Khamis, 20 Mac 2014

Ke Mana Menghilangnya Pesawat MAS MH370

Sudah melewati 10 hari  pesawat MH370 ghaib. Pelbagai keganjilan telah berlaku termasuklah keterlibatan aksi bomoh yang tetiba muncul dengan aksi filem klasik arahan  Seniman Allahyarham P.Ramle. Pelbagai spekulasi muncul silih berganti diiringi dengan pelbagai teori politik dan ekonomi yang mengaitkan kuasa-kuasa besar dunia. Lebih malang lagi pelbagai spekulasi yang berlegar diruang maya khasnya di media sosial yang melampaui batas hingga boleh menyinggung perasaan keluarga penumpang dan krew pesawat tersebut. Fahami dan insafilah bahawa masa ini adalah masa yang genting dan sukar bagi keluarga mangsa yang terlibat. Usahlah kita memberi sumbangan mengusutkan lagi keadaan. Bayangkan diri kita sebagai keluarga mangsa yang terlibat, maka kita akan memahami betapa berat dan sukarnya situasi yang sedang mereka lalui dengan pengharapan dan penantian yang tidak pasti.

Semua pihak di negara kita perlulah bermuhasabah diri, apakah mungkin insiden ini sebagai kifarah kepada kita atas kelalaian dan kealfaan kita terhadap amanah dan tanggungjawab yang diberikan olehNya kepada kita. Mungkin kita "zalim" kerana membiarkan kemungkaran, kemaksiatan dan fitnah seperti sudah menjadi amalan harian masyarakat kita.

Ayuh marilah kita sama-sama berganding bahu mendoakan agar krisis dan misteri kehilangan pesawat MH370 segera terungkai dengan semua penumpang dan crew terselamat.  Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikulnya bagi keluarga penumpang dan crew pesawat tersebut.