Isnin, 30 Disember 2019

Berselawat : Ayuh perbanyakan sebagai amalan harian

Dalil-dalil tentang berselawat kepada Junjungan Besar Nabi Muhamad SAW

1. 
Surah al-Ahzaab, ayat 56

“Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”

2. Surah Al Ahzab, ayat 43

"Dialah yang berselawat kepadamu (wahai manusia) dan MalaikatNya (dengan memohonkan keampunan untukmu), supaya Dia mengeluarkan kamu daripada kegelapan kepada cahaya (yang terang). Dan adalah Dia Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman"

3. Hadis Riwayat At Tabrani
 “Sesiapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi sepuluh kali dan pada waktu petang sepuluh kali, ia akan memperoleh syafaatku pada hari kiamat.” (Riwayat Tabrani)

4. Hadis Riwayat Abu Daud
Bacalah selawat kepadaku kerana sesungguhnya bacaan selawat kamu semua dapat sampai kepadaku di mana saja kamu berada .

5. Hadis Riwayat Abu Daud
Tiada seseorang pun yang memberikan salam kepadaku (setelah kewafatanku),melainkan Allah mengembalikan rohku sehinggalah aku dapat menjawab salam orang itu.” 

6. Hadis Riwayat Muslim
“Sesiapa berselawat kepadaku sekali selawat, maka Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh kali.” 

7. Hadis Riwayat Abu Daud
 Sesungguhnya di antara hari yang paling mulia bagi kamu semua ialah hari jumaat, oleh yang demikian hendaklah kamu semua memperbanyakkan membaca selawat kepadaku pada hari itu, kerana sesungguhnya ucapan selawat kamu semua akan ditunjukkan kepadaku (pada hari kiamat nanti).





Nota: Syair berkaitan Selawat kepada Junjungan Besar Nabi Muhamad SAW yang sangat merdu

Khamis, 26 Disember 2019

Aceh : 26 Disember , Hari Ulang Tahun Musibah Tsunami


Hari ini 26 Disember 2019 adalah hari ulang tahun ke 15 tragedi tsunami Aceh yang telah mengorbankan ratusan jiwa manusia. Aceh umpama padang jarak padang terkukur. Lazimnya pada tarikh 26 Disember  setiap tahun akan diadakan upacara memperingati tragedi tsunami tersebut.

Pada tarikh ini, lima  tahun yang lalu aku bersama isteri dan dua orang anak lelakiku iaitu Idzwan dan Idzmeer berkesempatan hadir ke Banda Aceh untuk bersama-sama warga Aceh meraikan ulang tahun ke 10 tragedi Tsunami. Aku tiba pada 25 Disember 2014 dan aku perhatikan di tempat-tempat strategik terdapat banner besar yang memaparkan acara-acara sambutan bagi kemudahan orang ramai.   
Aku masih ingat lagi disegenap ruang sambutan samada di masjid-masjid atau tanah-tanah lapang dipenuhi dengan acara bacaan quran, zikir, selawat, tahlil dan tausiah.  Solat subuh  pada hari tersebut (26 Disember 2014) di Masjid Raya Baitur Rahman seperti solat jumaat. Selesai solat subuh para jemaah tidak berganjak meninggalkan masjid bagi mengikuti kuliah subuh pula.

Kemuncak sambutan adalah syarahan perdana selepas solat isyak di Masjid Raya Baitur Rahman yang di sampaikan oleh Sheikh Jabir Ali AlSabah mantan imam Masjid Nabawi yang fasih berbahasa Indonesia.  Syarahan beliau sarat dengan ilmu yang bermanfaat. Aku tiba di Masjid Raya Baitul Rahman kira-kira 30 minit sebelum masuknya waktu maghrib pun tidak dapat masuk ke dalam masjid. Melaut jumlah manusia yang hadir  dan yang mengujakan aku majoritinya adalah orang-orang muda. Alhamdulillah anak bujangku berkesempatan merakamkan syarahan tersebut walaupun hanya dalam format audio sahaja. Berikut adalah rakaman audio sayarahannya  Bahagian 1  Bahagian 2 Bahagian 3 Bahagian 4

Semoga bermanfaat.

Jumaat, 20 Disember 2019

Aceh : Aku tidak pernah serik, aku datang lagi....



13 - 16 Disember 2019 yang lalu aku datang lagi.  Ini adalah kali kedua bagi tahun 2019.  Sebenarnya, ntah kali yang ke berapa aku ke bumi Aceh. Tidak terhitung kerana seperti mulih  atau pulang kampung!!!. Setiap ramadhan selepas tsunami di sinilah port aku. Aku pernah menyambut ramadhan bersama isteri di sini. Beberapa tahun selepas itu aku menyambut idilfitri bersama famili juga di sini. Aku tidak pernah serik untuk terus datang lagi selagi aku sihat dan punya kelapangan rezeki.

Sejujurnya musibah tsunamilah yang membawa aku dan familiku mengenali Aceh lalu kami jatuh cinta  dengannya. Tiap sesuatu yang Allah SWT jadikan pasti terselit hikmah yang  tidak terjangkau oleh akal insan yang lemah dan kerdil seperti kita. 

Walaupun dalam sekelip mata sahaja musibah tsunami telah menyebabkan ada anak-anak yang menjadi yatim dan yatim piatu, ada isteri yang menjanda kerana kehilangan suami, ramai juga sang lelaki yang kehilangan isteri dan anak-anaknya, tidak kurang yang kehilangan saudara mara dan jiran tetangga malah ramai yang jatuh miskin kerana kemusnahan harta benda serta ramai yang terkesan dengan trauma yang mendalam untuk tempoh yang lama tetapi usah dilihat  dari sudut pandang bahawa tsunami adalah kifarah semata-mata. Bersangka baiklah kepadaNya.

Insafilah bahawa ujian itu bukan khusus untuk penduduk Aceh semata-mata tetapi juga ujian buat kita yang mengaku bersaudara seagama. Persaudaraan dan berkasih sayang dalam islam tiada batasan sempadan geografi, warna kulit, bangsa dan suku kaum. Andainya kita sekadar memerhati tanpa memberikan sebarang bantuan pasti di sana kelak kita tidak akan mampu menjawab soalan oleh Rabul Jalil mengapa berdiam diri tidak membantu saudara-saudara kita ketika mereka  ditimpa kesusahan atau musibah.

Ada juga yang mengusik nakal, mengapa di Aceh sahaja sedangkan tsunami sudah berlalu 15 tahun yang lalu. Untuk makluman, group kami tidak pernah mengkesampingkan  saudara-saudara seagama di tempat lain seperti di Syria, Rohingya dan kawasan-kawasan bergolak.  Cuma kami tidak ke sana, tetapi Alhamdulillah kami punya rangkaian untuk mewakili kami menyalurkan bantuan atau sumbangan kepada saudara-saudara kita yang memerlukan di tempat-tempat yang bergolak itu.

Mengapa Aceh menjadi pilihan? Berbanding tempat-tempat lain, hanya Aceh sahaja yang terjangkau dalam kemampuan kami membawa anak-anak didik kami yang bakal menjadi guru untuk menimba pengalaman melaksanakan kerja-kerja amal di peringkat antarabangsa. Tambahan pula selepas musibah Tsunami, di Banda Aceh sahaja terdapat lebih 100 buah rumah atau asrama anak yatim persendirian yang keadaannya memang memerlukan perhatian, sokongan dan bantuan.  Kami juga tidak berkecil hati kepada sahabat-sahabat yang gurauannya agak sinikal, konon usaha kami seperti kera di hutan disusukan anak sendiri mati kelaparan. Mungkin silap kami juga kerana tidak berkongsi berita dan gambar-gambar  aktiviti bulanan kami seperti berkonvoi atau menaiki keretapi menyantuni asnaf dalam negeri. Bagi kami yang penting biar sedikit tetapi istiqamah dan seterusnya yang paling utama dapat melibatkan bakal-bakal guru secara konsisten supaya dapat dipupuk rasa "ketagihan" untuk terus melakukan kerja-kerja amal walau dimana kelak mereka dipostingkan. 

Program kali ini adalah lanjutan daripada program yang dilaksanakan oleh Alumni Sri Temenggong pada bulan Ramadhan yang lalu. Kali ini ia dianjurkan secara bersama dengan beberapa buah persatuan atau pertubuhan seperti Persatuan Kebajikan Temenggong Prihatin, Pertubuhan Pendidikan Islam Kampus Temenggong Ibrahim dan Kelab Sahabat Asnaf Prihatin.  Seramai 21 orang telah menyertai misi ini yang terdiri daripada gabungan pelbagai latarbelakang dan peringkat umur.  Yang paling otai berusia 68 tahun dan yang paling muda berumur 6 tahun.   Lebih istimewa lagi ia turut disertai oleh 8 orang guru pelatih dari Kelab Sahabat Asnaf Prihatin yang bertindak sebagai fasilitator.

Semasa bulan Ramadhan yang lalu pihak Alumni Seri Temenggong telah berjaya mengumpulkan hampir RM80K untuk disumbangkan kepada beberapa buah panti (asrama) anak yatim di sekitar Banda Aceh dalam bentuk wang tunai dan bahan-bahan kering untuk kegunaan iftar dan sahur sepanjang bulan Ramadhan. Walaubagaimanapun pendekatan program kali ini agak sedikit berbeza daripada program yang lepas iaitu tidak lagi berorientasikan memberikan sumbangan kewangan atau barangan semata-mata tetapi dalam bentuk memberikan ilmu pengetahuan dan kemahiran secara “hands on”  dimana mereka (anak-anak yatim) diajar membuat kek dan roti. Ini adalah selaras dengan objektif program ini adalah untuk menjadikan mereka (anak yatim dan yatim piatu) berdikari, prihatin dan berdayasaing.
Nur Alia Syafiqaah binti Abdul Halim

Sebenarnya pengisian program begini adalah hasil lontaran idea yang dikemukakan oleh Saudari Nur Alia Syafiqah binti Abd Halim salah seorang peserta delegasi kami yang turut kami lantik menjadi salah seorang fasilitator.  Beliau adalah seorang guru pelatih Sarjana Muda Perguruan Bimbingan dan Kaunseling Semester 7  yang berpengalaman membesar di asrama anak yatim di Besut Trengganu. Sebagai anak yatim piatu yang membesar di asrama anak yatim sejak berusia 13 tahun,  beliau sangat memahami dan menjiwai keperluan yang didambakan oleh anak-anak yatim yang tinggal di asrama anak yatim. Berdasrkan pengalamannya, yang dirindui oleh anak-anak yatim yang tinggal di asrama anak yatim adalah perhatian, kebersamaan, belaian dan sentuhan kasih sayang. Atas sebab itu untuk program kali ini kami membawa fasilitator daripada kalangan guru pelatih kategori asnaf yang tidak terlalu jauh perbezaan usia dengan anak-anak yatim yang bakal disantuni supaya mereka berasa senang dan selesa.
  
Sebelum bengkel membuat kek dan roti dijalankan, anak-anak yatim ini disantuni terlebih dahulu dengan aktiviti-aktiviti yang bercorak agak “fun” dan menyeronokkan bersesuaian dengan tahap usia mereka supaya mereka rasa dihargai dan pada masa yang sama boleh meningkatkan kesedaran, semangat dan motivasi diri. Sebenarnya aktiviti-aktiviti ini adalah seumpama “ice breaking” supaya mereka lebih selesa dan berminat dan ternanti-nanti untuk mengikuti aktiviti-aktiviti seterusnya.

Berdasarkan pengamatan dan pemerhatian, terpancar diwajah anak-anak yatim di Panti Madini Aziziyah dan Panti Syamsul Fata keterujaan, keceriaan dan kegembiraan.