Isnin, 30 Disember 2019

Berselawat : Ayuh perbanyakan sebagai amalan harian

Dalil-dalil tentang berselawat kepada Junjungan Besar Nabi Muhamad SAW

1. 
Surah al-Ahzaab, ayat 56

“Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”

2. Surah Al Ahzab, ayat 43

"Dialah yang berselawat kepadamu (wahai manusia) dan MalaikatNya (dengan memohonkan keampunan untukmu), supaya Dia mengeluarkan kamu daripada kegelapan kepada cahaya (yang terang). Dan adalah Dia Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman"

3. Hadis Riwayat At Tabrani
 “Sesiapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi sepuluh kali dan pada waktu petang sepuluh kali, ia akan memperoleh syafaatku pada hari kiamat.” (Riwayat Tabrani)

4. Hadis Riwayat Abu Daud
Bacalah selawat kepadaku kerana sesungguhnya bacaan selawat kamu semua dapat sampai kepadaku di mana saja kamu berada .

5. Hadis Riwayat Abu Daud
Tiada seseorang pun yang memberikan salam kepadaku (setelah kewafatanku),melainkan Allah mengembalikan rohku sehinggalah aku dapat menjawab salam orang itu.” 

6. Hadis Riwayat Muslim
“Sesiapa berselawat kepadaku sekali selawat, maka Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh kali.” 

7. Hadis Riwayat Abu Daud
 Sesungguhnya di antara hari yang paling mulia bagi kamu semua ialah hari jumaat, oleh yang demikian hendaklah kamu semua memperbanyakkan membaca selawat kepadaku pada hari itu, kerana sesungguhnya ucapan selawat kamu semua akan ditunjukkan kepadaku (pada hari kiamat nanti).





Nota: Syair berkaitan Selawat kepada Junjungan Besar Nabi Muhamad SAW yang sangat merdu

Khamis, 26 Disember 2019

Aceh : 26 Disember , Hari Ulang Tahun Musibah Tsunami


Hari ini 26 Disember 2019 adalah hari ulang tahun ke 15 tragedi tsunami Aceh yang telah mengorbankan ratusan jiwa manusia. Aceh umpama padang jarak padang terkukur. Lazimnya pada tarikh 26 Disember  setiap tahun akan diadakan upacara memperingati tragedi tsunami tersebut.

Pada tarikh ini, lima  tahun yang lalu aku bersama isteri dan dua orang anak lelakiku iaitu Idzwan dan Idzmeer berkesempatan hadir ke Banda Aceh untuk bersama-sama warga Aceh meraikan ulang tahun ke 10 tragedi Tsunami. Aku tiba pada 25 Disember 2014 dan aku perhatikan di tempat-tempat strategik terdapat banner besar yang memaparkan acara-acara sambutan bagi kemudahan orang ramai.   
Aku masih ingat lagi disegenap ruang sambutan samada di masjid-masjid atau tanah-tanah lapang dipenuhi dengan acara bacaan quran, zikir, selawat, tahlil dan tausiah.  Solat subuh  pada hari tersebut (26 Disember 2014) di Masjid Raya Baitur Rahman seperti solat jumaat. Selesai solat subuh para jemaah tidak berganjak meninggalkan masjid bagi mengikuti kuliah subuh pula.

Kemuncak sambutan adalah syarahan perdana selepas solat isyak di Masjid Raya Baitur Rahman yang di sampaikan oleh Sheikh Jabir Ali AlSabah mantan imam Masjid Nabawi yang fasih berbahasa Indonesia.  Syarahan beliau sarat dengan ilmu yang bermanfaat. Aku tiba di Masjid Raya Baitul Rahman kira-kira 30 minit sebelum masuknya waktu maghrib pun tidak dapat masuk ke dalam masjid. Melaut jumlah manusia yang hadir  dan yang mengujakan aku majoritinya adalah orang-orang muda. Alhamdulillah anak bujangku berkesempatan merakamkan syarahan tersebut walaupun hanya dalam format audio sahaja. Berikut adalah rakaman audio sayarahannya  Bahagian 1  Bahagian 2 Bahagian 3 Bahagian 4

Semoga bermanfaat.

Jumaat, 20 Disember 2019

Aceh : Aku tidak pernah serik, aku datang lagi....



13 - 16 Disember 2019 yang lalu aku datang lagi.  Ini adalah kali kedua bagi tahun 2019.  Sebenarnya, ntah kali yang ke berapa aku ke bumi Aceh. Tidak terhitung kerana seperti mulih  atau pulang kampung!!!. Setiap ramadhan selepas tsunami di sinilah port aku. Aku pernah menyambut ramadhan bersama isteri di sini. Beberapa tahun selepas itu aku menyambut idilfitri bersama famili juga di sini. Aku tidak pernah serik untuk terus datang lagi selagi aku sihat dan punya kelapangan rezeki.

Sejujurnya musibah tsunamilah yang membawa aku dan familiku mengenali Aceh lalu kami jatuh cinta  dengannya. Tiap sesuatu yang Allah SWT jadikan pasti terselit hikmah yang  tidak terjangkau oleh akal insan yang lemah dan kerdil seperti kita. 

Walaupun dalam sekelip mata sahaja musibah tsunami telah menyebabkan ada anak-anak yang menjadi yatim dan yatim piatu, ada isteri yang menjanda kerana kehilangan suami, ramai juga sang lelaki yang kehilangan isteri dan anak-anaknya, tidak kurang yang kehilangan saudara mara dan jiran tetangga malah ramai yang jatuh miskin kerana kemusnahan harta benda serta ramai yang terkesan dengan trauma yang mendalam untuk tempoh yang lama tetapi usah dilihat  dari sudut pandang bahawa tsunami adalah kifarah semata-mata. Bersangka baiklah kepadaNya.

Insafilah bahawa ujian itu bukan khusus untuk penduduk Aceh semata-mata tetapi juga ujian buat kita yang mengaku bersaudara seagama. Persaudaraan dan berkasih sayang dalam islam tiada batasan sempadan geografi, warna kulit, bangsa dan suku kaum. Andainya kita sekadar memerhati tanpa memberikan sebarang bantuan pasti di sana kelak kita tidak akan mampu menjawab soalan oleh Rabul Jalil mengapa berdiam diri tidak membantu saudara-saudara kita ketika mereka  ditimpa kesusahan atau musibah.

Ada juga yang mengusik nakal, mengapa di Aceh sahaja sedangkan tsunami sudah berlalu 15 tahun yang lalu. Untuk makluman, group kami tidak pernah mengkesampingkan  saudara-saudara seagama di tempat lain seperti di Syria, Rohingya dan kawasan-kawasan bergolak.  Cuma kami tidak ke sana, tetapi Alhamdulillah kami punya rangkaian untuk mewakili kami menyalurkan bantuan atau sumbangan kepada saudara-saudara kita yang memerlukan di tempat-tempat yang bergolak itu.

Mengapa Aceh menjadi pilihan? Berbanding tempat-tempat lain, hanya Aceh sahaja yang terjangkau dalam kemampuan kami membawa anak-anak didik kami yang bakal menjadi guru untuk menimba pengalaman melaksanakan kerja-kerja amal di peringkat antarabangsa. Tambahan pula selepas musibah Tsunami, di Banda Aceh sahaja terdapat lebih 100 buah rumah atau asrama anak yatim persendirian yang keadaannya memang memerlukan perhatian, sokongan dan bantuan.  Kami juga tidak berkecil hati kepada sahabat-sahabat yang gurauannya agak sinikal, konon usaha kami seperti kera di hutan disusukan anak sendiri mati kelaparan. Mungkin silap kami juga kerana tidak berkongsi berita dan gambar-gambar  aktiviti bulanan kami seperti berkonvoi atau menaiki keretapi menyantuni asnaf dalam negeri. Bagi kami yang penting biar sedikit tetapi istiqamah dan seterusnya yang paling utama dapat melibatkan bakal-bakal guru secara konsisten supaya dapat dipupuk rasa "ketagihan" untuk terus melakukan kerja-kerja amal walau dimana kelak mereka dipostingkan. 

Program kali ini adalah lanjutan daripada program yang dilaksanakan oleh Alumni Sri Temenggong pada bulan Ramadhan yang lalu. Kali ini ia dianjurkan secara bersama dengan beberapa buah persatuan atau pertubuhan seperti Persatuan Kebajikan Temenggong Prihatin, Pertubuhan Pendidikan Islam Kampus Temenggong Ibrahim dan Kelab Sahabat Asnaf Prihatin.  Seramai 21 orang telah menyertai misi ini yang terdiri daripada gabungan pelbagai latarbelakang dan peringkat umur.  Yang paling otai berusia 68 tahun dan yang paling muda berumur 6 tahun.   Lebih istimewa lagi ia turut disertai oleh 8 orang guru pelatih dari Kelab Sahabat Asnaf Prihatin yang bertindak sebagai fasilitator.

Semasa bulan Ramadhan yang lalu pihak Alumni Seri Temenggong telah berjaya mengumpulkan hampir RM80K untuk disumbangkan kepada beberapa buah panti (asrama) anak yatim di sekitar Banda Aceh dalam bentuk wang tunai dan bahan-bahan kering untuk kegunaan iftar dan sahur sepanjang bulan Ramadhan. Walaubagaimanapun pendekatan program kali ini agak sedikit berbeza daripada program yang lepas iaitu tidak lagi berorientasikan memberikan sumbangan kewangan atau barangan semata-mata tetapi dalam bentuk memberikan ilmu pengetahuan dan kemahiran secara “hands on”  dimana mereka (anak-anak yatim) diajar membuat kek dan roti. Ini adalah selaras dengan objektif program ini adalah untuk menjadikan mereka (anak yatim dan yatim piatu) berdikari, prihatin dan berdayasaing.
Nur Alia Syafiqaah binti Abdul Halim

Sebenarnya pengisian program begini adalah hasil lontaran idea yang dikemukakan oleh Saudari Nur Alia Syafiqah binti Abd Halim salah seorang peserta delegasi kami yang turut kami lantik menjadi salah seorang fasilitator.  Beliau adalah seorang guru pelatih Sarjana Muda Perguruan Bimbingan dan Kaunseling Semester 7  yang berpengalaman membesar di asrama anak yatim di Besut Trengganu. Sebagai anak yatim piatu yang membesar di asrama anak yatim sejak berusia 13 tahun,  beliau sangat memahami dan menjiwai keperluan yang didambakan oleh anak-anak yatim yang tinggal di asrama anak yatim. Berdasrkan pengalamannya, yang dirindui oleh anak-anak yatim yang tinggal di asrama anak yatim adalah perhatian, kebersamaan, belaian dan sentuhan kasih sayang. Atas sebab itu untuk program kali ini kami membawa fasilitator daripada kalangan guru pelatih kategori asnaf yang tidak terlalu jauh perbezaan usia dengan anak-anak yatim yang bakal disantuni supaya mereka berasa senang dan selesa.
  
Sebelum bengkel membuat kek dan roti dijalankan, anak-anak yatim ini disantuni terlebih dahulu dengan aktiviti-aktiviti yang bercorak agak “fun” dan menyeronokkan bersesuaian dengan tahap usia mereka supaya mereka rasa dihargai dan pada masa yang sama boleh meningkatkan kesedaran, semangat dan motivasi diri. Sebenarnya aktiviti-aktiviti ini adalah seumpama “ice breaking” supaya mereka lebih selesa dan berminat dan ternanti-nanti untuk mengikuti aktiviti-aktiviti seterusnya.

Berdasarkan pengamatan dan pemerhatian, terpancar diwajah anak-anak yatim di Panti Madini Aziziyah dan Panti Syamsul Fata keterujaan, keceriaan dan kegembiraan. 





Khamis, 29 Ogos 2019

Secebis Pahit Getir Guru P3 SK Sri Permai, Pos Pasik Gua Musang


Pengalaman yang sangat bermakna untuk bakal-bakal guru anak IPGKTI  tentang pendidikan kawasan pedalaman terutamanya masyarakat orang asli.
Tahniah kepada Dr Nur Bahiyah binti Abd Wahab atas inisiatif melaksanakan program yang sangat baik dengan penglibatan pelajar PISMP opsyen sains
Terima kasih kepada rakan-rakan pensyarah yang sudi turut serta dengan pengorbanan wang ringgit masa dan tenaga.
Hanya Allah jua yang dapat membalas kebaikan anda semua

Selasa, 27 Ogos 2019

Biarlah Gambar Yang Berbicara.....

Bermusafir  dari Tawau - Sepulut - Salung - Selungai - Pagalungan bersama Tuan Haji Hanafi bin Hamzah, Tuan Haji Azizan bin Salleh, En Mohd Harjazi bin Mohd Hashim dan Pak Mail (mantan paderi) pada  11- 16 April 2016.

Biarlah gambar yang berbicara





























Khamis, 8 Ogos 2019

Musibah dan ujian yang mematangkan....

Pada pertengahan Disember ini, sekali  lagi Alumni Sri Temenggong atau AST akan ke Aceh bagi mengadakan program susulan yang telah mereka laksanakan pada bulan ramadhan yang  lalu.  Kali ini AST merancang akan mengadakan program khusus untuk 100 orang anak-anak yatim yang berusia antara  16 – 17 tahun yang akan meninggalkan panti asuhan (asrama anak yatim) sebaik sahaja mereka tamat pengajian Sekolah Menengah Atas (SMA) pada hujung tahun ini.  Sebelum anak-anak yatim ini meneruskan kehidupan di luar sana, AST terpanggil untuk memberikan pendedahan kepada mereka  ilmu pengetahuan dan kemahiran berkaitan ICT dan industri makanan supaya mereka boleh berdikari dan seterusnya mampu bersaing. Usaha yang dilakukan oleh Alumni Seri Temenggong amat terpuji dan wajar semua pihak memberikan sokongan dan dokongan.

Kebetulan isteri bersama team PPD Johor Bahru berminat untuk turut sama dalam program ini bagi membantu guru-guru sekolah di sana melalui perkongsian amalan terbaik, telah melontarkan cadangan agar sekurang-kurangnya satu atau dua orang daripada fasilitator untuk program ini seelok-eloknya adalah siswa-siswi guru daripada kalangan anak yatim dan sekiranya ada yang memiliki pengalaman pernah menjadi penghuni asrama anak yatim, itu adalah yang terbaik dan akan menjadi bonus. Keberkesanan sesuatu program sebenarnya banyak bergantung kepada faktor fasilitator. Apabila fasilitatornya hampir  sebaya  dan mempunyai pengalaman seperti mereka, para peserta (anak yatim Aceh) akan berasa selesa dan seronok untuk mengikuti program tersebut dengan tekun dan bersungguh-sungguh. Dikatakan sebagai bonus kerana fasilitator yang memiliki pengalaman sebagai anak yatim dan pernah menjadi penghuni asrama anak yatim lebih memahami masalah yang dihadapi oleh anak-anak yatim  dan menjiwai keperluan dan impian mereka. Dipendekkan cerita, hasil daripada lontaran idea tersebut telah membawa kepada penemuan seorang siswi guru yatim piatu semester 7 Bimbingan dan Kaunseling bernama Nur Alia Syafiqah binti Abdul Halim. Gambaran yang diberikan oleh siswa-siswa guru yang sering bersama saya di surau keatas Nur Alia Syafiqah ini  amat memilukan dan menyentuh emosi.

Walaupun hampir dua tahun saya bertugas di sini, tidak ramai siswi guru  yang saya kenal berbanding masa saya bertugas di Tawau. Di sana saya boleh mengenali dan mengingati nama hampir semua  siswa dan siswi terutamanya yang muslim kerana setiap hari saya boleh melihat siswa dan siswi guru yang datang solat berjemaah di masjid  pada waktu subuh, maghrib dan isyak.  Kebiasaannya pada hari sabtu dan ahad ada makan-makan selepas solat subuh, begitu juga selepas solat isyak terutamanya pada  malam jumaat. Aktiviti makan-makan bermula daripada menyediakan juadah hinggalah mengemas dilakukan secara bergotong royong. Setiap orang ada peranan masing-masing dan mereka akan berhenti untuk solat berjemaah dan sambung semula selepas itu. Kami menikmati hidangan beramai-ramai di beranda masjid. Kaedah menikmati hidangan atau jamuan adalah berkonsepkan "makan berjemaah" iaitu makan dalam dulang. Tiada dulang khusus untuk pengarah atau pensyarah. Sesiapa pun bebas untuk pilih group "makan berjemaah" asalkan dalam kelompok jantina yang sama. Saya tidak menggalakan pensyarah makan sesama pensyarah sahaja. Momen masa makan berjemaah adalah yang paling saya gemari kerana gelagat anak-anak siswa-siswi guru menghiburkan. Bagi  siswi pula, pada waktu "makan berjemaah" selepas solat fardhu seolah-olah masa untuk mereka memperagakan pelbagai warna dan fesyen telekung masing-masing sambil mereka menikmati hidangan. Suasana begini memang meriah, menarik dan menyeronokan. Jadi pada waktu "makan berjemaah" inilah saya berperanan seperti seorang bapa yang boleh mengesan bilangan anak-anaknya samada cukup atau tidak,  sambil itu saya boleh berkomunikasi dan beramah mesra dengan mereka.  Tidak dinafikan saya merindui momen seperti itu bila saya bertugas di sini.

Berbeza di sini, saya tidak tau siapa dan berapa ramai siswi guru yang datang solat berjemaah di surau. Di sini pun ada makan-makan lepas solat subuh pada pagi jumaat  dan  selepas  selesai solat fardhu isyak  pada malam jumaat,  tetapi saya tidak dapat melihat berapa ramai siswi guru yang hadir solat berjemaah dan yang turut sama makan-makan. Tiada ruang langsung untuk saya berkomunikasi dengan siswi guru di Surau Al Jawahir. Keadaan fizikal surau Al Jawahir sebenarnya yang menyebabkan keadaan demikian.  Itulah sebabnya agak sukar bagi saya untuk membayangkan siswi guru yang bernama Nur Alia Syafiqah binti Abdul Halim. Insha Allah keadaan fizikal Surau Al Jawahir akan berubah tidak berapa lama lagi apabila dana yang diperlukan untuk menaik taraf Surau Al Jawahir berjumlah RM300K yang diusahakan oleh Alumni Seri Temenggong dan Pertubuhan Temenggong Prihatin bersama Pertubuhan Pendidikan Islam Kampus Temenggong Ibrahim berjaya dikumpul.

Aidil, Alia, Penulis dan Faizul

Pada 18 Julai yang lalu, Nur Alia Syafiqah bersama Faizul Helmi selaku Pengerusi Permata Surau Al Jawahir dan Aidil Ariffin pelajar semester 3 yang sangat istiqamah solat berjemaah di Surau Al Jawahir telah saya panggil ke pejabat. Selepas selesai sesi takruf, saya sampaikan hasrat untuk membawa mereka bertiga  ke Aceh sebagai fasilitator program anak-anak yatim anjuran AST disamping tiga orang siswi guru dari IPGK Tawau.  Ketiga-tiganya bersetuju menerima pelawaan tersebut, tetapi Nur Alia  Syafiqah yang paling banyak bertanya seperti apakah objektif dan tujuan program ini, umur peserta (anak yatim Aceh) dan pengisian program.  Disamping itu dia juga turut mengemukakan beberapa cadangan pengisian program berdasarkan pengalamannya sebagai penghuni asrama anak yatim selama 4 tahun. Berdasarkan pengalamannya juga, Nur Alia Syafiqah turut berkongsi tentang kesilapan-kesilapan yang sering dilakukan oleh masyarakat dan orang awam berhubung kaedah menyantuni anak-anak yatim. Kesilapan yang paling besar adalah datang ke rumah atau asrama anak yatim sekadar untuk menyerahkan sumbangan atau bantuan samada dalam bentukwang ringgit atau barangan, ambil-ambil gambar kemudian balik. Menurutnya masyarakat perlu sedar dan memahami bahawa anak-anak yatim adalah sama seperti insan lain yang memerlukan perhatian dan kasih sayang. Seterusnya dia turut meluahkan perasaan kurang gembira keatas sebahagian guru dan pensyarah serta pentadbir sekolah atau institusi pendidikan yang memiliki tanggapan bahawa anak yatim sebagai "golongan yang perlu diberikan bantuan kewangan atau material" sahaja tetapi "terlupa atau terlepas pandang" untuk membangunkan potensi anak-anak yatim dalam pelbagai bidang dan disiplin kehidupan. Sebelum berakhir perbincangan yang ringkas ini, Nur Alia Syafiqa turut melontarkan idea tentang pengupayaan anak-anak yatim di Kampus Temenggong Ibrahim untuk  berperanan dengan lebih mapan, tersusun dan berstrategi dalam membetulkan kesilapan tanggapan dan pendekatan orang ramai terhadap anak-anak yatim dan seterusnya membantu anak-anak yatim dalam kalangan bakal-bakal guru membina jati diri  dan menjuarai  usaha membela dan memajukan anak-anak yatim. 

Nur Alia Syafiqah telah  memperlihatkan kematangan dirinya berbanding dengan orang lain yang seusia dengannya. Tidak dapat disangkal pengalaman yang dilaluinya telah mematangkan dirinya.  Sebagai salah seoarang pentadbir institusi pendidikan, saya menerima keluhan dan kritikannya dengan hati terbuka dan berlapang dada. Saranan dan cadangan yang dikemukakannya itu pada hemat saya sangat munasabah, realistik dan turut menjentik minda dan emosi saya agar segera disambut untuk direalisasikan. 

Lontaran-lontaran idea semasa pertemuan tersebut saya kemukakan kepada rakan-rakan usrah  yang terdiri daripada  pelbagai latarbelakang dan respon yang saya terima amat menggalakan.  Penubuhan Kelab Sahabat Asnaf Kampus Temenggong Ibrahim adalah hasil cetusan idea dan saranan rakan-rakan usrah bagi menyambut cadangan yang dikemukakan oleh Nur Alia Syafiqah bagi memartabatkan peranan anak-anak yatim dalam kalangan bakal-bakal guru. Seorang rakan usrah yang berjaya dalam bidang perniagaannya telah menasihatkan agar anak-anak yatim dan golongan asnaf yang sering dilihat oleh masyarakat kita sebagai "beban" hendaklah diubah menjadi aset yang sangat bernilai yang memiliki "super power" bagi melonjakan imej dan kelangsungan organisasi telah membakar semangat saya untuk menyegerakan penubuhan dan pendaftaran Kelab Sahabat Asnaf Kampus Temenggong Ibrahim.
Haziq, Firdaus, Penulis, Alia dan Nani

Bagi memperhalusi penubuhan dan pendaftaran kelab tersebut supaya lebih kemas dan tersusun serta menepati objektifnya, beberapa orang guru pelatih termasuk Nur Alia Syafiqah, Nani, Firdaus dan Haziq  telah saya jemput untuk satu perbincangan ringkas sambil makan malam di Restoran Teh O Beng, Bandar Baru Uda pada 3 Ogos yang lalu. Saya sengaja mengatur perbincangan ini secara santai supaya setiap orang selesa mengemukakan pandangan dan idea masing-masing.

Selesai menikmati hidangan makan malam, saya mempersilakan  Nur Alia Syafiqah jika tidak keberatan dan tidak mengganggu privasinya untuk berkongsi pengalaman perjalanan hidupnya kepada kami. Dengan tenang dan bersahaja sambil tersenyum Nur Alia Syafiqah mengakui memang benar ada perkara-perkara yang menyakitkan dan membuat hatinya terluka tetapi itu bukan alasan bagi dirinya untuk tidak berlapang dada. Dia meneruskan bicara dengan menegaskan tiada apa yang perlu disembunyikannya, dan tiada apa yang hendak dimalukan kerana hakikatnya seperti yang telah diketahui oleh ramai orang bahawa dirinya adalah anak yatim piatu. Saya sangat "salute" dan kagum dengan anak ini. Dia menyambung bicaranya dengan ungkapan bahawa dia redha dan bersyukur dengan apa yang telah berlaku.  Bagi dirinya setiap sesuatu yang berlaku ada hikmahnya yang tersendiri yang tidak perlu diratapi berpanjangan. Tutur katanya sangat cermat dan patah-patah kata yang dipilih tersusun kemas dan amat menginsafkan. Dapat disimpulkan bahawa anak ini menjadi hebat kerana bukan calang-calang ujian yang pernah diharunginya.

Kami yang mendengar perkongsian perjalanan hidupnya yang berliku-liku dan penuh duka lara sangat terkesan dan tersentuh, macam mahu copot jantung kami. Nur Alia Syafiqah memulakan perkongsian  kisah hidupnya yang penuh tragisnya ketika berusia 11 tahun. Menurutnya pada suatu hari pada  tahun 2008.  dalam perjalanan pulang ke Kelantan dari Pulau Pinang beliau sekeluarga terlibat dalam kemalangan jalanraya di Grik, Perak. Kereta yang dipandu oleh ayahnya bertembung dengan kereta lain yang dipandu oleh seorang wanita, akibatnya kereta yang dipandu oleh ayahnya berpusing-pusing hingga hilang kawalan. Dalam kemalangan itu ayahnya terkorban di tempat kejadian. Malam itu juga jenazah Allahyarham ayahnya di kebumikan di Pasir Mas Kelantan tanpa kehadirannya kerana beliau turut cedera, patah kaki dan terpaksa ditempatkan di Hospital Ipoh untuk menerima rawatan lebih daripada sebulan. Kakinya yang patah telah melalui beberapa siri pembedahan dan akhirnya tulang kakinya telah disambung dengan besi. Baru beberapa tahun yang lepas besi tersebut dikeluarkan. Bayangkan seorang kanak-kanak perempuan yang baru berusia 11 tahun bersendirian di wad yang jauh daripada kampung halaman tanpa ditemani oleh sanak saudara. Kesakitan dan penderitaan yang dialaminya ditanggung bersendirian. Terusik dan luluh hati kami yang  mendengarnya.

Sebenarnya kemalangan yang meragut nyawa ayah yang tercinta bukan ujian besar yang pertama dilalui oleh Nur Alia Syafiqah. Sebelum berlaku kemalangan itu, ibu dan ayahnya telah berpisah dan membawa haluan hidup masing-masing. Penceraian kedua ibu bapanya adalah pengalaman yang amat memeritkan dirinya, sebab itu menurut hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud perkara halal yang dibenci oleh Allah ialah talak atau perceraian. Akibat perpisahan itu Nur Alia Syafiqah menetap di Pulau Pinang bersama ayahnya, sementara ibunya pulang ke kampung halamannya di Besut, Terengganu.

Selepas discharge daripada Hospital Ipoh,  Nur Alia Syafiqah meneruskan kehidupannya dengan mengikuti ibunya pula di Besut, Terengganu. Walaubagaimanapun kegembiraan menikmati kehidupan bersama ibunya tidak panjang dan sekali lagi dirinya diuji apabila ibunya disahkan menghidap kanser tahap 3 semasa dia berada dalam tingkatan satu. Dalam tempoh yang agak singkat, dalam beberapa bulan sahaja sel-sel kanser merebak begitu pantas ke organ-organ penting  yang lain dan ibunya dijemput menghadap penciptanya sehari sebelum dia naik ke tingkatan dua. Sekali lagi dia diuji hilang tempat bergantung, mengadu dan bermanja.  Bermula dari saat itulah dia menjadi anak yatim piatu.

Menurutnya lagi, babak ujian yang seterusnya adalah lebih getir lagi apabila dia dihantar ke Asrama Anak Yatim PEKAYA Besut. Keputusan menghantarnya ke asrama anak yatim amat menjengkelkan, menghampakan dan mengecewakannya. Anak gadis yang baru mahu menjangkau usia 14 tahun pada ketika itu merasakan dirinya seperti terbuang dan seolah-olah tidak berguna. Sebenarnya gadis ini jiwanya memberontak apabila dia dihantar ke asrama anak yatim tetapi tidak berupaya untuk melawan dan mengatakan "tidak". Pada peringkat awal, hari-hari yang dilaluinya di asrama anak yatim tersebut bagaikan satu penyeksaan yang sangat menyakitkan. Dalam keadaan sedemikian ditambah pula  tanpa sentuhan dan belaian kasih sayang telah menyebabkan dia mengalami tekanan emosi yang membawa kepada kemurungan. Kemuncak daripada kemurungan yang dialaminya itu telah menyebabkan halunisasi dimana seolah-olah ada suara-suara yang membisikan kepadanya agar membunuh diri.  Mujur ada guru-guru di SMK Jabi, Besut, tempat dia bersekolah yang menyedari perubahan keatas dirinya dan kemurungan yang dialaminya.  Hasil daripada bantuan guru-guru sekolah tersebut telah berjaya menyelamatkan Nur Alia Syafiqah daripada cubaan membunuh diri, dan secara perlahan-lahan dia dapat membina kembali keyakinan dirinya untuk bergerak kehadapan.

Sesekali terutamanya pada cuti sekolah yang agak panjang  barulah Nur Alia Syafiqah dibenarkan pulang bertemu dan bermanja dengan nenek sebelah bapanya yang sudah agak uzur di Pasir Mas, Kelantan. Selebihnya kehidupannya dihabiskan di asrama anak yatim bersama-sama dengan rakan-rakan yang senasib dengannya. "Kalau nak rasa makan sedap kena tunggu bulan Ramadhan sebabnya pada bulan Ramadhan ramai orang kita yang jadi pemurah", Ujarnya yang agak sinis. Hari-hari biasa selain bulan Ramadhan sekadar seadanya sahaja. Namun demikian bagi Nur Alia Syafiqah walaupun sekadar seadanya sahaja tetapi perlu disyukuri kerana ada orang lain yang tidak bernasib baik hingga  tiada apa  yang boleh dimakan.

Sebagai hambaNya yang lemah dia menyedari bahawa dirinya tidak mampu merubah ketetapan ajal maut seseorang. Babak ujian yang seterusnya terjadi semasa dia berada dalam semester 4, neneknya yang menjadi tempat untuk menumpang kasih dan bermanja selepas ibubapanya, telah dijemput pulang oleh penciptanya. Sedih dan hiba seperti rasa terpukul,  namun menurutnya dia tidak boleh membiarkan kesedihan berpanjangan hingga boleh membinasakan dirinya sendiri. Penawar yang terbaik baginya adalah sentiasa bersangka baik kepada Allah SWT dengan memujuk hatinya dengan kisah-kisah agung insan terpilih seperti  kisah Nabi Ayyub A.S dan Nabi Muahamad SAW yang diuji dengan pelbagai ujian yang jauh lebih berat bersilih ganti. Setelah neneknya meninggal dunia, secara perundangan penjaga Nur Alia Syafiqa kini sekali lagi berpindah tangan kepada  bapa saudaranya iaitu abang kepada Allahyarham ayahnya pula. Sebelum berakhir  perbincangan kami, saya bertanya, “raya haji dan cuti panjang nanti balik mana?”. Dia hanya sekadar menjawab, “ rasanya Alia tidak balik Kelantan sebab nenek pun dah tiada, lagipun pakcik Alia selalu ke KL menziarahi anak-anaknya di sana”. Daripada jawabanya itu membuat saya tiada kekuatan untuk bertanya soalan lanjut.

Mendengar Nur Alia Syafiqah berkongsi pengalaman hidupnya yang mengesankan itu telah mengetuk kembali kenangan 45 atau 46 tahun yang lalu semasa arwah mak bercerita tentang keperitan hidup  yang dilaluinya sebaik tamat perang dunia yang kedua. Sebelum berkahwin dengan arwah bapak, emak pernah berkahwin dan dikurniakan dua orang anak. Menurut arwah mak suaminya keluar rumah untuk menjual getah keping ke Pekan Ayer Baloi terus tidak pulang. Diyakini suami mak telah dibunuh oleh komunis berdasarkan cerita-cerita orang kampung yang menyaksikan suami mak diikat tangannya kebelakang, ditutup matanya lalu digiring seumpama lembu yang hendak disembelih ke arah Sungai Sanglang oleh segerombolan lelaki beruniform bintang tiga lengkap bersenjata bren gun dengan bayonet yang sangat tajam terhunus dihujungnya. Tidak berapa lama selepas itu ada yang mendengar bunyi bren gun di arah Sungai Sanglang. Menurut emak Sungai Sanglang adalah tempat pembunuhan balas dendam komunis kepada sesiapa sahaja yang disyaki sebagai tali barut Jepun selepas tamat perang dunia kedua. Biasanya mangsa yang ditembak atau dipancung mayatnya akan dihumban ke dalam sungai tersebut sebagai habuan kepada buaya dan biawak. Pada masa itu, tidak ada siapapun yang berani mendekati Sungai Sanglang.                     

Malam yang ketiga selepas suami mak tidak pulang, lebih kurang dalam pukul 10.00 malam, arwah mak mendengar riuh rendah di luar rumah. Tidak berapa lama kemudian pintu tengah rumah mak telah dipecah masuk dan lebih 10 orang gerombolan lelaki beruniform Bintang 3 telah menyerbu masuk tanpa menanggalkan sepatu, menggeledah dan mengambil barang-barang makanan, pakaian, cadar dan selimut. Subang dan cincin yang arwah mak pakai pun minta dibuka lalu dirampas. Sempat juga saya bertanya mak tidak takut ke?? Arwah mak menjawab anak-anak yang membuat emak tidak takut. Disamping dua orang hasil daripada perkahwinan mak yang pertama yang masih kecil, arwah mak turut memelihara dua orang anak angkat yatim piatu yang ibubapanya terbunuh kerana makan ubi kayu beracun semasa zaman Jepun. Setelah selesai menggeledah dan menjarah barang-barang di rumah mak, arwah mak bersama empat orang anak telah diheret ke luar rumah. Mak mendokong yang kecil yang sedang demam kerana rindukan bapanya tidak pulang sementara tiga yang lain berpimpinan sambil menangis ketakutan.  Kata-kata nista, maki hamun  telah dihamburkan keatas mak oleh salah seorang anggota komunis berbangsa melayu. Sebelum beredar,  rumah mak dibakar oleh komunis sebagai hukuman kepada mak yang bersuamikan tali barut Jepun. Mak menyaksikan rumahnya dibakar  dari pondok kecil pemprosesan getah yang jaraknya hanya selang beberapa depa dari rumah asal bersama dua orang anak kandung dan dua orang lagi anak angkat yang masih kecil yang belum mampu memahami apa-apa. Di pondok pemprosesan getah itulah yang akhirnya menjadi tempat arwah mak berlindung bersama  anak-anaknya sebelum bertemu jodoh dengan arwah bapak. Pernikahan kedua arwah mak dengan arwah bapa, dikurniakan empat orang anak termasuk saya. 

Saya jangkakan usia arwah mak pada waktu suaminya dibunuh komunis samada akhir  20an atau awal 30an. Pelbagai kepayahan dan keperitan yang terpaksa arwah mak tempuhi sebagai janda muda dalam membesarkan empat orang anak bersendirian. Arwah mak sangat terluka apabila anak-anak pulang daripada bermain dengan rakan sebaya bertanyakan, "bapak (suami mak yang terdahulu) mata-mata Jepun ya?", atau anak-anak balik dengan wajah yang sedih atau menangis kerana diejek-ejek atau dipulaukan oleh anak-anak jiran kerana berbapakan yang disyaki  sebagai mata-mata (tali barut) Jepun. 

Apabila diamat-amati banyak persamaan antara arwah mak dan Nur Alia Syafiqah. Kedua-dua sosok ini sangat kental jiwanya, seperti arwah mak Nur Alia Syafiqah juga tidak menumpahkan walau setitis air matanya semasa berkongsi pengalaman hidupnya yang amat tragis dan  penuh duka lara. Mungkin sudah terlalu banyak airmata yang tertumpah sebelum ini. Sejujurnya saya yang hanya sekadar mendengar perkongsian oleh Nur Alia Syafiqah pun tidak terbendung menahan air mata. Sehingga arwah mak menghembuskan nafasnya yang terakhir arwah mak  berjaya menyimpan dengan kemas watak-watak yang melukakan hatinya. Berdasarkan pemerhatian saya juga, perkara yang sama turut dilakukan oleh Nur Alia Syafiqah dimana semasa perkongsian pengalaman hidupnya dia dapat mengelak daripada menyebut sebarang nama yang telah melukakan dan menyakitkan hatinya.

Persamaan yang seterusnya adalah pantang bagi kedua-duanya berputus asa, berkeyakinan tinggi dan berpegang kepada prinsip kehidupan perlu diteruskan walau apa pun yang terjadi. Mungkin liku-liku pengalaman mereka yang hampir sama maka arwah mak dan Nur Alia Syafiqah mempunyai pendirian yang sama terhadap perasaan sedih. Bagi kedua-duanya percaya, bersedih hingga keluar air mata darah sekalipun tidak akan dapat mengubah keadaan. Yang pergi tetap pergi dan mustahil dapat kembali semula.

Saya terpanggil dan agak terkesan apabila diakhir perkongsian pengalaman hidupnya, Nur Alia Syafiqah memberitahu kami kalaulah Johor Baharu dekat dengan Besut, pasti dia akan pulang setiap hujung minggu ke asrama Anak Yatim PEKAYA yang dia pernah menjadi sebahagian penghuninya selama 4 tahun. Ini memperlihatkan keluhuran budi dan keperihatinannya terhadap  anak-anak yatim yang sentiasa dihatinya. Saya memahami maksud dan tujuannya untuk pulang setiap hujung minggu  adalah supaya dia dapat menyantuni “adik-adik” di asrama anak yatim berkenaan agar kejayaannya dalam pelajaran menjadi perangsang dan ikutan. Menurutnya lagi, yang didambakan oleh anak-anak yatim adalah perhatian,  kebersamaan, sentuhan dan belaian kasih sayang.  Apa yang dilontarkannya berhubung belaian kasih sayang adalah berdasarkan pengalaman sebenar yang dilaluinya, malah ianya selari  dengan yang disarankan oleh  Junjungan Besar Nabi Muhamad SAW lebih 1400 tahun yang lalu melalui hadis  yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad yang bermaksud  "Barang siapa yang membelai kepala anak yatim kerana Allah SWT, maka baginya kebaikan yang banyak daripada setiap rambut yang diusap. Dan barang siapa yang berbuat baik kepada anak yatim perempuan dan lelaki, maka aku dan dia akan berada di syurga seperti ini, Rasulullah SAW mengisyaratkan merenggangkan antara jari telunjuk dan jari tengahnya."   Pengajaran daripada hadis tersebut tentang perkataan membelai kepala dan usapan rambut adalah merujuk kepada belaian kasih sayang.

Saya berkeyakinan dengan penubuhan Kelab Sahabat Asnaf KTI kelak boleh menjadi wadah kepada bakal-bakal guru daripada kalangan asnaf (miskin, fakir, mualaf, yatim atau yatim piatu) seperti Nur Alia Syafiqah berbakti kepada anak-anak yatim di luar sana dengan lebih kemas, sempurna dan tersusun.  Ketika saya bersama beberapa orang pensyarah sedang bermesyuarat untuk menubuh dan mendaftarkan Kelab Sahabat Asnaf Kampus Temenggong Ibrahim dibawah Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS), tiba-tiba saya mendapat panggilan daripada pegawai Khas kepada YB Akmal Nasir, Ahli Parlimen Johor Bahru yang menjemput saya hadir kenduri kesyukuran sempena YB Akmal memasuki  rumah baharu pada hari rabu 7 Ogos 2019 selepas solat  fardhu isyak .

Jemputan oleh YB Akmal ini bagaikan pucuk dicipta ulam mendatang, bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal. Saya bersetuju untuk hadir dan memohon izin kepada YB Akmal Nasir untuk membawa bersama dua orang siwa siswi guru daripada kalangan anak yatim dan yatim piatu kerana ada sesuatu yang ingin kami sampaikan. YB Akmal Nasir memberi keizinan dan memberitahu saya agar perkara yang ingin disampaikan itu dikemukakan selepas kenduri. Sebaik sahaja kenduri tamat dan ramai tetamu telah beredar pulang, YB Akmal datang ke tempat kami duduk, sambil menyapa dan bertanya yang mana satu anak yatim dan yang mana satu anak yatim piatu, lalu sambil bersalaman saya perkenalkan Muhamad Farid anak yatim dan Nur Alia Syafiqah pula anak yatim piatu. YB Akmal begitu tekun mendengar penerangan saya tentang hasrat kami ingin menubuh dan mendaftarkan Kelab Sahabat Asnaf Kampus Temenggong Ibrahim dibawah ROS (Pendaftar Pertubuhan Malaysia) dimana semua kepimpinannya terdiri daripada kalangan asnaf (anak yatim dan anak yatim piatu) yang bakal menjadi guru. Respon YB Akmal Nasir amat menggalakan dan beliau sendiri akan menyokong penubuhannya dan membantu mendapatkan dana samada daripada agensi persekutuan atau negeri. Berkat membawa dua orang syurga ini,  YB Akmal turut bersetuju menerima pelawaan saya menjadi penaung kepada kelab yang bakal kami daftarkan.

Nani, Alia, YB Akmal, YB Andrew dan Farid

Ketika kami sedang bersembang-sembang bersama YB Akmal, YB Andrew Chen Kah Eng, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Stulang telah datang menegur kami. Apalagi saya pun beritahu YB Andrew yang Nur Alia Syafiqah boleh berbahasa mandarin. Jelas kelihatan YB Andrew sangat teruja lalu mengajaknya berbual dalam bahasa mandarin. Menurut YB Andrew, beliau memang sedang mencari beberapa orang translator yang fasih berbahasa mandarin untuk program sukarelawan belia daripada Taiwan di Parlimen Johor Bahru pada bulan oktober nanti. 

Semasa kami berjalan menuju ke kereta untuk bergerak pulang, pegawai khas kepada YB Andrew  telah menghampiri kami dan berjalan beriringan bersama kami, lalu beliau meminta izin untuk berbincang dengan Nur Alia Syafiqah dalam bahasa mandarin tentang program yang akan berlangsung pada bulan oktober seperti yang disebut oleh YB Andrew. Agak lama juga mereka berdua berbincang dalam bahasa mandarin kerana dari rumah YB Akmal hingga ke tempat kami meletak kereta jaraknya hampir 100 metre. Walaupun saya tidak memahami perbualan mereka dalam bahasa mandarin tetapi saya sangat bangga  dan gembira kerana secara tidak langsung produk IPGKTI mendapat pengiktirafan daripada pihak luar. Jadi tidaklah sia-sia "gatal' mulut saya bertanyakan Nur Alia Syafiqah tentang sejarah pendidikannya semasa dalam perjalanan ke rumah YB Akmal menjadi modal  untuk  saya war-warkan kepada pelbagai pihak termasuk kepada YB Andrew bahawa bakal seorang guru melayu anak yatim piatu boleh berbahasa mandarin.

Mudah-mudahan urusan penubuhan dan pendaftaran Kelab Sahabat Asnaf Kampus Temenggong Ibrahim berjalan dengan teratur seperti yang dirancang. Sebaik sahaja pendaftarannya diluluskan saya bercadang mengadakan majlis pelancarannya dengan menjemput pemimpin peringkat kebangsaan yang akan merasmikannya.  Sekiranya van milik kampus siap penyelenggaraannya dan dana yang diperlukan mencukupi Kelab Sahabat Asnaf Kampus Temenggong Ibrahim akan mengadakan program mahabah di asrama anak yatim yang pernah didiami oleh Nur Alia Syafiqah di Besut, Terengganu sebagai salah satu program perintis di luar negeri Johor sebelum diteruskan diperingkat antarabangsa di Aceh pada bulan Disember ini.

Saya amat yakin dan percaya anak-anak yatim dan golongan asnaf di Kampus Temenggong Ibrahim merupakan aset yang sangat bernilai kerana memiliki pelbagai kelebihan yang belum digilap. Sekiranya kepelbagaia kelebihan ini digabungkan ia menjadi satu kekuatan yang boleh melonjakan imej Kampus Temenggong Ibrahim. Tambahan pula, golongan asnaf terutamanya daripada kalangan anak-anak yatim telah teruji dengan pelbagai ujian yang menjadikan mereka lebih matang dan lebih awal dewasa.  Sekiranya mereka diberikan kepercayaan dan peluang serta  bimbingan, insha Allah mereka berkemampuan untuk mengangkat Kampus Temenggong Ibrahim menjadi peneraju yang hebat kepada gerakan membela dan memajukan golongan asnaf terutamanya anak-anak yatim yang berada di luar sana. 

Sesungguhnya musibah dan ujian yang dilalui merupakan sebahagian daripada proses mematangkan diri yang perlu disyukuri dan dimanfaatkan sebaiknya....          


Ayer Baloi,
Pontian, Johor.





Ahad, 4 Ogos 2019

Isnin, 29 Julai 2019

Sudah Islam Sangatkah Kita ?????

Sombong - enggan mengakui kesilapan dan kelemahan diri 
Angkuh - asyik menyalahkan pihak lain diatas kegagalan
Bongkak - enggan bermuhasabah diri dan enggan berubah 

Islam adalah agama rahmatan lil alamin yang membawa rahmat dan kesejahteraan kepada seluruh alam sebagaimana firman Allah swt  dalam surah Al Anbiya ayat 107 yang bermaksud Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam” Berdasarkan ayat tersebut juga dengan jelas menerangkan bahawa islam adalah bersifat universal, komprehensif, lengkap dengan dimensi edoterik dan eksoteriknya serta relevan melangkaui zaman tanpa ada batasan sempadan.

Bersyukur kita kerana dilahirkan islam. Nikmat yang tidak terhingga nilainya kerana tidak perlu tercari-cari hidayah dan kebenaran hidup beragama. Ada orang yang dilahirkan bukan beragama islam tetapi berusaha untuk mencarinya, dan setelah memperolehinya menjaga islam dengan sebaik-baiknya, malah ramai juga yang jauh lebih baik daripada kita yang dilahirkan islam.

Ujian Allah keatas hambanya tidak semestinya dalam bentuk musibah, bencana atau kerugian semata-mata. Lazimnya seseorang yang diuji dengan musibah akan membuat seseorang itu sabar,redha dan berusaha mendekati penciptaNya. Mungkin ramai yang bersetuju dengan saya bahawa ujian yang sangat berat adalah ujian dalam bentuk kelapangan, kesenangan, kekayaan, kuasa, pengaruh, harta dan kesihatan kerana membuatkan seseorang itu tidak perasan yang dirinya sedang diuji. Ujian seperti inilah yang sangat menakutkan.....

Bagi yang dilahirkan islam, mungkin juga ia sebagai "ujian" Allah yang tanpa disedarinya. Ramai kalangan kita yang terlupa untuk mensyukuri nikmat dilahirkan islam, contohnya dengan dilahirkan islam telah menyebabkan kita rasa selesa dan selamat hingga terbuai leka lalu gagal untuk menjaga, menghargai dan seterusnya menghayati serta memperagakan kehebatan kesyumulan islam.

Kita yang dilahirkan islam sepatutnya yang terkedepan sebagai role model memperagakan dan seterusnya mempromosikan islam sebagai rahmatan lil alamin yang membawa kemajuan dan kemakmuran, yang memudahkan yang menyenangkan yang membahagiakan yang melestarikan sekalian penghuni alam melalui akhlak terpuji seperti yang ditunjukan oleh junjungan Besar Nabi Muhamad saw.

Namun demikian,  wajar untuk kita mengakui bahawa sebahagian besar daripada kita bukan sahaja gagal berperanan sebagai role model yang memperagakan dan mempromosikan islam sebagai rahmatan lil alamin malah tanpa disedari tindak tanduk, tutur kata bahkan akhlak kita  yang jelek sebenarnya telah  memomokan islam  di mata orang lain. Walaupun kejelekan itu dilakukan oleh segelintir daripada kalangan kita namun kesannya cukup besar; lantaran itu sebut sahaja islam maka akan tergambar yang penganutnya tidak boleh dipercayai, ganas, kasar, rasist, tidak menepati masa dan suka membuang masa, pengotor, malas dan mundur.

Itulah sebabnya dipermulaan tulisan ini saya mengungkapkan tiga perkataan sombong, angkuh dan bongkak. Nah..marilah kita renungkan sejenak, marilah kita berlapang dada bermuhasabah diri, dimanakah sebenarnya diri kita dan kategori apakah kita? Supaya kita terhindar daripada kategori tersebut (sombong, angkuh dan bongkak) maka sukalah saya nukilkan firman Allah SWT dalam ayat 7 surah Ibrahim; وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ  yang bermaksud Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memberitahu, " Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah nikmat kepadamu, dan jika kamu (mengingkari nikmatKu, maka sesungguhnya azabKu amat pedih". Jadi apakah kaitan ayat ini dengan sombong, angkuh dan bongkak? Lazimnya orang yang sombong adalah orang yang tidak tau bersyukur dan berterima kasih.

Kesimpulannya marilah kita mensyukuri nikmat Allah yang tidak terhitung terutamanya nikmat kita dilahirkan islam. Sebenarnya wajib atas kita menyampaikannya kepada orang lain yang belum menerima hidayah sesuai dengan kemampuan kita. Seandainya kita tidak dapat menjadi garam yang dapat menahan daging daripada busuk, janganlah kita menjadi langau yang membusukkan daging.