MEMPERTEGUHKAN KETAHANAN EKONOMI, MEMPERKASA TRANSFORMASI DAN
MELAKSANA JANJI"
Tuan Yang di-Pertua,
Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bertajuk "Suatu Akta
bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk
perkhidmatan bagi tahun 2014 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk
perkhidmatan bagi tahun itu" dibaca bagi kali kedua.
PENDAHULUAN
Tuan Yang di-Pertua.
Saya mulakan lafaz ucapan Bajet 2014 dengan mengungkap kalimah suci.
Bismillahirrahmanirrahim. Dipetik dengan penuh iktibar sepotong firman Allah
Subhanahu Wa Taala dari Surah Al-Qasas, ayat ke-77, mafhumnya:
"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu
akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat, dan janganlah engkau melupakan
bahagianmu daripada keperluan di dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah
berbuat baik kepadamu yakni di atas pemberian nikmatNya yang
melimpah-limpah".
Para pujangga pula sering bermadah-madah, bahawa: "Berpadu ialah satu
permulaan, terus bersatu merupakan kemajuan, manakala bekerja secara
ganding-berganding, bahu-membahu, itulah dia resepi kejayaan".
Tuan Yang di-Pertua,
1. Seawal dan seafdalnya, marilah kita merafakkan rasa syukur yang setulusnya
ke hadrat Allah Subhanahu Wa Taala, kerana dengan izin dan kurnia-Nya jua, saya
dan para Ahli Yang Berhormat sekalian, dapat berhimpun dalam Dewan Rakyat yang
mulia ini, sebuah institusi simbol, serta menjadi satu perlambangan demokrasi
yang segar, di bumi Malaysia yang berdaulat lagi merdeka.
2. Pertama-tamanya, saya, bagi pihak Kerajaan, merakamkan setinggi-tinggi
ucapan terima kasih serta penghargaan kepada rakyat Malaysia, yang menyokong
dan mendokong serta mewibawakan mandat ke atas Barisan Nasional pada
Pilihanraya Umum Ke-13 lalu untuk terus menerajui kepimpinan negara.
Tuan Yang di-Pertua,
3. Ini membuktikan, biarpun kita berdepan dengan pelbagai rintangan, walaupun
dilontar dengan segala bentuk tohmahan, sekalipun diasak dengan bermacam
dugaan, namun Alhamdulillah, dengan kehendak Maha Berkuasa jua, kepimpinan
Transformatif Barisan Nasional, terus kental, terus bertahan, terus teguh,
sebagai parti pilihan rakyat bagi tempoh 5 tahun akan datang.
4. Sememangnya pun, kita telah melalui satu Pilihanraya Umum yang begitu
mencabar dan penuh tantangan. Sekali apa jua, kita boleh berbangga kerana,
semuanya itu, dilalui dengan teratur menurut batas dan lunas demokrasi,
sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan sehingga diberi
gelar oleh kawan dan lawan sebagai ibu segala pilihanraya.
Tuan Yang di-Pertua,
5. Kerajaan amat sedar dan insaf di kala dunia berdepan dengan risiko
ketidaktentuan iklim politik dan ekonomi global, jika kita tidak berwaspada dan
berjaga-jaga tempiasnya boleh terpercik kepada kita. Maka, kita amat bersyukur
kerana negara ini tidak terjebak atau terseret dalam kancah konflik dalaman
yang boleh meranapkan negara bangsa.
6. Kita juga menghitung nikmat-Nya yang tidak terhingga-hingga kerana negara
ini terus dipancuri rahmat pabila tiada dilanda malapetaka mahupun bencana alam
melampau sepertimana yang berlaku di negara-negara lain. Moga-moga kita
senantiasa diperlindung olehNya jua.
Tuan Yang di-Pertua,
7. Jika disusuri, semenjak tahun 1965 sehingga tahun 2011, sebanyak 10
Rancangan Malaysia dan tiga Rangka Rancangan Jangka Panjang telah dilaksanakan.
8. Dasar Pembangunan Nasional pula, melewati tempoh-tempoh tahun 1991 sehingga
tahun 2000. Kemudiannya, Dasar Wawasan Nasional merentasi tahun 2001 sehingga
2010. Dalam pada itu, saya juga telah melancarkan Dasar Transformasi Nasional
atau DTN, semasa membentangkan Bajet tahun 2010, sebagai paksi pengukuhan dan
pemangkin untuk mencapai Wawasan 2020 kelak.
9. Di sini, ingin saya tegaskan sejelas-jelasnya, semuanya ini tidak akan
terjelma, atau berlaku secara hentam keromo sahaja tanpa perancangan rapi dan
strategi yang tuntas oleh Kerajaan yang ada. Bahkan, sejak puluhan tahun Kerajaan
Barisan Nasional berusaha gigih, memeta, merencana dan membina negara daripada
sebuah negara pertanian, menjadi negara perindustrian moden dan kemudian
berkembang sebagai negara berpendapatan sederhana tinggi. Kini, menuju pula
gerbang sebuah negara maju berpendapatan tinggi.
Tuan Yang di-Pertua,
10. Pada 14 September 2013 yang lalu, di Dewan Agong Tuanku Canselor, Kampus
Induk Universiti Teknologi MARA, saya telah membentangkan Agenda Pemerkasaan
Ekonomi Bumiputera. Dalam ucapan tersebut, saya telah menzahirkan maklumat
tentang demografi populasi negara berkhusus tentang Melayu dan Bumiputera.
Tuan Yang Di-Pertua serta Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,
11. Pada hari ini pula, di peringkat nasional, kita lihat, demografi populasi
yang bermula dari Arau Perlis, hingga ke Kudat dan Tawau di Sabah, membawa ke
Bintulu hingga Batang Ai di Sarawak, menunjukkan bahawa, secara asasnya,
orang-orang Melayu terdiri daripada 41 suku dengan 9 induk utama, Orang Cina 10
suku, kaum India 8 suku, Orang Asli 18 kategori, Bumiputera di Sabah jumlahnya
lebih 60 etnik, manakala di Sarawak pula terdapat lebih 40 suku.
12. Hakikatnya, kita semua, sama ada orang Melayu, orang Cina, orang India,
Kadazan, Murut, Dusun, Iban, Bidayuh, orang Ulu, orang Asli, orang Sikh, Serani,
orang Siam, peranakan baba nyonya dan juga kaum Chetty serta lain-lainnya,
kesemuanya orang Malaysia. Pendek kata, setiap kaum atau suku tidak kira
peratusannya adalah mustahak dan penting dalam perjalanan negara menuju
kejayaan.
Tuan Yang di-Pertua,
13. Menurut bancian Penduduk dan Perumahan 2010, anggaran penduduk tahun 2013
menunjukkan jumlah warganegara Malaysia terdiri daripada orang Melayu dan Bumiputera, sama ada Islam mahupun
bukan Islam adalah 18.6 juta atau 67.9%, kaum Cina 6.6 juta atau 24 peratus,
kaum India 2 juta atau 7.2 peratus, manakala lain-lain kaum 259 ribu yang
mewakili 0.9 peratus. Ini
bererti perangkaan semasa jumlah warganegara Malaysia lebih 27.4 juta orang.
14. Kendatipun
begitu, ini tidaklah termasuk 40,000 orang Bangladesh yang didakwa oleh
pembangkang, dibawa masuk sebagai pengundi dalam pilihanraya umum ke-13 baru
baru ini. Walhal, hinggalah hari ini, tiada siapapun yang pernah melihat
kelibat, apatah lagi bayang mereka itu. Cukup-cukuplah pembohongan,
beristighfarlah banyak-banyak, Astaghfirullah-Hal Azim.
Tuan Yang di-Pertua,
15.Sesungguhnya, secara sedar ataupun tidak, segala gagasan mahupun prakarsa
negara ini, sejak lebih lima dekad merdeka, telah dimeterai dan dipateri oleh
bapa-bapa kepimpinan terdahulu hingga kini, dengan penuh bijaksana dan
berhikmah, dipasak kepada realiti, data berangka, serta komposisi kemajmukan
rakyat. Makanya, bersandarkan premis yang kukuh tersebut, naskhah penting ini
kita bingkiskan.
16.Sepertimana saban tahun, waktu pembentangan dokumen besar nasional ini,
dipilih dan jatuhnya pada petang hari Jumaat yang mulia lagi penuh sa'adah.
Sesungguhnya, bajet ini adalah yang sulung dan yang julung, dipersembahkan
kepada rakyat oleh Kerajaan Barisan Nasional sesudah sekali lagi diberikan
amanah dan kepercayaan. Inilah juga, bajet kali ke-lima yang direncana dan
diangkat oleh saya selaku Menteri Kewangan bagi pihak Kerajaan sejak 2009.
TERAS BAJET 2014
Tuan Yang di-Pertua,
17. Bajet 2014 digubal untuk mempastikan pertumbuhan ekonomi terus berkembang
kukuh dan mengurangkan defisit fiskal negara, dengan matlamat keseluruhannya
Memakmur Negara dan Mensejahtera Rakyat. Memenuhi maksud ini, Bajet 2014
dirangka bertemakan "MEMPERTEGUH KETAHANAN EKONOMI, MEMPERKASA
TRANSFORMASI DAN MELAKSANA JANJI", dengan menggariskan lima teras utama.
. Teras Bajet Yang Pertama:Merancak Aktiviti Ekonomi
. Teras Bajet Yang Kedua: Mengukuh Pengurusan Fiskal
. Teras Bajet Yang Ketiga: Mengunggul Modal Insan
. Teras Bajet Yang Keempat: Mempergiat Pembangunan Bandar dan Luar Bandar.
. Teras Bajet Yang Kelima: Mensejahtera Kehidupan Rakyat
PRESTASI EKONOMI 2013 DAN PROSPEK 2014
Tuan Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
18. Izinkan saya mengutarakan tentang prospek ekonomi global dan negara masa
kini. Ekonomi dunia dijangka
berkembang perlahan dengan kadar 2.9 peratus pada tahun 2013. Malaysia tidak terkecuali daripada
tempias ini. Namun, asas ekonomi negara yang kukuh dan dasar monetari yang
akomodatif membolehkan kita terus mencatat pertumbuhan yang mapan. Malah, dalam tempoh separuh pertama tahun ini, ekonomi
negara berkembang sebanyak 4.2 peratus.
19.Indikator ekonomi menunjukkan trend yang menyokong pertumbuhan. Sebagai
contoh, sehari sebelum pembentangan Bajet ini, Indeks Bursa Malaysia mencatat
paras dan nilai tertinggi dalam sejarah negara iaitu 1,818 mata, bersamaan
dengan nilai pasaran 1.66 trilion ringgit pada penutup Bursa, 24 Oktober 2013.
Ia membuktikan keyakinan pelabur luar dan domestik semakin meningkat.
20.Kemasukan pelaburan langsung asing bersih pula, jumlahnya lebih tinggi,
yakni 18.2 bilion ringgit berbanding 15.9 bilion ringgit pada separuh pertama
2012.Manakala, rizab antarabangsa pula, kekal kukuh sebanyak 444.9 bilion
ringgit pada 14 Oktober 2013. Tuan Yang di-Pertua, jumlah ini mampu membiayai
9.7 bulan import tertangguh dan 3.9 kali hutang luar jangka pendek.
21.Bagi keseluruhan tahun 2013, ekonomi negara dijangka berkembang pada kadar
4.5 hingga 5 peratus. Prestasi tersebut disokong oleh pertumbuhan pelaburan
swasta sebanyak 16.2 peratus dengan anggaran pelaburan sebanyak 165 bilion
ringgit. Di samping itu, penggunaan swasta dan awam dijangka berkembang 7.4 dan
7.3 peratus, disokong terutamanya oleh kerancakan aktiviti ekonomi domestik.
22. Pada tahun 2014, berdasarkan prospek ekonomi global yang dijangka lebih
baik, ekonomi negara diunjur berkembang lebih kukuh pada kadar 5 hingga 5.5
peratus. Pertumbuhan ini akan dipacu oleh pelaburan swasta, sebanyak 12.7
peratus dan penggunaan swasta sebanyak 6.2 peratus.
23.Berikutan perkembangan positif permintaan luar negara, eksport barangan dijangka meningkat pada kadar
2.5 peratus. Dari sudut penawaran, sektor pembinaan dianggar meningkat pada
kadar 9.6 peratus dan diikuti sektor perkhidmatan 5.7 peratus. Kadar
pengangguran pula dianggar hanyalah pada 3.1 peratus, manakala kadar inflasi
kekal rendah di paras 2 hingga 3 peratus.
Tuan Yang di-Pertua,
24.Ingin saya kongsikan di sini, pendapatan perkapita tahun 2014 dijangka akan mencecah 34,126
ringgit berbanding 24,879 ringgit pada tahun 2009. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 37
peratus dalam tempoh 6 tahun. Sehubungan hal ini, jika dicongak, InsyaAllah,
besar kemungkinan pendapatan
perkapita pada tahun 2020 kelak mampu melebihi sasaran 46,500 ringgit atau 15
ribu Dolar Amerika. Dalam
erti kata lain, mudah-mudahan kita mampu menjadi negara maju lebih awal
daripada tahun 2020.
PERUNTUKAN BAJET 2014
Tuan Yang di-Pertua,
25.Bajet 2014 akan menyediakan
peruntukan sebanyak 264.2 bilion ringgit bagi melaksanakan langkah-langkah,
program dan projek kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara. Daripada jumlah
tersebut, 217.7 bilion ringgit diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus dan
46.5 bilion ringgit bagi perbelanjaan pembangunan.
26.Di bawah peruntukan mengurus, sejumlah 63.6 bilion ringgit adalah bagi Emolumen dan
36.6 bilion ringgit disediakan bagi Perkhidmatan dan Bekalan. Manakala, 114.5
bilion ringgit diperuntukkan kepada Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap.
Sejumlah 1.4 bilion ringgit lagi, disediakan untuk Pembelian Aset dan baki 1.5
bilion ringgit untuk perbelanjaan lain.
Tuan Yang di-Pertua,
27.Daripada peruntukan pembangunan yang berjumlah 46.5 bilion ringgit itu, sejumlah
29 bilion ringgit disediakan untuk sektor ekonomi. Sebanyak 10.5 bilion ringgit
bagi sektor sosial, termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan,
perumahan serta pembangunan masyarakat. Seterusnya, 3.9 bilion ringgit
diperuntukkan bagi pembangunan sektor keselamatan. Selebihnya, 1.1 bilion
ringgit bagi pentadbiran am dan 2 bilion ringgit untuk simpanan luar jangka.
28.Pada tahun 2014, Kerajaan Persekutuan mengunjurkan kutipan hasil sebanyak
224.1 bilion ringgit, yakni, tambahan sebanyak 4 bilion ringgit berbanding
tahun 2013. Dengan mengambil kira anggaran hasil dan perbelanjaan, defisit
fiskal Kerajaan Persekutuan dijangka terus berkurangan kepada 3.5 peratus
daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar atau KDNK bagi tahun 2014, berbanding 4
peratus pada tahun 2013. Jelas di sini Tuan Yang di-Pertua, Kerajaan sangat
komited dalam usaha konsolidasi fiskal bagi memperkukuhkan lagi kedudukan
kewangan negara.
Tuan Yang di-Pertua, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
29.Dengan mengambil kira senario ekonomi antarabangsa dan domestik semasa
seperti yang tersebut, maka sekarang saya bentangkan lima teras yang dirangka
sebagai tunjang dan pedoman bagi Bajet 2014.
TERAS PERTAMA: MERANCAK AKTIVITI EKONOMI
30.Dalam hal ini, Kerajaan akan terus menyediakan persekitaran yang mesra dan
kondusif untuk melonjak pelaburan domestik dan asing. Usaha Kerajaan
menunjukkan terdapatnya peningkatan dalam pelaburan swasta. Sebagai contoh,
jika pada tahun 2010, sumbangan pelaburan swasta kepada KDNK adalah 12.4 peratus,
kini, ia telah meningkat kepada 16.7 peratus.
31.Bagi tahun 2014 pula, pelaburan swasta dianggarkan meningkat kepada 189
bilion ringgit atau 17.9 peratus KDNK, terutamanya dalam bidang minyak dan gas,
industri tekstil, kelengkapan pengangkutan serta pembangunan hartanah.
32.Di samping itu, pelaburan awam dianggarkan mencecah sebanyak 106 bilion
ringgit. Di antara projek yang akan dilaksanakan ialah pembinaan Lebuhraya
Pantai Barat dari Banting ke Taiping sepanjang 316 kilometer, pembinaan
landasan keretapi berkembar Ipoh ke Padang Besar dan kemudiannya dari Gemas ke
Johor Bahru.
33.Dalam bidang minyak dan gas pula, antara projek yang akan dilaksanakan oleh
Petronas merangkumi Projek Ammonia Urea Sabah atau SAMUR di Sipitang, projek
pembangunan bersepadu pengeluaran gas dan minyak di Kebabangan dan projek loji
regasifikasi di Lahad Datu, Sabah serta projek RAPID di Pengerang, Johor yang
merupakan pelaburan terbesar di Malaysia.
Tuan Yang di-Pertua,
34.Menjengah sudut lain, Kerajaan akan terus menggalakkan pelaburan di lima
Wilayah Koridor Ekonomi dengan menyediakan infrastruktur asas serta
melaksanakan projek yang berimpak tinggi. Sehingga akhir 2012, sejumlah 124
bilion ringgit pelaburan telah direalisasikan atau 41 peratus daripada
keseluruhan pelaburan berkomited di wilayah koridor.
35.Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2013 pula, kesemua koridor telah berjaya menarik pelaburan
berkomited berjumlah 53.4 bilion ringgit. Hampir 50 peratus daripada pelaburan
berkomited tersebut telah direalisasikan. Antara projek di Wilayah Iskandar adalah, Studio Pinewood,
Hospital Gleaneagles Medini serta Sekolah Antarabangsa Pegasus. Selain itu,
projek pembentungan dan tebatan banjir juga akan dilaksanakan.
36.Kerajaan turut menyediakan 1.6 bilion ringgit pada 2014 bagi pembangunan di
lima Wilayah Koridor ini. Di antara projek utama ialah projek agropolitan,
industri berasaskan kelapa sawit di Wilayah Pembangunan Sabah, serta taman
perindustrian Samalaju dan halal hub di Wilayah Koridor Sarawak.
37.Manakala di Wilayah Pantai Timur, Pelabuhan Kuantan akan diperluas. Kompleks
Petrokimia Bersepadu akan dibina di Gebeng dan Kertih. Bagi Koridor Wilayah
Utara pula, antara projek utamanya termasuklah projek tanaman ladang komersil
dan sistem fertigasi.
Tuan Yang di-Pertua,
Merancak Sektor Perkhidmatan
38.Sektor perkhidmatan, merupakan penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi
dan berpotensi besar untuk terus dimajukan. Sumbangan sektor ini telah meningkat kepada 55
peratus tahun 2013, berbanding 49.3 peratus tahun 2000. Bagi terus menggalakkan pertumbuhan sektor ini,
Kerajaan akan memperkenalkan Pelan Induk Sektor Perkhidmatan pada tahun 2014,
yang akan menggariskan beberapa langkah dan strategi serta mengenalpasti
subsektor yang berpotensi untuk dimajukan seperti berikut.
Meningkat Potensi Sektor Logistik
39.Pada masa ini, Malaysia menduduki tangga ke-29 Indeks Prestasi Logistik
Laporan Bank Dunia 2012. Indeks ini mengukur penanda aras prestasi aktiviti
logistik yang merangkumi penghantaran, infrastruktur, ketepatan masa, kelulusan
kastam dan kompetensi. Walau masih ketinggalan berbanding negara maju, senario
ini mampu diperbaiki.
40.Jadinya, supaya sektor logistik lebih efisien, Kerajaan akan merangka Pelan
Induk Sektor Logistik. Pelan ini akan menyediakan halatuju pembangunan
infrastruktur logistik, rantaian bekalan serta semakan semula peraturan dan
undang-undang. Di samping itu, Kerajaan melalui Bank Pembangunan Malaysia Berhad akan
memperuntukkan 3 bilion ringgit bagi Dana Pembangunan Maritim secara pinjaman
mudah. Dana ini menyediakan akses pembiayaan untuk
menggalakkan perkembangan industri perkapalan, pembinaan limbungan, minyak dan
gas serta aktiviti sokongan berkaitan maritim.
Menggalak Industri Penerbangan
41.Malaysia berpotensi menjadi hub penerbangan di rantau ini. Industri ini
dapat memberi kesan pengganda kepada ekonomi memandangkan permintaan terhadap
penumpang dan kargo udara semakin meningkat. Bagi tempoh Januari hingga Julai
2013, jumlah penumpang di lapangan terbang seluruh negara bertambah kepada 43.9
juta berbanding 38.6 juta penumpang bagi tempoh yang sama pada 2012.
42.Jumlah kargo udara yang dikendalikan, turut meningkat kepada 529 ribu tan
bagi tempoh yang sama. Dengan beroperasinya KLIA2 nanti, jumlah penumpang
dijangka meningkat kepada lebih 70 juta. Untuk memajukan lagi industri ini,
Kerajaan akan menggubal Dasar Penerbangan Nasional yang akan menggariskan
langkah-langkah bagi mengukuh eko-sistem dan rantaian perkhidmatan industri
penerbangan.
43.Bagi melicinkan pengurusan operasi dan pengendalian trafik udara, sistem
pengurusan trafik udara sedia ada di Subang yang telah berusia hampir 20 tahun
itu, akan digantikan. Oleh itu, sebuah pusat pengurusan trafik udara baru
dengan kos sebanyak 700 juta ringgit akan dibina di KLIA. Sistem baru ini, akan
dapat meningkatkan pergerakan trafik udara dari 68 kepada 108 pergerakan setiap
jam melalui 3 landasan. Untuk makluman dewan yang mulia, kapasiti pengendalian
ini adalah antara yang tertinggi di dunia.
44.Demi keselesaan para penumpang, Kerajaan juga akan menaiktaraf beberapa
lapangan terbang termasuk di Kota Kinabalu, di Sandakan Sabah serta Miri, Sibu
juga Mukah di Sarawak. Untuk tujuan ini, Kerajaan akan menyediakan peruntukan
sebanyak 312 juta ringgit. Di samping itu, terminal penumpang di lapangan
terbang antarabangsa Langkawi dan lapangan terbang Kuantan akan dinaik taraf.
Mempromosi Sektor Pelancongan
45.Sektor ini telah menjana pendapatan sebanyak 65 bilion ringgit pada tahun
2013 dan berpotensi untuk dipertingkatkan lagi. Pada tahun 2012, kita berjaya
menarik kemasukan seramai 25 juta pelancong dari seluruh dunia. Bertitik tolak
dari perkembangan yang memberansangkan ini dengan sasaran sebanyak 28 juta
pelancong, tahun 2014 telah diisytiharkan sebagai Tahun Melawat Malaysia.
46.Dalam menjayakan ikhtiar ini, Kerajaan memperuntukkan 1.2 bilion ringgit
bagi tahun 2013 dan 2014, merangkumi perbelanjaan mengurus dan pembangunan yang
meliputi program promosi dan pengiklanan.
47.Sebagai usaha berterusan menggalakkan kemasukan pelancong, sukacita saya
mengumumkan pula, tahun 2015 sebagai Year of Festival dengan penganjuran dan
pameran pelbagai program budaya dan perayaan di negara ini.
48.Sebagaimana kita maklum, Malaysia juga terkenal antara destinasi utama atau
shopping paradise pilihan pelancong. Untuk makluman Tuan Yang di-Pertua dan
Ahli-Ahli Yang Berhormat, menurut Laporan CNN Travel 2013 menunjukkan Kuala Lumpur menduduki
tempat ke-4 sebagai bandaraya paling popular untuk membeli-belah selepas New
York, Tokyo dan London. Malah dari segi value for money kita teratas.
49.Bagi terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan,
Kerajaan akan meneruskan galakan pelaburan terutamanya bagi hotel baru bertaraf
4 dan 5 bintang. Langkah ini dapat membantu menyediakan penginapan bertaraf
antarabangsa yang mencukupi sekaligus menarik kedatangan pelancong, terutamanya
dari kategori mewah dan berbelanja tinggi. Menyokong usaha ini, Kerajaan
mencadangkan tempoh permohonan galakan Taraf Perintis dan Elaun Cukai Pelaburan
dilanjutkan selama 3 tahun lagi sehingga 31 Disember 2016.
50.Selain itu, di bawah Bank Pembangunan Malaysia Berhad, Tabung Khas
Infrastruktur Pelancongan dengan peruntukan sejumlah 2 bilion ringgit, akan
disediakan. Tabung ini akan menyediakan pinjaman mudah dengan kadar faedah
rendah antara 4 hingga 6 peratus, di mana Kerajaan memberi subsidi sebanyak dua
peratus. Tabung ini dapat membiayai kos pembinaan infrastruktur seperti hotel,
pusat peranginan, taman tema serta pembelian dan penggantian peralatan yang
berkaitan dengan sektor pelancongan.
Tuan Yang di-Pertua,
Meluaskan Akses Internet
51.Dunia kini adalah dunia tanpa sempadan. Tidak seperti dahulu, pelbagai
informasi kontemporari boleh diperolehi di hujung jari. Maknanya, peningkatan
akan dibuat bagi mencapai tahap prasarana yang sewajarnya untuk menampung keperluan
pengguna. Sebab itu, di bawah Inisiatif Jalur Lebar Negara, Kerajaan telah
melaksanakan projek High Speed Broad Band atau HSBB.
52.Usahasama dengan pihak swasta ini melibatkan pelaburan sebanyak 11.3 bilion
ringgit, sejak Rancangan Malaysia Kesembilan. Kini, projek HSBB telah
dilaksanakan dengan capaian internet berkelajuan 4 megabits sesaat. Ini
memanfaatkan 2.3 juta premis terutama di kawasan bandar.
53.Untuk meningkatkan lagi liputan internet di bandar-bandar utama, Kerajaan
akan melaksanakan Fasa Kedua Projek HSBB dengan kerjasama pihak swasta. Ini
melibatkan kos pelaburan sebanyak 1.8 bilion ringgit. Inisiatif ini dijangka
memberi tambahan liputan dan kemudahan kepada masyarakat, terutama di kawasan
bandar merangkumi
2.8 juta isirumah di seluruh negara. Kelajuan internet ini dijangka mampu
mencapai 10 megabits sesaat.
54.Kepada rakyat
yang tinggal di kawasan pinggir bandar, jaringan HSBB akan diperluas dengan
kelajuan capaian internet dipertingkatkan antara 4 hingga 10 megabits sesaat.
Kemudahan ini akan memanfaatkan lebih 2 juta pengguna dengan kos pelaburan sebanyak 1.6 bilion
ringgit.
Tuan Yang di-Pertua,
55.Selain itu, 1,000
menara pemancar telekomunikasi akan dibina dalam tempoh 3 tahun dengan
pelaburan sebanyak 1.5 bilion ringgit untuk meningkatkan liputan internet di
kawasan luar bandar. Bagi meningkatkan capaian internet di Sabah dan Sarawak,
kabel dasar laut yang baru akan dipasang dalam tempoh 3 tahun dengan kos 850
juta ringgit. Semua pelaburan ini akan menggunakan Tabung Pemberian Perkhidmatan
Sejagat di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Tuan Yang di-Pertua,
Mengukuh Pasaran Kewangan
56.Pada masa ini, pasaran bon negara merupakan yang terbesar di Asia Tenggara
dengan nilai melebihi satu trilion ringgit, manakala pasaran pertukaran asing
dan pasaran wang mencatat jumlah dagangan melebihi 30 bilion ringgit sehari.
Bagi mempastikan operasi pasaran kewangan yang cekap, rangka kerja perundangan
yang jelas diperlukan.
57.Untuk ini, pindaan terhadap undang-undang yang sedia ada akan dilaksanakan
dan seterusnya Bank Negara akan menerajui dalam penyediaan Akta Penyelesaian
atau Netting Act bagi memelihara hakpenguatkuasaan "close-out
netting" di bawah kontrak kewangan. Ini bertujuan bagi mengurangkan risiko
kredit dan menggalakkan pasaran derivative, dan seterusnya dapat membantu
mengurangkan risiko sistemik pasaran kewangan negara serta merendahkan kos
menjalankan perniagaan.
58.Kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam pasaran modal Islam memberi
kelebihan dalam menarik dana dan menerbit sekuriti. Untuk terus meningkatkan
daya saing di peringkat global, usaha akan ditingkatkan bagi mempromosi negara
sebagai pasaran Pelaburan Tanggungjawab Sosial atau Social Responsible
Investment (SRI).
59.Antara langkah yang akan dilaksanakan termasuk memperkenalkan Indeks
Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus atau dikenali sebagai Indeks
Environmental, Social and Governance (ESG), untuk meningkatkan profail syarikat
tersenarai yang mempunyai amalan tanggungjawab sosial yang tinggi.
60.Ke arah ini, Suruhanjaya Sekuriti akan memperkenalkan Rangka Kerja Sukuk
Pelaburan Tanggungjawab Sosial atau Sukuk SRI untuk membiayai pelbagai
inisiatif pelaburan yang mapan dan bertanggungjawab. Di samping itu, Kerajaan
akan menubuhkan dana SRI bagi dilaburkan dalam syarikat-syarikat tersenarai
yang menunjukkan amalan akauntabiliti, ketelusan dan kemampanan yang tinggi
termasuk ciri-ciri keterangkuman seperti diversiti dari segi gender, umur dan
etnik.
61.Sebagai permulaan, Valuecap akan memperuntukan satu billion ringgit untuk
melabur dalam syarikat yang menunjukkan prestasi yang tinggi dalam Indeks ESG.
Saya percaya, langkah ini, akan menjadi satu galakan kepada syarikat-syarikat
untuk menunjukkan komitmen tanggungjawab sosial yang tinggi.
Menggalak Skim Persaraan
62.Pada tahun 2010, Kerajaan telah menubuhkan Skim Persaraan 1Malaysia atau
SP1M bagi golongan yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap untuk
mencarum secara sukarela di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja atau KWSP. Sehingga
kini, hampir 66,000 pencarum telah menyertai skim ini dengan jumlah simpanan
melebihi 240 juta ringgit.
63.Bagi terus menggalakkan lebih ramai rakyat menyertai skim ini, saya
mencadangkan sumbangan
Kerajaan ditingkatkan daripada 5 peratus kepada 10 peratus, yakni daripada
jumlah maksimum 60 ringgit setahun kepada 120 ringgit setahun. Peningkatan ini
berkuatkuasa mulai 1 Januari 2014 sehingga akhir tahun 2017 dan dijangka dapat
menarik penyertaan 30 ribu pencarum baru.
64.Kerajaan sedar akan pentingnya budaya menabung semasa usia muda bagi
mempastikan simpanan yang mencukupi selepas persaraan. Untuk meningkatkan
simpanan tambahan, Kerajaan menggalakkan golongan muda untuk membuat pelaburan
jangka panjang melalui Skim Persaraan Swasta atau PRS.
65.Oleh itu, Kerajaan mencadangkan insentif 500 ringgit secara one-off kepada pencarum yang
menyertai skim PRS dengan pelaburan minimum terkumpul seribu ringgit dalam
tempoh setahun.Insentif
ini terbuka kepada individu yang berumur antara 20 hingga 30 tahun dan
dianggarkan dapat menarik seramai 420 ribu pencarum muda di seluruh negara.
Insentif ini akan dilaksanakan bermula 1 Januari 2014 bagi tempoh lima tahun
dan akan melibatkan peruntukan sebanyak 210 juta ringgit.
Tuan Yang di-Pertua, Meningkatkan Rantaian Sektor Pertanian 66.Hakikatnya sejak
dahulu kala, bidalan lama menyatakan, berbudi pada tanah, berbakti kepada bumi,
nescaya kita dapat menuai hasilnya. Lalu, seperti tiap tahun, bidang pertanian
tersusun dalam agenda Bajet negara.
67. Peruntukan sebanyak 6 bilion ringgit akan disediakan untuk pelaksanaan
program pertanian yang mempunyai nilai tambah tinggi dan berdaya komersil.
Antara inisiatif utama adalah seperti berikut:
Pertama: Menubuhkan Food and Agro Council for Export atau FACE yang akan
dipengerusikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani. Ia bertindak
sebagai pemudahcara untuk meningkatkan eksport produk pertanian tempatan;
Kedua: Memperkukuhkan FAMA untuk memainkan peranan yang lebih strategik dengan
konsep dari ladang ke pasaran eksport. Sebagai contoh, FAMA akan menganjurkan
Agro bazaar di Singapura.
Memandangkan permintaan dan harga yang tinggi, kita juga akan berusaha untuk meningkatkan
eksport durian ke pasaran China. Untuk mempastikan kesegaran produk pertanian,
Kerajaan akan turut menyediakan kemudahan cold room di KLIA. Tujuannya, selain
daripada meningkatkan eksport negara, ia dapat memberi pulangan yang lebih
tinggi kepada para petani; dan
Ketiga: Mempastikan harga berpatutan bagi produk makanan dengan membuka
tambahan 60 pasar tani, 50 pasar ikan, 50 karavan tani, serta memperluas 100
gerai buah-buahan segar di seluruh negara. Langkah ini akan dikendalikan oleh
FAMA dan LKIM yang dapat memberi kemudahan kepada peniaga menjual secara
langsung produk makanan kepada pengguna.
Tuan Yang di-Pertua,
68.Selanjutnya, Kerajaan akan memperuntukkan sejumlah 2.4 bilion ringgit bagi
meneruskan bantuan subsidi dan insentif. Ini merangkumi subsidi baja, benih dan
harga padi, insentif pengeluaran dan peningkatan hasil padi, subsidi harga
beras serta insentif hasil tangkapan nelayan. Di samping itu, Kerajaan juga
memperuntukkan sebanyak 243 juta ringgit bagi tujuan pelaksanaan program tanaman
semula getah, kelapa sawit dan koko serta program ladang hutan.
69.Selain itu, bagi meningkat produktiviti serta menghasilkan produk pertanian
yang mempunyai permintaan tinggi, Kerajaan akan memperuntukkan sejumlah 634
juta ringgit di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara. Antara projek yang terlibat
adalah tanaman padi, projek ikan dalam sangkar, projek rumpai laut dan burung
walit, projek herba bernilai tinggi, tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan bagi
pasaran eksport.
70.Kerajaan juga akan melaksanakan projek ternakan lobster atau udang kara di
Semporna, Sabah dengan kerjasama syarikat Multinasional untuk menghasilkan
sebanyak 18 ribu tan metrik yang dijangka dapat mewujudkan 20 ribu peluang
pekerjaan dan membantu lebih 6,000 pengusaha tempatan pada jangka panjang serta
meningkatkan pendapatan sehingga empat ribu ringgit sebulan.
71.Bagi meningkatkan lagi daya saing dan memacu sumbangan Bioekonomi kepada
pertumbuhan ekonomi negara, Kerajaan akan melaksanakan program Bioeconomy
Community Development untuk membangun tanah-tanah terbiar melalui aplikasi
bioteknologi dan penanaman kontrak untuk menambah nilai industri pertanian dan
pendapatan petani.
72.Selain itu, Kerajaan juga menyedari peranan aktiviti penyelidikan dan
pembangunan atau R&D sebagai pemangkin kepada pembangunan Bioekonomi. Oleh
itu, insentif R&D berikut akan diberi kepada projek yang berkelayakan yang
akan dinilai oleh BiotechCorp:
Pertama: Potongan cukai kepada syarikat yang melabur untuk memperoleh platform
teknologi dalam industri berasaskan bio;
Kedua: Pengecualian duti import ke atas peralatan R&D bagi syarikat yang
melabur dalam pilot plant untuk tujuan pra-pengkomersilan di Malaysia dan;
Ketiga: Insentif khas kepada syarikat untuk menampung sebahagian kos operasi
pembangunan modal insan bagi Centre of Excellence for R&D.
Insentif ini adalah bagi permohonan yang diterima oleh BiotechCorp mulai 1
Januari 2014 hingga 31 Disember 2018.
Tuan Yang di-Pertua,
Pembangunan Usahawan
73.Mengikut hadis, sembilan per sepuluh rezeki itu adanya dalam perniagaan.
Oleh hal yang demikian, kita ingin melatih dan melahirkan para usahawan di
kalangan golongan muda agar suatu masa nanti mereka dapat menjadi ahli-ahli
perniagaan dan saudagar yang berjaya. Lantas, Kerajaan terus komited dalam mempastikan
pembangunan usahawan atau entreprenur sebagai sumber utama menjana pertumbuhan
ekonomi negara.
74.Justeru, satu pelan pembangunan entreprenur akan digubal untuk menyediakan
ekosistem kondusif yang memberi penekanan aspek penjanaan idea yang boleh
dikomersilkan, prasarana latihan dan inkubator, modul entrepreneurship,
kemudahan pembiayaan serta pemasaran. Bagi melaksanakan pelan pembangunan
usahawan ini, satu entiti National Entrepreneur Development Office akan
diwujudkan di bawah Unit Strategi Nasional, Kementerian Kewangan bagi merancang
dan menyelaras semua aktiviti berkaitan keusahawanan.
Tuan Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,
75.Sehubungan itu, semasa 4th Global Entrepreneurship Summit baru-baru ini,
saya telah mengumumkan penubuhan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia
atau Malaysian Global Innovation and Creativity Centre, ringkasnya MaGIC,
sebagai pusat sehenti bagi mendayakan para usahawan. MaGIC akan memantau
prestasi entreprenur, mempunyai pengkalan data bersepadu, menyediakan pusat
inkubator, pendaftaran dan paten harta intelek, prasarana pembiayaan, padanan
perniagaan, bimbingan dan kaunseling serta latihan. Kerajaan akan memberi
peruntukan awal sebanyak 50 juta ringgit bagi tujuan ini.
76.Bagi menjadikan Malaysia sebuah Entrepreneurial Nation, program 1Malaysia
Entrepreneurs atau 1MeT telah dilaksanakan untuk memberi pendedahan aspek
keusahawanan kepada golongan muda yang berminat menceburi bidang perniagaan.
Melalui program 1MeT juga, satu pangkalan data peserta telah dibangunkan.
77.Kerajaan mensasarkan seramai 5,000 entreprenur muda dilatih setiap tahun.
Seterusnya, entreprenur 1MeT yang komited akan diberi bimbingan lanjutan di
MaGIC Centre. Selain itu, negara juga akan menjadi tuan rumah kepada 5th Global
Social Business Summit pada 7 hingga 9 November 2013 yang akan menjadi platform
kepada pembangunan entreprenur sosial terutama di kalangan golongan muda di
negara ini.
78.Bagi mengurangkan kadar pengangguran di kalangan siswazah, Kerajaan
menggalakkan golongan siswazah menceburi bidang keusahawanan sejurus selepas
menamatkan pengajian. Bagi inisiatif ini, sukacita saya umumkan danapinjaman mudah sebanyak 50 juta ringgit di
bawah Tabung Usahawan Siswazah yang dikendalikan oleh SME Bank. Dana ini akan
menyediakan pinjaman mudah sehingga 500 ribu ringgit dengan kadar faedah empat
peratus.
Tuan Yang di-Pertua,
Memantap Perusahaan Kecil dan Sederhana
79.Pada masa ini, 97.3 peratus daripada jumlah perniagaan berdaftar adalah PKS
yang menyumbang sebanyak 32.4 peratus kepada KDNK. Dengan definisi baru PKS
yang telah diumumkan baru-baru ini, jumlah perniagaan PKS berdaftar dijangka
meningkat kepada 98.5 peratus. Seterusnya, Kerajaan komited untuk mempastikan
sumbangan sektor PKS ini mencapai 40 peratus kepada KDNK menjelang 2020.
80.Bagi meningkatkan inovasi dan produktiviti PKS, Kerajaan mencadangkan
peruntukan pakej bersepadu sebanyak 120 juta ringgit yang merangkumi dana
pinjaman untuk membiayai program mekanisasi dan automasi serta program
peningkatan kapasiti PKS. Selain itu, Kerajaan telah menyediakan pelbagai
bantuan dan insentif di bawah program Green Lane Policy melalui pembiayaan,
insentif cukai dan perolehan termasuk:
Pertama: Insentif pinjaman mudah dengan subsidi kadar faedah dua peratus atau
jumlah maksimum 200 ribu ringgit setahun;
Kedua: Pengecualian duti setem ke atas surat cara perjanjian pinjaman di bawah
insentif pinjaman mudah;
Ketiga: Potongan cukai ke atas perbelanjaan untuk mendapatkan pensijilan
1-InnoCERT;
Keempat: Insentif perolehan Kerajaan merangkumi pendaftaran syarikat bertaraf
pembuat, diluluskan tanpa lawatan dan pemberian markah bonus dalam penilaian
teknikal; dan
Kelima: Insentif keutamaan dalam perolehan syarikat Menteri Kewangan
Diperbadankan. Kerajaan bercadang untuk melanjutkan kesemua insentif ini
sehingga 31 Disember 2017.
Tuan Yang di-Pertua,
81.Kerajaan telah
menguatkuasakan Dasar Gaji Minimum pada 1 Januari 2013. Kadar gaji minimum
adalah 900 ringgit sebulan bagi Semenanjung Malaysia. Manakala di Sabah,
Sarawak dan Labuan, kadarnya adalah 800 ringgit sebulan. Bagi menggalakkan pematuhan kepada dasar ini,
di samping mengurangkan kesan kewangan kepada majikan PKS, koperasi, pertubuhan
dan persatuan, Kerajaan mencadangkan supaya bayaran perbezaan gaji yang
ditanggung oleh majikan bagi tempoh 1 Januari 2014 sehingga 31 Disember 2014
diberi potongan cukai tambahan.
82.Bagi membantu peniaga pasar malam, Kerajaan akan mewujudkan Skim Usahawan
Pasar Malam dengan dana sebanyak 100 juta ringgit di bawah kendalian Bank
Simpanan Nasional. Skim pinjaman mudah ini akan mengenakan kadar faedah empat
peratus dengan pinjaman maksimum sehingga 30 ribu ringgit. Kemudahan ini
bertujuan menampung kos perniagaan seperti modal pusingan, sewaan tapak, bahan
mentah dan kelengkapan perniagaan.
TERAS KEDUA: MENGUKUH PENGURUSAN FISKAL
Tuan Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,
Transformasi Perkhidmatan Awam
83.Pertama sekali, kita memerlukan kepada Transformasi Perkhidmatan Awam. Untuk
meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan, Kerajaan telah melaksanakan pelan
transformasi di setiap kementerian. Langkah ini amat penting bagi mengukuh dan
menyusun semula organisasi supaya relevan dengan perkembangan semasa.
84.Bercakap tentang perkara ini, Kerajaan memandang serius isu yang
dibangkitkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2012. Demi mengukuhkan keyakinan
rakyat dan menjaga imej dan kredibiliti sektor awam, Kerajaan telah menubuhkan
satu jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara bagi
menyiasat serta mengambil tindakan tegas ke atas salah laku penjawat awam.
85.Penyiasatan dan tindakan tatatertib sedang dijalankan oleh pihak Jabatan
Perkhidmatan Awam ke atas lebih daripada 100 kes ketidakpatuhan kepada
prosedur-prosedur kewangan termasuk prosedur perolehan manakala sebanyak 15 kes
sedang disiasat untuk tindakan pendakwaan di mahkamah oleh Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia.
86.Sebagai langkah penambahbaikan, Kerajaan akan menubuhkan Unit Pengurusan
Integriti yang dianggotai oleh SPRM di setiap kementerian bagi meningkatkan
pematuhan dan mengikut prosedur yang ditetapkan.
Menambahbaik Pengurusan Belanjawan
87.Untuk menambahbaik pengurusan belanjawan secara berhemah, Sistem Outcome
Based Budgeting atau OBB diperkenalkan bagi memastikan penyediaan peruntukan
adalah berasaskan outcome, meningkat kecekapan pelaksanaan, mengurang
pertindihan serta penilaian prestasi bersistematik ke atas semua program dan
projek Kerajaan. Bagi tahun 2014, buat permulaan, tiga kementerian iaitu
Kementerian Kesihatan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta
Kementerian Kewangan akan menjalani proses penilaian prestasi berdasarkan OBB.
88.Pada bulan Jun lepas, Kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Fiskal Negara.
Ianya berperanan untuk mengukuhkan kedudukan kewangan Kerajaan dan mempastikan
kemampanan fiskal serta kestabilan makroekonomi bagi jangka panjang. Kerajaan
komited untuk terus mengurangkan defisit fiskal secara berperingkat dengan
sasaran mencapai bajet berimbang pada tahun 2020. Kerajaan juga akan
mempastikan paras hutang kekal di tahap yang rendah, tidak melebihi tahap 55
peratus kepada KDNK.
89.Di samping itu, Kerajaan akan terus mempastikan lebihan semasa yang kukuh di
mana kutipan hasil sentiasa melebihi perbelanjaan mengurus. Kerajaan turut
memberi penekanan bagi meningkatkan kecekapan dan penjimatan perbelanjaan,
mengutamakan pelaksanaan projek yang berimpak tinggi serta menambahbaik kaedah
pengauditan.
90.Pada masa ini, kaedah pengauditan hanya dibuat selepas sesuatu projek atau
program selesai dilaksanakan. Maka, sebagai langkah proaktif, Kerajaan akan
membuat pengauditan ke atas projek yang melebihi 100 juta ringgit semasa
pelaksanaan projek tersebut. Potongan Cukai Bulanan Sebagai Cukai Muktamad.
91.Pada masa ini, pembayar cukai yang mempunyai pendapatan penggajian dan
membuat potongan cukai bulanan atau PCB perlu mengemukakan borang cukai sebelum
atau pada 30 April setiap tahun. Kita mendapat rungutan, bahawa pengemukaan
borang cukai setiap tahun oleh pembayar cukai yang mempunyai PCB telah
menimbulkan kekeliruan. Ini kerana, walaupun PCB telah dipotong, borang cukai
masih perlu dikemukakan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.
92.Jadinya, untuk memudahkan pembayar cukai yang berpendapatan penggajian di
mana PCB dipotong, adalah dicadangkan supaya pembayar cukai tidak perlu
mengemukakan borang nyata cukai pendapatan sekiranya berpuas hati bahawa PCB
adalah dianggap cukai muktamad. Cadangan ini akan berkuat kuasa mulai tahun
taksiran 2014
Tuan Yang di-Pertua,
Rasionalisasi Subsidi
93.Subsidi secara pukal, amnya boleh menjadi pembantut kepada pertumbuhan
negara sekiranya tidak sampai kepada kumpulan sasar secara tepat. Kerajaan
menyediakan hampir 47 bilion ringgit pada tahun 2013 untuk pelbagai jenis subsidi,
insentif dan bantuan antaranya subsidi produk petroleum, barangan makanan,
kesihatan, pertanian dan perikanan, utiliti, tol serta kebajikan dan
pendidikan.
94.Daripada jumlah ini, bahagian terbesar iaitu sebanyak 24.8 bilion ringgit atau 53 peratus adalah
untuk subsidi produk petroleum yang dinikmati oleh semua golongan, termasuk
yang berpendapatan tinggi, peniaga dan warga asing. Di samping itu, berlaku penyeludupan produk
bersubsidi oleh golongan yang tidak bertanggungjawab. Subsidi adalah penggunaan
wang rakyat bagi menambah baik kehidupan rakyat. Tetapi jika subsidi itu adalah
pembantut dan merugikan rakyat, Kerajaan yang bertanggungjawab dengan
kepercayaan yang telah diberikan perlu mengambil keputusan yang terbaik bagi
rakyat.
95.Untuk mempastikan sistem subsidi yang bersasar, Kerajaan akan secara
berperingkat menstruktur semula kaedah pemberian subsidi. Ini adalah untuk
mempastikan hanya mereka yang benar-benar layak sahaja patut menikmatinya.
Sebahagian daripada penjimatan penstrukturan semula sistem subsidi akan di beri
secara terus dalam bentuk bantuan tunai, dan sebahagian lagi akan digunakan
untuk menampung pembiayaan projek pembangunan Kerajaan. Sebagai langkah
permulaan, Kerajaan telah mengurangkan subsidi produk petroleum sebanyak 20 sen
pada 3 September yang lalu. Di samping itu, bagi mempastikan tiada pertindihan
dan keciciran pemberian bantuan kepada golongan sasar, Kerajaan akan mewujudkan
satu sistem pangkalan data yang komprehensif termasuk mengintegrasi data
e-Kasih, data penerima bantuan kebajikan dan penerima BR1M. Unit Penyelarasan
Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri akan menerajui inisiatif ini.
Tuan Yang di-Pertua,
Cukai Barang dan Perkhidmatan
96.Kerajaan mendapati cukai
jualan dan cukai perkhidmatan semasa, mempunyai kelemahan-kelemahan tertentu
seperti kesan cukai berganda ke atas pengguna, ketiadaan pelepasan cukai ke
atas barang yang dieksport dan isu pindahan harga atau transfer pricing.
Kelemahan ini akhirnya akan merugikan rakyat sebagai pengguna dan pihak Kerajaan.
97.Pada Bajet tahun 2013, Kerajaan telah membayangkan tentang usaha besar
pengukuhan kedudukan fiskal negara. Malah sebelum itu, Rang Undang-Undang Cukai
Barang dan Perkhidmatan telahpun dibacakan di dewan yang mulia ini. Sejak itu,
pelbagai reaksi positif mahupun negatif dan pandangan telah kita terima.
98. Hakikatnya, Kerajaan telahpun mengambil tempoh beberapa tahun, yakni masa
yang mencukupi untuk menjalankan kajian dengan teliti dan menyeluruh serta
mengambil kira semua pandangan dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk dewan
perniagaan, pelabur, pakar ekonomi, ahli akademik, persatuan pengguna dan
NGO.
Tuan Yang di-Pertua,
99.Lantaran itu, berasaskan prinsip mendahulukan rakyat, Kerajaan dengan ini memutuskan
supaya satu sistem percukaian menyeluruh dan saksama perlu segera dilaksanakan
bagi memanfaatkan seluruh rakyat Malaysia.
Tuan Yang di-Pertua,
100. Sehubungan itu, Kerajaan mencadangkan cukai jualan dan cukai perkhidmatan
atau Sales Tax and Services Tax dimansuhkan. Dua cukai yang dimansuhkan ini
pula akan digantikan dengan satu cukai sahaja yang dikenali dengan nama Cukai
Barang dan Perkhidmatan atau Goods and Services Tax atau GST.
Ringkasnya, perlu saya tegaskan, bahawa GST bukanlah cukai tambahan baru.
101. Realitinya, kadar inflasi kini adalah pada tahap yang rendah di paras dua
peratus. Kerajaan yakin, ini adalah masa yang terbaik untuk melaksanakan GST
kerana kadar inflasi adalah minimum dan terkawal.
102.Dengan pelaksanaan GST, Kerajaan dapat menangani banyak kelemahan dalam sistem
percukaian sedia ada. Sebagai contoh, pada waktu ini, sekiranya kita membeli
minuman berkarbonat di restoran, tanpa kita sedari, kita telah membayar dua
kali cukai, yakni cukai jualan dan cukai perkhidmatan.
103. Dalam bahasa mudahnya, untuk difahami oleh semua, dalam sistem GST ini, pengguna hanya perlu
membayar satu kali cukai sahaja. Realitinya juga, perubahan harga barangan atau
perkhidmatan apabila GST dilaksanakan adalah amat minimum. Malahan, ada harga
barangan yang akan menjadi lebih murah bergantung samada ianya adalah barangan
asas atau tidak.
104.Kerana itu, kita berasa amat kecewa, apabila, sesetengah pihak tidak
bertanggungjawab cuba mengambil kesempatan dengan mengelirukan orang ramai
terhadap kefahaman GST. Mereka mengatakan apabila GST dilaksanakan, kononnya,
semua harga barang akan melambung naik, dan rakyat terutamanya golongan
berpendapatan rendah akan menanggung beban.
105.Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, lebih 160 buah negara di dunia telah pun
melaksanakan GST. Ini menunjukkan bahawa GST adalah satu sistem percukaian yang
terbaik setakat ini dan terbukti berkesan. Sekiranya GST ini memudaratkan
rakyat dan negara, masakan majoriti negara di dunia telah mengguna pakai sistem
percukaian ini. Hampir semua negara maju telah lama melaksanakan GST atau VAT
atau cukai nilai ditambah ini, malah negara-negara ASEAN seperti Indonesia,
Filipina, Laos dan Cambodia telah melaksanakannya. Malahan, negara-negara
seperti Burkina Faso, Burundi, Zimbabwe, Rwanda dan Kenya pun telah
melaksanakan GST.
106. Di pihak Kerajaan pula, perundangan GST, sistem pengkomputeran, latihan
pegawai, kemudahan infrastruktur GST dan pelan komunikasi yang menyeluruh
telahpun disediakan.
107.Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, cadangan model GST yang akan
dilaksanakan di Malaysia adalah seperti berikut:
Pertama: GST akan
berkuatkuasa mulai 1 April 2015, iaitu kira-kira 17 bulan dari sekarang. Kadar
GST yang ditetapkan adalah hanya sebanyak enam peratus berbanding dengan kadar
cukai jualan iaitu lima dan 10 peratus dan cukai perkhidmatan pada kadar enam
peratus.
Kadar GST ini merupakan yang terendah
dikalangan negara ASEAN di mana Indonesia, Vietnam, Cambodia, Filipina dan Laos
mengenakan GST pada kadar 10 peratus dan Singapura serta Thailand pada kadar
tujuh peratus;
Kedua: Tuan Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, usahlah
bimbang, janganlah risau, GST tidak akan dikenakan kepada barangan makanan asas
antaranya beras, gula, garam, tepung, minyak masak, kacang dhal, rempah ratus,
ikan masin, cencalok, budu sekalipun belacan;
Ketiga: Bekalan
air paip dan 200 unit pertama elektrik sebulan bagi pengguna domestik tidak
dikenakan GST;
Keempat: Perkhidmatan yang disediakan oleh Kerajaan seperti pengeluaran
pasport, lesen, perkhidmatan kesihatan, pembelajaran di sekolah, tidak
dikenakan GST;
Kelima: Perkhidmatan pengangkutan seperti perkhidmatan bas, keretapi, LRT,
teksi, feri, bot, tol lebuhraya serta perkhidmatan pendidikan dan kesihatan
dikecualikan dari GST; dan
Keenam: Jual beli dan sewaan rumah kediaman serta perkhidmatan kewangan yang
terpilih juga dikecualikan dari GST.
Tuan Yang di-Pertua,
108. Apabila GST dilaksanakan kelak, Kerajaan akan memberi pelbagai bantuan sokongan
semasa peringkat peralihannya seperti berikut:
Pertama: Bantuan
tunai secara one-off sebanyak 300 ringgit kepada penerima isi rumah BR1M;
Kedua: Kadar cukai pendapatan individu akan dikurangkan satu hingga tiga mata
peratusan untuk semua pembayar cukai bagi menambah pendapatan boleh guna.
Dengan pelaksanaan langkah ini, seramai 300 ribu orang yang kini membayar cukai pendapatan
tidak lagi perlu membayar cukai. Umumnya, golongan berkeluarga yang
berpendapatan empat ribu ringgit sebulan tidak lagi mempunyai tanggungan cukai.Pembayar cukai sedia ada yang lain juga akan
menikmati penjimatan bayaran cukai; dan
Ketiga: Struktur cukai pendapatan individu akan disusun semula untuk menjadikan
negara lebih kompetitif di samping mengekal dan menarik bakat serta tenaga
mahir dalam negara. Bagi mempastikan struktur cukai lebih progresif, pendapatan bercukai pada kadar maksimum
dinaikkan daripada melebihi 100 ribu ringgit kepada melebihi 400 ribu ringgit.
Kadar cukai maksimum kini 26 peratus pula dikurangkan kepada 24, 24.5 dan 25
peratus.
Langkah-langkah tersebut akan berkuatkuasa mulai tahun 2015.
109.Dalam aspek ini, supaya syarikat perniagaan melaksanakan GST dengan lancar,
Kerajaan mencadangkan pakej tambahan seperti berikut:
Pertama: Kadar cukai pendapatan syarikat dikurangkan satu mata peratusan
daripada 25 peratus kepada 24 peratus. Manakala kadar cukai pendapatan syarikat
kecil dan sederhana dikurangkan satu mata peratusan daripada 20 peratus kepada
19 peratus. Langkah ini berkuatkuasa mulai tahun taksiran 2016;
Kedua: Kadar cukai pendapatan koperasi dikurangkan satu hingga dua mata
peratusan mulai tahun taksiran 2015;
Ketiga: Yuran kesetiausahaan dan pemfailan cukai dibenarkan potongan cukai
mulai tahun taksiran 2015;
Keempat: Kos pembelian peralatan dan perisian ICT diberi lanjutan Elaun Modal
Dipercepatkan sehingga tahun taksiran 2016;
Kelima: Perbelanjaan latihan perakaunan dan ICT berkaitan GST bagi tahun
taksiran 2014 dan 2015 diberi potongan cukai tambahan; dan
Keenam: Geran latihan sejumlah 100 juta ringgit kepada peniaga yang menghantar
kakitangan, untuk menjalani latihan GST bagi tahun 2013 dan 2014. Di samping
itu, bantuan kewangan sejumlah 150 juta ringgit disediakan kepada PKS bagi
pembelian perisian perakaunan bagi tahun 2014 dan 2015.
110. Dengan pelbagai pakej istimewa yang disediakan ini, Kerajaan yakin, tiada
pihak yang akan mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang dan
perkhidmatan sewenang-wenangnya. Harga barang akan sentiasa dipantau. Sebagai
panduan kepada pengguna, Kerajaan akan menerbitkan risalah harga barang dan
perkhidmatan yang boleh digunakan untuk membuat perbandingan harga.
111. Kepada pengguna pula, gunakanlah hak anda dalam membuat pilihan,
berbelanja secara berhemah. Dalam hal ini, Kementerian Perdagangan Dalam
Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan meningkatkan usaha penguatkuasaan
melalui Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.
112. Selain itu, bagi memastikan kelancaran pelaksanaan GST, satu Jawatankuasa
Pemantauan GST akan ditubuhkan yang dipengerusikan oleh Menteri Kewangan Kedua
dengan dianggotai oleh agensi Kerajaan, wakil industri dan NGO.
TERAS KETIGA: MENGUNGGUL MODAL INSAN
Tuan Yang di-Pertua,
113.Cabaran terbesar bagi Malaysia sebenarnya adalah, sejauhmana kita dapat
membangun dan mempersiapkan human capital. Modal insaniah yang holistik
mencakupi antaranya modal intelek, pelbagai kemahiran seni dan pertukangan,
kemahiran berkomunikasi, kemahiran inter-personal, berfikir, kreativiti serta
inovasi. Pokoknya, pembangunan fizikal dan teknologi perlu diseimbangkan dengan
keunggulan manusiawi. Jika tidak, akan wujud kelompangan dan ketempangan pabila
pencapaian materi tidak dipaksi dengan nilai sejagat insani.
114.Oleh itu, Kerajaan akan terus menyediakan pendidikan berkualiti dan latihan
berkemahiran tinggi untuk memenuhi permintaan pasaran kerja. Di samping itu,
aspek jasmani, spiritual dan intelektual akan digilap dari peringkat pendidikan
awal hingga ke peringkat tertiari. Tenaga kerja juga akan diterap dengan nilai
murni dan adab susila ketimuran supaya masyarakat hidup harmoni dan sejahtera.
Meningkat Kecemerlangan Pendidikan
115. Sesungguhnya, tiap kali bajet dibentangkan, peruntukan terbesar diberikan
kepada sektor pendidikan. Pendidikan adalah segalanya. Sejak zaman bahari,
sesebuah ketamadunan bangsa tidak akan kekal lama jika seandainya tidak diakari
dan dibajai dengan ilmu dan pengetahuan.
116. Menyisir tuntutan ini, Kerajaan komited untuk melonjakkan pencapaian tahap
akademik dan kemahiran yang tinggi. Untuk itu, sejumlah 54.6 bilion ringgit
atau 21 peratus daripada keseluruhan peruntukan tahun 2014 akan disediakan.
Kerajaan juga akan mempastikan pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
atau PPPM mencapai objektif bagi membawa Malaysia ke tahap kategori 'sepertiga
teratas' dalam kedudukan pendidikan terbaik dunia, Insya Allah, dalam tempoh 15
tahun lagi.
117.Untuk terus memartabatkan kecemerlangan pendidikan bermula di peringkat
prasekolah hinggalah ke sekolah menengah, antara program yang akan dilaksanakan
adalah seperti berikut:
Pertama: Kerajaan amat perihatin tentang pendidikan awal anak-anak kerana
tempoh ini amat kritikal dalam menentukan proses tumbesaran fizikal dan minda
yang terbaik. Maka, kita memperuntukkan sejumlah 530 juta ringgit bagi program
prasekolah dan menambah 93 lagi bilangan prasekolah di Sekolah Rendah
Kebangsaan;
Kedua: Melaksanakan program pemantapan profesion guru dengan memberi tumpuan
kepada tugas mengajar, meningkatkan kaedah pengajaran serta kemahiran Bahasa
Malaysia dan Bahasa Inggeris. Untuk itu, sebanyak 209 juta ringgit disediakan;
Ketiga: Memperluaskan akses internet di sekolah terutama di kawasan luar bandar
seluruh negara dengan peruntukan 168 juta ringgit; dan
Keempat: Membina 33 sekolah baru dan menaik taraf sekolah sedia ada termasuk
sekolah-sekolah usang dengan peruntukan sebanyak 831 juta ringgit.
118.Pada pembentangan Bajet 2012 dan 2013, Kerajaan telah menyediakan
masing-masing sebanyak satu bilion ringgit di bawah Tabung Khas Pembinaan
Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah, khusus bagi keperluan mendesak
untuk membaik pulih bangunan sekolah, penyelenggaraaan, pembelian peralatan dan
pembinaan blok tambahan.
119. Untuk meneruskan komitmen Kerajaan, sukacita saya mengumumkan tambahan 450
juta ringgit lagi kepada tabung ini. Daripada jumlah tersebut, 100 juta ringgit
kepada Sekolah Kebangsaan, 50 juta ringgit kepada Sekolah Jenis Kebangsaan
Cina, 50 juta ringgit bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, 50 juta ringgit
untuk Sekolah Mubaligh, 50 juta ringgit disalurkan untuk Sekolah Berasrama
Penuh, 50 juta ringgit kepada Maktab Rendah Sains MARA, 50 juta ringgit untuk
Sekolah Agama Bantuan Kerajaan manakala 50 juta ringgit untuk Sekolah Agama
Rakyat.
Memperkasa Pendidikan Tertiari
120.Di sudut ini, Kerajaan akan memberi fokus memperkasakan institut pengajian
tinggi awam dan swasta ke arah melahirkan graduan yang berkualiti dan memenuhi
permintaan pasaran kerja.
Antara program yang akan dilaksanakan termasuk:
Pertama: Meningkatkan status universiti bertaraf penyelidikan dengan
memperbanyakkan kajian dan penulisan untuk penerbitan di peringkat
antarabangsa. Untuk itu, Kerajaan akan menyediakan 600 juta ringgit sebagai
geran penyelidikan di institut pengajian tinggi awam; dan
Kedua: Kerajaan meneruskan program MyBrain15 iaitu pembiayaan yuran pengajian
di peringkat pasca ijazah, khususnya kepada golongan eksekutif di sektor
swasta. Untuk ini, sejumlah 110 juta ringgit disediakan bagi tujuan tersebut.
121. Penerbitan jurnal ilmiah ke peringkat antarabangsa merupakan aspek
terpenting dalam memartabatkan hasil karya para akademik tempatan. Menyedari
akan kepentingan mewujudkan satu pusat ilmiah bertaraf dunia, Kerajaan akan
menubuhkan Pusat Sitasi Malaysia bagi meningkatkan hasil penerbitan ilmiah
tempatan dan membantu penyelidik menerbitkan artikel dalam jurnal antarabangsa
yang terkemuka.
Tuan Yang di-Pertua,
Memperkukuh Latihan Kemahiran
122.Usaha berterusan akan diambil untuk meningkatkan kualiti latihan bagi
menyediakan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi. Oleh itu, Kerajaan akan
melaksanakan langkah-langkah berikut:
Pertama: Melaksanakan single tier bagi kursus Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1
hingga 3, selama setahun 6 bulan di semua Institut Latihan Perindustrian di
bawah Jabatan Tenaga Manusia (JTM);
Kedua: Menaiktaraf dan menyelenggara bangunan serta peralatan di institut
latihan JTM seiring dengan teknologi terkini dengan peruntukan 178 juta
ringgit; dan
Ketiga: Menyediakan dana pinjaman latihan kemahiran berjumlah 330 juta ringgit
di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia.
Tabung ini bertujuan menyediakan pinjaman kepada belia lepasan SPM untuk
mengikuti kursus latihan kemahiran.
Tuan Yang di-Pertua,
123.Belia adalah harapan bangsa. Belia juga aset serta pewaris negara pada hari
muka. Kata Ulama, jika baik perilaku dan tingkah belia masa kini, itulah
bayangan negara masa hadapan.
124.Dalam hal belia ini, sejumlah 200 juta ringgit diperuntukkan untuk menaik taraf dan
melaksanakan pendekatan dua syif di Institut Kemahiran Belia Negara atau IKBN. Antara bidang latihan yang telah dikenalpasti
merangkumi automotif, penyelenggaraan marin, kimpalan dan pendawaian elektrik
yang akan memanfaatkan lebih 15,000 pelatih IKBN di seluruh negara.
125.Di samping itu, terdapat 13 ribu majikan yang berdaftar dan membuat bayaran
levi pada kadar satu peratus daripada upah gaji pekerja ke dalam tabung
Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia atau HRDF. Levi ini adalah bertujuan
untuk melatih dan meningkatkan kemahiran pekerja.
126.HRDF akan menyediakan 400 juta ringgit bagi syarikat yang berdaftar untuk
memberikan peluang kepada pekerja mengikuti program upskilling dan reskilling.
Peruntukan ini boleh juga dimanfaat oleh syarikat tersebut untuk melatih para
apprentice dan bakal pekerja.
127.Bagi mempastikan pekerja dapat mengimbangi kerjaya dan komitmen keluarga,
terutamanya pada kaum wanita, satu persekitaran kerja yang fleksibel perlu
diwujudkan. Oleh itu, dicadangkan majikan melaksanakan Flexible Work
Arrangements yang memberi kelonggaran tempoh, tempat dan waktu berada di tempat
kerja.
128.Skim ini boleh dilaksanakan dalam bentuk seperti compressed work week,
flexi hours dan weekend work. Bagi menarik lebih banyak syarikat Malaysia
menjadikan Flexible Work Arrangements atau bekerja sebagai amalan hidup,
Kerajaan mencadangkan perbelanjaan latihan dan fi konsultansi yang ditanggung
oleh majikan dalam melaksanakan skim ini diberi potongan cukai tambahan.
Tuan Yang di-Pertua,
Bantuan Persekolahan
129.Sukacita saya mengumumkan bantuan persekolahan kepada pelajar sekolah rendah dan
menengah sebanyak 100 ringgit, akan diteruskan. Sebanyak 540 juta ringgit
disediakan yang dapat memanfaatkan kira-kira 5.4 juta pelajar. Saya dimaklumkan, terdapat ibu bapa yang secara
sukarela telah menyumbangkan kembali bantuan tersebut kepada Persatuan Ibubapa
dan Guru atau PIBG. Kerajaan amat menghargai dan menyanjung tinggi nilai murni
tersebut.
Baucar Buku 1Malaysia
130.Budaya membaca di kalangan rakyat Malaysia secara umumnya perlu
ditingkatkan. Jadikanlah buku teman setia, penyuluh di kala gelap, penyegar
minda sepanjang hayat.
131.Sukacita saya umumkan Kerajaan akan meneruskan program Baucar Buku 1Malaysia dengan
nilai sebanyak 250 ringgit kepada setiap pelajar pra-universiti dan IPT untuk
mengurangkan kos pembelian buku dan bahan pengajian. Langkah ini dijangka dapat
memanfaat seramai 1.3 juta pelajar dengan peruntukan sebanyak 325 juta ringgit.
TERAS KEEMPAT: MEMPERGIAT PEMBANGUNAN BANDAR DAN LUAR BANDAR
Tuan Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,
Strategi Lautan Biru Kebangsaan (National Blue Ocean Strategy - NBOS)
133. Strategi Lautan Biru Kebangsaan atau NBOS merupakan langkah bersepadu
Kerajaan merangka dasar dan inisiatif melalui perkongsian pintar antara
Kementerian dan agensi.
134. Strategi ini adalah pelengkap kepada Dasar Transformasi Nasional. Sehingga
kini, 56 iniasitif NBOS telah dilaksanakan dengan pendekatan penjimatan kos,
pelaksanaan yang pantas serta program berimpak tinggi. Pada tahun 2014,
peruntukan 278 juta ringgit disediakan bagi melaksanakan program meliputi:
Pertama: Membuka Pusat Transformasi Bandar atau UTC Sabah pada akhir tahun ini
dan menambah empat lagi UTC di Sarawak, Johor, Terengganu dan Perlis sebagai
tambahan kepada lima UTC sedia ada;
Kedua: Menambah tiga Pusat Transformasi Luar Bandar atau RTC di Sabah, Sarawak
dan Negeri Sembilan menjadikan jumlah keseluruhan RTC sebanyak lapan buah; dan
Ketiga: Melaksanakan Pusat Transformasi Komuniti Bergerak atau Mobile CTC
dengan menambah bilangan bas serta van yang diubahsuai. Perkhidmatan utama yang
disediakan meliputi pendaftaran MyKad, memperbaharui lesen memandu, pemeriksaan
kesihatan dan khidmat nasihat perniagaan.
Mengukuhkan Jaringan Pengangkutan Awam
135. Sememangnya, perkhidmatan pengangkutan awam yang cekap dapat memudahkan
mobiliti serta menjimatkan masa dan kos perjalanan. Lantasnya, Kerajaan komited
untuk menambah baik pengangkutan awam termasuk menyediakan kemudahan yang lebih
selesa dan berkualiti. Antara langkah yang diambil adalah:
Pertama: Membina landasan berkembar Ipoh-Padang Besar dan kemudiannya ke Johor
Bahru serta menaik taraf rel dan landasan di seluruh negara dengan peruntukan
sebanyak 2.9 bilion ringgit;
Kedua: Menyediakan kemudahan park and ride di stesen LRT, stesen KTM komuter
serta stesen ERL dengan peruntukan 62 juta ringgit;
Ketiga: Memperkenalkan Sistem Perkhidmatan Teksi Berpusat dengan peruntukan
sebanyak 15.3 juta ringgit bagi membolehkan pengagihan teksi kepada penumpang
dengan lebih cekap;
Keempat: Membina hentian akhir bandar dan menaik taraf perhentian bas serta
kemudahan drop and ride dengan peruntukan 28 juta ringgit; dan
Kelima: Membaik pulih tren Electric Multiple Unit (EMU) dengan peruntukan 28
juta ringgit bagi memastikan kekerapan dan kecekapan perkhidmatan.
Tuan Yang di-Pertua,
136. Bagi mempastikan kemudahan jaringan antara kawasan bandar dan luar bandar, Kerajaan akan memperuntukkan sejumlah 130 juta
ringgit bagi subsidi pengangkutan udara luar bandar, terutama bagi penduduk
pedalaman Sabah dan Sarawak. Berpegang
kepada prinsip bahawa benarlah kepentingan rakyat itu perlu sentiasa kita
dahulukan. Sebab itu, sekalipun tidak ekonomik dan tidak menguntungkan, demi
rakyat di luar bandar, Kerajaan akan tetap meneruskan subsidi perkhidmatan
keretapi di laluan Wilayah Timur, yakni di Pahang dan Kelantan. Langkah ini
akan memanfaatkan seramai 600 ribu pengguna dengan peruntukan 52.9 juta
ringgit.
Meningkatkan Kesejahteraan Bandar
137. Pada masa ini, terdapat pelbagai bentuk kumpulan komuniti setempat seperti
persatuan penduduk, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung serta rukun
tetangga yang lebih menjurus kepada pentadbiran, perpaduan dan keharmonian
masyarakat setempat.
138. Bagi meningkatkan koordinasi dan kesejahteraan komuniti khususnya di
bandar, Kerajaan mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk atau
JPP dalam kawasan Pihak Berkuasa Tempatan atau PBT. JPP akan bertindak sebagai
satu entiti yang dianggotai oleh wakil masyarakat setempat bagi menyokong
program pembangunan masyarakat, di samping menangani isu-isu perbandaran di
kawasan PBT. Untuk itu, Kerajaan akan menubuhkan 24 zon JPP di setiap PBT
dengan peruntukan sebanyak 63 juta ringgit.
139. Di perspektif yang lain, pada masa ini rizab bekalan air terawat di
seluruh negara masih tidak mencapai sasaran 20 peratus dan terdedah kepada
gangguan bekalan air, terutamanya semasa waktu puncak. Oleh itu, bagi
meningkatkan kadar liputan pembekalan air kepada 100 peratus terutama di
kawasan bandar, Kerajaan akan membina dan menaiktaraf empangan serta loji
rawatan air terawat dengan peruntukan sebanyak 1.2 bilion ringgit.
Tuan Yang di-Pertua,
Pembangunan Luar Bandar
140. Untuk memperkukuh dan menambahbaik infrastruktur asas serta meningkatkan
taraf hidup rakyat di luar bandar, sebanyak 4.1 bilion ringgit disediakan untuk
pelbagai program pembangunan luar bandar untuk projek infrastruktur asas
seperti berikut:
Pertama: Sejumlah
980 juta ringgit diperuntukkan untuk membaikpulih dan menaiktaraf 437 kilometer
jaringan jalan luar bandar di seluruh negara. Di samping itu, sebanyak 500 juta
ringgit disediakan bagi projek Lebuhraya Pan Borneo;
Kedua: Sebanyak 457 juta ringgit disediakan bagi program bekalan air bersih dan
terawat kepada lapan ribu unit rumah di luar bandar. Selain itu, sejumlah 75
juta ringgit diperuntukkan untuk membekal tangki air di Sarawak;
Ketiga: Sebanyak 865 juta ringgit disediakan bagi program bekalan tenaga
elektrik 24 jam kepada lebih 16 ribu rumah di seluruh negara. Manakala, bagi
mengatasi gangguan bekalan elektrik di Sabah, sebanyak 265 juta ringgit
diperuntukkan. Ini bagi mengukuhkan sistem penjanaan dan penghantaran seperti
menaiktaraf Stesen Janakuasa Hidro Tenom Pangi, pembinaan talian penghantaran
elektrik Kimanis dan pembinaan stesen suis utama di Sandakan;
Keempat: Sejumlah 179 juta ringgit diperuntukkan untuk membina dan membaik
pulih sebanyak 20,000 unit rumah rakyat miskin di kawasan luar bandar;
Kelima: Bagi menggalakkan penyertaan penduduk luar bandar dalam bidang
keusahawanan dan meningkatkan pendapatan, sebanyak 20 juta ringgit disediakan
untuk program Rural Business Challenge yang merangkumi pengeluaran makanan,
ternakan ikan, membaiki kenderaan dan agro pelancongan; dan
Keenam: Sejumlah 109 juta ringgit disediakan bagi program pembangunan ekonomi
dan peningkatan taraf hidup serta kemudahan infrastruktur bagi masyarakat Orang
Asli.
Tuan Yang di-Pertua,
141. Kerajaan juga akan meneruskan projek Rancangan Tebatan Banjir antaranya di
Sungai Muda Kedah, Lembangan Sungai Muar Johor, Sungai Bunus Kuala Lumpur dan
Bandar Pekan Pahang. Untuk ini, Kerajaan akan menyediakan peruntukan sebanyak
659 juta ringgit. Selain itu, Kerajaan juga akan menyediakan peruntukan
sebanyak 79 juta ringgit bagi kerja mengorek dan mendalam kuala-kuala sungai.
142. Kerajaan sentiasa prihatin terhadap golongan bumiputera Sabah dan Sarawak
yang menghadapi kesukaran dalam proses pemilikan tanah adat. Sehubungan itu,
Kerajaan akan memperuntukkan 50 juta ringgit bagi kerja pengukuran tanah dan
pengesahan hak pemilikan tanah adat.
TERAS KELIMA: MENSEJAHTERA KEHIDUPAN RAKYAT
Tuan Yang di-Pertua,
Indeks Kesejahteraan Malaysia
143. Ternyata, kemakmuran negara tidak hanya bergantung kepada kemajuan ekonomi
semata-mata, malah ianya perlu mengambil kira tahap kualiti hidup dan
kesejahteraan rakyat secara menyeluruh. Sehubungan itu,Indeks Kesejahteraan
Malaysia atau Malaysian Well-being Index atau MWI 2012 telah dibangunkan.
Kerajaan akan terus merangka dasar serta strategi terbaik ke arah meningkatkan
kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat.
Meningkatkan Keselamatan dan Ketenteraman Awam
144. Sejelasnya, Kerajaan amat menghargai jasa dan bakti anggota keselamatan
dan para perajurit. Kerajaan sentiasa memberi keutamaan terhadap keselamatan
dan ketenteraman awam. Kerajaan komited dalam membanteras jenayah dan ancaman
anasir luar yang mengganggu gugat kesejahteraan negara.
145. Untuk itu, Kerajaan akan memperuntukkan sejumlah 8.8 bilion ringgit kepada
Polis Diraja Malaysia dan 13.2 bilion ringgit kepada Angkatan Tentera Malaysia
dalam usaha mengurangkan kadar jenayah serta meningkatkan kesiapsiagaan anggota
tentera.
146. Bagi terus memperkasakan perkhidmatan PDRM, Kerajaan akan membina dan
menaiktaraf Ibu Pejabat Polis, Ibu Pejabat Polis Daerah dan kuarters kakitangan
dengan peruntukan sebanyak 128 juta ringgit. Ini termasuk pembinaan IPD baru di
Pasir Mas, Kota Setar, Johor Bahru Selatan, Sipitang dan Nusajaya serta membina
balai polis baru di Pengerang, Tongod dan Country Homes Rawang.
147. Dalam membanteras jenayah, Kerajaan memperuntukkan 200 juta ringgit bagi
melengkapkan PDRM dengan peralatan dan kelengkapan terkini termasuk senjata
api, peluru, jaket kalis peluru, alat pengesan narkotik, sistem biometrik dan
kenderaan forensik. Kerajaan juga akan menambah 496 bilangan kamera litar
tertutup atau CCTV di 25 kawasan Pihak Berkuasa Tempatan dengan peruntukan
sebanyak 20 juta ringgit.
148. Selain itu, sebagai tambahan kepada pembelian 1,000 buah motosikal untuk
kegunaan Unit Rondaan Bermotosikal PDRM pada tahun ini, Kerajaan bersetuju
menambah 800 buah motosikal lagi dengan peruntukan sebanyak 20 juta ringgit
pada tahun ini. Bagi tahun 2014, Kerajaan akan menambah lagi 200 buah motosikal
yang menjadikan keseluruhannya 2,000 buah motosikal bagi tempoh dua tahun.
Tuan Yang di-Pertua,
149. Pencerobohan bersenjata di Lahad Datu merupakan tragedi hitam buat negara.
Pengorbanan serta jasa bakti para perajurit dan anggota keselamatan dalam
mempertahankan kedaulatan tanahair sangat disanjung tinggi. Kata orang nan
dititik nan dieja, nan ditilik nan ditimang, sedikit pun kita tidak lupa,
sepanjang hayat tetap dikenang. Apa yang penting, kita tidak sekali-kali
merelakan walau seinci pun tanahair ini dirampas oleh sesiapa. Sabah tetap
bersama Malaysia selama-lamanya.
150. Bagi memastikan keselamatan perairan adalah terjamin daripada pencerobohan
anasir luar khususnya di Sabah dan Sarawak, Kerajaan telah menubuhkan Kawasan
Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah atau ESSCOM pada awal tahun ini. Bagi
memantapkan operasi ESSCOM, Kerajaan memperuntukkan 75 juta ringgit untuk tahun
2014.
151. Selain itu, Kerajaan akan terus meningkatkan kawalan keselamatan negara
dengan memantapkan operasi dan peralatan pertahanan di perairan dan sempadan
negara. Ini termasuklah menambah enam buah offshore patrol vessel, empat buah
pesawat kargo dan pembelian peralatan sokongan, kereta perisai, dengan
peruntukan keseluruhan sebanyak 2.4 bilion ringgit.
152. Kerajaan amat prihatin terhadap kebajikan anggota dan veteran Angkatan
Tentera Malaysia. Bagi menghargai sumbangan mereka kepada negara, Kerajaan akan
memperuntukkan sejumlah 48 juta ringgit bagi tujuan kebajikan 20,000 orang
veteran ATM meliputi perubatan, ex-gratia dan pendidikan.
153. Selain itu, sejumlah 202 juta ringgit pula akan diperuntukkan untuk
membina dan membaik pulih kuarters warga ATM. Kerajaan juga akan menyediakan
perkhidmatan bas sekolah kepada anak-anak anggota tentera bagi menggantikan
penggunaan trak askar.Pemuliharaan Alam Sekitar dan Pengurusan Sumber
154. Kerajaan komited dalam menyediakan persekitaran yang bersih, selamat,
sihat serta produktif bagi generasi masa kini dan masa hadapan. Antara program
yang akan dilaksanakan termasuk program Pelaporan Karbon Kebangsaan atau
MyCarbon oleh sektor korporat, penubuhan Tabung Amanah Konservasi Nasional bagi
memulihara kawasan terosot dan hutan simpan kekal serta pengurusan sumber asli.
155. Bagi memperkukuhkan pembangunan teknologi hijau negara, Kerajaan akan
memberi galakan Elaun Cukai Pelaburan ke atas pembelian peralatan teknologi
hijau dan pengecualian cukai pendapatan ke atas penggunaan perkhidmatan serta
sistem teknologi hijau.
156. Ke arah menggalakkan amalan gaya hidup hijau, Yayasan Hijau Malaysia akan
ditubuhkan yang akan berperanan dalam mempromosi dan meningkatkan penyertaan
badan korporat, masyarakat dan awam terhadap teknologi hijau. Untuk itu, geran
pelancaran sebanyak 15 juta ringgit akan disediakan sebagai dana permulaan
untuk Yayasan Hijau Malaysia.
157. Sebagai langkah segera untuk mengelak tragedi yang telah berlaku di
Cameron Highlands kelmarin berulang kembali, maka, Kerajaan akan meluluskan
peruntukan sebanyak 40 juta ringgit bagi melebar dan mendalamkan Sungai Bertam.
158. Bagi terus meningkatkan kecekapan dan penjimatan penggunaan tenaga
elektrik, Kerajaan akan melaksanakan audit tenaga dan memasang retrofit di
bangunan-bangunan kementerian. Bagi tahun 2014, KementerianKesihatan, Sumber
Manusia, Belia dan Sukan, Pertanian dan KPDNKK telah dikenalpasti untuk
pelaksanaan inisiatif ini. Selain itu, Kerajaan akan memasang solar panel di
bumbung bangunan Kementerian-kementerian serta menggantikan lampu sedia ada
kepada lampu LED secara berperingkat.
Perkhidmatan Kesihatan Berkualiti
159. Kerajaan akan terus menyediakan perkhidmatan kesihatan dan perubatan yang
terbaik serta berkualiti kepada rakyat. Untuk itu, sebanyak 22.1 bilion ringgit
diperuntukan bagi sektor kesihatan yang merangkumi belanja operasi dan pembangunan.
Peruntukan ini akan disalurkan untuk program dan projek termasuk pembinaan
Hospital Tanjung Karang dan blok tambahan Hospital Jeli serta menaik taraf
Hospital Kuala Lipis dan 30 klinik desa.
160. Selain itu, Kerajaan akan memperuntukkan 66 juta ringgit untuk pembelian
peralatan dan membina blok tambahan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.
Kerajaan juga telah menyediakan 234 Klinik 1Malaysia dan sebagai tambahan
sebanyak 50 klinik 1Malaysia akan
dibangunkan pada tahun 2014. Bagi menangani masalah kekurangan parkir di
Hospital Kuala Lumpur, sebanyak 1,950 ruang letak kereta baru akan disiapkan
pada 2014. Sementara itu, Hospital Rompin dan Shah Alam serta Institut Kanser
Negara akan mula beroperasi pada awal tahun hadapan.
161. Bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan rawatan dan meringankan beban tugas
jururawat yang bertugas berterusan secara dua syif, Kerajaan akan menambah
seramai 6,800 jururawat dengan peruntukan 150 juta ringgit. Selain itu,
Kerajaan akan memperuntukkan 3.3 bilion ringgit bagi menyediakan bekalan ubat
dan alatan perubatan mencukupi bagi memastikan pesakit mendapat rawatan yang
sempurna, termasuk memperluaskan perkhidmatan kardiotorasik di Hospital Ipoh,
Kuala Terengganu, Kuantan dan Kuching.
162. Kerajaan menyedari kesukaran pesakit buah pinggang yang terpaksa
berulang-alik ke pusat hemodialisis bagi mendapatkan rawatan dialisis tiga kali
seminggu. Pesakit juga terpaksa membelanjakan sehingga 400 ringgit setiap kali
mendapatkan rawatan. Bagi membantu memudahkan pesakit menjalani rawatan,
Kerajaan akan membekalkan secara percuma, kit rawatan Continuous Ambulatory
Peritoneal Dialysis atau CAPD yang bernilai 19 ribu ringgit seunit. Ini
membolehkan pesakit kegagalan buah pinggang tahap akhir membuat rawatan sendiri
di rumah. Langkah ini dijangka dapat memanfaatkan lebih seribu pesakit.
163. Statistik juga menunjukkan terdapat 2.6 juta rakyat Malaysia yang berumur
30 tahun ke atas menghidap penyakit diabetes. Sekiranya tidak dikawal, pesakit
akan mendapat pelbagai komplikasi seperti penyakit jantung, kerosakan buah
pinggang, mata buta dan kaki terpaksa dipotong. Sehubungan itu, Kerajaan
mencadangkan untuk memansuhkan subsidi gula sebanyak 34 sen berkuatkuasa 26 Oktober 2013. Saya menyeru agar kita bersama-sama menjaga
kesihatan. Kurangkan manis dalam makanan dan minuman.
Tuan Yang di-Pertua,
Pembangunan Sukan Negara
164. Pembangunan sukan memerlukan eko-sistem yang komprehensif meliputi
infrastruktur, pengurusan dan kejurulatihan, pembentukan bakat dari peringkat
awal serta kebajikan atlet. Untuk itu, sebanyak 239 juta ringgit diperuntukkan
bagi meneruskan kecemerlangan sukan merangkumi menaiktaraf kompleks dan
gelanggang sukan, mewujudkan program perintis pengenalpastian bakat di
peringkat sekolah rendah dan melaksanakan program Future Professional Coach
untuk menggilap kemahiran jurulatih berpotensi bagi sukan-sukan terpilih.
165. Di samping itu, Kerajaan akan menyediakan 150 juta ringgit kepada Kumpulan
Wang Amanah Sukan bagi pembangunan sukan elit, rawatan perubatan dan penyelidikan.
Seterusnya, Kerajaan akan membuat persiapan rapi bagi memastikan kejayaan atlet
di sukan antarabangsa termasuk Sukan Asia 2014 Incheon, Sukan Olimpik Remaja
2014 Nanjing dan Sukan Komanwel 2014 Glasgow.
Meningkat Peranan Wanita dan Mensejahtera Keluarga
166. Sesungguhnya peranan wanita sangat besar bukan sahaja dalam keluarga.
Mereka adalah tulang belakang kepada kejayaan negara. Jasa mereka tetap
dijulang tinggi. Malah, wanita adalah pemberi warna kepada generasi mendatang.
Lalu, bagi meneruskan program pembangunan wanita dan institusi kekeluargaan,
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan diperuntukkan
sebanyak 2.2 bilion ringgit bagi melaksanakan pelbagai program.
167. Antara program yang akan dilaksanakan termasuk penubuhan Akademi Inovasi
Wanita di bawah naungan Institut Tadbiran Awam Negara. Akademi ini akan
merangka program-program kepimpinan, keusahawanan dan inovasi untuk golongan
wanita.
168. Selain itu, Program Pengarah Wanita untuk diketengahkan sebagai Ahli
Lembaga Pengarah syarikat; program keusahawanan Purple DNA seperti ''Purple
Licious'' iaitu kiosk makanan bergerak dan menambah 23 Pusat Aktiviti Warga
Emas akan dilaksanakan.
169. Kerajaan juga akan menaikkan kadar wang saku kanak-kanak di institusi
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daripada RM1.50 kepada tiga ringgit sehari
bagi kanak-kanak yang bersekolah dan kenaikan daripada RM0.50 kepada satu
ringgit sehari bagi kanak-kanak yang tidak bersekolah. Langkah ini dapat
memanfaatkan 4,500 kanak-kanak di institusi JKM di seluruh negara. Di samping
itu, kadar wang saku warga emas juga akan dinaikkan daripada 10 ringgit kepada
30 ringgit sebulan untuk menampung keperluan belanja harian penghuni JKM.
170. Bagi meringankan kos yuran taska, Kerajaan akan menaikkan kelayakan
pendapatan isi rumah bulanan penjawat awam daripada 3,000 ringgit kepada 5,000
ringgit untuk mendapat subsidi yuran taska sektor awam berjumlah 180 ringgit
sebulan.
171. Di samping itu, Kerajaan mencadangkan pemberian bantuan yuran taska
sebanyak 250 ringgit sebulan kepada ibu bapa berpendapatan bulanan tidak
melebihi 900 ringgit yang menghantar anak-anak ke taska swasta yang berdaftar
dibawah JKM. Langkah ini dapat memanfaatkan seramai 3,334 kanak-kanak dibawah
usia empat tahun dengan peruntukan 15 juta ringgit.
172. Sebagai tambahan kepada perkhidmatan suntikan imunisasi Human Papilloma
Virus dan pemeriksaan ujian mamogram yang sedia ada, Kerajaan mencadangkan
pemberian percuma alat bantuan sokongan prosthesis luaran payudara dan coli
khas kepada pesakit kanser payudara. Bantuan ini dapat meringankan kos membeli
alatan tersebut yang dianggarkan sekitar 1,200 ringgit. Langkah ini akan
memanfaatkan lebih 8,000 orang pesakit kanser payudara dengan peruntukan
berjumlah sembilan juta ringgit.
173. Saya juga ingin memaklumkan bahawa Kerajaan akan menambah empat buah bas
khas untuk pelaksanaan Pusat Keluarga Bergerak bagi memberi khidmat nasihat
berkaitan kekeluargaan, penjagaan makanan, pemeriksaan penyakit kronik serta
ujian glukosa dan kolestrol.
Pemerkasaan Bumiputera
174. Aspirasi untuk mencapai tahap negara maju dan berpendapatan tinggi hanya
boleh dicapai dengan penglibatan bersama semua, terutamanya kaum majoriti
Bumiputera. Kerajaan komited untuk terus memperkasakan penyertaan Bumiputera
dalam pembangunan ekonomi negara dan menjadikan agenda Bumiputera sebagai
agenda Nasional.
175. Untuk itu, program yang akan dilaksanakan termasuk mempergiat program
peningkatan kemahiran kepada belia, Program Peneraju Profesional serta
meningkatkan bilangan pengambilan pelajar UiTM kepada 250 ribu menjelang 2020.
176. Syukur Alhamdulillah, terkini jumlah pelajar UiTM sudahpun mencecah jumlah
180 ribu orang. Selain itu, pegangan ekuiti dan pemilikan hartanah Bumiputera
akan ditingkatkan melalui Skim Jejak Jaya Bumiputera atau SJJB, Skim Amanah
Saham Bumiputera 2 dan pengukuhan institusi hartanah Bumiputera.
177. Untuk meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera, SME Bank akan menubuhkan
Dana Ekuiti Bumiputera atau EquiBumi sebanyak 300 juta ringgit bagi menyediakan
kemudahan pinjaman kepada syarikat Bumiputera yang berwibawa untuk mengambil
alih syarikat tersenarai atau syarikat yang berpotensi untuk disenaraikan di
Bursa Malaysia.
178. Di samping itu, dana 200 juta ringgit disediakan oleh SME Bank bagi
kemudahan pinjaman untuk program pembangunan semula Tanah Rezab Melayu di
kawasan strategik seperti Kampung Baru, Kampung Pandan dan Kampung Datuk
Keramat. Kemudahan ini akan membantu masyarakat Melayu setempat meningkatkan
taraf hidup seiring dengan pembangunan pesat di kawasan persekitaran.
179. Kerajaan terus meningkatkan penglibatan Bumiputera dalam bidang perniagaan
dan keusahawanan bagi menjana pendapatan dan kekayaan. Antara program yang akan
dilaksanakan adalah mewujudkan Skim Usahawan Permulaan Bumiputera atau SUPERB
dengan dana permulaan 30 juta ringgit.
180. Di samping itu, bagi meningkatkan pengukuhan program pembangunan vendor,
Kerajaan mencadangkan perbelanjaan operasi yang ditanggung oleh syarikat anchor
terutama syarikat berkaitan Kerajaan diberi potongan cukai dua kali.
181. Seterusnya, bagi meningkatkan peluang perniagaan dan pembiayaan kepada
entreprenur PKS, kemudahan pembiayaan pinjaman mudah turut disediakan. Antara
kemudahan pembiayaan termasuk dana Amanah Ikhtiar Malaysia berjumlah 300 juta
ringgit dan dana sebanyak 700 juta ringgit di bawah TEKUN.
Membantu golongan Orang Kelainan Upaya
182. Kita sedar bahawa setiap insan itu istimewa. Setiap seorang daripada kita
adalah sempurna di sisi Tuhan. Dalam perkara ini, sumbangan mereka amat dihargai
dan banyak menyumbang kepada pembangunan negara. Banyak kemudahan diperuntukkan
bagi kesejahteraan mereka dan seterusnya memaksimumkan potensi yang ada. Untuk
itu, Kerajaan akan memperuntukkan sejumlah 441 juta ringgit bagi pembangunan
dan kebajikan golongan ini.
Menghargai Golongan Karyawan
183. Golongan karyawan, seniman dan budayawan merupakan komponen sesebuah
peradaban itu dibina. Peranan mereka amatlah penting dalam perkembangan seni
dan budaya dalam masyarakat. Sebagai menghargai sumbangan golongan ini,
Kerajaan bersetuju untuk meneruskan bantuan kewangan sebanyak enam juta ringgit
bagi pengurusan pentadbiran dan pengendalian persatuan-persatuan yang
berdaftar.
Pembangunan Masyarakat India
184. Bijak bestari berkata, orang berbudi kita berbahasa. Kepada kaum India
yang telah bersama menzahirkan ikatan sokongan kepada Kerajaan Barisan Nasional
pada Pilihanraya Umum Ke-13 baru-baru ini. Terima kasih, Rumba Nandri.
185. Kerajaan juga akan terus menumpukan kepada pembangunan masyarakat India
agar dapat bersama dalam arus kemajuan negara. Untuk itu, Kerajaan bersetuju untuk menyediakan peruntukan
sebanyak 100 juta ringgit untuk meningkatkan pencapaian pelajaran dan latihan
kemahiran, ini termasuk 28 juta ringgit bagi program pendidikan awal melibatkan
176 pra-sekolah Tamil dan program i-Sinar.
186. Program ini akan meningkatkan prestasi pelajar melalui kaunseling,
motivasi dan tuisyen kepada 45 sekolah ladang Tamil. Di samping itu, dana
sebanyak 50 juta
ringgit disediakan untuk Skim Pembiayaan Usahawan Muda India atau SPUMI di
bawah TEKUN, manakala usahawan India juga boleh memohon pinjaman daripada
Amanah Ikhtiar Malaysia.
Tuan Yang di-Pertua,
Meningkatkan Pemilikan Rumah
187. Saya mendengar, keluh kesah rakyat untuk memiliki rumah yang selesa terutama
bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Pelbagai rungutan sering
diperkatakan seperti harga rumah melambung tinggi, bekalan rumah tidak
mencukupi dan kesukaran mendapatkan pembiayaan.
188. Akhir-akhir ini, didapati kenaikan harga rumah amat ketara yang telah
menjejaskan kemampuan rakyat untuk membeli rumah. Di samping itu, aktiviti
spekulasi turut memberi kesan ke atas kenaikan harga rumah. Situasi ini secara
tidak langsung boleh menjejaskan pasaran hartanah dalam jangka masa panjang.
189. Bagi meningkatkan kemampuan rakyat membeli rumah dan memastikan harga
rumah stabil serta mengekang aktiviti spekulasi yang keterlaluan, Kerajaan akan
melaksanakan langkah berikut:
Pertama: Mengkaji semula Cukai Keuntungan Harta Tanah atau RPGT. Bagi hartanah
yang dilupuskan dalam tempoh pegangan sehingga tiga tahun, kadar RPGT dinaikkan
kepada 30 peratus, manakala pelupusan dalam tempoh empat dan lima tahun,
kadarnya dinaikkan kepada 20 peratus dan 15 peratus. Bagi warganegara,
pelupusan yang dibuat dalam tahun keenam dan berikutnya, tidak dikenakan RPGT
manakala bagi syarikat, RPGT dikenakan lima peratus. Bagi bukan warga negara
pula, RPGT dikenakan pada kadar 30 peratus bagi tempoh pegangan sehingga lima
tahun dan pelupusan dalam tahun keenam dan berikutnya, RPGT dikenakan lima
peratus;
Kedua: Meningkatkan harga minimum hartanah yang boleh dibeli oleh warga asing
daripada 500 ribu ringgit kepada satu juta ringgit;
Ketiga: Meningkatkan ketelusan harga jualan hartanah, di mana pemaju hartanah
perlu mempamerkan secara terperinci harga jualan termasuk semua manfaat dan
insentif yang ditawarkan kepada pembeli seperti pengecualian yuran guaman, duti
setem perjanjian jual beli, rebat tunai dan hadiah percuma; dan
Keempat: Melarang pemaju perumahan melaksanakan projek yang berciri Developer
Interest Bearing Scheme atau DIBS bagi mengelakkan pemaju memasukkan tanggungan
kadar faedah pinjaman pembeli semasa tempoh pembinaan ke dalam harga rumah.
Oleh itu, institusi kewangan dilarang menyediakan pembiayaan akhir bagi projek
yang terlibat dengan skim DIBS ini.
190. Seterusnya, bagi meningkatkan akses pemilikan rumah pada harga yang
berpatutan, dianggarkan sebanyak 223 ribu unit rumah baharu akan dibina oleh
Kerajaan dan sektor swasta pada tahun 2014. Kerajaan akan memperuntukkan
sebanyak 578 juta ringgit kepada Jabatan Perumahan Negara atau JPN bagi
melaksanakan Program Perumahan Rakyat yang melibatkan pembinaan 16,473 unit
rumah. Di samping itu, JPN juga akan membina 600 unit Program Perumahan Rakyat
Disewa dan Perumahan Rakyat Bersepadu dengan peruntukan 146 juta ringgit.
191. PR1MA pula akan menyediakan 80 ribu unit rumah dengan peruntukan satu
bilion ringgit di mana harga jualannya adalah 20 peratus lebih rendah dari
harga pasaran. Manakala SPNB akan membina 26,122 unit rumah yang meliputi
15,122 unit rumah mampu milik, tiga ribu unit Rumah Idaman Rakyat dan lapan
ribu Rumah Mesra Rakyat. Kerajaan juga memperkenalkan kategori baharu Rumah
Mesra Rakyat dengan harga jualan antara 45 ribu ringgit hingga 65 ribu ringgit,
di mana Kerajaan akan memberi subsidi di antara 15 ribu ringgit hingga 20 ribu
ringgit seunit.
192. Kerajaan juga akan memperkenalkan Skim Perumahan Mampu Milik Swasta atau
MyHome sebagai satu langkah untuk menggalakkan sektor swasta membina lebih banyak
rumah kos rendah dan sederhana. Skim ini menawarkan subsidi 30 ribu ringgit
seunit kepada pemaju swasta. Antara kriteria utama skim ini adalah:
Pertama: Membina sekurang-kurangnya 20 peratus rumah kos rendah dan 20 peratus
rumah kos sederhana dalam satu projek perumahan;
Kedua: Harga jualan maksimum rumah kos rendah ialah 45 ribu ringgit dan kos
sederhana ialah 170 ribu ringgit;
Ketiga: Keluasan minimum rumah kos rendah adalah 800 kaki persegi dan kos
sederhana 1,000 kaki persegi dengan kemudahan minimum tiga bilik tidur dan dua
bilik air;
Keempat: Menyediakan kemudahan ruang letak kereta, surau, dewan dan taman
permainan; dan
Kelima: Terbuka kepada pembeli rumah pertama dengan pendapatan bulanan isirumah
maksimum tiga ribu ringgit bagi kos rendah dan maksimum enam ribu ringgit bagi
kos sederhana.
193. Keutamaan akan diberikan kepada pemaju perumahan yang membina rumah kos
rendah dan sederhana di kawasan yang mempunyai permintaan tinggi. Skim ini
terhad kepada 10 ribu unit rumah pada tahun 2014. Ianya adalah untuk projek
perumahan baharu yang diluluskan mulai 1 Januari tahun hadapan dengan
peruntukan sebanyak 300 juta ringgit di bawah seliaan Kementerian Kesejahteraan
Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
194. Pada masa ini, pemaju-pemaju projek perumahan seperti PR1MA, Program
Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia dan perumahan di kawasan baharu dibuka, layak
memohon geran daripada Dana Mudahcara sebanyak 10 peratus daripada kos projek.
Bagi tahun 2014, Kerajaan akan memperuntukkan sejumlah empat bilion ringgit
untuk Dana Mudahcara sebagai inisiatif menggalakkan pelaksanaan projek swasta
berimpak tinggi dan strategik.
195. Daripada jumlah tersebut, saya mencadangkan satu bilion ringgit
dikhususkan sebagai Dana Mudahcara Perumahan dibawah Unit Kerjasama Awam Swasta
atau UKAS. Pemaju yang menerima geran ini, mesti mematuhi terma dan syarat
serta harga jualan rumah yang ditetapkan oleh Kerajaan.
196. Kerajaan juga akan melaksanakan program membaik pulih dan meningkatkan
keselesaan serta mengindahkan rumah kos rendah milik Kerajaan. Antara langkah
yang akan dilaksanakan termasuk penyelenggaraan lif, mengecat semula rumah,
pembersihan longkang dan ruang buangan sampah serta membaik pulih padang
permainan.
197. Untuk itu, sejumlah 100 juta ringgit akan disediakan kepada Tabung
Penyelenggaraan 1Malaysia di bawah seliaan Kementerian Kesejahteraan Bandar,
Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Kerajaan juga akanmemperuntukkan 82 juta
ringgit bagi memulihkan lagi sebanyak 20 projek rumah terbengkalai melibatkan
8,197 buah rumah.
198. Bagi terus mengukuhkan pasaran hartanah dan menambah peluang rakyat
memiliki rumah, Kerajaan akan melaksanakan pendekatan yang lebih efektif dan
menyeluruh. Sehubungan itu, sukacita saya mengumumkan penubuhan Majlis
Perumahan Negara untuk merangka strategi dan pelan tindakan secara menyeluruh,
menyelaras aspek perundangan dan mekanisma harga hartanah serta memastikan
penyediaan rumah dengan lebih cekap dan cepat. Keanggotaan Majlis ini terdiri
daripada agensi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Jabatan Perumahan
Negara, PR1MA, SPNB dan sektor swasta.
Program Penyeragaman Harga
199. Kerajaan juga sedar akan harga barangan keperluan yang lebih mahal di
Sabah dan Sarawak berbanding di Semenanjung Malaysia disebabkan kos
penghantaran dan pengagihan yang lebih tinggi. Untuk mempastikan harga barangan
dan kos dapat dikurangkan, Kerajaan akan memperuntukkan sejumlah 331 juta
ringgit bagi meneruskan program penyeragaman harga dan pemberian subsidi
termasuk kos pengangkutan.
200. Di samping itu, sebanyak 60 buah Kedai Rakyat 1Malaysia turut akan dibuka
dengan peruntukan 30 juta ringgit bagi membantu mengurangkan kos harga barangan
keperluan harian.
Pelepasan Cukai Untuk Golongan Berpendapatan Sederhana
201. Kerajaan tidak pernah meminggirkan golongan berpendapatan sederhana yang
merupakan bilangan pembayar cukai pendapatan terbesar. Mereka juga turut
terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat. Bagi terus membantu
golongan ini, Kerajaan mencadangkan pelepasan cukaikhas dua ribu ringgit ke
atas pendapatan yang diperolehi dalam tahun 2013 bagi yang berpendapatan
sehingga lapan ribu ringgit sebulan.
202. Langkah ini akan memberi penjimatan bayaran cukai sehingga 480 ringgit.
Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat juga, kumpulan ini telah menikmati
penjimatan cukai sehingga 475 ringgit ke atas pendapatan tahun 2013 semasa
Kerajaan mengumumkan pengurangan kadar cukai dalam bajet yang lalu.
PENUTUP
Tuan Yang di-Pertua,
203. Kita amat bersyukur, setelah negara mencapai kemerdekaan, tanggal 31
haribulan Ogos 1957, rakyat telah hidup dalam kerukunan, harmoni dan sejahtera
membangunkan negara.
204. Pada 16 haribulan September 1963 pula, termaktub peristiwa bersejarah
penggabungan Sabah dan Sarawak bagi membentuk Malaysia. Terbukti jelas,
kebersamaan dan kebersatuan ini telah membawa berjuta rahmat kepada Malaysia.
205. Ternyata, selama lebih 5 dekad Kerajaan Barisan Nasional telah menggalas
amanah rakyat melalui kebitaraan perkongsian kuasa dan amalan bersepakat antara
parti komponen.
206. Hakikatnya, sejak dulu lagi, Kerajaan Barisan Nasional tidak semberono dan
tidak pernah suka-suka dalam hal perencanaan negara. Bahkan kita amat komited
dan sememangnya kita serius.
207. Segalanya kita rangka, semuanya kita susun, kita piagam dan kita
laksanakan bukan sekadar sonata, atau sebuah orkestra, namun ia menjadi puluhan
simfoni kemajuan yang terindah demi kesejahteraan hidup seluruh rakyat Malaysia
yang dikasihi.
Tuan Yang di-Pertua,
208. Kepada para penjawat awam yang menjadi tulang belakang pembangunan negara,
Kerajaan amat menghargai sumbangan Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian. Maka yang
demikian, pada Julai lalu, Kerajaan telah memberi tambahan satu kenaikan gaji
tahunan atau KGT melibatkan peruntukan sebanyak 1.6 bilion ringgit.
209. Di samping itu, Kerajaan juga telah memberi tambahan tiga KGT kepada gaji
maksimum bagi semua kumpulan perkhidmatan dan telah memanfaatkan 182,434
penjawat awam yang berada pada paras gaji maksimum. Lantaran pada petang ini,
sukacita saya mengumumkan pula, bahawa Kerajaan juga bersetuju menambahbaik
sebanyak 81 skim perkhidmatan dari pelbagai peringkat mulai bulan November ini.
Tuan Yang di-Pertua,
Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)
210. Selanjutnya, dalam usaha untuk terus meringankan beban hidup rakyat,
bersesuaian dengan pelaksanaan subsidi bersasar, sukacita saya mengumumkan
bahawa program Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M kepada isi rumah dan individu
bujang akan ditambah baik.
211. Pemberian
BR1M kepada isi rumah berpendapatan bulanan tiga ribu ringgit dan ke bawah,
akan ditingkatkan nilai bantuannya, daripada 500 ringgit kepada 650 ringgit.
212. Seterusnya, bagi individu
bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi dua ribu
ringgit sebulan, nilai BR1M akan dinaikkan daripada 250 ringgit kepada 300
ringgit.
213. Sebagai pelengkap, Tuan Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat
sekalian, sukacita saya mencadangkan caruman Insurans Takaful Berkelompok
Rakyat 1Malaysia atau i-BR1M bernilai 50 ringgit diberi kepada semua penerima
isi rumah BR1M. Langkah ini diharapkan dapat memberi perlindungan maksimum
sehingga 30 ribu ringgit kepada penerima BR1M sekiranya berlaku kematian atau
hilang upaya kekal.
214. Pendek kata, secara keseluruhannya, penerima BR1M dari kalangan isi rumah
berpendapatan bulanan tidak melebihi tiga ribu ringgit, akan menikmati bantuan
sebanyak 700 ringgit.
215. Sebagai tambahan, buat pertama kalinya juga, BR1M akan diperluaskan kepada isi rumah yang
berpendapatan bulanan antara tiga ribu hingga empat ribu ringgit dengan nilai
bantuan sebanyak 450 ringgit. Pemberian ini adalah berdasarkan kepada kenaikan kos sara
hidup yang perlu ditanggung oleh golongan berpendapatan sederhana rendah.
216. Golongan ini juga akan menikmati caruman i-BR1M bernilai 50 ringgit yang
menjadikan jumlah keseluruhan BR1M sebanyak 500 ringgit. Bagi melaksanakan
kesemua pakej BR1M 2014 di atas, Kerajaan akan memperuntukkan sejumlah 4.6
bilion ringgit yang dijangka dapat memanfaatkan seramai 7.9 juta penerima.
Tuan Yang di-Pertua,
Menghargai Penjawat Awam
217. Pada bulan Ogos lalu, sebelum menjelangnya hari Lebaran Aidil Fitri,
bayaran bantuan khas kewangan sebanyak 500 ringgit dan 250 ringgit,
masing-masing telah dibayar kepada penjawat awam dan pesara.
218. Hari ini pula, sukacita saya mengumumkan, untuk meringankan lagi beban golongan
pesara, Kerajaan akan memberi bayaran khas kewangan sebanyak 250 ringgit.
219. Kepada para penjawat awam janganlah bimbang, apa yang ditunggu sudah pun
tiba. Saya dengan ini mengumumkan bonus sebanyak setengah bulan gaji bagi tahun
2013, dengan bayaran minimum 500 ringgit. Bayaran bonus dan bantuan khas
kewangan ini akan dibayar pada awal bulan Januari 2014.
Tuan Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,
220. Sesungguhnya, bajet ini merupakan dokumen pasca pilihanraya sebagai antara
prakarsa penting memenuhi akujanji yang kita ikrarkan semasa pilihanraya
baru-baru ini. Usaha kita tidak terhenti setakat ini. Bahkan inilah
kesinambungan kepada sebuah perjalanan Barisan Nasional agar terus berkobar dan
bersemangat dengan api perjuangan yang marak lagi menyala, menerajui negara
untuk tempoh 50 tahun akan datang.
Tuan Yang di-Pertua,
221. Tapi biasalah, bak kata orang Pekan, “maaf bercakap, nak buat macam mane,
sabor jerlah”. Apa pun kebaikan yang kita perbuat, apa pun amal kebaikan yang
kita lakukan, ada saja yang tidak kena, ada saja yang tidak betul di mata
kawan-kawan di seberang sana.
222. Namun biarlah, kata orang, kebenaran depan mata kadang-kadang kita tak
nampak. Yang batil itu akhirnya akan terpasung jua.
223. Sedangkan, orang jauh, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry yang
datang baru-baru ini pun telah mengiktiraf kita sebagai negara model kepada
dunia, dalam kepelbagaian kemajuan, ekonomi dan manusia. Hatta Presiden China,
Xi Jinping juga telah memuji Malaysia sebagai rakan kongsi yang boleh
dipercayai. Kita juga rasa tersentuh pabila Presiden China turut mengungkapkan
pengertian peribahasa Melayu, ‘air dicincang takkan putus’, bahawa, Malaysialah
sahabat negara China yang sejati, ketika susah dan senang.
Tuan Yang di-Pertua,
224. Satu demi satu tohmah dilontar, beraneka domba dituduh kepada kita. Namun,
kita bukanlah barisan yang mudah mengaku kalah, apatah lagi tidak mungkin duduk
bersimpuh dan berdiam diri. Barisan Nasional mengambil resminya padi, makin
merunduk makin berisi. Bulan demi bulan, tahun demi tahun, dari masa hingga
masa, kita terus bangun, bangkit dan berjuang demi rakyat, demi negara.
225. Dalam pada itu, diakui adat dan resam manusiawi, selama berpuluh tahun,
Kerajaan Transformatif Barisan Nasional mentadbir, tentulah ada salah dan
khilaf di sana-sini. Namun, mendahulukan kepentingan rakyat adalah
segala-galanya buat kita. Dengan adanya sokongan dan dokongan rakyat pabila
dirundingi, ternyata kelemahan-kelemahan terus kita perbaiki dan usaha dapat
dimantapkan.
226. Sekaligus, segala penat lelah, letih lesu yang digemblengkan terasa hilang
dan terasa lega, tatkala rakyat teramai dapat mengecapi nikmat kejayaan negara.
Bak kata orang Iban di Sarawak, “Utai Besai Gaga’miet”, jika kita bersatu,
berganding-ganding antara Kerajaan dan rakyat, tiada masalah yang tidak dapat
diselesaikan.
227. Apa yang pasti, kita tidak sekali-kali akan membiar dan merelakan
orang-orang yang tidak bertanggungjawab untuk mengambil alih Kerajaan ini. Demi
rakyat dan demi tanahair tercinta, Putrajaya, tetap akan kita pertahankan
sampai bila-bila.
Tuan Yang di-Pertua,
228. Jelasnya, bajet ini ialah dokumen berevolusi yang dipersembahkan untuk
tahun 2014, merupakan siri-siri bajet yang akan membawa Malaysia bertatih,
menapak dan akhirnya kini berlari-lari anak, melayari bahtera ke mercu jaya dan
kompetitif di persada antarabangsa. Insya Allah, kita akan membentangkan enam
lagi bajet, sebelum negara ini dijulang menjadi sebuah negara maju
berpendapatan tinggi, pabila menyinsingnya fajar 2020, kira-kira tujuh tahun
lagi.
Tuan Yang di-Pertua,
229. Demi kepentingan rakyat, moga-moga bajet kali ini juga, menjadi bajet yang
disirami dan dilimpahi barakah yang tidak terhitung-hitung jumlahnya.
230. Akhir kalam, dalam segala kudrat manusia, kita telah berusaha sehabis
baik. Kepada Allah kita membuat segala penyerahan dan mengembalikan segala
urusan.Moga-moga Tuhan Yang Maha Berkuasa memberi selamat dan sejahtera kepada
Malaysia, zahir dan batin.
Tuan Yang di-Pertua,
Saya mohon mencadangkan.