Disamping itu sebagai kepala sebuah intitusi yang melatih bakal guru, aku mencari peluang untuk melahirkan ustadz dan ustazah dengan mendesak pihak IPGM agar menghantar opsyen Pendidikan Agama Islam ke IPGK Tawau. Alhamdulillah  intake PPISMP 2014 dan PPISMP 2015 telah menyaksikan opsyen Pendidikan Agama Islam turut berada di bumi IPGK Tawau.  Aku berazam untuk tidak mensia-siakan peluang dan kepercayaan pihak KPM kepada IPGK Tawau. Bagi memastikan kemenjadian guru seperti yang dihasratkan oleh negara tercapai, kemajuan mereka aku pantau secara berterusan. Sudah pasti opsyen Pendidikan Agama Islam (PAI) lebih mendapat perhatianku. Setakat ini anak-anak intake 2014 dan 2015 adalah yang terbaik, ramai yang berbakat dalam bidang nyanyian, tarian, sukan dan permainan. Mereka semuanya amat menyenangkan, menghiburkan dan menyejukan mata. Memerhati dan menyaksikan mereka beraktiviti menjadi pengubat rindu kepada anak-anak. Anak-anak IPGK Tawau akhlak dan sahsiahnya terpuji, buktinya tidak ada seorang pun yang dirujuk kepadaku kerana salahlaku disiplin. Insha Allah majlis konvokesyen IPGM pada tahun 2019 dan 2020 IPGK Tawau akan turut melahirkan ustadz dan ustazah.

Mulai Jun ini, IPGM akan memperkenalkan elektif terbuka kepada pelajar PISMP Semester 1. Aku semak senarai panjang pilihan elektif terbuka yang ditawarkan, hanya elektif terbuka Pendidikan Islam sahaja yang paling menarik perhatianku. Sebenarnya inilah peluang terbaik kepadaku untuk melahirkan tambahan ustadz dan ustazah  dari kalangan guru pelatih bukan opsyen / major PAI di IPGK Tawau. Aku telah mengarahkan  KJ Jabatan Pendidikan Islam dan Moral agar menawarkan elektif Pendidikan Islam kepada pelajar  yang bukan opsyen PAI.  Berdasarkan “body language” KJ JAPIM dapat aku fahami  bahawa beliau agak keberatan untuk melaksanakan elektif terbuka tersebut. Aku bertegas agar diteruskan juga dan aku memberi tempoh seminggu untuk  berbuat sesuatu agar elektif pendidikan islam dapat direalisasikan. 

Jumaat lepas genaplah seminggu, KJ JAPIM menemui aku kembali untuk melaporkan perkembangan dan kemajuan seperti yang aku arahkan. Sambil menyerahkan fail yang mengandungi senarai nama beliau memaklumkan baru ada 3 orang pelajar yang menyatakan minat untuk mengambil elektif pendidikan islam. Seterusnya sambil menundukan kepala, beliau memaklumkan bahawa sukar baginya untuk melaksanakan elektif tersebut kerana syarat untuk membuka sesuatu elektif terbuka sekurang-kurangnya ada 10 orang pelajar. Laporan tersebut agak mengecewakan aku sebenarnya. Sekali lagi aku tidak berganjak dengan pendirian awalku agar elektif terbuka pendidikan islam diteruskan walau apa pun  keadaannya. Sebelum mengakhiri pertemuan dan perbincangan dengan KJ JAPIM, aku menyatakan bahawa aku berkeyakinan  sekurang-kurangnya 10 orang pelajar yang diperlukan mampu dicapai sebaik sesi pengajian baharu bermula. Sekiranya masih tidak cukup, aku sendiri yang akan berjumpa pelajar  untuk berkempen. Andainya masih tidak cukup juga,  aku bersedia memikul tanggungjawab sekiranya dipersalahkan oleh IPGM kerana melaksanakan elektif terbuka  hanya dengan tiga orang pelajar sahaja.

Aku nekad mengambil keputusan yang akan membuat ada pihak yang tidak gembira dan tidak selesa kerana aku percaya peluang seperti ini tidak datang selalu dan mungkin hanya sekali ini sahaja. Mustahil aku dapat menggembirakan dan memuaskan  hati semua orang.  Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Hanya keberanian menghadapi risiko bersusah payah terlebih dahulu sahaja yang akan dapat menikmati kemanisan hasilnya dikemudian hari.

Selepas KJ JAPIM beredar, aku buka fail senarai nama yang diserahkan kepadaku dan semasa aku membelek-beleknya tanpa disedari tertumpah airmataku mengiringi pelbagai perasaan yang bercampur baur; antara gembira, bangga, terharu dan tersentuh semuanya menjadi satu. Sebenarnya semasa KJ JAPIM melaporkan baru ada 3 orang pelajar yang berminat, terus serta merta tergambar tiga wajah dimindaku iaitu Shukri bin Supardi  daripada opsyen Bimbingan dan Kauseling, Najihah binti Ismail dan Nur Aina Aqilah binti Razali pula daripada opsyen Pemulihan. Najihah dan Aqilah sememangnya aku sangat familiar kerana kelibat dua orang anak gadis ini sering kelihatan di Masjid Al Nur dan Pusat Sumber. Gaya dan perawakan dua anak gadis ini turut menjadi sebahagian penawar rinduku kepada Izzaty, anak gadisku yang kini sedang menuntut di USM. Shukri pula pandai bergaul dan bersembang dengan orang yang lebih berusia.  Gayanya melayan aku sambil menantikan masuknya waktu isyak membuat terubat rinduku pada Ewan. Sering kali juga selepas solat isyak sambil berselawat dan bersalaman Shukri aku peluk dan cium seperti aku mencium anak-anak bujangku selelpas selesai solat berjemaah. Betapa bertuah dan beruntungnya ibubapa kalian yang memiliki anak-anak seperti kalian. Tanpa paksaan dengan rela hati kalian bertiga ikhlas memilih elektif pendidikan islam. Semoga Allah SWT sentiasa merahmati dan memudahkan segala urusan kalian bertiga.  Subhana Allah Maha Suci Allah!!!...apa yang tergambar dimindaku sama dengan senarai nama yang aku terima yang sedang aku belek-belek.

Kepada anak-anaku Shukri, Najihah dan Aqilah diucapkan jutaan terima kasih kerana berani memilih untuk mengambil elektif pendidikan islam. Janganlah sesekali kalian bertiga mengalah, putus asa dan berasa gentar untuk menyahut cabaran lapan semester mengikuti kursus elektif pendidikan islam. Percayalah bahawa suatu hari nanti Shukri akan menjadi guru kaunseling terlatih bertaraf ustadz sementara  Najihah dan Aqilah bakal menjadi guru pemulihan terlatih yang turut berkelayakan mengajar agama bertaraf ustazah. Setakat ini seperti belum pernah kita temui guru  kaunseling, guru pendidikan khas atau guru pemulihan terdiri daripada kalangan ustadz dan ustazah. Insan-insan istimewa di luar sana pun sama seperti insan normal yang lain, mendambakan pendidikan agama yang berkualiti. Pendidikan agama yang berkualiti untuk anak-anak pendidikan khas dan pemulihan hanya boleh dicapai sekiranya guru-gurunya yang terlatih dalam bidang pendidikan khas dan pemulihan adalah juga seorang ustadz atau ustazah.  Najihah dan Aqilah kalian adalah perintisnya.

Aku berdoa kepadaMu Ya Rabb agar lebih ramai lagi yang terbuka hatinya untuk mengikuti elektif pendidikan islam menjelang sesi baru pengajian Jun 2016 dibuka.  Ya Allah, Kau berilah kesempatan kepadaku untuk sama-sama mencorakkan mereka sehingga tamat pengajian mereka. Kau berikan kepadaku nikmat kesihatan yang baik dan umurku yang panjang agar aku dapat menyaksikan anak-anak hebat ini bergraduat pada tahun 2020. Pastinya pada waktu itu akulah orang yang paling megah dan berbangga kerana IPGM hantar 20 orang untuk dilatih menjadi ustadz dan ustazah tapi aku dapat melahirkan  lebih daripada jumlah itu.  Bertambah eksyennya aku kerana opsyen kaunseling dan opsyen pemulihan turut ditawarkan di kampus-kampus lain tetapi tidak sehebat pelajar kaunseling dan pemulihan Kampus Tawau yang berani menyahut cabaran mengambil elektif pendidikan islam hingga melayakkan boleh dipanggil ustad dan ustazah.

Akhir kalam, hanya ungkapan terima kasih sahaja yang dapatku titipkan buatmu Abang Tormku atas teguran dan nasihat yang telah mengubah gaya berfikirku tentang impian dan harapan. Sangat benar kata-katamu bahawa apa yang kita impikan semuanya Allah akan kabulkan, cuma ada yang digantikan dengan yang lain, ada yang ditangguhkan waktunya sesuai dengan kehendakNya. Kini aku sudah boleh menerima hakikat dan sudah mampu tidak bersedih kerana impianku untuk melahirkan seorang ustadz atau hafiz dari kalangan anak lelakiku tidak kesampaian, namun aku bersyukur kerana Allah gantikan dengan anak-anak orang lain melalui hasil usahaku. Aku mengimpikan seorang tetapi Allah gantikan dengan puluhan ustadz dan ustazah, malah yang lebih bergaya lagi, insha Allah akan terlahir ustadz guru kaunseling dan ustazah-ustazah guru pemulihan daripada institusi yang aku pimpin. Hakikatnya yang perlu aku syukuri bahawa sebuah impianku telah direalisasikan oleh orang lain dengan lebih baik dan lebih sempurna.

Kepada anak-anaku Abang Uzair, Kakak Zaty, Ewan dan Emir ketahuilah bahawa ayah kamu mempunyai sebuah impian untuk memiliki madrasah tahfiz moden khusus untuk anak-anak yatim. Andainya impian ayah  tidak kesampaian  mungkin pada suatu masa nanti kamulah yang akan merealisasikannya.



Tiada ulasan: