Setiap orang di dunia ini pasti
mempunyai keinginan dalam kehidupannya yang disebut sebagai impian. Aku juga
seperti orang lain, aku memiliki impianku sendiri. Mungkin sama dengan orang
lain dan mungkin juga tidak. Sebagai muslim segala urusan yang berkaitan kehidupan hinggalah kematian adalah terpandu berdasarkan peraturan yang ditetapkan oleh Al Khaliq yang melangkaui zaman dan batas sempadan. Islam is the way of life, justeru cita-cita, harapan, keinginan dan impian kita janganlah sampai tersasar bertentangan dengan fitrah hingga mengundang kemurkaanNya. Prioritinya adalah untuk mendapat keredhaanNya. Kalau ditanya apakah impianku, maka jawabannya aku
punya banyak impian mengikut amanah dan tanggungjawabku.
Jika ditanya apakah impianku sebagai seorang
yang sudah memanjat usia 52 tahun? Yang pertama dan utama impianku adalah nikmat kesihatan yang baik sebelum dan seleas persaraanku. Aku ada berbaki 8 tahun lagi bersara wajib. Hanya kesihatan yang baik sahaja yang mampu bagi diriku melaksanakan tugas, amanah dan tanggungjawab sebagai kapten di tempat kerjaku dengan baik dan sempurna. Sudah tentu selepas aku bersara Allah SWT masih memberikan kepada nikmat kesihatan yang baik agar aku dapat terus berbakti kepada orang lain melalui kerja-kerja amal, bermusafir dan seterusnya meningkatkan amal ibadah sebagai bekalan pulang ke negeri abadi.
Impianku yang kedua, aku ingin memiliki sendiri madrasah tahfiz moden untuk anak-anak yatim dimana aku menjadi mudirnya sebagai mengisi masa yang terluang selepas bersara sambil menantikan aku dipanggil pulang. Tambahan pula menyantuni anak yatim adalah amalan sangat mulia dan terpuji yang ganjarannya adalah syurga dengan berdampingan dengan Rasulullah SAW umpama jari telunjuk dan jari hantu sebagaimana yang digambarkan oleh hadis yang sahih dan mashur.
Sama seperti semua orang islam yang lain, aku juga mengimpikan agar diriku sentiasa mendapat petunjuk dan hidayahNya, pengakhiran yang baik iaitu husnul khatimah, beroleh keselamatan dan kebahagiaan di dunia hingga ke akhirat.
Seterusnya aku berharap agar aku seperti kedua ibubapaku yang
tidak menjadi beban dan ujian kepada orang lain terutamanya anak-anak. Arwah
bapaku meninggal dunia pada 8 Februari 1999 ketika hendak menunaikan solat fardhu asar. Ibuku pula kembali menghadap penciptanya 2 minggu sebelum aku berangkat
menunaikan fardhu haji iaitu pada 30 November 2005 selepas selesai menunaikan
solat fardhu isyak. Pengakhiran yang mudah seperti kedua ibubapaku adalah impian peribadiku yang terakhir yang sentiasa aku bawa dalam
doa-doaku.
Jika ditanya apakah impianku
sebagai seorang pengarah institusi yang bertanggungjawab melahirkan bakal-bakal
guru? Tentu sekali impianku adalah melahirkan guru yang “berwatak al Quran dan
Sunah” iaitu bertaqwa dan beriman, berakhlak terpuji bersesuaian sebagai murabi,
penyayang terhadap semua makhluk ciptaanNya tanpa batasan sempadan geografi, bangsa, warna kulit dan agama, pendokong kepada aktiviti kesukarelawanan dan kemanusiaan, penggiat
kepada kelestarian alam, inovatif dan kreatif, “all rounder” dan “multitasking”, “marketable”
dan berketrampilan menjadi agen dakwah islam walau apapun pengkhususan latihan
perguruan mereka.
Sebagai seorang bapa aku
bersyukur kerana Allah SWT menitipkan kepadaku 3 orang anak lelaki dan seorang
anak perempuan. Ramai di luar sana yang telah bernikah belasan atau puluhan tahun
tetapi masih dalam penantian dan pengharapan. Jadi wajib atas diriku untuk
mensyukurinya atas nikmat dan rezeki yang aku terima. Benar aku pernah merasai
kecewa dan hampa kerana impianku untuk memiliki seorang zuriat lelaki yang
menjadi hafiz dan bergelar ustadz tidak kesampaian. Sejujurnya aku mengakui
bahawa aku begitu cemburu melihat orang lain yang memiliki anak lelaki menjadi hafiz
dan ustadz. Bertambah cemburu apabila menyaksikan urusan perjalanan terakhir
sahabat handai atau saudara mara dipimpin oleh anak lelaki yang bergelar hafiz
atau ustadz. Terdetik dihati, aku pun teringin agar urusan perjalanan
terakhirku nanti seperti memandi, mengkafankan, mensolatkan hinggalah selesai jenazahku disemadikan dipimpin oleh anak lelakiku yang bergelar ustadz.
Kuliah-kuliah maghrib dan subuh
yang aku sering ikuti di masjid
terutamanya yang berkaitan dengan peri pentingnya pengajian al Quran
kepada anak-anak yang boleh memberi syafaat kepada kedua ibubapanya daripada
terhumban ke neraka sebagaimana yang digambarkan oleh hadis yang diriwayatkan
daripada Syaidatina Aisyah R.A begitu kuat mempengaruhi pemikiranku. Lalu sandaran
harapanku adalah kepada anak lelakiku yang ketiga. Namun demikian harapanku tidak
kesampaian. Tipu dan bohong jika aku tidak kecewa. Lama juga aku memujuk hati
ini agar berlapang dada melalui kaedah bermuhasabah diri supaya menerima
hakikat betapa kemampuanku sekadar merancang semata-mata, tidak lebih daripada
itu. Sebaik-baik perancangan adalah
perancangan yang Maha Esa sebagaimana yang digambarkan dalam surah Al
Imran ayat 54.
“Susah-susah ko bagi ewan (panggilan untuk anak
ketiga) kat aku jer,biar aku bela. Allah
tak bagi ewan jadi ustadz sebab Allah nak suruh ko lahirkan lagi ramai ustadz.
Jadi tak payahlah nak marah-marah budak tu” . Itulah ungkapan kata-kata Tuan
Haji Tormadi seorang rakan pensyarah
yang sangat senior pada satu pagi sekitar tahun 2003 semasa kami “ngeteh” di
sebuah warong di Jeti Tanjung Leman semetara menantikan bot yang akan membawa
kami ke Pulau Sibu tiba. Walaupun
nadanya seakan-akan berseloroh tapi amat berbisa dan mengesankan serta mencabar
mindaku berfikir.
Sesungguhnya aku sangat terhutang budi kepada Tuan
Haji Tormadi @ Abang Torm yang banyak menasihati dan menegur tentang kesilapanku. "Janganlah ko bersedih, sentiasalah berlapang dada dan bersangka baik kepadaNya", juga antara kata-kata nasihat Abang Torm yang sering diucapkan kepadaku. Alhamdulillah ewan kini sudah berada dalam tahun
dua pengajiannya di UIA. Apapun pilihan anak-anak semuanya sudah tertulis sejak
azali. Jadi apalah upayaku hendak menongkah arus melawan takdirNya. “Allah nak
suruh ko lahirkan lagi ramai ustadz”
merupakan ayat Abang Torm yang paling “win” yang mendorongku untuk sentiasa
mencari peluang melahirkan seramai mungkin hafiz, hafizah, ustadz dan ustazah.
Kesempatan aku bertugas di sini mulai Disember 2012
aku manfaatkan bersama rakan-rakan dari semenanjung melahirkan seramai mungkin ustadz dan ustazah dalam kalangan anak tempatan dengan membuka kelas mengaji dan
mendirikan dua buah madrasah tahfiz. Aku juga turut mengambil seorang anak angkat lelaki yang sedang belajar di salah sebuah sekolah Tahfiz di Tawau. Disamping itu sebagai kepala sebuah intitusi yang melatih bakal guru, aku mencari peluang untuk melahirkan ustadz dan
ustazah dengan mendesak pihak IPGM agar menghantar opsyen Pendidikan Agama
Islam ke IPGK Tawau. Alhamdulillah
intake PPISMP 2014 dan PPISMP 2015 telah menyaksikan opsyen Pendidikan Agama Islam
turut berada di bumi IPGK Tawau. Aku
berazam untuk tidak mensia-siakan peluang dan kepercayaan pihak KPM kepada IPGK
Tawau. Bagi memastikan kemenjadian guru seperti yang dihasratkan oleh negara
tercapai, kemajuan mereka aku pantau secara berterusan. Sudah pasti opsyen Pendidikan Agama Islam (PAI) lebih mendapat perhatianku. Setakat ini anak-anak intake 2014 dan 2015 adalah
yang terbaik, ramai yang berbakat dalam bidang nyanyian, tarian, sukan dan
permainan. Mereka semuanya amat menyenangkan, menghiburkan dan menyejukan mata. Memerhati dan menyaksikan mereka beraktiviti menjadi pengubat rindu kepada anak-anak. Anak-anak IPGK Tawau akhlak dan sahsiahnya terpuji, buktinya tidak ada seorang pun
yang dirujuk kepadaku kerana salahlaku disiplin. Insha Allah majlis konvokesyen IPGM pada tahun 2019 dan 2020 IPGK Tawau akan turut melahirkan ustadz dan ustazah.
Mulai Jun ini, IPGM akan memperkenalkan elektif
terbuka kepada pelajar PISMP Semester 1. Aku semak senarai panjang pilihan
elektif terbuka yang ditawarkan, hanya elektif terbuka Pendidikan Islam sahaja
yang paling menarik perhatianku. Sebenarnya inilah peluang terbaik kepadaku
untuk melahirkan tambahan ustadz dan ustazah
dari kalangan guru pelatih bukan opsyen / major PAI di IPGK Tawau. Aku
telah mengarahkan KJ Jabatan Pendidikan
Islam dan Moral agar menawarkan elektif Pendidikan Islam kepada pelajar yang bukan opsyen PAI. Berdasarkan “body language” KJ JAPIM dapat aku
fahami bahawa beliau agak keberatan
untuk melaksanakan elektif terbuka tersebut. Aku bertegas agar diteruskan juga dan
aku memberi tempoh seminggu untuk berbuat
sesuatu agar elektif pendidikan islam dapat direalisasikan.
Jumaat lepas genaplah seminggu, KJ JAPIM menemui aku kembali untuk melaporkan perkembangan dan kemajuan seperti yang aku arahkan. Sambil
menyerahkan fail yang mengandungi senarai nama beliau memaklumkan baru ada 3 orang pelajar yang menyatakan minat untuk mengambil
elektif pendidikan islam. Seterusnya sambil menundukan kepala, beliau memaklumkan bahawa sukar baginya untuk
melaksanakan elektif tersebut kerana syarat untuk membuka sesuatu elektif terbuka
sekurang-kurangnya ada 10 orang pelajar. Laporan tersebut agak mengecewakan aku
sebenarnya. Sekali lagi aku tidak berganjak dengan pendirian awalku agar
elektif terbuka pendidikan islam diteruskan walau apa pun keadaannya. Sebelum mengakhiri pertemuan dan
perbincangan dengan KJ JAPIM, aku menyatakan bahawa aku berkeyakinan sekurang-kurangnya 10 orang pelajar yang diperlukan mampu dicapai sebaik sesi pengajian
baharu bermula. Sekiranya masih tidak cukup, aku sendiri yang akan berjumpa
pelajar untuk berkempen. Andainya masih tidak cukup juga, aku bersedia memikul tanggungjawab
sekiranya dipersalahkan oleh IPGM kerana melaksanakan elektif terbuka hanya dengan tiga orang pelajar sahaja.
Aku nekad mengambil keputusan
yang akan membuat ada pihak yang tidak gembira dan tidak selesa kerana aku
percaya peluang seperti ini tidak datang selalu dan mungkin hanya sekali ini
sahaja. Mustahil aku dapat menggembirakan dan memuaskan hati semua orang. Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat
sagunya. Hanya keberanian menghadapi risiko bersusah payah terlebih dahulu
sahaja yang akan dapat menikmati kemanisan hasilnya dikemudian hari.
Selepas KJ JAPIM beredar, aku buka fail senarai nama yang diserahkan kepadaku dan semasa aku membelek-beleknya tanpa
disedari tertumpah airmataku mengiringi pelbagai perasaan yang bercampur baur;
antara gembira, bangga, terharu dan tersentuh semuanya menjadi satu. Sebenarnya
semasa KJ JAPIM melaporkan baru ada 3 orang pelajar yang berminat, terus serta merta tergambar
tiga wajah dimindaku iaitu Shukri bin Supardi daripada opsyen Bimbingan dan Kauseling, Najihah binti Ismail dan Nur
Aina Aqilah binti Razali pula daripada opsyen Pemulihan. Najihah dan Aqilah sememangnya aku sangat familiar kerana kelibat dua orang anak gadis ini sering kelihatan di Masjid Al Nur dan Pusat Sumber. Gaya dan perawakan dua anak gadis ini turut menjadi sebahagian penawar rinduku kepada Izzaty, anak gadisku yang kini sedang menuntut di USM. Shukri pula pandai bergaul dan bersembang dengan orang yang lebih berusia. Gayanya melayan aku sambil menantikan masuknya waktu isyak membuat terubat rinduku pada Ewan. Sering kali juga selepas solat isyak sambil berselawat dan bersalaman Shukri aku peluk dan cium seperti aku mencium anak-anak bujangku selelpas selesai solat berjemaah. Betapa bertuah dan beruntungnya ibubapa
kalian yang memiliki anak-anak seperti kalian. Tanpa paksaan dengan rela hati kalian bertiga ikhlas memilih elektif pendidikan islam. Semoga Allah SWT sentiasa merahmati dan memudahkan segala urusan kalian bertiga. Subhana Allah Maha Suci Allah!!!...apa
yang tergambar dimindaku sama dengan senarai nama yang aku terima yang sedang aku belek-belek.
Kepada anak-anaku Shukri, Najihah
dan Aqilah diucapkan jutaan terima kasih kerana berani memilih untuk mengambil elektif pendidikan islam. Janganlah sesekali kalian bertiga mengalah, putus asa dan berasa gentar untuk
menyahut cabaran lapan semester mengikuti kursus elektif pendidikan islam.
Percayalah bahawa suatu hari nanti Shukri akan menjadi guru kaunseling terlatih bertaraf
ustadz sementara Najihah dan Aqilah bakal
menjadi guru pemulihan terlatih yang turut berkelayakan mengajar agama bertaraf ustazah. Setakat ini seperti belum pernah kita temui
guru kaunseling, guru pendidikan khas atau guru pemulihan terdiri daripada kalangan ustadz dan ustazah. Insan-insan istimewa di luar sana pun sama seperti insan normal yang lain, mendambakan
pendidikan agama yang berkualiti. Pendidikan agama yang berkualiti untuk
anak-anak pendidikan khas dan pemulihan hanya boleh dicapai sekiranya guru-gurunya
yang terlatih dalam bidang pendidikan khas dan pemulihan adalah juga seorang ustadz
atau ustazah. Najihah dan Aqilah kalian
adalah perintisnya.
Aku berdoa kepadaMu Ya Rabb agar
lebih ramai lagi yang terbuka hatinya untuk mengikuti elektif pendidikan islam
menjelang sesi baru pengajian Jun 2016 dibuka.
Ya Allah, Kau berilah kesempatan kepadaku untuk sama-sama mencorakkan
mereka sehingga tamat pengajian mereka. Kau berikan kepadaku nikmat kesihatan yang
baik dan umurku yang panjang agar aku dapat menyaksikan anak-anak hebat ini
bergraduat pada tahun 2020. Pastinya pada waktu itu akulah orang yang paling
megah dan berbangga kerana IPGM hantar 20 orang untuk dilatih menjadi ustadz
dan ustazah tapi aku dapat melahirkan lebih
daripada jumlah itu. Bertambah eksyennya aku kerana opsyen kaunseling dan opsyen pemulihan turut ditawarkan di kampus-kampus lain tetapi tidak sehebat pelajar kaunseling dan pemulihan Kampus Tawau yang berani menyahut cabaran mengambil elektif pendidikan islam hingga melayakkan boleh dipanggil ustad dan ustazah.
Akhir kalam, hanya ungkapan
terima kasih sahaja yang dapatku titipkan buatmu Abang Tormku atas teguran dan nasihat yang telah mengubah gaya berfikirku tentang impian dan harapan. Sangat benar
kata-katamu bahawa apa yang kita impikan semuanya Allah akan kabulkan, cuma ada
yang digantikan dengan yang lain, ada yang ditangguhkan waktunya sesuai dengan
kehendakNya. Kini aku sudah boleh menerima hakikat dan sudah mampu tidak bersedih kerana impianku untuk melahirkan seorang ustadz atau hafiz dari kalangan anak lelakiku tidak kesampaian, namun aku bersyukur kerana Allah gantikan dengan anak-anak orang lain melalui hasil usahaku. Aku
mengimpikan seorang tetapi Allah gantikan dengan puluhan ustadz dan ustazah,
malah yang lebih bergaya lagi, insha Allah akan terlahir ustadz guru kaunseling
dan ustazah-ustazah guru pemulihan daripada institusi yang aku pimpin. Hakikatnya yang perlu aku syukuri bahawa sebuah impianku telah direalisasikan oleh orang lain dengan lebih baik dan lebih sempurna.
Kepada anak-anaku Abang Uzair, Kakak Zaty, Ewan dan Emir ketahuilah bahawa ayah kamu mempunyai sebuah impian untuk memiliki madrasah tahfiz moden khusus untuk anak-anak yatim. Andainya impian ayah tidak kesampaian mungkin pada suatu masa nanti kamulah yang akan merealisasikannya.