Rabu, 7 Mei 2014

Apakah Kesudahan Episod MH370

Pelbagai usaha mencari dan menyelamat telah dilakukan sejak hari pertama kehilangan MH370 tetapi sehingga kini setelah hampir dua bulan pencarian belum menampakkan hasilnya. Semakin banyak laporan yang kita ikuti dari pelbagai sumber telah menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawaban yang kita kehendaki. Ke mana dan di mana sebenarnya MH370 menghilang??? Mungkinkah ia sebenarnya tidak terhempas di Lautan Hindi seperti yang kita sangkakan tetapi sebenarnya berada di destinasi lain. Semuanya serba mungkin. 

Katalah tidak terhempas di Lautan Hindi tetapi terhempas di tempat lain samada di lautan, pantai, sungai, bukit, gunung, gaung atau hutan belantara pasti akan terjumpa cebisan pesawat tersebut. Laporan atau berita yang kita ikuti dari pelbagai agensi adalah mengikut persepsi berdasarkan kepentingan masing-masing. Sesetengah laporan memperlihatkan sikap bias dan dangkal dengan tersirat niat untuk membinasakan imej dan reputasi negara kita. Ditambah dengan kepesatan perkembangan teknologi masa kini khususnya peranan yang dimainkan oleh media sosial telah menyemarakan lagi kemunculan pelbagai spekulasi. Apakah nasib anak kapal dan penumpang MH370 terus menjadi misteri. 

Berbalik kepada pelbagai spekulasi yang timbul, kita kena berlapang dada dan akur bahawa tindak tanduk kita sendiri sebenarnya turut mengundang kepada kemunculan spekulasi yang melemaskan. Gaya bertindak dalam menangani isu ini bukan sahaja perlu memperlihatkan kematangan tetapi perlulah bersesuaian dengan gaya berfikir masyarakat yang sudah berubah lantaran ledakan maklumat disekeliling mereka yang boleh dicapai melalui hujung jari. Sesungguhnya kita sangat memahami betapa berat tanggungan bagi keluarga  mangsa yang terlibat dalam mengharungi suasana yang tidak pasti dalam menantikan berakhirnya episod ini.





Tiada ulasan: