Ahad, 21 Julai 2013

Program Menyantuni Anak-anak Yatim Sempena Ramadhan 1434H

"Barangsiapa yang memberi makanan berbuka puasa bagi orang yang berpuasa, baginya pahala yang semisal  orang yang berpuasa tersebut tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa tersebut sedikit pun" (HR: At Tarmidzi)

Mengambil iktibar dari hadis tersebut, tiga orang pensyarah IPG Kampus Tawau iaitu Ust Mohamad Ziyad bin Mukhtar, Ust Mohd Hasaidi bin Hassan dan En Mohd Zain bin Badui akan berlepas ke Banda Aceh Indonesia pada 24 hingga 28 Julai 2013 bagi menyampaikan sumbangan/infak oleh warga IPG Kampus Tawau sambil  berbuka puasa  bersama penghuni  beberapa buah rumah anak yatim terpilih di sana. Antara rumah-rumah anak yatim yang bakal kami lawati adalah seperti berikut :
  •        24 Julai 2013 -  Panti Asuhan Darul Aitam ( 20 orang anak yatim)
  •         25 Julai 2013 -  Panti Asuhan Baldatun Tayyibatun Wa Rabbun Ghafur (40 orang anak yatim) 
  •      26  Julai 2013 - Panti Asuhan Markaz Al -Abibiyah (150 orang anak yatim)
  •          27 Julai 2013 - Panti Asuhan Al- Jami’iyatul Wasaliyah (40 orang anak yatim).   

Mungkin timbul persoalan, mengapa Aceh menjadi pilihan sedangkan di Malaysia sendiri pun ramai yang  memerlukan bantuan.  Sebenarnya kami tidak meminggirkan saudara-saudara kita di Malaysia di mana 40 % daripada sumbangan yang kami terima akan disalurkan kepada saudara-saudara islam kita di Malaysia yang memerlukannya.  Sementara bakinya 60 % akan disalurkan kepada saudara-saudara islam kita yang memerlukan di tempat-tempat lain termasuklah di Aceh. Sesungguhnya kami terpanggil untuk memberi keutamaan yang lebih sedikit kepada Aceh kerana selepas musibah tsunami pada tahun 2004 di Banda Aceh sahaja terdapat lebih 300 buah rumah anak yatim  yang keadaannya serba kekurangan dan daif yang boleh meruntun hati kita. Di Malaysia pelbagai agensi samada kerajaan atau bukan kerajaan dan koperat,  bahkan ramai orang perseorangan sentiasa bersedia menghulurkan sumbangan kepada golongan yang kurang bernasib baik termasuklah anak yatim berbanding di Aceh atau tempat-tempat lain.  


Alhamdulillah kehidupan kita di sini amat selesa, jadi sewajarnya kita yang ada "kelebihan" membantu saudara seislam kita yang sangat memerlukan. Bagi sesiapa sahaja yang berhasrat hendak menitipkan sumbangan / infak kepada anak-anak yatim sempena bulan ramadhan yang penuh keberkatan dan kemuliaan ini bolehlah berhubung dengan Ust Mohamad Ziyad bin Mukhtar (012-5159420) atau Ust Mohd Hasaidi bin Hassan (013-5416993)..  Sesungghnya usaha kami ini adalah usaha yang sangat kecil untuk mendidik hati kita agar sentiasa lunak dan insaf terhadap nikmat yang Allah berikan kepada kita selama ini.  Mudah-mudahan sumbangan tuan/puan mendapat keberkatan dan ganjaran yang berpanjangan dari Allah SWT.

Rabu, 10 Julai 2013

Ahlan Wa Sahlan Ramadhan 1434H

Hari ini 10 Julai 2013, umat islam di Malaysia mula berpuasa. Alhamdulillah kita diberikan peluang dan kesempatan sekali lagi untuk bertemu ramadhan. Semoga ramadhan kali ini lebih baik daripada ramadhan yang lalu.


Jumaat, 19 April 2013

Mendepani Harapan Generasi Muda Dalam PRU 13

Parlimen telah dibubarkan, hari penamaan calon telah ditetapkan pada 20 April 2013 dan 5 Mei 2013 sebagai hari pembuangan undi. Biarpun waktu kempen secara rasmi sepatutnya bermula sebaik sahaja selepas penamaan calon tapi bahang kempen sudah terasa. Poster, bendera, banner dan bunting parti-parti yang dijangka akan bertanding telah dipasang di merata-rata tempat.  Ada parti yang telah berkempen berselindung disebalik majlis-majlis tertentu. Kekadang terasa ada kebenarannya ruang berkempen melalui media arus perdana untuk parti-parti yang mengambil bahagian dalam PRU  tidak seimbang malah tidak keterlaluan boleh dikatakan seperti didominasi oleh sesuatu parti sahaja. 

PRU pada 5 Mei 2013 ini adalah PRU yang ke 13, bermakna negara kita telah mengamalkan proses demokrasi ini sebanyak 13 kali untuk tempoh lebih 50 tahun. Warganegara Malaysia yang dilahirkan pada PRU yang pertama sudah tentu kini telah berusia melewati 50an dan tidak dapat dinafikan bahawa usia 50an  sepatutnya melambangkan kematangan berdasarkan pengalaman yang telah dilalui sejak sekian lama. Dengan kemudahan maklumat dihujung jari, bandingkanlah proses demokrasi negara kita dengan negara-negara lain samada di Eropah, Jepun, Korea Selatan atau dikalangan tetangga negara ASEAN.   Berdasarkan maklumat yang diperolehi, tidak sukar untuk membuat rumusan dan kesimpulan tentang rupa paras proses dan perjalanan demokrasi di negara kita.

Para pengundi yang buat pertama kali turun mengundi pada pilihanraya ini dianggarkan berjumlah melebihi 3 juta orang dan mereka adalah terdiri daripada anak-anak yang dilahirkan antara tahun 1988 hingga 1991. Mereka adalah generasi yang terdedah dengan pelbagai informasi yang boleh diperolehi melalui hujung jari dan mereka juga lebih hampir dengan media sosial berbanding dengan media tradisional. Oleh sebab itu tidak hairanlah golongan ini menjadi sasaran kepada parti-parti yang bermusuhan untuk mendapatkan undi mereka.

Sebagai generasi yang bermaklumat, mereka jauh lebih kritikal dan sinikal terhadap kenyataan dan pendekatan yang ditampilkan oleh parti-parti yang bertanding. Zaman sudah berubah apatah lagi dengan kemunculan media-media baru yang sangat hampir dengan kehidupan generasi muda. Justeru pendekatan dan strategi perlu berubah seiring dengan perubahan zaman. Percayalah pendekatan lapok seperti menyerang lawan tanpa memberi peluang kepada pihak lawan menjawab dan memberi penjelasan tidak akan berjaya menarik golongan muda memberi undi kepada mereka. Apa yang mereka mahukan proses demokrasi ini berjalan dengan telus,  adil dan saksama seperti  yang lazim dipraktiskan di negara-negara maju. Anak-anak muda mahukan liputan media yang seimbang kepada semua parti yang bertanding. Perdebatan tentang tawaran manifesto oleh parti-parti yang bertanding secara ilmiah dan matang tanpa membangkitkan elemen kebencian yang boleh merosakan keharmonian kehidupan rakyat.

Sesungguhnya amalan yang bercorak provokasi dan serangan peribadi akan dilihat oleh generasi muda sebagai amalan yang keji yang tidak mencerminkan kematangan ke arah sebuah negara maju berpendapatan tinggi.



Selasa, 5 Februari 2013

Ikon Varsiti 2012

Program Kembara Ramadhan 1433H Ke Aceh - "Kami Prihatin" oleh KPLI Mod KDC JAJ Ambilan Mei 2011 telah terpilih sebagai finalis Katagori Kemasyarakatan Luar Negara. Disamping  lawatan 'benchmarking" ke beberapa buah institusi pendidikan kami juga turut mengadakan program kemanusiaan dengan menyantuni anak-anak yatim di tiga buah rumah anak yatim di sekitar Banda Aceh.

Biarpun keputusan yang diumumkan pada 25 Januari 2013 lalu sekadar menyaksikan kami hanya mampu memperolehi tempat ke 3 tetapi pencapaian tersebut amatlah membanggakan sebagai satu permulaan yang sangat memberangsangkan. Sesungguhnya pengalaman sebagai pemenang tempat ke tiga ini amat berguna dan menjadi perangsang kepada program-progaram yang bakal kami laksanakan pada masa akan datang.
Kejayaan ini adalah kejayaan semua pihak yang telah bersusah payah dan berkorban smada wang ringgit dan masa bagi menjayakan program tersebut.

Jumaat, 23 November 2012

Kenangan Indah Nuzul Quran 1433H di Bumi Aceh

Pada 3 - 6 Ogos 2012 yang lalu, seramai 53 orang yang terdiri daripada Pensyarah dan Guru Pelatih Kursus Perguruan Lepasan Ijazah Mod Kursus Dalam Cuti Guru SM Agama / SM Arab Jabatan Agama Johor Ambilan Mei 2011 di Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim, Johor Bahru telah mengadakan Program Kembara Ramadhan 1433H ke Aceh.

Disamping melawat institusi pendidikan seperti Pusat Peningkatan Mutu Guru, Sekolah Olahraga dan Pesantren Ruhul Islam dan tempat-tempat bersejarah kesan tsunami, kami juga berkesempatan menyantuni  anak-anak yatim di 3 buah rumah anak yatim di sekitar Banda Aceh iaitu Panti Asuhan Media Kasih, Panti Asuhan Muhamadiah dan Rumah Anak Yatim Johor di Aceh.

Pada program kali ini kami sangat bertuah kerana berpeluang merasai sendiri suasana majlis ilmu sempena sambutan nuzul quran yang diadakan di Masjid Baitul Rahman. Penceramah undangan, Sheikh Jabir Imam Masjid Nabawi yang begitu fasih berbahasa Indonesia, syarahan beliau sarat dengan ilmu begitu meruntun jiwa dan menyentuh perasaan ribuan jemaah yang hadir. Apa yang membanggakan di sini segenap ruang dan pelosok samada di dalam bangunan masjid atau luar masjid dipenuhi oleh para jamaah yang majoritinya orang muda. Sesuatu yang jarang dan agak asing di tempat kita.

Syarahan Sheikh Jabir telah saya upload di youtube sebanyak 4 bahagian. Semoga dapat dimanfaatkan bersama
Part 1 boleh disaksikan di sini
Part 2 klik di sini
Part 3 di sini
Part 4 klik di sini



Isnin, 15 Oktober 2012

Ibadah Korban Tahun 1433H

Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada rakan-rakan warga IPG KTI (sekadar menyebut beberapa nama spt Tn Hj Md Nordin bin Monel, En Abd Jalil bin Md Yunos, En. Arshad bin Ismail, Hjh Repiah bt Singah, Pn Roziah bt Abu Samah, Hj Yusof bin Osman, En Suleiman bin Yunos, Hj Tormadi bin Jono, En Muhamad Syafiq Sim, Hjh Rukiah bt Ahmad Tabon, En Mohd Nor Thani, Pn. Rashidah bt Shuib, En Mohd Jasa bin Siraj, Hj Norhizan bin Zainol, En Zainal bin Mohd Amin, Hjh Norani bt Ali, Hj Baharum Sulman, Hj Abu Hurairah b Abd Razak, Mohd Farid bin Salleh dll ) yang hampir setiap tahun sejak tahun 2002 menyertai ibadah qurban anjuran JK Masjid Parit Kahar & Persatuan Khairat Kematian Parit Kahar.

Kepada rakan-rakan warga IPG KTI yang bertanya dan berminat untuk menyertai ibadah korban anjuran JK Masjid Parit Kahar & Persatuan Khairat Parit Kahar, kami memohon maaf kerana pada tahun ini kami tidak membuka penyertaan kepada penduduk luar kariah Parit Kahar. Malah bilangan ternakan(lembu) untuk ibadah korban pada tahun ini di Parit Kahar juga kami hadkan.  Berdasarkan pengalaman sejak dua tahun kebelakangan ini kami menghadapi masaalah untuk mengagihkan daging korban kepada penerima yang sepatutnya. Oleh yang demikian pada tahun ini kami telah mengubah strategi dimana 70 % penyertaan, kami laksanakan di Kemboja.

Insyallah pada 26 Oktober 2012 ini saya akan bertolak ke Phnom Pen bagi menyertai Program Ibadah Korban anjuran Kolej Matrikulasi Johor. Peluang yang diberikan oleh Kolej Matrikulasi Johor kepada saya akan saya gunakan sepenuhnya untuk menimba pengalaman yang seluas-luasnya semasa di sana nanti sebagai persediaan untuk saya menguruskan program seperti ini pada tahun hadapan. Insyallah pada tahun hadapan saya bercita-cita untuk memimpin saudara-saudara saya dari Kariah Parit Kahar dan sekumpulan pelajar saya yang terpilih dari IPG KTI untuk melakukan ibadah Korban di Kemboja.

Bagi rakan-rakan/kenalan dan saudara mara saya yang berhajat untuk menitipkan kepada saya ibadah korban di Kemboja pada tahun ini sila hubungi saya dengan kadar seberapa segera. Satu bahagian korban/aqiqah berharga RM250. Penyertaan dibuka hingga 17 Oktober 2012.

Semoga amal ibadah korban kita pada tahun ini diterima Allah dan mudah-mudahan usaha kita yang sekecil ini dalam membantu rakan-rakan melakukan ibadah korban diberikan oleh Allah ganjaran kepada kita berupa kebajiakan, kebaikan, keselamatan, keberkatan dan keredhaan yang berpanjangan dari dunia hingga akhirat.

     




Sabtu, 28 Julai 2012

Kembara Ramadhan 1433H - "Kami Prihatin" Menyatuni Anak-Anak Yatim Aceh



"Barangsiapa yang memberi makanan berbuka puasa bagi orang yang berpuasa, baginya pahala yang semisal orang yang berpuasa tersebut tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa tersebut sedikit pun" (HR : At Tirmidzi).

Berdasarkan hadis tersebut, kami seramai 50 orang yang terdiri daripada pensyarah dan guru pelatih Kursus Perguruan Lepasan Ijazah Mod Kursus Dalam Cuti JAJ Ambilan Mei 2011 IPG Kampus Temenggong Ibrahim, Johor Bahru akan mengadakan Program Kembara Ramadhan 1433 - Menyantuni Anak-anak Yatim di Aceh, Indonesia pada 3 - 6 Ogos 2012.

Kami terpanggil memilih Aceh kerana selepas musibah tsunami 2004, di Banda Aceh sahaja terdapat 300 buah rumah anak yatim yang agak serba kekurangan yang memerlukan keprihatinan kita sebagai saudara seislam.

Insyallah sepanjang program tersebut kami akan menyantuni anak-anak yatim di tiga buah rumah anak yatim di sekitar Banda Aceh  seperti berikut:

i . 3 Ogos 2012 - Panti Asuhan Anak Yatim Johor, Jln Tengku No 1, Jeumpet Ajun, Banda Aceh
ii. 4 Ogos 2012 - Panti Asuhan Muhamadiah, Jln Punge Belangcat, Banda Aceh.
iii. 5 Ogos 2012 - Panti Asuhan Media Kasih, Jln Glee Guruh, No 5 STUI, Banda Aceh.

Kami sangat mengalu-alukan sumbangan saudara-saudari untuk disalurkan terus ke rumah anak-anak yatim tersebut. Sumbangan tersebut hendaklah di bank inkan atas nama BADAN KEBAJIKAN KPLI KDC JAJ melalui No Akaun: 01050010027653, Bank: Bank Islam Malaysia Berhad. Bukti sumbangan saudara/saudari yang mengandungi butiran seperti jumlah sumbangan, tarikh dan masa hendaklah dihantar melalui sms  kepada Ust Hj Hidhir bin Ismail(+60137529920) atau Ust Hj Mohd Nahi bin Abdullah (+60192819922 ) atau email mohdzainbadui@hotmail.com.