Khamis, 26 Disember 2019

Aceh : 26 Disember , Hari Ulang Tahun Musibah Tsunami


Hari ini 26 Disember 2019 adalah hari ulang tahun ke 15 tragedi tsunami Aceh yang telah mengorbankan ratusan jiwa manusia. Aceh umpama padang jarak padang terkukur. Lazimnya pada tarikh 26 Disember  setiap tahun akan diadakan upacara memperingati tragedi tsunami tersebut.

Pada tarikh ini, lima  tahun yang lalu aku bersama isteri dan dua orang anak lelakiku iaitu Idzwan dan Idzmeer berkesempatan hadir ke Banda Aceh untuk bersama-sama warga Aceh meraikan ulang tahun ke 10 tragedi Tsunami. Aku tiba pada 25 Disember 2014 dan aku perhatikan di tempat-tempat strategik terdapat banner besar yang memaparkan acara-acara sambutan bagi kemudahan orang ramai.   
Aku masih ingat lagi disegenap ruang sambutan samada di masjid-masjid atau tanah-tanah lapang dipenuhi dengan acara bacaan quran, zikir, selawat, tahlil dan tausiah.  Solat subuh  pada hari tersebut (26 Disember 2014) di Masjid Raya Baitur Rahman seperti solat jumaat. Selesai solat subuh para jemaah tidak berganjak meninggalkan masjid bagi mengikuti kuliah subuh pula.

Kemuncak sambutan adalah syarahan perdana selepas solat isyak di Masjid Raya Baitur Rahman yang di sampaikan oleh Sheikh Jabir Ali AlSabah mantan imam Masjid Nabawi yang fasih berbahasa Indonesia.  Syarahan beliau sarat dengan ilmu yang bermanfaat. Aku tiba di Masjid Raya Baitul Rahman kira-kira 30 minit sebelum masuknya waktu maghrib pun tidak dapat masuk ke dalam masjid. Melaut jumlah manusia yang hadir  dan yang mengujakan aku majoritinya adalah orang-orang muda. Alhamdulillah anak bujangku berkesempatan merakamkan syarahan tersebut walaupun hanya dalam format audio sahaja. Berikut adalah rakaman audio sayarahannya  Bahagian 1  Bahagian 2 Bahagian 3 Bahagian 4

Semoga bermanfaat.

Tiada ulasan: