Isnin, 2 November 2015

Terima Kasih dan Penghargaan Buat Bapa Anak Yatim Johor


Sebenarnya agak lama juga saya tidak update blog ini kerana kekangan waktu, tugas dan capaian internet di Balung, Tawau yang menguji segala-galanya. Hari ini saya gagahi untuk update blog ini sebagai merakamkan rasa kagum dan terhutang budi saya kepada seorang insan yang menjadi idola saya dan berjasa besar dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan khususnya yang berkaitan dengan kebajikan anak-anak yatim di Johor dan di Aceh pasca Tsunami. 

Hari ini 2 November 2015 genaplah sebulan berpulang ke Rahmatullah Ayahnda Tuan Haji Sulaiman bin Hassan. Saya mula mengenali Allahyarham  yang saya panggil Ayahanda Cikgu Leman semasa saya bertugas di Johor Bahru sekitar tahun 1996. Sebenarnya perkenalan dan hubungan saya dengan Allahyarham adalah secara tidak sengaja. Ianya bermula dengan aktiviti kesukarelawanan untuk  Kursus Dalam Cuti (KDC) Guru-Guru Agama Kerajaan Johor di Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim (dulu lebih popular dikenali sebagai MPTI) di Rumah Barkat Bukit Chagar yang diuruskan oleh Allahyarham. Pada tahun tersebut saya telah diminta membantu Tuan Haji Sasman Yasir menguruskan program KDC ini dari segi membuat jadual waktu interaksi kuliah,  mengurus, memantau aktiviti kesukarelawanan dan kemasyarakatan. Setiap kali program kesukarelawanan guru KDC ke rumah anak yatim yang dikendalikan oleh Allahyarham, saya ditugaskan sebagai pensyarah pengiring. Saya masih ingat lagi untuk beberapa siri program, Allahyarham memanggil saya ustadz. Serba salah juga saya sebab saya bukan ustadz, akhirnya saya berterusterang memaklumkan kepada Allahyarham bahawa saya bukan ustadz, saya adalah pensyarah pengiring. Tergelak besar Allahyarham sambil menyebut " saya ingat awak sama macam diaorang, guru-guru agama yang berkursus di maktab (bermaksud MPTI pada waktu itu)". Walaubagaimanapun untuk beberapa ketika selepas itu Allahyarham masih memanggil saya ustadz. Rata-rata peserta KDC daripada kalangan guru-guru agama Kerajaan Johor pada waktu itu berusia antara pertengahan 30an hingga pertengahan 40an dan kebetulan pula pada waktu itu saya berusia 32 tahun, jadi tidak salahlah jika saya pun turut disangka sebagai guru pelatih KDC. Yang bestnya setelah Allahyarham mengetahui yang saya bukan guru pelatih,  Allahyarham akan mengajak saya bersembang-sembang dengan Allahyarham sambil memerhatikan dari jauh guru-guru pelatih KDC membuat aktiviti dengan anak-anak yatim. Sembang-sembangnya sarat dengan perkongsian pengalaman dan amalan terbaik, nasihat dan tunjuk ajar serta ilmu yang bermanfaat. 

Pada tahun 2001 Negeri Johor terpilih menjadi tuan rumah Pesta Sukan Anak Yatim peringkat kebangsaan yang dikenali sebagai SUKAYA. Pada waktu itu Allahyarham adalah Pengerusi Rumah-Rumah Anak Yatim Negeri Johor. MPTI telah terpilih menjadi perkampungan kejohanan dan menjadi salah satu gelanggang kejohanan ini. Saya sendiri pada waktu itu agak musykil mengapa Tuan Haji Saripan Rakob mantan pengarah MPTI mengarahkan saya  untuk menjadi pegawai perhubungan perkampungan sukan kejohanan ini sedangkan ramai lagi pensyarah yang jauh lebih senior daripada saya.

Amanah yang diberikan kepada saya menguruskan penginapan peserta telah memberi peluang kepada saya berurusan dan berdampingan dengan Allahyarham dengan lebih dekat lagi. Sepanjang 5 hari kejohanan atau pesta sukan ini berlangsung, saya perhatikan Allahyarhan seorang yang sangat tenang, penyayang dan sabar serta pemurah dengan senyuman, nasihat dan tunjuk ajar.  Di mana-mana sahaja Allahyarham bergerak sentiasa dikerumuni, dipeluk dan didakap oleh anak-anak yatim kontinjen Negeri Johor yang mengganggap Allahyarham sebagai bapa atau datuk mereka. Terdetik dihati apakah rahsia Allayarham begitu disayangi oleh anak-anak yatim lalu saya bertanya kepada Allahyarham. Jawaban Allahyarham sangat ringkas tetapi terselit penuh pengajaran yang mengisafkan iaitu  dengan memetik sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim "مَنْ لا يَرحم لا يُرحم "(man laa yarham la yurham) yang bermaksud "Barangsiapa yang tidak menyayangi, dia tidak akan disayangi"

Menguruskan kejohanan atau pesta sukan  sebegini besar dengan hampir keseluruhan petugas-petugasnya adalah terdiri daripada para sukarelawan, bukanlah sesuatu yang mudah  apatah lagi tanpa kuasa perintah dan kerah. Bayaran upah dan sagu hati jauh sekali. Bila-bila masa para petugas boleh "cabut atau blah" kalau dirasakan hati sakit atau bengang.  Disinilah terserlah kehebatan Allahyarham, walaupun pada waktu itu beliau sudah berusia melewati 60an atau awal 70 an tetapi beliau sentiasa bersemangat untuk bersama-sama turun padang tanpa mengira waktu  membuat para petugas termasuk saya berasa seronok, gembira dan rasa sentiasa dihargai. 

Nasihat Allahyarham kepada kami para sukarelawan Kejohanan Sukan Anak Yatim (SUKAYA) yang dikira sangat muda pada waktu itu agar kami membuat kerja-kerja amal dan kebajikan pada waktu usia muda tanpa menunggu waktu bersara sentiasa berbekas dihati ini.  Sebenarnya nasihat Allahyarham adalah selari dengan hadis Nabi Muhamad saw tentang 4 perkara yang akan ditanya kelak iaitu salah satu daripadanya ialah kemana usia muda digunakan. 

Saya masih ingat lagi, pernah suatu ketika saya bersungut semasa bertugas dalam kejohanan tersebut  lalu Allahyarham sambil mengusap-usap belakang saya berpesan agar saya tidak berasa "letih dan lemah" dengan anak yatim kerana anak yatimlah yang kelak akan membawa kita ke syurga berdampingan dengan Junjungan Besar Rasulullah SAW. Tersentak dan terkedu juga saya dibuatnya. Nasihat Allahyarham itu adalah berdasarkan hadis sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari yang bermaksud “Aku dan orang yang memelihara anak yatim, di syurga nanti seperti ini (sambil menunjukkan dua jarinya – bermaksud jaraknya amat dekat).”  Beginilah sosok yang hebat, memberi nasihat dengan didasari oleh akhlak dan ilmu serta sentuhan kasih sayang.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa terbinanya Rumah Anak Yatim Johor di Banda Aceh pasca tsunami sekitar tahun 2006 adalah hasil usaha Allahyarham. Saya rasa amat bertuah kerana Allahyarham sudi membawa saya beberapa kali ke Aceh semasa proses penubuhan rumah Anak Yatim Johor di Aceh. Pengalaman luas Allahyarham menguruskan rumah-rumah anak yatim di Johor selama lebih 30 tahun telah membantu Rumah Anak Yatim Johor di Aceh meraih kejayaan menjadi salah sebuah rumah anak yatim terbaik bukan sahaja di Provinsi Aceh malah di Indonesia. 

Akhir kalam, terima kasih yang tidak terhingga buat Ayahanda Cikgu Hj Sulaiman Hassan atas nasihat, bimbingan, tunjuk ajar dan kata-kata pembakar semangat. Jasamu sangat besar dalam diri ini, insha Allah akan terpahat kemas dalam ingatan selagi hayat dikandung badan. Semoga segala jasa bakti dan kebaikan Allahyarham dibalas oleh Allah SWT dengan kemuliaan dengan menempatkan roh Allahyarham bersama para Ambiya, orang-orang beriman dan para solehin. Alfateha.