Ahad, 21 Julai 2013

Program Menyantuni Anak-anak Yatim Sempena Ramadhan 1434H

"Barangsiapa yang memberi makanan berbuka puasa bagi orang yang berpuasa, baginya pahala yang semisal  orang yang berpuasa tersebut tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa tersebut sedikit pun" (HR: At Tarmidzi)

Mengambil iktibar dari hadis tersebut, tiga orang pensyarah IPG Kampus Tawau iaitu Ust Mohamad Ziyad bin Mukhtar, Ust Mohd Hasaidi bin Hassan dan En Mohd Zain bin Badui akan berlepas ke Banda Aceh Indonesia pada 24 hingga 28 Julai 2013 bagi menyampaikan sumbangan/infak oleh warga IPG Kampus Tawau sambil  berbuka puasa  bersama penghuni  beberapa buah rumah anak yatim terpilih di sana. Antara rumah-rumah anak yatim yang bakal kami lawati adalah seperti berikut :
  •        24 Julai 2013 -  Panti Asuhan Darul Aitam ( 20 orang anak yatim)
  •         25 Julai 2013 -  Panti Asuhan Baldatun Tayyibatun Wa Rabbun Ghafur (40 orang anak yatim) 
  •      26  Julai 2013 - Panti Asuhan Markaz Al -Abibiyah (150 orang anak yatim)
  •          27 Julai 2013 - Panti Asuhan Al- Jami’iyatul Wasaliyah (40 orang anak yatim).   

Mungkin timbul persoalan, mengapa Aceh menjadi pilihan sedangkan di Malaysia sendiri pun ramai yang  memerlukan bantuan.  Sebenarnya kami tidak meminggirkan saudara-saudara kita di Malaysia di mana 40 % daripada sumbangan yang kami terima akan disalurkan kepada saudara-saudara islam kita di Malaysia yang memerlukannya.  Sementara bakinya 60 % akan disalurkan kepada saudara-saudara islam kita yang memerlukan di tempat-tempat lain termasuklah di Aceh. Sesungguhnya kami terpanggil untuk memberi keutamaan yang lebih sedikit kepada Aceh kerana selepas musibah tsunami pada tahun 2004 di Banda Aceh sahaja terdapat lebih 300 buah rumah anak yatim  yang keadaannya serba kekurangan dan daif yang boleh meruntun hati kita. Di Malaysia pelbagai agensi samada kerajaan atau bukan kerajaan dan koperat,  bahkan ramai orang perseorangan sentiasa bersedia menghulurkan sumbangan kepada golongan yang kurang bernasib baik termasuklah anak yatim berbanding di Aceh atau tempat-tempat lain.  


Alhamdulillah kehidupan kita di sini amat selesa, jadi sewajarnya kita yang ada "kelebihan" membantu saudara seislam kita yang sangat memerlukan. Bagi sesiapa sahaja yang berhasrat hendak menitipkan sumbangan / infak kepada anak-anak yatim sempena bulan ramadhan yang penuh keberkatan dan kemuliaan ini bolehlah berhubung dengan Ust Mohamad Ziyad bin Mukhtar (012-5159420) atau Ust Mohd Hasaidi bin Hassan (013-5416993)..  Sesungghnya usaha kami ini adalah usaha yang sangat kecil untuk mendidik hati kita agar sentiasa lunak dan insaf terhadap nikmat yang Allah berikan kepada kita selama ini.  Mudah-mudahan sumbangan tuan/puan mendapat keberkatan dan ganjaran yang berpanjangan dari Allah SWT.

Rabu, 10 Julai 2013

Ahlan Wa Sahlan Ramadhan 1434H

Hari ini 10 Julai 2013, umat islam di Malaysia mula berpuasa. Alhamdulillah kita diberikan peluang dan kesempatan sekali lagi untuk bertemu ramadhan. Semoga ramadhan kali ini lebih baik daripada ramadhan yang lalu.