Rabu, 21 Oktober 2020

Amalan Harian Terbaik Untuk Penghormatan Idea Dan Pandangan

 

Sekadar perkongsian amalan terbaik agar mendapat penghormatan atas idea dan pandangan

1. Baca Surah AlFateha 7 kali



2. Baca Ayat Kursi 21 kali


3. Baca zikir Allahu Kafi 7 kali


Selamat beramal.
Terima kasih Puan Hasimah Kasim






Khamis, 26 Mac 2020

COVID 19: PESANAN DAN RAYUAN BUAT WARGA IPG KAMPUS TEMENGGONG IBRAHIM

Pendamik ini adalah sesuatu yang tidak pernah terjangkau oleh akal fikiran kita yang boleh melumpuhkan  ekonomi di seluruh dunia. Banyak negara yang terkesan dengan pendamik yang telah mengorbankan ratusan ribu jiwa. Jalan yang terbaik bagi kita adalah patuhi SOP dan nasihat oleh pihak berkuasa. 

Isnin, 24 Februari 2020

CIKGU ZIE @ HAZIAH


Disapa oleh bekas anak-anak murid adalah momen yang sangat indah yang membuat hati seorang guru berbunga-bunga. Mujur tiada yang perasan aku tersenyum-senyum bersendirian hingga ke cuping telinga. Secara spontan air mata pula turut tertumpah. Punyalah rasa seronok, teruja, megah hingga terasa macam terawang-awang di udara. Perasaan tersebut tidak boleh digambarkan dengan kata-kata. Hanya mereka yang pernah melalui pengalaman seperti yang aku alami sahaja yang dapat memahaminya.  Bangga dan terharu . Sebenarnya  sapaan daripada anak-anak murid adalah hadiah yang paling istimewa dan sangat berharga yang tiada nilai tara bandingannya buat seorang guru. Justeru, aku tidak pernah menyesal menjadi seorang guru. 

Lebih istimewa lagi, kalau yang  "menyapa" adalah bekas pelajar yang terkenal  dengan aksi nakal yang menghuru-harakan sekolah hingga bikin semua warga sekolah termasuk Pengetua, GPK HEM dan Guru Disiplin tidak senang duduk.  Sapaan mereka yang kita tidak sangka pada ketika ini sudah ‘menjadi orang”  akan membuat dada kita terasa beralun berombak menahan sebak dan tanpa disedari  sepasang mata pinjamanNya seperti dimasuki habuk.. Allahu Akbar !!! Lantaran itu jangan terlalu pantas dan memuktamadkan melabel, menghukum dan memandang rendah seseorang.  Sejarah tidak boleh diubah. Sekadar menyebut beberapa nama sebagai contoh, antaranya Syaidina Umar Alkhatab R.A adalah antara penentang keras Nabi Muhamad SAW tetapi akhirnya menjadi bapa mertua baginda  dan antara 20 orang sahabat yang dijamin masuk syurga.  

Lazimnya guru akan mengingati murid-muridnya yang dalam kategori maqam “melampau”. Berdasarkan pengalamanku ada tiga  maqam melampau; yang pertama maqam melampau kepandaian dan kecerdikannya. Kedua maqam nakal yang melampau dan yang ketiga maqam pendiam dan pemalu yang melampau tetapi cerdik.  Semenjak ada FB aku telah diketemukan dengan bekas anak-anak muridku dari pelbagai batch dan pelbagai maqam yang sudah puluhan tahun terpisah.

Pada 28 Jan yang lepas aku disapa oleh seseorang melalui whatsapp yang nombornya tiada dalam simpanan contact listku.  “Assalamualaikum cikgu. Apa khabar cikgu?” Mujur sapaannya mengandungi perkataan “cikgu” yang menjadi “indicator” bahawa yang menyapaku adalah bekas anak muridku semasa aku mengajar di Pekan, Pahang. Cumanya aku tidak pasti batch SPM tahun bila, Agak lama juga aku merenung dan mengamat-amati gambar profile whatsapp yang menyapaku. Lebih 95 % aku yakin bahawa yang menyapaku adalah Saripah Haziah binti Syed Hassan, yang pernah aku ajar sabjek sejarah pada akhir tahun 1980an.


Puan Saripah Haziah @ Cikgu Zie selepas konvokesyen MPTI 1997


Puan Saripah Haziah @ Cikgu Zie bersama-sama rakan sekuliah 

Setelah aku benar-benar yakin lalu aku pun menjawab “Wkmslm. Saripah Haziah binti Syed Hassan.  Batch SPM 1989 kan?”.  Ternyata tekaanku benar dan tepat sekali.  Sebenarnya Haziah (panggilan masa aku mengajar dahulu) agak terkejut  dan tidak sangka kerana aku masih mengingantinya walaupun lebih 20 tahun  tidak pernah berjumpa. Selanjutnya Haziah bertanya lagi, “camana cikgu boleh tahu”?. “Saya bela hanturaya”, jawabku ringkas secara berseloroh  Aku tidak menjelaskan lebih lanjut yang aku sebenarnya telah melihat gambar profilenya terlebih dahulu. Saiz dirinya macam budak-budak sekolah menengah tidak banyak berubah maka tidaklah sukar bagiku mengecam dan mengingatinya.

Sebenarnya Saripah Haziah ini adalah salah seorang bekas anak muridku dalam kategori maqam melampau kategori yang ketiga iaitu pendiam dan pemalu tetapi cerdik. Bukan aku seorang yang perasan begitu, guru-guru lain pun turut perasan sama tentang “kepemaluan”  Haziah.   

Sebagai ketua guru disiplin, menjadi rutin aku akan tercegat di pintu utama sekolah  sebelum pukul 7.00 pagi. Amalan ini adalah sebahagian daripada kaedah memberikan sokongan moral kepada pengawas yang bertugas di situ dan seterusnya bagi memastikan segala perturan dipatuhi dan tiada pengawas yang kena buli. Kebanyakan pengawas lelaki tingkatan 3 dan 4 agak seriau bertugas di pintu pagar  utama kerana sering diusik-usik nakal oleh segerombolan kakak senior yang ke sekolah berjalan kaki.  Walaupun Haziah pergi sekolah berjalan kaki tetapi Haziah tidak terbabit dengan gerombolan pelajar perempuan senior yang agak nakal, yang suka menyakat pengawas lelaki junior.  Dalam kalangan pelajar perempuan  tingkatan 4 dan 5 yang ke sekolah berjalan kaki  hanya Haziah seorang sahaja  yang berjalan sopan santun  begitu tertib sekali.  Mungkin Haziah terdidik  begitu. Aku jarang menegurnya di luar kelas kerana kesihan Haziah ni pemalu orangnya dan mudah  tersipu-sipu.

Walaupun Haziah seorang pelajar yang agak pendiam tetapi rajin dan tekun. Kerja-kerja sekolah dan latihan yang diberi untuk sabjek yang aku ajar dan sabjek-sabjek lain tidak pernah tidak siap. Tulisannya cantik dan mudah dibaca. Ramai juga rakan sekelasnya  yang aku kutuk, “harap je hensom dan cantik tapi tulisan hodoh” sambil aku lontar skrip jawaban atau buku latihan mereka. Kalaulah pada waktu itu sudah ada media sosial pasti aku sudah famous kena viral.

Susah nak dengar suara Haziah. Sesekali sambil menyoal, aku mengusik dengan menggelarnya gadis pingitan.  Masih segar dalam ingatanku kalau kena soal Haziah tersipu-sipu malu. Meskipun kelihatan pendiam dan pemalu tetapi jawaban-jawaban latihan, ujian dan peperiksaan bertulis memperlihatkan kematangannya menyampaikan idea, membuat ulasan, merumus dan berhujah. Ujian bulanan, penggal, pertengahan tahun dan percubaan, Haziah adalah antara yang menunjukan pencapaian prestasi cemerlang yang konsisten. Haziah antara pelajar yang disasarkan menjadi calon harapan sekolah dalam peperiksaan SPM pada waktu itu.  Begitu juga dalam sabjek sejarah yang aku ajar  Haziah adalah salah seorang yang menjadi ayam tambatanku.

Pernah juga terfikir untuk membantu pelajar-pelajar yang agak “penyegan” dan “pemalu” yang berpontensi memperolehi keputusan SPM yang cemerlang seperti Haziah membina keyakinan diri sebagai bekalan  melanjutkan pelajaran diperingkat yang lebih tinggi.  Namun fokus  pdp  pada waktu itu adalah menghabiskan silibus dan “drilling” untuk peperiksaan. Kehebatan seseorang guru yang mengajar tingkatan 5 pada waktu itu diukur melalui pencapaian dari segi kuantiti dan kualiti sabjek yang diajarnya dalam peperiksaan SPM.   

Selepas Haziah tamat persekolahan tingkatan 5 dan meneruskan pengajian tingkatan 6 di SMK Ahmad aku tidak pernah berjumpanya lagi  walaupun rumah keluarganya tidak berapa jauh dengan sekolah tempat aku mengajar.

Sekitar tahun 1995 kami dipertemukan semula, kali ini  di Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Bahru.  Pada waktu itu aku sebagai Setiausaha Peperiksaan sementara Haziah sebagai guru pelatih. Oleh kerana aku tidak mengajar, tidak menyelia praktikum dan tidak terlibat dengan kegiatan kokurikulum maka aku tidak berpeluang berinteraksi dengan guru pelatih. Jarang kami berpeluang bertemu. Kalau ada pun secara kebetulan, kami terserempak di kafe atau di Pusat Sumber.  Berdasarkan pemerhatianku dari jauh,  sudah ada kemajuan besar pada diri Haziah iaitu tidak lagi malu-malu,  ceria boleh bergurau senda dengan teman-teman guru pelatih sekuliah dan pergerakannya pun pantas cergas. Maknanya Haziah di MPTI bukan lagi Haziah gadis pingitan SMK Dato Mahmud Mat.

Sebagai orang yang bertanggungjawab menguruskan peperiksaan aku boleh mengakses markah peperiksaannya pada setiap semester.  Kalau tidak silap, opsyen pengajiannya adalah yang paling ramai, lebih 100 orang guru pelatih dan  Haziah antara guru pelatih dalam kelompok top ten.  Sayangnya pada waktu itu tiada Anugerah Pengarah. Kebetulan semasa aku menguruskan keputusan akhir batch Haziah dengan menggabungkan keputusan peperiksaan semester-semester sebelumnya aku dapati  seakan-akan ada keganjilan markah peperiksaan semester 3 bagi beberapa orang guru pelatih termasuk Haziah.  Aku tidak nafikan, mungkin ada kesilapan cara aku berkomunikasi yang telah membawa salah faham kepada pelbagai pihak yang terlibat. Walaupun insiden tersebut sangat pahit tetapi tanpa disedari terselit pelbagai hikmah dan pengajaran yang sangat berguna untuk dijadikan panduan pada masa hadapan.

Setelah tamat pengajiannya  di MPTI pada tahun 1996,  aku tidak tahu Haziah posting dimana dan semenjak itu aku tidak tahu khabar beritanya  Setelah lebih 24 tahun, tetiba pada 28 Jan yang lalu Haziah menyapaku melalui whatsapp. Jujur aku mengakui yang aku sangat terharu dan amat bersyukur yang aku masih diingati oleh bekas anak-anak muridku.

“Cikgu, boleh panggil saya Zie, kawan-kawan semua panggil Zie, yang muda-muda panggil Kak Zie", Zie sekarang tidak lagi pemalu seperti dahulu, Zie sekarang sudah pandai bercerita panjang”. Itulah ungkapan kata-katanya selepas dia menjawab beberapa pertanyaanku tentang famili dan kerjayanya.

Berbagai cerita hasil daripada pengalamannya mengajar di kawasan Hulu Terengganu dikongsikan kepadaku dengan olahan bahasa yang tersusun  indah dan plot yang menarik, yang membuat aku sering tersenyum sendirian geli hati bila aku terkenangkan cerita-ceritanya.

“Bank”, adalah  cerita pengalaman lucunya yang digarab dengan unsur berteka-teki yang mencabar mindaku agar terus mencuba  mencari jawaban. Menurutnya lagi ‘bank’ bagi masyarakat di tempat beliau mengajar adalah tidak sama dengan apa yang kita fahami selama ini. Ini yang membuat aku  menjadi semakin bertambah “curious” dan “excited” untuk terus mencuba mencari jawabannya. Lalu berbagai dan bermacam tekaanku pasal “bank”. Semua jawabanku tersasar, sipi-sipi pun tidak!!!  Dipendekan cerita,   memang benarlah seperti pengakuannya bahawa “Zie sekarang tidak lagi pemalu seperti dulu dan kini sudah pandai bercerita panjang”.  

Cikgu Zie @ Haziah sedang mengacarakan majlis



Cikgu Zie bersama rakan setugas 

Jika dikenang kembali masa aku mengajarnya lebih 30 tahun dahulu aku seperti tidak percaya apabila Haziah memberitahuku yang dia sering ditugaskan sebagai mc. “Biar betul ??”, sengaja aku mengusiknya. Untuk menyakinkanku, sebuah audio dan video (KLIK DI SINI) yang beliau menjadi mc telah dihantar  kepadaku. Wowww, suaranya ada pakej mc professional !!!. “itu suara saya batuk dan selsema”, selorohnya.  Bagus sekali gaya pengucapannya, temponya kena dan bersesuaian, betul  dan tepat intonasinya. Terus terang aku begitu kagum dengan  minat dan kesungguhannya bagi meningkatkan kualiti dan performancenya.  “Cikgu jangan tak percaya, Zie join kursus anjuran Pak Nil (Aznil Hj Nawawi) tau, bayar mahal sikit tak apa  sebab Zie memang minat, Zie tak suka buat kerja sekadar melepas batuk di tangga, saya mahu yang terbaik sebagai balasan kepada orang yang memberi kepercayaan kepada Zie”, ujarnya.  Aku yakin Haziah boleh pergi jauh lagi dengan kesungguhan dan bakat yang dimilikinya.

Berdasarkan cerita-cerita yang dikongsikan kepadaku, ternyata Haziah seorang yang cekal, gigih, kuat semangat dan tidak mudah mengaku kalah. “Zie sambung buat degree di USM,  agak lewat, dah berumur dan dah ada 2 orang anak, masa tu arwah abah dan arwah umi masih ada lagi tapi agak uzur. Hujung minggu kalau tiada kuliah dan tiada kerja atau aktiviti sekolah saya balik  Pekan ziarah abah dan umi. Kalau suami sibuk, balik Pekan Zie drive bersama dengan anak-anak ”. Ujarnya.  “Bukannya jauh pun Kuala Terengganu ke Pekan, tak sampai tiga jam”.  Saja jer aku mengusik.  Dengan pantas Haziah menjawab, “masa second year, Zie pregnant 6 bulan, drive  manual bertemankan seorang kawan , suami mahu menghantar, tapi Zie yakinkan suami,  Zie boleh drive sendiri. 9 jam dari KT ke USM, lalu Lebuhraya Timur Barat”.  Terdiam dan tersentak aku!!!. Dahlah si Haziah ni badan kecik sarat mengandung, drive kereta manual  pulak tu, bukan 1 atau 2 jam tapi 9 jam. Lalu hutan belantara, ngeri aku mahu membayangkan jika berlaku sesuatu yang tidak diingini. Andainya ditanya apa pandanganku. Jawabanku, gila!!!!

Bukan calang-calang orang bekas anak muridku yang sorang ini. Menurutnya  belajar adalah suatu proses mematangkan diri secara berterusan selagi hayat masih dikandung badan. Lewat adalah lebih baik daripada langsung tidak berbuat sesuatu. “Zie sambung belajar dalam usia yang agak berusia dengan pelbagai komitment kerana Zie mahu menjadi suri teladan kepada anak-anak Zie kelak. Komitmen terhadap tugas di tempat kerja, pasangan, anak-anak dan ibubapa tidak boleh dijadikan alasan sebagai hambatan untuk melanjutkan pelajaran.  Perubahan datang dari diri kita sendiri”. Ujarnya dengan penuh bersemangat.

“Maaf cikgu, Zie kena minta diri dulu ya, malam ini Zie ada tuisyen. Ini link YOUTUBE  Bila-bila cikgu lapang, cikgu tengok tau. Pastu cikgu bagilah komen”. Pesan Haziah sebelum mengakhiri sembang whatsapp kami. Pesanannya telah mengundang rasa tertanya-tanya dan ingin tahu. Tidak sabar jadinya untuk menonton youtube melalui link yang diberikan oleh Haziah.

Selepas solat maghrib aku buka youtube melalui link yang diberikan. Dua kali aku buka. Kali yang pertama aku buka youtube itu dalam keadaan mindaku masih berada di tahun 1989 dengan tanggapan Haziah seorang gadis pingitan yang pemalu dan pendiam.  Wooooo!!! Itulah komenku selepas kali kedua aku menyaksikan youtube tersebut.  Berbakat berlakon rupanya Cikgu Zie @ Haziah.

Syukur kepada Mu Ya Rabb atas nikmat dan kesempatan yang Kau berikan kepadaku. Sesungguhnya akulah guru yang paling bertuah kerana dapat menyaksikan anak muridku yang bernama Saripah Haziah binti Syed Hassan dalam tiga situasi masa yang berbeza untuk tempoh masa yang panjang melebihi 30 tahun. Aku terlibat mengajarnya di sekolah menengah, aku dapat juga menyaksikan perubahan semasa Haziah sebagai guru pelatih  dan yang terkini aku dapat menyaksikan  Cikgu Haziah sebagai seorang guru yang serba boleh. Benarlah seperti yang dikatakannya bahawa perubahan datang dari diri kita sendiri.

Akhir kalam, terima kasih Cikgu Zie @ Haziah kerana menjadi seorang murid yang sangat baik yang  sentiasa mengingati gurunya. Semoga atas sebab itu  Cikgu Zie akan sentiasa dikenang, diingati, disayangi dan disanjungi oleh anak-anak didiknya dari dunia hingga ke akhirat, insha Allah.

#muridyangbaik

#transformasidiri

Nota : Catatan ini adalah daripada sisi pandang seorang guru terhadap bekas muridnya



Isnin, 10 Februari 2020

9 Februari 2020 : 21 Tahun Berlalu Seperti Baru Kelmarin

21 tahun berlalu begitu pantas.  Rasa terkejut, sedih, pilu dan terkilan masih lagi segar dalam ingatan. Rindu yang dilalui sepanjang tempoh itu tidak pernah bertepi. Selalu berhajat akan diketemukan dalam mimpi tidak pernah kesampaian. Di Mekah dan Madinah sekalipun hajat agar dimimpikan masa berikhtiqaf sambil menantikan untuk bangun qiam juga tidak pernah berhasil. 

Setiap kali lagu nasyid bertajuk  "Pelita Hidup" nyanyian asal oleh Okestra Al Suraya dari Medan yang diberi nafas baharu oleh kumpulan Hijaz berkumandang pasti akan meruntun hati dan menumpahkan air mata.  Idzwan yang pada waktu itu berusia 3 tahun yang tidak mengerti apa-apa antara yang berada di sisi pun insha Allah tinggal beberapa bulan lagi akan tamat pengajian perubatannya.

Semoga Allah SWT sentiasa melimpahi rahmat, keampunan dan menjadikan kubur Allahyarham Hj Badui @ Mohamad bin Hj Nawawi sebahagian daripada taman-taman syurgaMu.

اللّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ وَاَكْرِمْ نُزُلَهُ وَوَسِّعْ مَدْخَلَهُ وَاغْسِلْهُ بِلْمَاءِ وَالشَّلْجِ وَالْبَرْدِ وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الْاَبْيَضُ مِنَ الدَّ نَسِ وَاَبْدِلْهُ دَارً اخَيْرًا مِنْ دَارِهِ وَاَهْلًا خَيْرًا مِنْ اَهْلِهِ وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ وَادْخِلْهُ الجَنَّةَ وَاعِذْهُ مِنْ عَدَابِ الْقَبرِ وَفِتْنَتِهِ وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ

Ya Allah, ampunilah dan rahmatilah, bebaskanlah, lepaskanlah kedua orang tuaku. Dan muliakanlah tempat tinggalnya, luaskanlah jalan masuknya, bersihkanlah kedua orang tuaku dengan air yang jernih dan sejuk, dan bersihkanlah kedua orang tuaku dari segala kesalahan seperti baju putih yang bersih dari kotoran.
Dan gantilah tempat tinggalnya dengan tempat tinggal yang lebih baik daripada yang ditinggalkannya, dan keluarga yang lebih baik, dari yang ditinggalkannya juga. Masukkanlah kedua orang tuaku ke surga, dan lindungilah dari siksanya kubur serta fitnahnya, dan siksa api neraka"
NASYID PELITA HIDUP

Isnin, 20 Januari 2020

Dikaulah cinta hatiku..

Coretan ini sebagai mengenang 25 tahun keterlibatan dalam pendidikan guru

Ahad, 19 Januari 2020

5 Hak Muslim keatas Muslim Lain; Kita di mana ?

Hari ini Ahad 19 Januari 2020 bersamaa 22 Jamadil Awal 1441

                      بَلِّغُوا عَنِّى وَلَوْ آيَةً
“Sampaikanlah dariku walau hanya satu ayat” (HR: Bukhari)

Hak seorang Muslim terhadap seorang Muslim yang lain ada lima iaitu menjawab salam, menziarahi yang sakit, mengiringi jenazahnya ke perkuburan, menerima undangan dan mendoakan orang yang bersin.” (HR : Bukhari dan Muslim)

Hadis tersebut menuntut kita untuk menginsafi sejauhmana kita sebagai seorang muslim memenuhi hak saudara muslim kita yang lain. Kesibukan urusan kerja seringkali menghambat untuk kita menziarahi jiran tetangga, rakan-rakan dan saudara-saudara kita yang sedang sakit kampung. Generasi lama yang sekadar secukup hidup tetapi kaya dan pemurah dalam memenuhi hak ke atas saudara islam yang lain. Di kampung-kampung pada zaman dahulu sekitar tahun 1970an, amalan menziarahi orang sakit selepas waktu asar mekar subur.

Amalan terpuji yang sangat dituntut oleh agama semakin lama semakin pudar biarpun tahap pendidikan orang muslim di Malaysia semakin meningkat.  Jadi kita kena hidupkan kembali amalan terbaik dalam masyarakat kita yang sememangnya amat dituntut oleh islam. Ayuh kita yang memulakannya dahulu, selepas itu kita ajak keluarga kita......

Sekadar hiasan : Pensyarah menziarahi pelajarnya yang terlantar di hospital

Sabtu, 18 Januari 2020

Solat Sunat Witir Merentasi Kefahaman dan Kebiasaan

Hari ini Sabtu 18 Januari 2020 bersamaa 21 Jamadil Awal 1441

Jumaat, 17 Januari 2020

Day 3 : Pekan Baru, Sumatera, Indonesia

Hari ini Jumaat 17 Jan 2020 bersamaan 20 Jamadil Awal 1441

Khamis, 16 Januari 2020

Day 2 : Pekan Baru

Hari ini Khamis 16 Jan 2020 bersamaan 19 Jamadil Awal 1441H

Rabu, 15 Januari 2020

Day 1 : Pekan Baru Indonesia

15 Januari 2020 bersamaan 18 Jamadil Awal 1441

Jam 7.40 pg bertolak dari KLIA2

Selasa, 14 Januari 2020

Perrggghhhhh....Sedekah Subuh Yang Sangat Power : Jangan dibiarkan terlepas!!!

Hari ini Selasa 14 Januari 2020 bersamaan 17 Jamadil Awal 1441

                      بَلِّغُوا عَنِّى وَلَوْ آيَةً

“Sampaikanlah dariku walau hanya satu ayat” (HR: Bukhari)



Pagi tadi balik daripada solat subuh, bila saya buka hand phone saya mendapat kiriman video yang sarat dengan ilmu yang bermanfaat daripada bekas pelajar saya semasa saya mengajar di SMK Dato Mahmud Mat, Pekan, Pahang. Video syarahan oleh Sheikh Ali Jaber mantan imam Masjid Nabawi, Madinah yang fasih berbahasa Indonesia tentang kehebatan dan keistimewaan amalan bersedekah pada waktu subuh. Saya kongsikan video tersebut di sini dengan kepercayaan akan membawa manfaat kepada sesiapa jua yang menyaksikannya dan insha Allah akan memanjangkan pahala kepada bekas murid saya Puan Hasimah Kasim yang mengirimkan video tersebut kepada saya.  



Syarahan Sheikh Ali Jaber berkaitan dengan hadis berikut :
Dari Abu Hurairah RA sesungguhnya Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidak ada satu subuh pun yang dialami hamba-hamba Allah kecuali turun kepada mereka dua malaikat. Salah satu di antara keduanya berdoa: “Ya Allah, berilah ganti bagi orang yang berinfaq”, sedangkan yang satu lagi berdo’a “Ya Allah, berilah kerosakan bagi orang yang menahan (hartanya)” (HR : Bukhary)  

Jom sahabat-sahabat kita membudayakan amalan bersedekah pada waktu subuh secara istiqamah

Jutaan terima kasih diucapkan kepada Puan Hasimah Kasim atas titipan video tersebut. Titipan video tersebut telah mengusik hati ini mengimbau nostalgia zaman kanak-kanak. Tahun 1970an masa saya masih bersekolah rendah saya selalu berdoa agar hari khamis dan jumaat hujan selebat-lebatnya. Kenapa khamis dan jumaat? Ini kerana, kalaulah hari khamis hujan selebat-lebatnya maka pada hari jumaat menjadi hari yang sangat berbahagia, tidak perlu bangun awal ikut bapa menoreh getah. Keadaan yang sama pada hari sabtu kalau petang jumaat hujan lebat.  

Apa yang saya harapkan lain jadinya, memang ler tidak ke kebun getah kerana pokok getah basah tapi arwah bapa tetap kejutkan bangun awal diajak ke masjid untuk solat subuh berjemaah. Aduhhhhhhh!!!! Sebagai anak bongsu  dengan usia arwah bapa yang pada waktu itu sudah melewati 60an saya memiliki kuasa tawar menawar yang akan membuat arwah bapa terpaksa akur. Biasanya arwah bapa akan umpan 10 sen. Niali 10 sen besar pada waktu itu.   
  
Arwah bapa akan bagi dua keping coin 10 sen dengan pesanan 10 sen dimasukan dalam tabung masjid dan 10 sen lagi walaupun arwah bapa tidak cakap apa-apa tapi saya faham adalah untuk saya. Hmmm...saya kelepet semua !!! Tidak pernah pun dimasukkan tabung masjid sebagaimana yang diamanahkan. Arwah bapa main percaya jer tidak pernah bertanya. 

Dipendekan cerita, sampailah ketika saya sudah hampir jadi orang, masa "badhan" (istilah jawa merujuk kepada acara memohon maaf selepas solat sunat idil fitri) saya memohon maaf dengan menyenaraikan kesalahan-kesalahan lampau termasuk kelepet duit yang diamanahkan masuk tabung masjid masa subuh. Arwah bapa sebut "aku tau", "bapak dah maafkan".  Yang lebih meng"haru"kan apabila arwah bapa sebut bahawa beliau mengetahui perbuatan saya meng"kelepet" dan berbagai-bagai akal saya yang lain. Beliau menambah, "kan dalam quran dah sebut yang anak-anak adalah menjadi cubaan". Saya percaya beliau merujuk ayat 15 Surah At Taghabun yang bermaksud, "Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah cubaan bagimu, dan disisi Allah  pahala yang besar".  

Menurutnya lagi, "bapak kena ganda-gandakan "tirakat" (bermaksud berdoa dengan diiringi amalan-amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah seperti puasa sunat, membaca Al quran, berzikir, solat hajat, qiamulail dsbnya) supaya satu hari nanti Allah bukakan hati anak bapak".  Ayat yang bikin bertambah sentap, "bapak kena redha Allah bagi bapak anak yang  "mbedik" (bermaksud nakal); bila bapak redha dan sabar bapak dapat pahala", seterusnya ada hikmahnya,  Allah nak bapak banyak berdoa". Allahu.....
Terima kasih bapak didik dan asuh amalan bersedekah pada waktu subuh sejak saya kanak-kanak lagi walaupun tidak pernah diterangkan fadhilatnya dengan sokongan dalil-dalil.....

Semoga  roh Allahyarham Haji Badui @ Mohamad bin Hj Nawawi dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solehin.                                                                

  

Isnin, 13 Januari 2020

Tidak Menanam Mana Mungkin Panin

Hari ini Isnin 13 Januari 2020 bersamaan 16 Jamadil Awal 1441

Teringat masa zaman saya remaja sedang nakal

Corat-coret 13 -16 Disember 2019

Hari ini 13 Januari 2020 bersamaan 16 Jamadil Awal 1441


Sebulan yang lalu iaitu pada 13 - 16 Disember 2019 Alumni Seri Temenggong telah mengadakan Program Bimbingan Asas Kemahiran Berdikari atau BAKDI kusus untuk anak-anak yatim di Daiyah Syamsul Fata dan Dayah Madani Aziziyah Banda Aceh.  Program ini sebagai persediaan mengharungi kehidupan di alam terbuka kepada anak-anak yatim yang akan meninggal asrama anak yatim sebaik sahaja tamat persekolahan mereka pada akhir bulan Disember.  Mereka diberi bimbingan  penyediaan makanan yang boleh dikomersialkan dan pemasaran menggunakan media sosial. 
Tuan Haji Sasman bin Yasir sedang memberikan tazkirah

Haji Sasman bin Yasir selaku Pengerusi Alumni Seri Temenggong telah menjemput hamba untuk turut serta dalam program tersebut, dan beliau juga memberi kepercayaan kepada saya untuk membawa bersama beberapa orang pensyarah dan guru pelatih sebagai fasilitator bagi membantu Alumni Seri Temenggong menjayakan program tersebut. Kesempatan yang diberikan kepada hamba bagai pucuk dicita ulam mendatang. Inilah peluang terbaik bagi hamba merealisasikan impian yang tidak kesampaian semasa hamba bertugas di Tawau.  Kalau boleh seramai yang mungkin anak-anak Tawau yang ingin hamba bawa bersama, tapi apakan daya keterbatasan ruang tidak mengizinkan. 

Ahad, 12 Januari 2020

Pahala semisal haji dan umrah yang sering diabaikan

Hari ini Ahad 12 Januari 2020 bersamaan 15 Jamadil Awal 1441

                      بَلِّغُوا عَنِّى وَلَوْ آيَةً

“Sampaikanlah dariku walau hanya satu ayat” (HR: Bukhari)


Menunaikan fardhu haji dan umrah adalah impian kepada semua orang islam. Walaubagaimanapun tidak semua orang berkemampuan menunaikan ibadah haji dan umrah. Ramai juga yang berkemampuan dari segi wang ringgit dan harta benda tetapi terhalang kerana masalah kesihatan, tiada muhrim atau halangan-halangan lain. Tidak kurang yang sihat tubuh badan cergas kuat dan bertenaga tetapi tidak punya kecukupan dari segi wang ringgit untuk perbelanjaan untuk ke tanah suci.

Maha suci Allah, Allah yang sifatnya maha pemurah, maha adil dan lagi maha penyayang  tetap memberikan peluang lain kepada hambaNya yang tidak berkemampuan ke tanah suci untuk mendapatkan pahala dan ganjaran semisal dengan pahala haji dan umrah. Hal ini diterangkan melalui beberapa hadis Rasulullah SAW seperti berikut:

1
.
“Barangsiapa keluar dari rumah dalam keadaan sudah suci (berwudhu di rumah)untuk menunaikan sholat fardhu, pahalanya seperti pahala haji orang  berihram”. (HR:Abu Daud)



2
.
Sekelompok orang miskin berjumpa Rasulullah SAW dan berkata, “ Ya, Rasulullah, orang-orang kaya telah membolot (memborong) semua kedudukan yang tinggi serta kebahagiaan yang abadi dengan harta mereka. Mereka sholat dan berpuasa sebagaimana kami lakukan. Akan tetapi mereka mempunyai harta untuk menunaikan haji, umrah dan bersedekah.” Lalu Rasulullah SAW bersabda, “Sukakah kalian saya ajarkan sesuatu yang dapat mengejar orang-orang yang terdahulu dan orang-orang yang kemudian, dan tidak lebih utama daripada kalian, kecuali mereka melakukan seperti kalian lakukan?” Mereka menjawab, “Baiklah ya Rasulullah”, Rasulullah SAW bersabda, “setiap selesai sholat bacalah olehmu Tasbih ( سُبْحَانَ اللّهُ), Tahmid (اَلْحَمْدُلِلّهِ) dan Takbir (اَللّهُ اَكْبَرُ ) masing-masing sebanyak 33 kali”. (HR: Bukhari)



3
.
Dari Anas bin Malik R.A berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang solat subuh berjemaah kemudian duduk berzikir sampai matahari terbit kemudian diikuti sholat dua rekaat, maka dia mendapat pahala seperti pahala haji dan umrah”, dia (Anas RA) berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sempurna, sempurna, sempurna”.(HR: Tarmidzi)



4
.
“Barangsiapa bersuci (berwudhu) di rumahnya, kemudian mendatangi Masjid Quba, lalu ia solat di dalamnya, maka baginya pahala seperti pahala umrah”.(HR: Tarmidzi & Ibnu Majah)



5
.
Imam Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan daripada Ibnu Abas RA, katanya, Rasulullah SAW bersabda kepada seorang wanita daripada kalangan Ansar, “Apakah yang menghalangimu untuk melakukan haji bersama kami?” Dia (wanita) berkata, “Kami hanya punya dua ekor unta, satunya dibawa oleh bapa dan anaknya, dan yang satu lagi kami gunakan untuk menyiram kebun”.  Maka Rasulullah SAW bersabda, “ Jika datang bulan Ramadhan, lakukanlah umrah, kerana pahala melakukan umrah itu sama dengan pahala mengerjakan haji”. Dalam riwayat Muslim, “Sama dengan pahala menunaikan haji bersamaku”.

Nota:

Berdasarkan 5 hadis di atas mari kita atur strategi untuk mendapat pahala umrah dan haji setiap hari. Strateginya adalah berdasarkan situasi di mana kita berada.


1.
Sekiranya kita di Malaysia 
Hadis No. 1, No.2 dan No.3. dijadikan amalan harian, contohnya:

1.1
waktu zohor, asar, maghrib dan isyak sebelum ke surau atau masjid ambil wudhuk terlebih dahulu  (sama ada di rumah atau pejabat) sebagaimana yang disarankan oleh hadis No 1.

1.2
selepas selesai solat fardhu teruskan beramal berpandukan hadis yang No 2

1.3
khusus untuk waktu subuh ulangi perkara 1.1, 1.2 dan tambah amalan yang disarankan dalam hadis No 3.


JANGAN LUPA berderma pada waktu sebelum solat subuh (ada hadis yang berkaitan dengan keutamaan berderma pada waktu subuh)
Sila rujuk entri saya tentang perkara ini -> KEISTIMEWAAN DERMA SUBUH




*Mari kita lihat ikut lojik matematik 

a.
bagi solat zohor, asar, maghrib dan isyak jika kita menuruti hadis No.1 dan No. 2 kita  akan mendapat dua ganjaran pahala haji umrah pada setiap waktu.

b.
bagi solat subuh jika menuruti hadis No. 1, No. 2 dan No. 3 maka kita akan dapat 3 ganjaran pahala haji umrah




=>
Jadi kalau setiap waktu kita  beramal berpandukan hadis No 1, No 2 dan No 3 maka kita akan mendapat 11 pahala haji umrah sehari. Bagaimana boleh mendapat 11 pahala haji umrah? Ini jawabanya zohor dapat 2, asar dapat 2, maghrib dapat 2, isyak dapat 2 dan subuh dapat 3.  
DENGAN KATA LAIN WALAUPUN BERADA DI MALAYSIA, SETIAP HARI KITA MAMPU MERAIH 11 PAHALA HAJI UMRAH

2.
Sekiranya Berada di Madinah

2.1
waktu zohor, asar, maghrib dan isyak sebelum ke Masjid Nabawi ambil wudhuk terlebih dahulu  di hotel sebagaimana yang disarankan oleh hadis No.1.

2.2
selepas selesai solat fardhu jangan lepaskan peluang turut serta solat jenazah (ganjarannya sangat besar akan diulas dalam entri yang berikutnya).
Berdasarkan pemerhatian saya ramai jemaah tidak join solat jenazah sebaliknya terus solat sunat.
SOLAT JENAZAH DAHULU selepas itu lakukan seberapa banyak solat sunat yang mampu.

2.3
selepas selesai solat jenazah teruskan beramal berpandukan hadis yang No.2 dan diikuti dengan amalan-amalan sunat yang lain seperti solat-solat sunat dsbnya.

2.4
khusus untuk waktu subuh ulangi perkara 2.1, 2.2 dan 2.3 selepas itu tambah amalan yang disarankan dalam hadis No.3


JANGAN LUPA berderma pada waktu sebelum solat subuh.

2.5
Selepas selesai melakukan solat sunat dhuha (sila rujuk jadual solat di Madinah) balik hotel sarapan dan rehat. Sekitar jam 9 pagi selepas urusan diri dan dalam keadaan sudah ada wudhuk ambil teksi / uber / grab ke Masjid Quba untuk melaksankan amalan seperti yang disarankan dalam hadis No. 4.




*Mari kita lihat ikut lojik matematik 

=>
Di Madinah kalau  beramal berpandukan hadis No. 1, No. 2, No. 3 dan No. 4 maka kita akan mendapat 12 pahala haji umrah sehari. Bagaimana boleh mendapat 12 pahala haji umrah? Ini jawabanya zohor dapat 2, asar dapat 2, maghrib dapat 2, isyak dapat 2, subuh dapat 3 dan dapat 1 pahala umrah di Masjid Quba.




++
Kelebihan dan keistimewaan Masjid Quba turut dinyatakan melalui firman Allah SWTmelalui Surah At Taubah Ayat 108 yang bermaksud, …”Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar taqwa (Masjid Quba) sejak hari pertama adalah lebih patut  untukmu solat di dalamnya. Di dalam masjid itu ada orang-orang yang ingin membersihkan. Dan sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bersih”.


3.
Sekiranya Berada di Mekah


3.1
waktu zohor, asar, maghrib dan isyak sebelum ke Masjidil Haram ambil wudhuk terlebih dahulu  di hotel sebagaimana yang disarankan oleh hadis No. 1.

3.2
selepas selesai solat fardhu jangan lepaskan peluang turut serta solat jenazah (ganjarannya sangat besar akan diulas dalam entri yang berikutnya).
Berdasarkan pemerhatian saya ramai jemaah tidak join solat jenazah sebaliknya terus solat sunat.
SOLAT JENAZAH DAHULU selepas itu lakukan seberapa banyak solat sunat yang termampu.

3.3
selepas selesai solat jenazah teruskan beramal berpandukan hadis yang No.2 dan diikuti dengan amalan-amalan sunat yang lain seperti solat-solat sunat dsbnya.

3.4
khusus untuk waktu subuh ulangi perkara 3.1, 3.2 dan 3.3 selepas itu tambah amalan yang disarankan dalam hadis No. 3, antaranya berzikir, bertahmid, bertakbir, membaca AlQuran dan berselawat sambal melakukan tawaf sunat. Rujuk jadual sholat di Mekah. Semasa di Mekah perbanyakan tawaf sunat terutamanya selepas waktu subuh kerana cuaca tidaklah panas sangat.
PENGALAMAN SAYA semasa menunaikan fardhu haji dan beberapa kali menunaikan ibadah umrah,  saya menjadikan amalan tawaf sunat sambil menantikan masuknya waktu dhuha. Biasanya tidak berapa lama selepas selesai tawaf sunat sudah boleh menunaikan sholat sunat dhuha


JANGAN LUPA berderma pada waktu sebelum solat subuh.




*Mari kita lihat ikut lojik matematik 

=>
Di Mekah kalau  beramal berpandukan hadis No. 1, No. 2, No. 3 dan No. 4 maka kita akan mendapat 11 pahala haji umrah sehari. Bagaimana boleh mendapat 11 pahala haji umrah? Ini jawabanya zohor dapat 2, asar dapat 2, maghrib dapat 2, isyak dapat 2 dan subuh dapat 3.
DITAMBAH KEISTIMEWAAN DI MEKAH BOLEH LAKUKAN UMRAH SEBERAPA BANYAK YANG MUNGKIN SELAGI MAMPU ULANG-ALIK KE TANAIM .




SAYUGIA DIINGATKAN


i.
solat di Masjidil Haram akan digandakan sebanyak 100,000 kali berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Solat di masjidku (Masjid Nabawi) lebih baik daripada seribu solat di tempat yang lain melainkan Masjidil Haram. Dan solat di Masjidil Haram lebih baik daripada serratus ribu solat di tempat lain.”  


    ii.
Berdasarkan pemerhatian saya, ramai jemaah yang tergesa-gesa selepas solat subuh meninggalkan Masjidil Haram pulang ke hotel untuk membuat persiapan ke Tanaim untuk memasang niat melakukan umrah. Ada juga yang datang ke Masjidil Haram sebelum subuh lengkap dengan ihram, namun demikian sebaik sahaja selesai solat subuh terus bergegas ke Tanaim. Sebenarnya tanpa disedari jemaah seperti ini mengalami kerugian (ikut logik matematik terlepas pahala satu umrah dan haji) kerana mengabaikan hadis No. 3.  SEBAIK-BAIKNYA selepas solat subut ikut solat jenazah kemudian beramal dengan hadis No. 2 kemudian diikuti  pula dengan amalan yang disarankan oleh hadis No. 3. Balik hotel  selepas selesai solat sunat dhuha di Masjidil Haram. Maknanya balik hotel sudah bawa pahala umrah dan haji, Selepas balik hotel, setelah selesai sarapan, berehat dan urus diri bolehlah ke Tanaim untuk pasang niat umrah.







4.
BONUS BULAN RAMADHAN








Jika ada kelapangan rezeki dan sihat boleh mengerjakan umrah kerana pahala mengerjakan umrah pada bulan Ramadhan sama seperti pahala haji. Sila rujuk hadis No. 5

Kesimpulannya betapa pemurahnya Allah SWT yang menganugerah pahala semisal pahala umrah dan haji setiap hari walaupun kita tidak berada di bumi Haramain. Pokok pangkalnya adalah diri kita sendiri samada kita "grab" peluang yang diberikan sebaik-baiknya atau dilepaskan begitu sahaja.

Entri ini tidak bermaksud tidak perlu ke Haramain sama sekali untuk menunaikan ibadah haji dan umrah. Ibadah Haji dan umrah adalah rukun islam ke 5, yang diwajibkan hanya satu kali sahaja keatas orang islam yang cukup syarat-syaratnya.

Catatan ini adalah sebagai panduan sementara menantikan kesempatan untuk kita mengerjakan haji dan umrah itu tiba maka ambilah peluang untuk mendapat pahala yang semisal dengan pahala umrah dan haji sebagaimana yang dianjurkan melalui hadis Rasulullah SAW.

Seterusnya bagi yang mendapat peluang melakukan ibadah umrah atau haji teruskan beramal dengan amalan yang disarankan oleh Junjungan Besar Nabi Muhamad SAW  walaupun berada di tanah suci.
Sekiranya di Mekah dengan mengamalkan amalan tersebut maka akan dapat 11 ganjaran pahala semisal dengan ganjaran umrah dan haji DITAMBAH dengan pahala bilangan umrah yang mampu dilakukannya di sana (berapa kali umrah yang mampu dilakukan dalam sehari bergantung kemampuan fizikal kita berulang-alik ke Tanaim)

Semoga catatan ini bermanfaat dan mudah-mudahan kita ditetapkan hati untuk terus kekal istiqamah.