Biarpun kebebasan bersuara dijamin oleh perlembagaan dimana semua rakyat bebas mengeluarkan kritikan, pandangan, pendapat mereka terhadap apa jua perkara atau isu namun perlu berhati-hati dan bijaksana sebelum mengeluarkan pendapat masing-masing. Mungkin idea atau pendapat yang dilontarkan itu tidak bersalahan dengan perlembagaan yang boleh membawa kepada dikenakan tindakan dibawah Akta Hasutan atau Akta Suruhanjaya Komunikasi Malaysia tetapi sebenarnya ada implikasi yang lebih jauh yang tidak kita sedari yang boleh membawa kerosakan dan kerugian yang sangat besar kepada pengucapnya.
Kecenderungan mahu menonjolkan diri terhadap sesuatu "isu yang panas" seakan-akan sudah menjadi trend masyarakat kita dewasa ini. Biarlah berpada-pada bila kita mahu berbicara, pastikan isu yang mahu kita ulas atau kritik itu merupakan bidang kita. Maksudnya kita ada ilmu yang mendalam berkaitannya, bukan berbicara mengikut emosi semata-mata atau kerana ada tujuan yang tersirat.
Hudud adalah antara isu yang agak panas dewasa ini. Bagi setiap orang islam hudud sepatutnya bukan isu tetapi ia adalah tanggungjawab dan kewajipan. Pada pendapat saya setiap muslim bertanggungjawab dan wajib terhadap dua perkara berkaitan hudud iaitu pertamanya meyakini untuk melaksana dan mematuhinya tanpa sebarang keraguan sepertimana kita meyakini dan mematuhi perintah solat, puasa, zakat dan haji.
Tanggungjawab kedua bagi kita selaku umat islam adalah memberikan penerangan dan penjelasan kepada mereka yang tidak memahami hudud khususnya kepada golongan non muslim. Pada pengamatan saya penentangan terhadap hudud berlaku kerana "ketidakfahaman" yang berpunca daripada ketiadaan maklumat atau menerima maklumat yang salah yang kemudiannya membawa kepada salah tafsiran yang kemudiannya menjerumuskan kepada prasangka negatif terhadap hudud. Inilah kewajipan kita selaku umat islam untuk memberikan penerangan dengan maklumat yang tepat, berhemah dan bijaksana. Polemik sesama umat islam samada melalui media cetak, media elektronik atau media sosial berhubung tentang hudud tidak memberikan sebaran pulangan yang menguntungkan malah menambahkan lagi kekeliruan, kekusutan dan ketakutan non muslim terhadap agama islam .
Bagi memastikan keberkesanan dan ketepatan penerangan kita tentang hudud, sewajarnya kita mendalami ilmu kita terlebih dahulu. Sikap yang tertanam dalam diri bahawa "akulah yang paling tahu dan arif" perlu dilontarkan jauh-jauh. Usahlah kita bertindak umpama tikus membaiki labu. Budaya berdailog, berseminar dan penajaman ilmu dalam masyarakat islam sendiri hendaklah disuburkan terlebih dahulu yang kemudiannya diperluaskan merentasi agama. Hambatan paling besar agar orang lain menghormati agama islam adalah sikap segelintir penganut islam sendiri yang kurang peka terhadap kepentingan ketinggian akhlak dan ketidaksediaan bersikap terbuka untuk berdialog dalam ruang lingkup ilmu pengetahuan.
Sebagai rumusan, biarpun perlembagaan negara kita memberi peluang bagi setiap rakyat bebas bersuara tetapi sebagai umat islam kita perlu berhati-hati dan berwaspada supaya jangan sampai kritikan, sanggahan dan pandangan kita terhadap hudud tanpa disedari telah menjerumuskan diri kita kepada "kebinasaan" aqidah kita sendiri. Perlu diingat bahawa perjalanan kita di sana sangat panjang, lama dan berkekalan. Mampukah kita berhadapan di mahkamah Allah di sana kelak?. Kita serahkan orang yang arif dan mahir dalam bidang ekonomi untuk berbicara mengenai bidang ekonomi, orang yang arif tentang astronomi bercakap mengenai astronomi dan begitulah juga tentang hudud kita serahkan kepada mereka yang mahir dan berilmu tentang hudud. Janganlah terlalu ghairah jika bukan bidang kepakaran kita untuk kita menjadi juaranya takut akhirnya merugikan diri kita sendiri.....