Ahad, 2 April 2023

BERKALI-KALI UMRAH DAN HAJI MANAKAH LEBIH UTAMA?

Bermusafir di Haramain bermakna bermusafir di dua tanah haram, iaitu melaksanakan ibadah umrah di Mekah dan melakukan ziarah di Masjid Nabawi di Madinah.  Hukum melaksanakan ibadah umrah dan haji hanya wajib sekali sahaja kepada yang berkemampuan dan cukup syarat-syaratnya. 

Antara dalilnya dalam surah Al Baqarah ayat 196 yang bermaksud "dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah Taala".  Dalam surah Al Imran ayat 97 pula bermaksud, "Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk." 

Kewajiban hanya sekali melakukan ibadah haji dan umrah adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang bermaksud,
“Kewajiban haji itu hanya sekali, barangsiapa menunaikannya lebih dari sekali maka dia telah tathawwu’ (melakukan amalan sunnah).”  Dalam hadis yang lain pula yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A  yang bermaksud “Umrah ke umrah menghapus dosa antara keduanya, dan tidak ada pahala bagi haji mabrur kecuali syurga.” Ini bermakna umrah dan haji hanya wajib sekali sahaja dan umrah kali ke dua dan seterusnya adalah sebagai penghapus dosa.

Nabi Muhamad SAW menunaikan sekali fardhu haji dan melaksanakan umrah sebanyak 4 kali seperti yang diriwiyatkan oleh Syaidina Anas RA, "Rasulullah SAW
 mengerjakan ibadah Haji sekali dan  'Umrah empat kali iaitu:
1.`Umrah dalam Bulan Zulqaidah 
2.`Umrah Hudaibiyah .
3 .`Umrah yang dikerjakan bersama ibadah haji (Haji Qiran) sebagai Haji Wada'.
4.`Umrah dari Ji`raanah (Jakronah) ketika membahagikan harta rampasan perang Hunain. 

Lazimnya bagi seseorang yang pernah menunaikan fardhu haji dan umrah pasti akan rasa rindu untuk hadir semula di bumi harmain. Yang berkemampuan yang punya banyak harta sanggup berhabis untuk berulang-ulang kali menunaikan umrah. Namun demikian kita semestinya berilmu supaya kita tidak silap meletakkan sesuatu yang lebih utama. Saya ambil contoh, katalah seseorang itu pernah menunaikan fardhu haji dan umrah adalah kurang wajar untuk dirinya  melakukan umrah buat kali kedua dengan perbelanjaan yang besar sedangkan sepatutnya wang tersebut digunakan untuk membayar yuran pengajian anak-anaknya di universiti.

Saya juga sangat tertarik dengan pandangan oleh Sheikh Dr Yusof Al Qardhawi yang menegaskan "adalah lebih utama bagi orang islam mengutamakan ibadah fardu kifayah seperti memberi makan kepada orang miskin, memberikan pendidikan, mengubati mereka yang sakit dan memberi perlindungan kepada gelandangan daripada mengeluarkan wang yang banyak untuk menunaikan haji atau umrah" Bayangkan pada waktu ini kos untuk melakukan ibadah umrah bukan pada waktu puncak (cuti sekolah atau bulan ramadhan) adalah antara RM8K - RM10K seorang untuk tempoh 11 atau 12 hari. Jika sepasang suami isteri  pasti akan mencecah kos hampir RM20K. Oleh itu pandangan oleh Dr Yusof Qardhawi wajar diinsafi agar kita semua tidak salah priority. Adalah sangat malang berulang alik umrah sebagai kebanggaan status sosial dan lebih parah lagi sebagai penghapus dosa tanpa berasa gerun melakukan dosa kerana selepas sahaja  berbuat dosa  akan ke Mekah untuk menghapuskan dosa. Pada pandangan saya secara peribadi, bagi yang telah pernah melaksanakan ibadah haji dan umrah adalah lebih utama dan lebih penting mengutamakan kaum kerabat, adik beradik atau jiran tetangga yang sedang dalam kesusahan. Malah lebih terpuji wang yang sepatutnya digunakan untuk umrah bukan kali yang pertama  disalurkan untuk tujuan membantu golongan asnaf seperti anak yatim, pendidikan, penyelidikan atau waqaf untuk kemudahan yang boleh dimanfaatkan oleh orang ramai.  

Ahad, 5 Februari 2023

KAFIAT SOLAT HAJAT UNTUK HAJAT YANG BESAR

Selagi kita masih bernyawa pasti kita tidak dapat lari daripada menghadapi pelbagai masalah. Berlapang dada dan bersangkabaiklah kepadaNya supaya kita semakin dekat kepadaNya. 

Mari kita fahami ayat 60 dalam  surah Ghafir yang bermaksud : "Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu..." 
Berdasarkan  ayat tersebut,  jelas menunjukkan bahawa Allah SWT memberikan jaminan akan mengabulkan setiap permintaan hambaNya. Pasti akan terkabul samada cepat atau lambat.

Bagi sahabat-sahabat yang mungkin memiliki hajat yang besar (dalam lain-lain perkataan agak berat dan rumit) disarankan agar melaksanakan amalan ini pada 1/3 malam yang akhir sahaja iaitu antara pukul 3.00 - 4.00 pagi. 
1. Solat sunat wudhuk
2. Solat sunat taubat
3. Solat sunat hajat dua rekaat dengan kafiat berikut :
   
3.1 - rekaat pertama baca Surah Al-Kafirun 10 kali selepas Al-Fateha 
   3.2 - rekaat kedua baca Surah Al-Ikhlas 10 kali selepas Al-Fateha 
   3.3 - selesai salam terus bangkit laksanakan perkara berikut :
           a. bangun dan takbir dengan niat, " Sahaja aku sujud syukur kerana Allah Taala"
           b. terus sujud
           c. dalam sujud baca
               i.  10 kali   سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ
              ii. 10 kali  اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
             
 iii. 10 kali  
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
 
Nota : Amalan ini saya catatkan di sini agar menjadi sedeqah yang berpanjangan. Dari segi sandaran dalil terhadap amalan ini memang tidak ditemui. Saya kongsikan di sini adalah berdasrkan kepada pengalaman  "insan mulia"  yang berkongsi amalan ini dan berberapa orang sahabat lain serta pengalaman sendiri.

Jadi pada hemat saya TIADA YANG MUSTAHIL bagi Allah SWT atas sifatNya yang Maha Berkuasa. 
Antara buktinya adalah peristiwa Nabi Ibrahim A.S yang dibakar hidup-hidup oleh Raja Namrud. Pada adatnya api sangat panas dan membinasakan tetapi menjadi sejuk / dingin kepada Nabi Ibrahim A.S. Ini digambarkan dalam ayat 68-69 Surah Al Anbia yang bermaksud : "Bakarlah dia (Ibrahim) dan bantulah tuhan-tuhan kamu, jika kamu benar-benar hendak bertindak." Kami berfirman: "Hai api menjadi dinginlah, dan menjadi keselamatanlah bagi Ibrahim", 


Selasa, 31 Januari 2023

DOA PENGHAPUS DOSA BESAR

Hari ini 31 Januari 2023 bersamaan 9 Rejab 1444.
Alhamdulillah sekali lagi kita diberikan kesempatan bertemu bulan rejab; bulan yang sangat istimewa dengan peristiwa agung israk mikraj.
Sebagai tanda rasa syukur kita akan nikmat yang tidak terhitung, marilah kita bersama-sama meningkatkan kualiti akhlak diri dan amal ibadah kita.
Berikut saya kongsikan doa daripada catatan usrah pada 9 Rejab 1432 / 11 Jun 2011. 
Semoga bermanfaat dan menjadi sedeqah ilmu yang berpanjangan, insha Allah.

1. Doa Keberkatan Bulan Rejab, Syaaban dan Ramadhan

اللهم بارك لنا في رجب وشعبان و بلغنا رمضان
Maksudnya : 
“Ya Allah, Kau berkatilah kepada kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan Kau berkatikanlah kepada kami pada bulan Ramadhan”

(HR : Ahmad)

2. Doa Penghapus Dosa Besar
Amalan membaca doa ini dalam sujud samada solat fardhu dan solat sunat. Doa ini diajarkan oleh Rasulullah SAW melalui hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah dan Muslim

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لي ذَنْبِي كُلَّهُ دِقَّهُ، وجِلَّهُ، وأَوَّلَهُ وآخِرَهُ وعَلانِيَتَهُ وسِرَّهُ
Maksudnya :  "Ya Allah, ampunkan segala dosaku, baik yang kecil mahupun yang besar, yang akan datang, yang terlihat mahupun yang tersembunyi"

Nota : disarankan doa ini dijadikani amalan rutin selagi hayat dikandung badan walau dimana jua kita berada.

IPG Kampus Temenggong Ibrahim
Johor Bahru


Jumaat, 11 November 2022

PENAWAR RESAH GELISAH

 Sinopsis Perkongsian Usrah 8 Nov 2022 bersamaan 16 Rabiul Akhir 1444


Rasulullah SAW telah mengajarkan kepada seorang sahabat agar berdoa pada waktu pagi (selepas solat subuh) dan waktu petang (selepas solat asar) supaya terhindar daripada 8 perkara iaitu :

1. Dukacita 
2. Resah gelisah
3. Lemah
4. Malas
5. Kedekut
6. Pengecut atau penakut
7. Belenggu hutang dan;
8. Tekanan manusia

Berikut adalah sandaran hadisnya


Dari Abu Sa’id Al-Khudri ra. berkata, Suatu hari Rasulullah SAW masuk ke dalam masjid, tiba-tiba baginda SAW berjumpa seorang     Al Ansari yang bernama Abu Umamah. Rasulullah SAW bertanya "Wahai Abu Umamah, mengapa kamu duduk-duduk di masjid di luar waktu solat?" Abu Umamah ra. menjawab, "Kerana kerunsingan yang melanda hatiku dan beban hutangku wahai Rasulullah". Rasulullah SAW bersabda, "Mahukah kamu aku mengajarimu beberapa bacaan, yang bila kau mengamalkan membacanya nescaya Allah akan menghilangkan rasa gelisah dari dirimu dan melunasi hutang-hutangmu?" Abu Umamah berkata, "Betul, wahai Rasulullah". Rasulullah bersabda, "Ucapkanlah diwaktu pagi dan petang: Allahumma inni a’udzubika minal hammi wal hazan..." Kemudian aku melakukan perintah tadi, maka Allah menghilangkan rasa gelisah dari diriku dan melunasi hutang-hutangku". (HR: Abu Dawud) 

Inilah doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
للَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ
 وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ
 وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ
 وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Ertinya:
"Ya Allah, aku berlindung kepada Mu daripada rasa dukacita dan resah gelisah, dan aku berlindung krpada Mu daripada kelemahan dan kemalasan, dan aku berlindung kepada Mu daripada sifat pengecut dan kedekut, dan aku berlindung kepada Mu daripada belenggu hutang dan tekanan manusia"

Sekian, semoga bermanfaat....

Selasa, 30 November 2021

PENGHIJAUAN KAMPUS MELALUI KAEDAH INFAQ DAN BERSEDEKAH

Assalamualaikum wbt
Salam Sejahtera

Tuan-tuan / Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah
Program Penghijauan Kampus dengan penanaman pokok buah-buhan akan  dijalankan  melalui kaedah infaq atau sedekah dalam 6 fasa.  Setakat ini telah berlangsung dua fasa iaitu Fasa 1 di kawasan kuarters pekerja yang terbiar dan Fasa kedua di belakang padang bolasepak.

''Apabila seorang Muslim menanam tanaman, kemudian tanaman itu dimakan oleh burung, manusia, ataupun hewan, maka itu sudah termasuk sedekah.''  
(HR Bukhari & Muslim)

 'Apabila seorang Muslim menanam, maka apa yang dimakan darinya merupakan sedekah, dan yang dicuri darinya juga sedekah. Apabila dimakan oleh binatang buas juga sedekah, apabila dimakan oleh burung juga sedekah, ataupun diambil oleh seseorang juga dinamakan sedekah.'' 

(HR Muslim). 


 

            

Selasa, 9 Februari 2021