Isnin, 24 April 2017

Bermusafir ke Harmain Secara "Back Pack" Bahagian 1

Bukan mudah membuat keputusan bermusafir ke Harmain secara "back pack" tanpa menggunakan perkhidmatan travel agensi apatah lagi apabila isteri bersemangat mahu turut serta. Saya bersama anak sulung mengambil masa lebih 8 bulan untuk membuat kajian tentang kaedah ini. Persiapan perlu dilakukan terlebih dahulu. Langkah pertama adalah untuk mendapatkan seberapa banyak maklumat berkaitan umrah secara "back pack". Maklumat yang banyak kami perolehi tentang kaedah ini adalah dari India, Pakistan dan Indonesia. Di Malaysia kaedah ini terlalu asing, lazimnya mesti melalui travel agensi. Makin banyak bahan yang kami baca semakin banyak pro dan kontranya. Apabila banyak negatifnya dari yang positif, hati menjadi was-was. Supaya tidak berbelah bahagi saya nekad untuk meneruskan program bermusafir secara bersendirian tanpa perkhidmatan travel agensi. Saya minta anak yang sulung fokus membuat kajian tentang kaedah berkomunikasi berkaitan liputan internet, penginapan, kemudahan pengangkutan di Jeddah, Mekah dan Madinah serta tiket penerbangan pulang pergi dari Malaysia . Hasil kajian anak mendapati tiket penerbangan lebih murah dan menjimatkan kalau dua atau tiga kali transit berbanding penerbangan terus. Kos melepasnya ialah banyak masa terbuang menunggu di airport untuk penerbangan seterusnya. 

Isteri pula akan fokus kepada aspek keperluan lojistik untuk sepanjang tempoh bermusafir. Sementara saya akan fokus kepada aspek risiko seperti sakit, kematian dan kemalangan serta yang berkaitan dengan perundangan seperti visa dan imigresen. Aspek ini perlu saya berikan perhatian dan keutamaan memandangkan kami berdua adalah penjawat awam agar tidak timbul pelbagai masalah yang boleh memerangkap dan menjerat kami yang kemudiannya boleh menjejaskan kerjaya kami. Paling menakutkan bagi penjawat awam seperti saya yang telah berkhidmat masuk tahun yang ke 30 adalah hilang kelayakan pencen!!!

Pengalaman sering bermusafir ke Aceh dan Kemboja sejak 10 tahun yang lalu tanpa bantuan travel agensi menjadi pendorong kuat kepada saya untuk merealisasikan hasrat yang terpendam sejak sekian lama.. Penginapan, pengangkutan dan makan minum bukan menjadi halangan bagi saya. Saya boleh menginap di mana sahaja atau makan apa sahaja asalkan bersih dan halal. Sebenarnya seperti di tempat-tempat lain, tempahan hotel di Mekah dan Madinah boleh dibuat secara online cuma kita agak terganggu dengan cerita-cerita yang pernah kita dengar perihal berurusan dengan orang arab. Kalau mahu cancel ikut suka-suka.. Begitu juga tentang pengangkutan di sana, naik apapun tidak menjadi masalah yang penting boleh sampai ke destinasi yang  dituju. 

Akhirnya halangan paling besar yang dapat dikenal pasti ialah berkaitan visa umrah. Visa umrah hanya boleh dipohon di negara asal, maksudnya orang Malaysia kena buat di Malaysia melalui Kedutaan Besar Arab Saudi dan permohonan kena melalui travel agensi yang terpilih sahaja. Kalau boleh dipohon secara persendirian memang saya redah seperti yang saya lakukan untuk mendapatkan visa ke China pada tahun 2012.  Kalaulah boleh mohon visa secara persendirian dan terpaksa  kena queu panjang bermula sebelum subuh pun saya sanggup mengharunginya, yang penting asal dapat visa.. Jadi tiada pilihan, kenalah cari mana-mana travel agensi yang boleh membantu bagi mendapatkan visa umrah.

Kebetulan saya ada beberapa orang kawan sekolah yang berjaya dan kaya sebagai pengusaha pelancongan termasuk menguruskan umrah,  Jadi saya cubalah minta bantuan mereka. Malangnya tidak berhasil. Pelbagai alasan yang diberikan, biasalah orang meniaga. Semuanya memberi alasan yang sama iaitu mereka tidak menguruskan visa umrah sahaja. mereka uruskan semuanya secara pakej. Malah ada seorang tu buat lawak yang sangat tidak cerdik, "bukan tidak boleh tolong uruskan visa umrah kau Zain, cumanya takut bila dah dapat visa umrah kau tidak mahu balik, terus menetap kat sana, kalau kau tak balik, habislah company aku kena blacklist". Agak-agaklah dan patut-patutlah kalau nak bagi alasan pun. Malah ada seorang tu yang terus terang menyebut, "kau ni berkira sangat, kalaulah ramai orang macam kau Zain, kami boleh bungkus"  Ada seorang kawan pengusaha travel agensi lagi kurang asam, "kalaulah aku ni KSU aku ambil tindakan tatatertib kat kau Zain, sebab kau memalukan gormen, ada ker patut seorang pengarah  buat umrah secara gelandangan" perlinya. Malas saya nak melayan kerenah kawan-kawan pengusaha travel agensi. Saya bukan minta pertolongan mereka secara percuma. Saya tetap yakin ada jalan penyelesaiannya, cuma lambat atau cepat sahaja.

Sebenarnya pada bulan ogos tahun lepas semua keperluan seperti tiket kapal terbang, pengangkutan dan penginapan di Madinah dan Mekah telah berjaya kami selesaikan. Hanya pasal visa umrah sahaja yang belum beres. Namun demikian tidak bolehlah kami berputus asa dan menyerah kalah. 

Sementara mencari jalan penyelesaian berkaitan visa umrah, anak lelaki  yang ke 3 mencadangkan sebelum bermusafir ke Harmain eloklah berlatih bermusafir secara "back pack" ke tempat-tempat lain untuk tempoh masa yang hampir sama iaitu antara 12 - 14 hari. Menurutnya, tiket penerbangan dan hotel pada musim sejuk sekitar bulan januari di eropah agak murah. Berdasarkan carian diinternet kami menemui beberapa pilihan harga tiket penerbangan yang menarik pada minggu ketiga bulan januari 2017 iaitu dari KL ke Kota London, tambang bas yang munasabah antara Kota London - Paris - Amsterdam dan tiket tambang murah antara Amsterdam ke Istanbul dan Istanbul ke Tehran serta dari Tehran ke KL. Kos tiket kapal terbang dan tambang bas sahaja berjumlah RM1500 ++ seorang, Saya dapat lagi murah sebab boleh redeem Enrich Kad MAS antara KL ke London. Bagai rezeki terpijak, saya tidak mengambil masa yang panjang untuk membuat keputusan walaupun sedar terpaksa mengharungi cuaca sejuk. 

Saya menginsafi bahawa doa orang bermusafir antara salah satu daripada beberapa kategori doa yang mustajab. Ini adalah bersandarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Tarmidzi "tiga doa yang dimakbulkan tanpa syak lagi : doa orang yang dizalimi, doa orang bermusafir dan doa ibu bapa untuk anaknya" Lantaran itu saya berazam sepanjang bermusafir saya akan mencari sebanyak mungkin masjid disamping untuk bersolat sunat tahyatul masjid juga untuk berdoa agar dipermudahkan segala urusan termasuklah urusan visa umrah. Alhamdulillah masa di London dapat berpeluang bersolat Jumaat dan asar di Masjid Oxford. Di Amsterdam dapat pergi tiga buah masjid tetapi hanya dapat bersolat sunat tahayatul masjid di dua buah masjid sahaja kerana sebuah masjid lagi berkunci. Di Istanbul paling best sebab dapat singgah di beberapa buah masjid yang terdapat di sekitar Bandar Istanbul. Kebetulan hotel penginapan kami jaraknya lebih kurang 200 meter dari Masjid Sultan Ahmed atau Masjid Biru jadi sepanjang kami berada di Istanbul kami tidak lepaskan peluang solat fardhu subuh maghrib dan isyak di masjid tersebut. Di Tehran kami tidak berani melakukan perkara yang sama seperti di London, Amsterdam dan Istanbul, malah atas sebab-sebab yang tidak dapat kami terangkan di sini, kami terpaksa membatalkan rancangan untuk check in di Tehran selama dua hari dan bergegas segera pulang ke tanah air. Jadi dimana sahaja ada ruang dan kesempatan sepanjang tempoh bermusafir kecuali di Tehran saya akan berdoa agar impian saya untuk bermusafir di Harmain dipermudahkan urusan oleh Allah swt.
Di Masjid Sultan Ahmed (Masjid Biru), Istanbul

Di Masjid Fatih Amsterdam


Di Masjid Oxford, London