Ahad, 9 Oktober 2016

Apakhabar Maal Hijrah 1438, sudahkah kita berhijrah?

BAHAGIAN 1

Hari ini 8 Muharam bermakna sudah 8 hari kita berada ditahun 1438 Hijrah. Pada tahun ini rasanya yang paling kurang saya menghantar ucapan menjelang tahun baharu hijrah kepada rakan-rakan atau kenalan berbanding tahun-tahun yang lepas. Malah ramai bekas anak-anak murid yang menitipkan ucapan maal hijrah melalui whatsapp masih belum sempat dibalas. Terima kasih kerana masih mengingati saya, insha Allah saya akan cuba membalasnya walaupun agak lewat serta mengambil masa sedikit. 
Bukan kerana kesibukan tugas yang meluntur semangat untuk menyambut dan meraikan kedatangan tahun baharu hijrah. Terusterang saya katakan bahawa saya agak sinikal, pada saya ucapan sambutan maal hijrah adalah sama seperti ucapan-ucapan meraikan peristiwa yang lain iaitu sekadar tradisi untuk memeriahkan sambutan yang berulang setiap tahun, tanpa penghayatan yang boleh disaksikan melalui perubahan hasil daripada terjemahan penghijrahan. Kejelekan yang tidak sepatutnya berlaku dikalangan kita semakin melebar dan membarah.

Bebekalkan semangat maal hijrah 1438, saya terpanggil untuk menyentuh tentang penghijrahan masjid agar lebih "attractive", progresif, dinamik dan berdayasaing agar terus kekal relevan dalam menghadapi pelbagai cabaran yang mendatang. Mentaliti bahawa masjid sebagai tempat ibadah, nikah kahwin dan kematian sahaja adalah sudah lapuk.  

Justeru dengan perkembangan teknologi dan gaya berfikir masyarakat yang telah berubah, JK Masjid yang dipertanggungjawabkan menguruskan masjid perlu ada keinsafan dan kesedaran serta kesediaan untuk berubah. Kata-kata hikmah Syaidina Umar Alkhatab " didiklah anak kamu mengikut zamannya bukan mengikut zaman kamu" perlu dinsafi dan dijadikan panduan. Walaupun kelihatannya masej yang hendak disampaikan oleh Syaidina Umar lebih tepat dalam bidang pendidikan tetapi saya berkeyakinan ia relevan dalam semua aspek kehidupan dan dalam apa jua situasi sekiranya kita ingin maju dan ingin bersaing.

Oleh sebab itu mereka yang diamanahkan untuk menguruskan masjid mesti besedia untuk berubah. Kaedah, teknik dan strategi menguruskan masjid kena disesuaikan dengan keperluan semasa. Sudah tiba masanya masjid diuruskan melalui pendekatan keusahawanan (entrepreneurship). Apabila disebut pendekatan "entrepreneurship" (keusahawanan) bukanlah bermakna berniaga semata-mata seperti yang kita fahami tetapi bagaimana cara kita menguruskan masjid adalah seperti orang yang berniaga. Lazimnya orang yang berniaga akan memikirkan keuntungan sebagai objektif utamanya. Bagi memastikan objektif iaitu keuntungan tercapai maka perkara-perkara berikut akan diberikan keutamaan seperti imej, marketing (pemasaran), networking (rangkaian atau jaringan), advertising (pengiklanan/publisiti), kolaborasi dan "after sale service". Kepuasan pelanggan adalah indikator kepada keberhasilan perniagaan.

Justeru, pendekatan keusahawanan juga merujuk kepada kesediaan untuk menerima teguran, kritikan cadangan dari pelanggan dan dalam kontek masjid pelanggan adalah para jemaah. Disamping itu pemikiran keusahawanan bermaksud sentiasa berfikir untuk menggarap idea-idea baharu untuk mencari peluang-peluang baharu demi untuk memastikan memperolehi keuntungan semaksima mungkin dan disamping itu terus berusaha bagi memastikan kelangsungan perniagaan berkekalan dan relevan. 


Sehubungan dengan itu, pihak pengurusan masjid kena berubah minda dengan kesediaan untuk membina dan seterusnya memperkukuhan rangkaian atau jaringan, menjalin kerjasama dan berkolaborasi bukan sahaja antara sesama pengurusan masjid malah dengan pelbagai pihak seperti agensi, institusi, persatuan, badan sukarela dan NGO mahupun individu yang boleh berkongsi kepakaran dan pengalaman agar masjid kita berdaya saing dan terkehadapan (advance) dalam menggalas peranan masjid sebagai one stop centre yang membawa kembali kegemilangan umah.  

Amalan menyalahkan orang lain atas kelemahan dan kegagalan kita tiada dalam kamus keushawanan. Kegagalan kita adalah kerana diri kita sendiri yang sentiasa berpuashati, tidak mahu berusaha meningkatkan dan menguasai ilmu-ilmu baharu, angkuh dan sombong dengan beranggapan hanya kita sahaja yang betul. Nah dimana kita?

Rumusannya orang yang menguruskan masjid kena berubah. Zaman kita sentiasa betul dan memencilkan diri telah berlalu. Kalau kita mahu maju seiring dengan orang lain, kita wajib berubah. Gabungan pendekatan keushawanan (entrepreneurship) dengan strategi lautan biru (Blue ocean strategy) perlu dijadikan teras dalam pengurusan masjid. Semua pihak samada pihak yang berautoriti, JK Masjid dan pelangggan iaitu umat islam perlu berlapang dada untuk sama-sama berhijrah sekiranya ingin islam kembali sebagai peneraju kemajuan dan kegemilangan.

"KALAU BUKAN SEKARANG BILA LAGI".

Tiada ulasan: