13 - 16 Disember 2019 yang lalu aku datang lagi. Ini adalah kali kedua bagi tahun 2019. Sebenarnya, ntah kali yang ke berapa aku ke bumi Aceh. Tidak terhitung kerana seperti mulih atau pulang kampung!!!. Setiap ramadhan selepas tsunami di sinilah port aku. Aku pernah menyambut ramadhan bersama isteri di sini. Beberapa tahun selepas itu aku menyambut idilfitri bersama famili juga di sini. Aku tidak pernah serik untuk terus datang lagi selagi aku sihat dan punya kelapangan rezeki.
Sejujurnya musibah tsunamilah yang membawa
aku dan familiku mengenali Aceh lalu kami jatuh cinta dengannya. Tiap
sesuatu yang Allah SWT jadikan pasti terselit hikmah yang tidak
terjangkau oleh akal insan yang lemah dan kerdil seperti kita.
Walaupun dalam
sekelip mata sahaja musibah tsunami telah menyebabkan ada anak-anak yang
menjadi yatim dan yatim piatu, ada isteri yang menjanda kerana kehilangan
suami, ramai juga sang lelaki yang kehilangan isteri dan anak-anaknya, tidak
kurang yang kehilangan saudara mara dan jiran tetangga malah ramai yang jatuh
miskin kerana kemusnahan harta benda serta ramai yang terkesan dengan trauma
yang mendalam untuk tempoh yang lama tetapi usah dilihat dari sudut
pandang bahawa tsunami adalah kifarah semata-mata. Bersangka baiklah kepadaNya.
Insafilah bahawa ujian itu bukan khusus
untuk penduduk Aceh semata-mata tetapi juga ujian buat kita yang mengaku
bersaudara seagama. Persaudaraan dan berkasih sayang dalam islam tiada batasan
sempadan geografi, warna kulit, bangsa dan suku kaum. Andainya kita sekadar
memerhati tanpa memberikan sebarang bantuan pasti di sana kelak kita tidak akan
mampu menjawab soalan oleh Rabul Jalil mengapa berdiam diri tidak membantu
saudara-saudara kita ketika mereka ditimpa kesusahan atau musibah.
Ada juga yang mengusik nakal, mengapa di Aceh sahaja sedangkan tsunami sudah berlalu 15 tahun yang lalu. Untuk makluman, group kami tidak pernah mengkesampingkan saudara-saudara seagama di tempat lain seperti di Syria, Rohingya dan kawasan-kawasan bergolak. Cuma kami tidak ke sana, tetapi Alhamdulillah kami punya rangkaian untuk mewakili kami menyalurkan bantuan atau sumbangan kepada saudara-saudara kita yang memerlukan di tempat-tempat yang bergolak itu.
Mengapa Aceh menjadi pilihan? Berbanding tempat-tempat lain, hanya Aceh sahaja yang terjangkau dalam kemampuan kami membawa anak-anak didik kami yang bakal menjadi guru untuk menimba pengalaman melaksanakan kerja-kerja amal di peringkat antarabangsa. Tambahan pula selepas musibah Tsunami, di Banda Aceh sahaja terdapat lebih 100 buah rumah atau asrama anak yatim persendirian yang keadaannya memang memerlukan perhatian, sokongan dan bantuan. Kami juga tidak berkecil hati kepada sahabat-sahabat yang gurauannya agak sinikal, konon usaha kami seperti kera di hutan disusukan anak sendiri mati kelaparan. Mungkin silap kami juga kerana tidak berkongsi berita dan gambar-gambar aktiviti bulanan kami seperti berkonvoi atau menaiki keretapi menyantuni asnaf dalam negeri. Bagi kami yang penting biar sedikit tetapi istiqamah dan seterusnya yang paling utama dapat melibatkan bakal-bakal guru secara konsisten supaya dapat dipupuk rasa "ketagihan" untuk terus melakukan kerja-kerja amal walau dimana kelak mereka dipostingkan.
Program kali ini adalah lanjutan daripada
program yang dilaksanakan oleh Alumni Sri Temenggong pada bulan Ramadhan yang
lalu. Kali ini ia dianjurkan secara bersama dengan beberapa buah persatuan atau
pertubuhan seperti Persatuan Kebajikan Temenggong Prihatin, Pertubuhan Pendidikan
Islam Kampus Temenggong Ibrahim dan Kelab Sahabat Asnaf Prihatin. Seramai 21 orang telah menyertai misi ini
yang terdiri daripada gabungan pelbagai latarbelakang dan peringkat umur. Yang paling otai berusia 68 tahun dan yang
paling muda berumur 6 tahun. Lebih istimewa lagi ia turut disertai oleh 8
orang guru pelatih dari Kelab Sahabat Asnaf Prihatin yang bertindak sebagai
fasilitator.
Semasa bulan Ramadhan yang lalu pihak
Alumni Seri Temenggong telah berjaya mengumpulkan hampir RM80K untuk
disumbangkan kepada beberapa buah panti (asrama) anak yatim di sekitar Banda
Aceh dalam bentuk wang tunai dan bahan-bahan kering untuk kegunaan iftar dan
sahur sepanjang bulan Ramadhan. Walaubagaimanapun pendekatan program kali ini agak
sedikit berbeza daripada program yang lepas iaitu tidak lagi berorientasikan memberikan
sumbangan kewangan atau barangan semata-mata tetapi dalam bentuk memberikan
ilmu pengetahuan dan kemahiran secara “hands on” dimana mereka (anak-anak yatim) diajar
membuat kek dan roti. Ini adalah selaras dengan objektif program ini adalah untuk
menjadikan mereka (anak yatim dan yatim piatu) berdikari, prihatin dan
berdayasaing.
Nur Alia Syafiqaah binti Abdul Halim
Sebelum bengkel membuat kek dan roti
dijalankan, anak-anak yatim ini disantuni terlebih dahulu dengan
aktiviti-aktiviti yang bercorak agak “fun” dan menyeronokkan bersesuaian dengan
tahap usia mereka supaya mereka rasa dihargai dan pada masa yang sama boleh
meningkatkan kesedaran, semangat dan motivasi diri. Sebenarnya
aktiviti-aktiviti ini adalah seumpama “ice breaking” supaya mereka lebih selesa
dan berminat dan ternanti-nanti untuk mengikuti aktiviti-aktiviti seterusnya.
Berdasarkan pengamatan dan pemerhatian, terpancar diwajah anak-anak yatim di Panti Madini Aziziyah dan Panti Syamsul Fata keterujaan, keceriaan dan kegembiraan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan