Kebetulan isteri
bersama team PPD Johor Bahru berminat untuk turut sama dalam program ini bagi
membantu guru-guru sekolah di sana melalui perkongsian amalan terbaik, telah
melontarkan cadangan agar sekurang-kurangnya satu atau dua orang daripada
fasilitator untuk program ini seelok-eloknya adalah siswa-siswi guru daripada
kalangan anak yatim dan sekiranya ada yang memiliki pengalaman pernah menjadi
penghuni asrama anak yatim, itu adalah yang terbaik dan akan menjadi bonus. Keberkesanan sesuatu program sebenarnya banyak bergantung kepada faktor fasilitator. Apabila fasilitatornya hampir sebaya dan mempunyai pengalaman
seperti mereka, para peserta (anak yatim Aceh) akan berasa selesa dan seronok
untuk mengikuti program tersebut dengan tekun dan bersungguh-sungguh. Dikatakan sebagai bonus kerana fasilitator yang memiliki pengalaman sebagai anak yatim dan pernah menjadi penghuni
asrama anak yatim lebih memahami masalah yang dihadapi oleh anak-anak
yatim dan menjiwai keperluan dan impian mereka. Dipendekkan cerita, hasil
daripada lontaran idea tersebut telah membawa kepada penemuan seorang siswi
guru yatim piatu semester 7 Bimbingan dan Kaunseling bernama Nur
Alia Syafiqah binti Abdul Halim. Gambaran yang diberikan oleh siswa-siswa
guru yang sering bersama saya di surau keatas Nur Alia Syafiqah ini amat
memilukan dan menyentuh emosi.
Walaupun hampir
dua tahun saya bertugas di sini, tidak ramai siswi guru yang saya kenal
berbanding masa saya bertugas di Tawau. Di sana saya boleh mengenali dan
mengingati nama hampir semua siswa dan siswi terutamanya yang muslim kerana setiap
hari saya boleh melihat siswa dan siswi guru yang datang solat berjemaah di
masjid pada waktu subuh, maghrib dan isyak. Kebiasaannya pada hari
sabtu dan ahad ada makan-makan selepas solat subuh, begitu juga selepas solat
isyak terutamanya pada malam jumaat. Aktiviti makan-makan bermula
daripada menyediakan juadah hinggalah mengemas dilakukan secara bergotong
royong. Setiap orang ada peranan masing-masing dan mereka akan berhenti untuk
solat berjemaah dan sambung semula selepas itu. Kami menikmati hidangan
beramai-ramai di beranda masjid. Kaedah menikmati hidangan atau jamuan adalah
berkonsepkan "makan berjemaah" iaitu makan dalam dulang. Tiada dulang
khusus untuk pengarah atau pensyarah. Sesiapa pun bebas untuk pilih group
"makan berjemaah" asalkan dalam kelompok jantina yang sama. Saya
tidak menggalakan pensyarah makan sesama pensyarah sahaja. Momen masa makan
berjemaah adalah yang paling saya gemari kerana gelagat anak-anak siswa-siswi
guru menghiburkan. Bagi siswi pula, pada
waktu "makan berjemaah" selepas solat fardhu seolah-olah masa untuk mereka memperagakan pelbagai warna dan fesyen telekung masing-masing sambil mereka menikmati
hidangan. Suasana begini memang meriah, menarik dan menyeronokan. Jadi pada
waktu "makan berjemaah" inilah saya berperanan seperti seorang bapa
yang boleh mengesan bilangan anak-anaknya samada cukup atau tidak, sambil
itu saya boleh berkomunikasi dan beramah mesra dengan mereka. Tidak dinafikan
saya merindui momen seperti itu bila saya bertugas di sini.
Berbeza di sini,
saya tidak tau siapa dan berapa ramai siswi guru yang datang solat berjemaah di
surau. Di sini pun ada makan-makan lepas solat subuh pada pagi jumaat
dan selepas selesai solat fardhu isyak pada malam
jumaat, tetapi saya tidak dapat melihat berapa ramai siswi guru yang
hadir solat berjemaah dan yang turut sama makan-makan. Tiada ruang langsung
untuk saya berkomunikasi dengan siswi guru di Surau Al Jawahir. Keadaan fizikal
surau Al Jawahir sebenarnya yang menyebabkan keadaan demikian. Itulah
sebabnya agak sukar bagi saya untuk membayangkan siswi guru yang bernama Nur
Alia Syafiqah binti Abdul Halim. Insha Allah keadaan fizikal Surau Al
Jawahir akan berubah tidak berapa lama lagi apabila dana yang diperlukan untuk menaik taraf
Surau Al Jawahir berjumlah RM300K yang diusahakan oleh Alumni Seri Temenggong
dan Pertubuhan Temenggong Prihatin bersama Pertubuhan Pendidikan Islam Kampus
Temenggong Ibrahim berjaya dikumpul.
Aidil, Alia, Penulis dan
Faizul
Pada 18 Julai
yang lalu, Nur Alia Syafiqah bersama Faizul Helmi selaku Pengerusi Permata
Surau Al Jawahir dan Aidil Ariffin pelajar semester 3 yang sangat istiqamah
solat berjemaah di Surau Al Jawahir telah saya panggil ke pejabat. Selepas selesai
sesi takruf, saya sampaikan hasrat untuk membawa mereka bertiga ke Aceh
sebagai fasilitator program anak-anak yatim anjuran AST disamping tiga orang siswi guru dari IPGK Tawau. Ketiga-tiganya bersetuju menerima pelawaan tersebut, tetapi
Nur Alia Syafiqah yang paling banyak bertanya seperti apakah objektif dan
tujuan program ini, umur peserta (anak yatim Aceh) dan pengisian program.
Disamping itu dia juga turut mengemukakan beberapa cadangan pengisian program
berdasarkan pengalamannya sebagai penghuni asrama anak yatim selama 4 tahun.
Berdasarkan pengalamannya juga, Nur Alia Syafiqah turut berkongsi tentang
kesilapan-kesilapan yang sering dilakukan oleh masyarakat dan orang awam berhubung kaedah menyantuni anak-anak yatim. Kesilapan yang paling besar adalah datang ke rumah
atau asrama anak yatim sekadar untuk menyerahkan sumbangan atau bantuan samada dalam bentukwang ringgit atau barangan, ambil-ambil
gambar kemudian balik. Menurutnya masyarakat perlu sedar dan memahami bahawa anak-anak yatim adalah
sama seperti insan lain yang memerlukan perhatian dan kasih sayang. Seterusnya dia turut meluahkan perasaan kurang gembira keatas sebahagian guru dan pensyarah serta pentadbir sekolah atau institusi pendidikan yang memiliki tanggapan bahawa anak yatim sebagai "golongan yang perlu diberikan bantuan kewangan atau material" sahaja tetapi "terlupa atau terlepas pandang" untuk membangunkan potensi anak-anak yatim dalam pelbagai bidang dan disiplin kehidupan. Sebelum
berakhir perbincangan yang ringkas ini, Nur Alia Syafiqa turut melontarkan idea
tentang pengupayaan anak-anak yatim di Kampus Temenggong Ibrahim untuk
berperanan dengan lebih mapan, tersusun dan berstrategi dalam membetulkan
kesilapan tanggapan dan pendekatan orang ramai terhadap anak-anak yatim dan
seterusnya membantu anak-anak yatim dalam kalangan bakal-bakal guru membina
jati diri dan menjuarai usaha membela dan memajukan anak-anak
yatim.
Nur Alia Syafiqah telah memperlihatkan kematangan dirinya berbanding dengan orang lain yang seusia dengannya. Tidak dapat disangkal pengalaman yang dilaluinya telah mematangkan dirinya. Sebagai salah seoarang pentadbir institusi pendidikan, saya menerima keluhan dan kritikannya dengan hati terbuka dan berlapang dada. Saranan dan cadangan yang dikemukakannya itu pada hemat saya sangat munasabah, realistik dan turut
menjentik minda dan emosi saya agar segera disambut untuk direalisasikan.
Lontaran-lontaran
idea semasa pertemuan tersebut saya kemukakan kepada rakan-rakan usrah
yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang dan respon yang saya terima
amat menggalakan. Penubuhan Kelab Sahabat Asnaf Kampus Temenggong Ibrahim
adalah hasil cetusan idea dan saranan rakan-rakan usrah bagi menyambut cadangan
yang dikemukakan oleh Nur Alia Syafiqah bagi memartabatkan peranan anak-anak
yatim dalam kalangan bakal-bakal guru. Seorang rakan usrah yang berjaya
dalam bidang perniagaannya telah menasihatkan agar anak-anak yatim dan golongan asnaf
yang sering dilihat oleh masyarakat kita sebagai "beban" hendaklah diubah menjadi aset yang sangat bernilai
yang memiliki "super power" bagi melonjakan imej dan kelangsungan organisasi
telah membakar semangat saya untuk menyegerakan penubuhan dan pendaftaran Kelab
Sahabat Asnaf Kampus Temenggong Ibrahim.
Haziq, Firdaus, Penulis,
Alia dan Nani
Bagi
memperhalusi penubuhan dan pendaftaran kelab tersebut supaya lebih kemas dan
tersusun serta menepati objektifnya, beberapa orang guru pelatih termasuk Nur
Alia Syafiqah, Nani, Firdaus dan Haziq telah saya jemput untuk satu
perbincangan ringkas sambil makan malam di Restoran Teh O Beng, Bandar Baru Uda
pada 3 Ogos yang lalu. Saya sengaja mengatur perbincangan ini secara santai
supaya setiap orang selesa mengemukakan pandangan dan idea masing-masing.
Selesai menikmati hidangan makan malam, saya mempersilakan Nur Alia Syafiqah jika tidak keberatan dan tidak mengganggu privasinya untuk berkongsi pengalaman perjalanan hidupnya kepada kami. Dengan tenang dan bersahaja sambil tersenyum Nur Alia Syafiqah mengakui memang benar ada perkara-perkara yang menyakitkan dan membuat hatinya terluka tetapi itu bukan alasan bagi dirinya untuk tidak berlapang dada. Dia meneruskan bicara dengan menegaskan tiada apa yang perlu disembunyikannya, dan tiada apa yang hendak dimalukan kerana hakikatnya seperti yang telah diketahui oleh ramai orang bahawa dirinya adalah anak yatim piatu. Saya sangat "salute" dan kagum dengan anak ini. Dia menyambung bicaranya dengan ungkapan bahawa dia redha dan bersyukur dengan apa yang telah berlaku. Bagi dirinya setiap sesuatu yang berlaku ada hikmahnya yang tersendiri yang tidak perlu diratapi berpanjangan. Tutur katanya sangat cermat dan patah-patah kata yang dipilih tersusun kemas dan amat menginsafkan. Dapat disimpulkan bahawa anak ini menjadi hebat kerana bukan calang-calang ujian yang pernah diharunginya.
Selesai menikmati hidangan makan malam, saya mempersilakan Nur Alia Syafiqah jika tidak keberatan dan tidak mengganggu privasinya untuk berkongsi pengalaman perjalanan hidupnya kepada kami. Dengan tenang dan bersahaja sambil tersenyum Nur Alia Syafiqah mengakui memang benar ada perkara-perkara yang menyakitkan dan membuat hatinya terluka tetapi itu bukan alasan bagi dirinya untuk tidak berlapang dada. Dia meneruskan bicara dengan menegaskan tiada apa yang perlu disembunyikannya, dan tiada apa yang hendak dimalukan kerana hakikatnya seperti yang telah diketahui oleh ramai orang bahawa dirinya adalah anak yatim piatu. Saya sangat "salute" dan kagum dengan anak ini. Dia menyambung bicaranya dengan ungkapan bahawa dia redha dan bersyukur dengan apa yang telah berlaku. Bagi dirinya setiap sesuatu yang berlaku ada hikmahnya yang tersendiri yang tidak perlu diratapi berpanjangan. Tutur katanya sangat cermat dan patah-patah kata yang dipilih tersusun kemas dan amat menginsafkan. Dapat disimpulkan bahawa anak ini menjadi hebat kerana bukan calang-calang ujian yang pernah diharunginya.
Kami yang
mendengar perkongsian perjalanan hidupnya yang berliku-liku dan penuh duka lara
sangat terkesan dan tersentuh, macam mahu copot jantung kami. Nur Alia Syafiqah
memulakan perkongsian kisah hidupnya yang penuh tragisnya ketika berusia
11 tahun. Menurutnya pada suatu hari pada tahun 2008. dalam perjalanan pulang
ke Kelantan dari Pulau Pinang beliau sekeluarga terlibat dalam kemalangan
jalanraya di Grik, Perak. Kereta yang dipandu oleh ayahnya bertembung dengan
kereta lain yang dipandu oleh seorang wanita, akibatnya kereta yang dipandu
oleh ayahnya berpusing-pusing hingga hilang kawalan. Dalam kemalangan itu
ayahnya terkorban di tempat kejadian. Malam itu juga jenazah Allahyarham
ayahnya di kebumikan di Pasir Mas Kelantan tanpa kehadirannya kerana beliau
turut cedera, patah kaki dan terpaksa ditempatkan di Hospital Ipoh untuk menerima rawatan lebih daripada sebulan. Kakinya yang patah telah melalui
beberapa siri pembedahan dan akhirnya tulang kakinya telah disambung dengan besi. Baru
beberapa tahun yang lepas besi tersebut dikeluarkan. Bayangkan seorang
kanak-kanak perempuan yang baru berusia 11 tahun bersendirian di wad yang jauh
daripada kampung halaman tanpa ditemani oleh sanak saudara. Kesakitan dan
penderitaan yang dialaminya ditanggung bersendirian. Terusik dan luluh hati kami yang
mendengarnya.
Sebenarnya
kemalangan yang meragut nyawa ayah yang tercinta bukan ujian besar yang pertama
dilalui oleh Nur Alia Syafiqah. Sebelum berlaku kemalangan itu, ibu dan ayahnya
telah berpisah dan membawa haluan hidup masing-masing. Penceraian kedua ibu bapanya adalah pengalaman yang amat memeritkan dirinya, sebab itu menurut hadis
yang diriwayatkan oleh Abu Daud perkara halal yang dibenci oleh Allah ialah
talak atau perceraian. Akibat perpisahan itu Nur Alia Syafiqah menetap di Pulau
Pinang bersama ayahnya, sementara ibunya pulang ke kampung halamannya di
Besut, Terengganu.
Selepas
discharge daripada Hospital Ipoh, Nur Alia Syafiqah meneruskan
kehidupannya dengan mengikuti ibunya pula di Besut, Terengganu.
Walaubagaimanapun kegembiraan menikmati kehidupan bersama ibunya tidak panjang
dan sekali lagi dirinya diuji apabila ibunya disahkan menghidap kanser tahap 3
semasa dia berada dalam tingkatan satu. Dalam tempoh yang agak singkat, dalam
beberapa bulan sahaja sel-sel kanser merebak begitu pantas ke organ-organ
penting yang lain dan ibunya dijemput menghadap penciptanya sehari
sebelum dia naik ke tingkatan dua. Sekali lagi dia diuji hilang tempat
bergantung, mengadu dan bermanja. Bermula dari saat itulah dia menjadi
anak yatim piatu.
Menurutnya lagi,
babak ujian yang seterusnya adalah lebih getir lagi apabila dia dihantar ke
Asrama Anak Yatim PEKAYA Besut. Keputusan menghantarnya ke asrama anak yatim
amat menjengkelkan, menghampakan dan mengecewakannya. Anak gadis yang baru mahu menjangkau usia 14 tahun pada ketika itu merasakan dirinya seperti terbuang dan
seolah-olah tidak berguna. Sebenarnya gadis ini jiwanya memberontak apabila dia
dihantar ke asrama anak yatim tetapi tidak berupaya untuk melawan dan
mengatakan "tidak". Pada peringkat awal, hari-hari yang dilaluinya di
asrama anak yatim tersebut bagaikan satu penyeksaan yang sangat menyakitkan. Dalam
keadaan sedemikian ditambah pula tanpa sentuhan dan belaian kasih sayang
telah menyebabkan dia mengalami tekanan emosi yang membawa kepada kemurungan.
Kemuncak daripada kemurungan yang dialaminya itu telah menyebabkan halunisasi
dimana seolah-olah ada suara-suara yang membisikan kepadanya agar membunuh
diri. Mujur ada guru-guru di SMK Jabi, Besut, tempat dia bersekolah yang
menyedari perubahan keatas dirinya dan kemurungan yang dialaminya. Hasil
daripada bantuan guru-guru sekolah tersebut telah berjaya menyelamatkan Nur
Alia Syafiqah daripada cubaan membunuh diri, dan secara perlahan-lahan dia
dapat membina kembali keyakinan dirinya untuk bergerak kehadapan.
Sesekali
terutamanya pada cuti sekolah yang agak panjang barulah Nur Alia Syafiqah
dibenarkan pulang bertemu dan bermanja dengan nenek sebelah bapanya yang sudah
agak uzur di Pasir Mas, Kelantan. Selebihnya kehidupannya dihabiskan di asrama
anak yatim bersama-sama dengan rakan-rakan yang senasib dengannya. "Kalau
nak rasa makan sedap kena tunggu bulan Ramadhan sebabnya pada bulan Ramadhan
ramai orang kita yang jadi pemurah", Ujarnya yang agak sinis. Hari-hari
biasa selain bulan Ramadhan sekadar seadanya sahaja. Namun demikian bagi Nur
Alia Syafiqah walaupun sekadar seadanya sahaja tetapi perlu disyukuri kerana
ada orang lain yang tidak bernasib baik hingga tiada apa yang boleh
dimakan.
Sebagai hambaNya
yang lemah dia menyedari bahawa dirinya tidak mampu merubah ketetapan ajal maut
seseorang. Babak ujian yang seterusnya terjadi semasa dia berada dalam semester
4, neneknya yang menjadi tempat untuk menumpang kasih dan bermanja selepas
ibubapanya, telah dijemput pulang oleh penciptanya. Sedih dan hiba seperti rasa
terpukul, namun menurutnya dia tidak boleh membiarkan kesedihan
berpanjangan hingga boleh membinasakan dirinya sendiri. Penawar yang terbaik
baginya adalah sentiasa bersangka baik kepada Allah SWT dengan memujuk hatinya
dengan kisah-kisah agung insan terpilih seperti kisah Nabi Ayyub A.S dan
Nabi Muahamad SAW yang diuji dengan pelbagai ujian yang jauh lebih berat
bersilih ganti. Setelah neneknya meninggal dunia, secara perundangan penjaga
Nur Alia Syafiqa kini sekali lagi berpindah tangan kepada bapa saudaranya
iaitu abang kepada Allahyarham ayahnya pula. Sebelum berakhir
perbincangan kami, saya bertanya, “raya haji dan cuti panjang nanti balik
mana?”. Dia hanya sekadar menjawab, “ rasanya Alia tidak balik Kelantan sebab
nenek pun dah tiada, lagipun pakcik Alia selalu ke KL menziarahi anak-anaknya
di sana”. Daripada jawabanya itu membuat saya tiada kekuatan untuk bertanya
soalan lanjut.
Mendengar Nur Alia
Syafiqah berkongsi pengalaman hidupnya yang mengesankan itu telah mengetuk kembali kenangan 45 atau 46 tahun yang lalu semasa arwah mak bercerita tentang
keperitan hidup yang dilaluinya sebaik tamat perang dunia yang kedua.
Sebelum berkahwin dengan arwah bapak, emak pernah berkahwin dan dikurniakan dua
orang anak. Menurut arwah mak suaminya keluar rumah untuk menjual getah keping
ke Pekan Ayer Baloi terus tidak pulang. Diyakini suami mak telah dibunuh oleh
komunis berdasarkan cerita-cerita orang kampung yang menyaksikan suami mak
diikat tangannya kebelakang, ditutup matanya lalu digiring seumpama lembu yang
hendak disembelih ke arah Sungai Sanglang oleh segerombolan lelaki beruniform
bintang tiga lengkap bersenjata bren gun dengan bayonet yang sangat tajam
terhunus dihujungnya. Tidak berapa lama selepas itu ada yang mendengar bunyi
bren gun di arah Sungai Sanglang. Menurut emak Sungai Sanglang adalah tempat
pembunuhan balas dendam komunis kepada sesiapa sahaja yang disyaki sebagai tali
barut Jepun selepas tamat perang dunia kedua. Biasanya mangsa yang ditembak
atau dipancung mayatnya akan dihumban ke dalam sungai tersebut sebagai habuan
kepada buaya dan biawak. Pada masa itu, tidak ada siapapun yang berani
mendekati Sungai Sanglang.
Malam yang
ketiga selepas suami mak tidak pulang, lebih kurang dalam pukul 10.00 malam,
arwah mak mendengar riuh rendah di luar rumah. Tidak berapa lama kemudian pintu
tengah rumah mak telah dipecah masuk dan lebih 10 orang gerombolan lelaki beruniform
Bintang 3 telah menyerbu masuk tanpa menanggalkan sepatu, menggeledah dan
mengambil barang-barang makanan, pakaian, cadar dan selimut. Subang dan cincin
yang arwah mak pakai pun minta dibuka lalu dirampas. Sempat juga saya bertanya
mak tidak takut ke?? Arwah mak menjawab anak-anak yang membuat emak tidak
takut. Disamping dua orang hasil daripada perkahwinan mak yang pertama yang
masih kecil, arwah mak turut memelihara dua orang anak angkat yatim piatu yang
ibubapanya terbunuh kerana makan ubi kayu beracun semasa zaman Jepun. Setelah selesai menggeledah dan menjarah barang-barang di rumah mak, arwah mak bersama empat orang anak telah diheret ke luar
rumah. Mak mendokong yang kecil yang sedang demam kerana rindukan bapanya tidak pulang sementara tiga yang lain berpimpinan sambil menangis ketakutan. Kata-kata nista, maki hamun telah dihamburkan keatas mak oleh
salah seorang anggota komunis berbangsa melayu. Sebelum beredar, rumah mak dibakar oleh komunis sebagai
hukuman kepada mak yang bersuamikan tali barut Jepun. Mak menyaksikan rumahnya
dibakar dari pondok kecil pemprosesan getah yang jaraknya hanya selang beberapa
depa dari rumah asal bersama dua orang anak kandung dan dua orang lagi anak
angkat yang masih kecil yang belum mampu memahami apa-apa. Di pondok
pemprosesan getah itulah yang akhirnya menjadi tempat arwah mak berlindung
bersama anak-anaknya sebelum bertemu jodoh dengan arwah
bapak. Pernikahan kedua arwah mak dengan arwah bapa, dikurniakan empat orang
anak termasuk saya.
Saya jangkakan
usia arwah mak pada waktu suaminya dibunuh komunis samada akhir 20an atau
awal 30an. Pelbagai kepayahan dan keperitan yang terpaksa arwah mak tempuhi
sebagai janda muda dalam membesarkan empat orang anak bersendirian. Arwah mak
sangat terluka apabila anak-anak pulang daripada bermain dengan rakan sebaya
bertanyakan, "bapak (suami mak yang terdahulu) mata-mata Jepun ya?",
atau anak-anak balik dengan wajah yang sedih atau menangis kerana diejek-ejek
atau dipulaukan oleh anak-anak jiran kerana berbapakan yang disyaki sebagai
mata-mata (tali barut) Jepun.
Apabila
diamat-amati banyak persamaan antara arwah mak dan Nur Alia Syafiqah. Kedua-dua
sosok ini sangat kental jiwanya, seperti arwah mak Nur Alia Syafiqah juga tidak
menumpahkan walau setitis air matanya semasa berkongsi pengalaman hidupnya yang
amat tragis dan penuh duka lara. Mungkin sudah terlalu banyak airmata
yang tertumpah sebelum ini. Sejujurnya saya yang hanya sekadar mendengar
perkongsian oleh Nur Alia Syafiqah pun tidak terbendung menahan air mata.
Sehingga arwah mak menghembuskan nafasnya yang terakhir arwah mak berjaya
menyimpan dengan kemas watak-watak yang melukakan hatinya. Berdasarkan
pemerhatian saya juga, perkara yang sama turut dilakukan oleh Nur Alia Syafiqah
dimana semasa perkongsian pengalaman hidupnya dia dapat mengelak daripada
menyebut sebarang nama yang telah melukakan dan menyakitkan hatinya.
Persamaan yang seterusnya adalah pantang bagi kedua-duanya berputus asa, berkeyakinan tinggi dan berpegang kepada prinsip kehidupan perlu diteruskan walau apa pun yang terjadi. Mungkin liku-liku pengalaman mereka yang hampir sama maka arwah mak dan Nur Alia Syafiqah mempunyai pendirian yang sama terhadap perasaan sedih. Bagi kedua-duanya percaya, bersedih hingga keluar air mata darah sekalipun tidak akan dapat mengubah keadaan. Yang
pergi tetap pergi dan mustahil dapat kembali semula.
Persamaan yang seterusnya adalah pantang bagi kedua-duanya berputus asa, berkeyakinan tinggi dan berpegang kepada prinsip kehidupan perlu diteruskan walau apa pun yang terjadi. Mungkin liku-liku pengalaman mereka yang hampir sama maka arwah mak dan Nur Alia Syafiqah mempunyai pendirian yang sama terhadap perasaan sedih. Bagi kedua-duanya percaya, bersedih hingga keluar air mata darah sekalipun tidak akan dapat mengubah keadaan.
Saya terpanggil dan agak terkesan apabila
diakhir perkongsian pengalaman hidupnya, Nur Alia Syafiqah memberitahu kami
kalaulah Johor Baharu dekat dengan Besut, pasti dia akan pulang setiap hujung
minggu ke asrama Anak Yatim PEKAYA yang dia pernah menjadi sebahagian
penghuninya selama 4 tahun. Ini memperlihatkan keluhuran budi dan
keperihatinannya terhadap anak-anak
yatim yang sentiasa dihatinya. Saya memahami maksud dan tujuannya untuk pulang setiap hujung minggu adalah supaya
dia dapat menyantuni “adik-adik” di asrama anak yatim berkenaan agar
kejayaannya dalam pelajaran menjadi perangsang dan ikutan. Menurutnya lagi,
yang didambakan oleh anak-anak yatim adalah perhatian, kebersamaan, sentuhan dan belaian kasih
sayang. Apa yang dilontarkannya berhubung belaian kasih sayang adalah
berdasarkan pengalaman sebenar yang dilaluinya, malah ianya selari dengan
yang disarankan oleh Junjungan Besar Nabi Muhamad SAW lebih 1400 tahun
yang lalu melalui hadis yang
diriwayatkan oleh Imam Ahmad yang bermaksud "Barang siapa
yang membelai kepala anak yatim kerana Allah SWT, maka baginya kebaikan yang
banyak daripada setiap rambut yang diusap. Dan barang siapa yang berbuat baik
kepada anak yatim perempuan dan lelaki, maka aku dan dia akan berada di syurga
seperti ini, Rasulullah SAW mengisyaratkan merenggangkan antara jari telunjuk
dan jari tengahnya." Pengajaran daripada hadis tersebut
tentang perkataan membelai kepala dan usapan rambut adalah merujuk kepada
belaian kasih sayang.
Saya
berkeyakinan dengan penubuhan Kelab Sahabat Asnaf KTI kelak boleh menjadi wadah
kepada bakal-bakal guru daripada kalangan asnaf (miskin, fakir, mualaf, yatim
atau yatim piatu) seperti Nur Alia Syafiqah berbakti kepada anak-anak yatim di
luar sana dengan lebih kemas, sempurna dan tersusun. Ketika saya bersama
beberapa orang pensyarah sedang bermesyuarat untuk menubuh dan mendaftarkan
Kelab Sahabat Asnaf Kampus Temenggong Ibrahim dibawah Pendaftar Pertubuhan
Malaysia (ROS), tiba-tiba saya mendapat panggilan daripada pegawai Khas kepada
YB Akmal Nasir, Ahli Parlimen Johor Bahru yang menjemput saya hadir kenduri
kesyukuran sempena YB Akmal memasuki rumah baharu pada hari rabu 7 Ogos
2019 selepas solat fardhu isyak .
Jemputan oleh YB
Akmal ini bagaikan pucuk dicipta ulam mendatang, bagaikan orang mengantuk
disorongkan bantal. Saya bersetuju untuk hadir dan memohon izin kepada YB Akmal
Nasir untuk membawa bersama dua orang siwa siswi guru daripada kalangan anak
yatim dan yatim piatu kerana ada sesuatu yang ingin kami sampaikan. YB Akmal
Nasir memberi keizinan dan memberitahu saya agar perkara yang ingin disampaikan
itu dikemukakan selepas kenduri. Sebaik sahaja kenduri tamat dan ramai tetamu telah
beredar pulang, YB Akmal datang ke tempat kami duduk, sambil menyapa dan
bertanya yang mana satu anak yatim dan yang mana satu anak yatim piatu, lalu
sambil bersalaman saya perkenalkan Muhamad Farid anak yatim dan Nur Alia
Syafiqah pula anak yatim piatu. YB Akmal begitu tekun mendengar penerangan saya
tentang hasrat kami ingin menubuh dan mendaftarkan Kelab Sahabat Asnaf Kampus
Temenggong Ibrahim dibawah ROS (Pendaftar Pertubuhan Malaysia) dimana semua
kepimpinannya terdiri daripada kalangan asnaf (anak yatim dan anak yatim piatu)
yang bakal menjadi guru. Respon YB Akmal Nasir amat menggalakan dan beliau
sendiri akan menyokong penubuhannya dan membantu mendapatkan dana samada
daripada agensi persekutuan atau negeri. Berkat membawa dua orang syurga
ini, YB Akmal turut bersetuju menerima pelawaan saya menjadi penaung
kepada kelab yang bakal kami daftarkan.
Nani, Alia, YB Akmal, YB
Andrew dan Farid
Ketika kami sedang bersembang-sembang bersama YB Akmal, YB Andrew Chen Kah Eng, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Stulang telah datang menegur kami. Apalagi saya pun beritahu YB Andrew yang Nur Alia Syafiqah boleh berbahasa mandarin. Jelas kelihatan YB Andrew sangat teruja lalu mengajaknya berbual dalam bahasa mandarin. Menurut YB Andrew, beliau memang sedang mencari beberapa orang translator yang fasih berbahasa mandarin untuk program sukarelawan belia daripada Taiwan di Parlimen Johor Bahru pada bulan oktober nanti.
Semasa kami berjalan menuju ke kereta
untuk bergerak pulang, pegawai khas kepada YB Andrew telah menghampiri
kami dan berjalan beriringan bersama kami, lalu beliau meminta izin untuk
berbincang dengan Nur Alia Syafiqah dalam bahasa mandarin tentang program yang
akan berlangsung pada bulan oktober seperti yang disebut oleh YB Andrew. Agak
lama juga mereka berdua berbincang dalam bahasa mandarin kerana dari rumah YB
Akmal hingga ke tempat kami meletak kereta jaraknya hampir 100 metre. Walaupun
saya tidak memahami perbualan mereka dalam bahasa mandarin tetapi saya sangat
bangga dan gembira kerana secara tidak langsung produk IPGKTI mendapat
pengiktirafan daripada pihak luar. Jadi tidaklah sia-sia "gatal' mulut
saya bertanyakan Nur Alia Syafiqah tentang sejarah pendidikannya semasa dalam
perjalanan ke rumah YB Akmal menjadi modal untuk saya war-warkan kepada
pelbagai pihak termasuk kepada YB Andrew bahawa bakal seorang guru melayu anak
yatim piatu boleh berbahasa mandarin.
Mudah-mudahan urusan penubuhan dan pendaftaran Kelab
Sahabat Asnaf Kampus Temenggong Ibrahim berjalan dengan teratur seperti yang
dirancang. Sebaik sahaja pendaftarannya diluluskan saya bercadang mengadakan
majlis pelancarannya dengan menjemput pemimpin peringkat kebangsaan yang akan
merasmikannya. Sekiranya van milik kampus siap penyelenggaraannya dan
dana yang diperlukan mencukupi Kelab Sahabat Asnaf Kampus Temenggong Ibrahim
akan mengadakan program mahabah di asrama anak yatim yang pernah didiami oleh
Nur Alia Syafiqah di Besut, Terengganu sebagai salah satu program perintis di
luar negeri Johor sebelum diteruskan diperingkat antarabangsa di Aceh pada
bulan Disember ini.
Saya amat yakin dan percaya anak-anak yatim dan golongan
asnaf di Kampus Temenggong Ibrahim merupakan aset yang sangat bernilai kerana
memiliki pelbagai kelebihan yang belum digilap. Sekiranya kepelbagaia kelebihan
ini digabungkan ia menjadi satu kekuatan yang boleh melonjakan imej Kampus
Temenggong Ibrahim. Tambahan pula, golongan asnaf terutamanya daripada kalangan
anak-anak yatim telah teruji dengan pelbagai ujian yang menjadikan mereka lebih
matang dan lebih awal dewasa. Sekiranya mereka diberikan kepercayaan dan
peluang serta bimbingan, insha Allah mereka berkemampuan untuk mengangkat
Kampus Temenggong Ibrahim menjadi peneraju yang hebat kepada gerakan membela
dan memajukan golongan asnaf terutamanya anak-anak yatim yang berada di luar
sana.
Sesungguhnya musibah dan ujian yang dilalui merupakan sebahagian daripada proses mematangkan diri yang perlu disyukuri dan dimanfaatkan sebaiknya....
Ayer Baloi,
Pontian, Johor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan