Jumaat, 16 Mei 2014

SELAMAT HARI GURU

Selamat hari guru buat guru-guru yang pernah mengajar, mendidik dan mengasuhku.......tidak terbalas jasa cikgu. 
Hanya doa sahaja yang dapat dititipkan kepada guru-guruku. Bagi guru-guruku yang masih ada, didoakan agar dikurniakan oleh Allah SWT dengan nikmat kesihatan yang berkekalan, ketenangan, kesejahteraan dan kebahagian hidup bersama anak cucu dan family yang tercinta. Sementara guru-guruku yang telah meninggal dunia agar roh mereka dicucuri rahmat  oleh Allah SWT, diluaskan kubur mereka dengan limpah rahmatNya dan diberikan kemuliaan dengan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Berikut adalah tema hari guru semenjak tahun 1972.

  1. 1972 Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara
  2. 1973 Kerjasama Ibu Bapa Untuk Kemajuan Pendidikan
  3. 1974 Peranan Guru Dalam Zaman Sains dan Teknologi
  4. 1975 Guru dan Pembangunan Negara
  5. 1976 Pendidikan Moral Dalam Zaman Kemajuan Pendidikan
  6. 1977 Dedikasi dan Disiplin Asas Kemajuan Pendidikan
  7. 1978 Guru Pembentuk Generasi Akan Datang
  8. 1979 Murid Sejahtera Negara Jaya
  9. 1980 Pendidikan Teras Perpaduan Negara
  10. 1981 Pengorbanan Guru Kejayaan Rakyat
  11. 1982 Ke Arah Kecekapan Guru Dan Pendidikan Bermutu
  12. 1983 Kepimpinan Berteladan Teras Pendidikan
  13. 1984 Kepimpinan Berteladan Kesempurnaan Pendidikan
  14. 1985 Guru dan Masyarakat Asas Kemajuan Pendidikan
  15. 1986 Pendidikan Teras Nasionalisme
  16. 1987 Pendidikan Ke Arah Kesejahteraan Insan
  17. 1988 Guru Pengasas Budaya Membaca
  18. 1989 Guru Pembina Budaya Ilmu
  19. 1989 Guru Pembina Budaya Ilmu
  20. 1990 Pendidikan Bermutu Masyarakat Sejahtera
  21. 1991 Ke Arah Pendidikan Cemerlang
  22. 1992 Guru Cemerlang Teras Kejayaan Wawasan
  23. 1993 Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
  24. 1994 Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
  25. 1995 Permuafakatan dan Perpaduan Menjayakan Wawasan
  26. 1996 Guru Malaysia Teras Pendidikan Bertaraf Dunia
  27. 1997 Guru Bestari Sekolah Bestari
  28. 1998 Guru Penyemai Tanggungjawab Bersama
  29. 1999 Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang
  30. 2000 Bersatu Memartabatkan Profesion Keguruan
  31. 2001 Memartabatkan Profesion Keguruan tanggungjawab Bersama
  32. 2002 Guru Berkualiti Aspirasi Negara
  33. 2003 Guru Berkualiti Aspirasi Negara
  34. 2004 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
  35. 2005 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
  36. 2006 Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan
  37. 2007 Guru Penjana Modal Insan Cemerlang
  38. 2008 Guru Cemerlang Negara Terbilang
  39. 2009 Guru Pembina Negara Bangsa
  40. 2010 Guru Pembina Negara Bangsa
  41. 2011 Guru penjana transformasi pendidikan negara
  42. 2012 Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara
  43. 2013 Guru Malaysia 1 Aspirasi 1 Agenda
  44. 2014 Guru Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi

Khamis, 8 Mei 2014

Berbicaralah mengikut kepakaran bukan mengikut rasa.........

Biarpun kebebasan bersuara dijamin oleh perlembagaan dimana semua rakyat bebas mengeluarkan kritikan, pandangan, pendapat mereka terhadap apa jua perkara atau isu namun perlu berhati-hati dan bijaksana sebelum mengeluarkan pendapat masing-masing. Mungkin idea atau pendapat yang dilontarkan itu tidak bersalahan dengan perlembagaan yang boleh membawa kepada  dikenakan tindakan dibawah Akta Hasutan atau Akta Suruhanjaya Komunikasi Malaysia tetapi sebenarnya ada implikasi yang lebih jauh yang tidak kita sedari yang boleh membawa kerosakan dan kerugian yang sangat besar kepada pengucapnya.

Kecenderungan mahu menonjolkan diri terhadap sesuatu "isu yang panas" seakan-akan sudah menjadi trend masyarakat kita dewasa ini. Biarlah berpada-pada bila kita mahu berbicara, pastikan isu yang mahu kita ulas atau kritik itu merupakan bidang kita. Maksudnya kita ada ilmu yang mendalam berkaitannya, bukan berbicara mengikut emosi semata-mata atau kerana ada tujuan yang tersirat. 

Hudud adalah antara isu yang agak panas dewasa ini. Bagi setiap orang islam hudud sepatutnya bukan isu tetapi ia adalah tanggungjawab dan kewajipan. Pada pendapat saya setiap muslim bertanggungjawab dan wajib terhadap dua perkara berkaitan hudud iaitu pertamanya meyakini untuk melaksana dan mematuhinya tanpa sebarang keraguan sepertimana kita meyakini dan mematuhi perintah solat, puasa, zakat dan haji. 

Tanggungjawab kedua bagi kita selaku umat islam adalah memberikan penerangan dan penjelasan kepada mereka yang tidak memahami hudud khususnya kepada golongan non muslim. Pada pengamatan saya penentangan terhadap hudud berlaku kerana "ketidakfahaman" yang berpunca daripada ketiadaan maklumat atau menerima maklumat yang salah yang kemudiannya membawa kepada salah tafsiran yang kemudiannya menjerumuskan kepada prasangka negatif terhadap hudud. Inilah kewajipan kita selaku umat islam untuk memberikan penerangan dengan maklumat yang tepat, berhemah dan bijaksana. Polemik sesama umat islam samada melalui media cetak, media elektronik atau media sosial berhubung tentang hudud tidak memberikan sebaran pulangan yang menguntungkan malah menambahkan lagi kekeliruan, kekusutan dan  ketakutan non muslim terhadap agama islam .

Bagi memastikan keberkesanan dan ketepatan penerangan kita tentang hudud, sewajarnya kita mendalami ilmu kita terlebih dahulu. Sikap yang tertanam dalam diri bahawa "akulah yang paling tahu dan arif" perlu dilontarkan jauh-jauh. Usahlah kita bertindak umpama tikus membaiki labu. Budaya berdailog, berseminar dan penajaman ilmu dalam masyarakat islam sendiri hendaklah disuburkan terlebih dahulu yang kemudiannya diperluaskan merentasi agama. Hambatan paling besar agar orang lain menghormati agama islam adalah sikap segelintir penganut islam sendiri yang kurang peka terhadap kepentingan ketinggian akhlak dan ketidaksediaan bersikap terbuka untuk berdialog dalam ruang lingkup ilmu pengetahuan.  

Sebagai rumusan, biarpun perlembagaan negara kita memberi peluang bagi setiap rakyat bebas bersuara tetapi sebagai umat islam kita perlu berhati-hati dan berwaspada supaya jangan sampai kritikan, sanggahan dan pandangan kita terhadap hudud tanpa disedari telah menjerumuskan diri kita kepada "kebinasaan" aqidah kita sendiri. Perlu diingat bahawa perjalanan kita di sana sangat panjang, lama dan berkekalan. Mampukah kita berhadapan di mahkamah Allah di sana kelak?. Kita serahkan orang yang arif dan mahir dalam bidang ekonomi untuk berbicara mengenai bidang ekonomi, orang yang arif tentang astronomi bercakap mengenai astronomi dan begitulah juga tentang hudud kita serahkan kepada mereka yang mahir dan berilmu tentang hudud. Janganlah terlalu ghairah jika bukan bidang kepakaran kita untuk kita menjadi juaranya takut akhirnya merugikan diri kita sendiri..... 



Rabu, 7 Mei 2014

Apakah Kesudahan Episod MH370

Pelbagai usaha mencari dan menyelamat telah dilakukan sejak hari pertama kehilangan MH370 tetapi sehingga kini setelah hampir dua bulan pencarian belum menampakkan hasilnya. Semakin banyak laporan yang kita ikuti dari pelbagai sumber telah menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawaban yang kita kehendaki. Ke mana dan di mana sebenarnya MH370 menghilang??? Mungkinkah ia sebenarnya tidak terhempas di Lautan Hindi seperti yang kita sangkakan tetapi sebenarnya berada di destinasi lain. Semuanya serba mungkin. 

Katalah tidak terhempas di Lautan Hindi tetapi terhempas di tempat lain samada di lautan, pantai, sungai, bukit, gunung, gaung atau hutan belantara pasti akan terjumpa cebisan pesawat tersebut. Laporan atau berita yang kita ikuti dari pelbagai agensi adalah mengikut persepsi berdasarkan kepentingan masing-masing. Sesetengah laporan memperlihatkan sikap bias dan dangkal dengan tersirat niat untuk membinasakan imej dan reputasi negara kita. Ditambah dengan kepesatan perkembangan teknologi masa kini khususnya peranan yang dimainkan oleh media sosial telah menyemarakan lagi kemunculan pelbagai spekulasi. Apakah nasib anak kapal dan penumpang MH370 terus menjadi misteri. 

Berbalik kepada pelbagai spekulasi yang timbul, kita kena berlapang dada dan akur bahawa tindak tanduk kita sendiri sebenarnya turut mengundang kepada kemunculan spekulasi yang melemaskan. Gaya bertindak dalam menangani isu ini bukan sahaja perlu memperlihatkan kematangan tetapi perlulah bersesuaian dengan gaya berfikir masyarakat yang sudah berubah lantaran ledakan maklumat disekeliling mereka yang boleh dicapai melalui hujung jari. Sesungguhnya kita sangat memahami betapa berat tanggungan bagi keluarga  mangsa yang terlibat dalam mengharungi suasana yang tidak pasti dalam menantikan berakhirnya episod ini.