Khamis, 29 Mac 2012
Mendepani dan Memahami Anak Muda di Era Dunia Tanpa Sempadan
Golongan muda adalah aset paling berharga dalam mewarnai sesebuah negara bangsa. Sejarah telah membuktikan bahawa jatuh bangun sesebuah regim, dinasti atau kerajaan adalah berkait rapat dengan golongan ini. Fenomena Arab Spring yang melanda beberapa buah negara arab seperti Mesir, Algeria, Libya pada tahun 2011 adalah bukti tentang pengaruh dan penglibatan golongan muda dalam menjatuhkan sesuatu regim yang bertapak kukuh dan digeruni. Terbayangkah di minda kita betapa Hosni Mubarak yang bertapak kukuh mencengkam segala aspek strategik dalam negara Mesir sejak 30 tahun yang lampau boleh terpelanting dalam keadaan yang amat mengaibkan.
Seandainya kita terus memandang sepi anak muda sebagai budak hingusan yang belum banyak makan garam adalah satu tindakan angkuh dan sombong yang mengundang ke arah kemusnahan. Kita sering menghukum anak muda sebagai menongkah arus, anti establishment, tidak bersyukur, tidak tau apa-apa. Hakikatnya di era dunia tanpa sempadan, anak muda sebenarnya jauh lebih berinformasi berbanding dengan orang-orang lama yang telah mengukuhkan pengaruh dalam posisi yang selesa pada masa ini. Maklumat yang ada pada anak muda adalah bersifat "up to date" yang diperolehi melalui hujung jari semata-mata sedangkan orang lama masih terperap dengan sumber maklumat yang diperolehi secara tradisional yang bersifat sudah agak ketinggalan zaman.
Lebih ironis ada yang menganggap golongan muda tidak patriotik dan tidak setia kepada negara. Tafsiran patriotik bagi golongan muda jauh berbeza dengan amalan yang dipraktiskan oleh golongan yang berada dalam zon selesa. Nilai patriotik bagi anak muda bukan lagi taat setia secara membabi buta. Anak muda melihat orang yang diberi amanah tetapi mensia-siakan amanah hingga merugikan negara dilihat sebagai pengkhianat dan petualang. Apa yang dipelajari oleh anak muda tentang patriotik di sekolah adalah bertentangan sama sekali dengan realiti kehidupan.
Persoalan-persoalan oleh anak muda tentang ketelusan, keterbukaan, intergriti dan akauntabilti tidak akan surut jika kita tidak bersedia memahami dan mendepani keperluan dan kehendak anak muda secara tuntas dan berhemah. Kita kena berlapang dada dan menerima hakikat bahawa anak muda pada masa ini lebih lebih berinfomasi berbanding generasi lama. Amalan menafi apa sahaja isu yang diutarakan oleh anak muda akan dilihat oleh golongan ini sebagai tidak demokratik dan hipokrit. Bersedialah berubah dengan memahami keperluan dan inspirasi anak muda jika kita mahu terus kekal relevan.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan