Jumaat, 19 April 2013

Mendepani Harapan Generasi Muda Dalam PRU 13

Parlimen telah dibubarkan, hari penamaan calon telah ditetapkan pada 20 April 2013 dan 5 Mei 2013 sebagai hari pembuangan undi. Biarpun waktu kempen secara rasmi sepatutnya bermula sebaik sahaja selepas penamaan calon tapi bahang kempen sudah terasa. Poster, bendera, banner dan bunting parti-parti yang dijangka akan bertanding telah dipasang di merata-rata tempat.  Ada parti yang telah berkempen berselindung disebalik majlis-majlis tertentu. Kekadang terasa ada kebenarannya ruang berkempen melalui media arus perdana untuk parti-parti yang mengambil bahagian dalam PRU  tidak seimbang malah tidak keterlaluan boleh dikatakan seperti didominasi oleh sesuatu parti sahaja. 

PRU pada 5 Mei 2013 ini adalah PRU yang ke 13, bermakna negara kita telah mengamalkan proses demokrasi ini sebanyak 13 kali untuk tempoh lebih 50 tahun. Warganegara Malaysia yang dilahirkan pada PRU yang pertama sudah tentu kini telah berusia melewati 50an dan tidak dapat dinafikan bahawa usia 50an  sepatutnya melambangkan kematangan berdasarkan pengalaman yang telah dilalui sejak sekian lama. Dengan kemudahan maklumat dihujung jari, bandingkanlah proses demokrasi negara kita dengan negara-negara lain samada di Eropah, Jepun, Korea Selatan atau dikalangan tetangga negara ASEAN.   Berdasarkan maklumat yang diperolehi, tidak sukar untuk membuat rumusan dan kesimpulan tentang rupa paras proses dan perjalanan demokrasi di negara kita.

Para pengundi yang buat pertama kali turun mengundi pada pilihanraya ini dianggarkan berjumlah melebihi 3 juta orang dan mereka adalah terdiri daripada anak-anak yang dilahirkan antara tahun 1988 hingga 1991. Mereka adalah generasi yang terdedah dengan pelbagai informasi yang boleh diperolehi melalui hujung jari dan mereka juga lebih hampir dengan media sosial berbanding dengan media tradisional. Oleh sebab itu tidak hairanlah golongan ini menjadi sasaran kepada parti-parti yang bermusuhan untuk mendapatkan undi mereka.

Sebagai generasi yang bermaklumat, mereka jauh lebih kritikal dan sinikal terhadap kenyataan dan pendekatan yang ditampilkan oleh parti-parti yang bertanding. Zaman sudah berubah apatah lagi dengan kemunculan media-media baru yang sangat hampir dengan kehidupan generasi muda. Justeru pendekatan dan strategi perlu berubah seiring dengan perubahan zaman. Percayalah pendekatan lapok seperti menyerang lawan tanpa memberi peluang kepada pihak lawan menjawab dan memberi penjelasan tidak akan berjaya menarik golongan muda memberi undi kepada mereka. Apa yang mereka mahukan proses demokrasi ini berjalan dengan telus,  adil dan saksama seperti  yang lazim dipraktiskan di negara-negara maju. Anak-anak muda mahukan liputan media yang seimbang kepada semua parti yang bertanding. Perdebatan tentang tawaran manifesto oleh parti-parti yang bertanding secara ilmiah dan matang tanpa membangkitkan elemen kebencian yang boleh merosakan keharmonian kehidupan rakyat.

Sesungguhnya amalan yang bercorak provokasi dan serangan peribadi akan dilihat oleh generasi muda sebagai amalan yang keji yang tidak mencerminkan kematangan ke arah sebuah negara maju berpendapatan tinggi.