Ahad, 25 Mac 2012

Selamatkah Kita?

Pengalaman pahit yang saya alami pada 13 September 2011 akan terpahat semat dalam sanubari hingga ke akhir hayat. Tarikh itu sebenarnya sangat besar ertinya dalam kehidupan kami kerana pada tarikh itu bermulanya peperiksaan UPSR untuk anak bongsu kami,dan pada tarikh itu kami disamun oleh 4 orang warga asing yang bersenjatakan parang, kapak dan pemutar skru. Menjadi kelaziman bila nak-anak akan menduduki peperiksaan saya akan bangun malam untuk bersahur dan melakukan ibadah sunat untuk memohon kehadrat Illahi semoga dipermudahkan segala urusan anak-anak yang menduduki peperiksaan.

Pada malam itu saya bangkit jam 3.30pagi, selepas sahur saya melakukan solat2 sunat. Sebaik sahaja saya tamat solat hajat empat orang menyerbu ke arah saya, seorang daripadanya mengacukan pemutar skru di leher sebelah kanan, seorang meletakan parang disebelah leher kiri, seorang lagi mengacukan kapak ke arah kepalaku dan perompak yang ke 4 bertindak mengikat tangan saya. Saya dikat dan muka diserkup dengan kain. Saya di bawa naik ke tingkat atas ke bilik anak sulong kami dan seorang perompak itu terus mengikat anak sulong kami. Kemudian ke bilik sebelah yang menempatkan anak anak gadis kami dan anak bongsu kami yang aakan menduduki peperiksaan UPSR pada keesokan harinya. Saya merayu supaya jangan dikejutkan anak bongsu kami tetapi rayuan saya tidak diendahkan. Anak gadis dan anak bongsu kami tetap dikejutkan dan diikat tangan mereka. Kami dikumpulkan dibilik utama dalam keadaan tangan berikat umpama tawanan dalam filem aksi. Kami hanya mampu menyaksikan mereka menggeledah mencari barag-barang berharga sambil berdoa memohon bantuan dan perlindungan dari Allah swt.

Antara barang-barang yang diambil oleh perompak adalah barang kemas milik isteri dan anak perempuan, komputer riba milik saya isteri dan anak-anak, duit RM3000 untuk installment bulan September, insuran dan roadtax levina yang kebetulan akan tamat pada 15 September 2011, RM1000 duit benih kelapa sawit yang sepatutnya dibayarkan kepada MPOB, dan RM800 duit khairat IPGKTI. Hanya ayat kursi dan ayat yang ke 128 & 129 surah taubah sahaja yang mampu saya baca berulang-ulang kali dalam hati agar peristiwa yang mengerikan dan mencemaskan itu berakhir dengan pantas tanpa mencederakan isteri dan anak-anak saya. Saya redha jika saya diapa-apakan asal isteri dan anak-anak tidak dapa-apakan. Ambilah apa yang mereka mahu asal isteri dan anak-anak tidak diapa-apakan.

Walaupun kejadian itu merupakan peristiwa yang amat mengerikan dan menimbulkan trauma kepada kami sekeluarga tapi kami bersyukur kami tidak dicederakan. Selepas kejadian itu saya kerap dipanggil oleh pihak polis ke balai polis berhampiran untuk membuat pengecaman tetapi sehingga kini belum ada khabar atau petunjuk yang penjenayah-penjenayah itu telah berjaya di berkas.

Pengalaman kerap berulang-alik ke balai polis untuk membuat pengecaman membolehkan saya bertemu dengan ramai mangsa rompakan bersenjata dinihari di sekitar bandaraya Johor Bahru. Ganas dan kejamnya perompak warga asing ini hingga sanggup mencederakan mangsa dengan senjata tajam malah ada yang dipatahkan kaki mereka gara-gara tidak mendapat "habuan" seperti yang diharapkan.

Saya percaya dan yakin mereka yang senasib dengan saya yang semuanya adalah warganegara, bila menjelang waktu malam pasti akan terdetik "Selamatkan kita hari ini dari ancaman perompak bersenjata warga asing" ????

Tiada ulasan: