Ahad, 20 Disember 2015

MADRASAH AL HIDAYAH KG INDRASABAH : PROGRAM AMAL PEMANTAPAN AKIDAH KANAK-KANAK TERLEPAS PENDIDIKAN FORMAL

Tidak semua orang dilahirkan ke dunia ini dengan serba kecukupan. Biarpun di sebuah negara yang kaya dan makmur ketidakcukupan ini tetap berlaku. Perbincangan ini tidak sesekali menyentuh tentang ketidakcukupan dari segi fizikal (paras rupa seseorang yang sekarang ini disebut sebagai kelainan upaya) kerana ia diluar kawalan kita.

Ketidakcukupan ini tidak terbatas kepada aspek material sahaja malah mencakupi juga peluang untuk mendapatkan pendidikan yang sempurna bagi menjamin kesejahteraan dari dunia hingga ke akhirat. Mungkin diri kita dan anak-anak kita serta saudara mara kita adalah golongan yang sangat bertuah dan beruntung kerana berpeluang menikmati pendidikan dengan sempurna hingga membolehkan kita meraih " kedudukan kita " seperti hari ini dengan selesa dan terhormat.

Tentu ada hikmahnya disebalik ketidakcukupan kepada saudara-saudara kita yang lain. Islam mendidik penganutnya berkasih sayang sebagaimana yang disebut dalam firman Allah swt yang bermaksud "Sesungguhnya orang-orang Mukmin itu bersaudara, sebab itu damaikanlah saudaramu (yang berselisih faham atau berbalah) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat." (Ayat 10 Surah AlHujarat)

Nabi Muhamad saw  juga turut menekankan peri pentingnya sifat berkasihsayang sesama umat melalui sabdanya yang bermaksud  "Tidaklah beriman seseorang islam yang tidur dalam keadaan kekeyangan sedangkan jiran tetangganya dalam keadaan lapar sedangkan ia mengetahuinya" (HR Al Thabrani)

Nah, adakah dengan nikmat kecukupan selama ini yang telah membawa kepada kedudukan yang selesa dan terhormat membuat kita tersisih dari sifat ehsan dan berkepedulian kepada orang lain? Sesungguhnya apa jua masalah ada jalan penyelesaiannya. Amalan mendiamkan diri dengan beranggapan bukan tanggungjawabnya tetapi tanggungjawab orang lain (seperti pihak berkuasa, NGO dsbnya) adalah sikap yang tidak sewajarnya ada pada diri seorang muslim. malah menyalahkan pihak-pihak lain tanpa sedikit pun berusaha untuk  mengatasi masalah yang melanda adalah sikap yang tidak bertanggungjawab.

Atas kesedaran dan keinsafan tentang maksud ayat quran dan hadis tersebut tentang tanggungjawab sesama umat islam, kami terpanggil untuk melaksanakan Program Amal Pemantapan Akidah Kanak-kanak Terlepas Pendidikan Formal di Kg Indrasabah, Tawau, Sabah. Pemilihan kampung ini kerana ramai anak-anak yang sepatutnya bersekolah tidak dapat menikmati pendidikan formal sebagaimana rakan-rakan sebaya mereka di tempat lain. Ini disebabkan oleh masalah dokumentasi walaupun difahamkan ibubapa mereka pun dilahirkan dan menetap di sini sejak sekian lama.

Objektif program ini adalah untuk mendidik anak-anak ini agar dapat membaca menulis, mengaji alquran, menguasai asas fardhu ain dan melaksanakan solat dengan betul dan sempurna serta mempraktiskan islam dalam kehidupan seharian mereka.  Kami sangat yakin jika anak-anak ini menjadi ahli masyarakat yang berpegang teguh dengan ajaran islam  gejala masalah sosial dapat dielakan  dan seterusnya dapat membina kehidupan bermasyarakat yang harmoni. 

Bagi merealisasikan program ini, kami berpakat dengan rakan-rakan dari semenanjung yang bertugas di Tawau dengan membeli sebuah rumah terbiar dan kami bangunkan sebagai madrasah. Proses pembangunannya bermula sejak bulan april yang lepas. Melalui dana yang kami kumpul pada setiap bulan, kami berjaya membaik pulih mana-mana bahagian yang telah rosak. Dengan sumber dana yang terbatas ditambah dengan bahan-bahan binaan yang mahal kami belum berjaya menjadikan rumah tersebut sebagai pusat kegiatan yang lengkap sempurna dan selesa. 

Setelah kami mendapat kebenaran dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah Kami memulakan operasi sejak bulan ogos yang lepas dengan kemudahan prasarana yang seadanya seperti tempat untuk amali pendidikan solat dan amalan solat berjemaah di ruang terbuka (pelantar) yang tidak berbumbung, tanpa bekalan elektrik dan kemudahan air paip serta tandas, Lantaran itu, keperluan yang sangat mendesak pada masa ini adalah kemudahan bekalan elektrik, air paip dan tandas. 

Pada peringkat awal operasi seramai 25 orang kanak-kanak yang menyertainya. Alhamdulillah walaupun dengan kemudahan yang serba kekurangan tetapi penyertaan sentiasa bertambah dari masa ke semasa  dan kini  50 orang kanak-kanak sebagai pesertanya.

Kami sangat berbesar hati dan mengalu-alukan sebarang bantuan, cadangan, perkongsian pengalaman atau khidmat nasihat agar pengurusan dan operasi program ini berjalan dengan tertib dan sempurna. serta mencapai objektifnya.

Untuk sebarang maklumat lanjut bolehlah berhubung dengan kami melalui  (tel/sms/whatsapp)
1. Pengerusi /Mudir : Tuan Haji Mohd Zain bin Badui +601977789659
2. Setiausaha : En. Mohd Harjazi bin Mohd Hashim +60192209844 
















Rumah Kampung yang dijadikan pusat pembelajaran















Bahagian luar (pelantar) yang menganjur ke laut 















Aktiviti pembelaran solat dan amalan solat berjemaah 
di bahagian ruang terbuka (pelantar) yang belum berbumbug















Pemandangan anak-anak solat berjemaah

























Anak-anak sedang belajar amali wudhu









































Pemandangan aktiviti pembelajaran iqra dan muqadam









































Kebenaran daripada pihak berkuasa JHAEINS

Rabu, 16 Disember 2015

Hari ini 16 Disember 2015

Hari ini 16 Disember 2015. Genaplah usiaku 51 tahun 1 bulan. Junjungan besar Nabi Muhamad saw wafat pada usia 63 tahun. Sekiranya aku diberi peluang berusia seperti  Nabi Muhamad saw maknanya berbaki 11 tahun 11 bulan lagi usiaku di bumi ini. Itu kalau berusia 63 tahun. Kalau tidak jejak 63 tahun bermakna semakin kuranglah baki usiaku.

Kepada rakan-rakan / sahabat handai / bekas anak-anak murid yang menititipkan ucapan berserta iringan doa samada melalui fb, sms dan whatsapp diucapkan jutaan terima kasih. Walaubagaimanapun jutaan kemaafan juga kerana belum berkesempatan membalas semuanya.

Semoga nikmat kesihatan yang dikecapi selama ini bukanlah ujian yang melalaikan hingga lupa mensyukuri nikmat yang kau berikan dan leka dari mentaati perintah serta laranganNya. Kuasa, kesenangan, kemewahan dan kesihatan yang baik boleh membuat seseorang itu tidak sedar bahawa dirinya sedang diuji. Berbanding denganb ujian dalam bentuk musibah, penyakit, kepayahan, kesempitan akan membuat seseorang itu bersabar dan berusaha menghampiri penciptanya. 

Ya Allah ampunilah dosa-dosa kami, ampunilah dosa kedua ibubapa kami dan dosa guru-guru kami. Jauhkan dan hindarkan daripada sifat-sifat keji yang tidak kau redhai  Berikanlah taufik dan hidayah serta ditetapkan iman hingga nafas yang terakhir kami.